Kee Abdullah ialah salah seorang pemimpin orang-orang Melayu tempatan ketika era penjajahan British di Tawau, Sabah. Beliau bersama-sama Habib Sheikh, Imam Mustapa dan Serang Saman adalah pemimpin-pemimpin Melayu yang dilantik oleh Kerajaan British untuk bertugas di pejabat Residen Inggeris di Tawau semasa pemerintahan Syarikat Borneo Utara. Mereka adalah wakil orang-orang Melayu yang menduduki kerusi dalam Mahkamah Anak Negeri ( native court ) pada tahun 1922.

Nama asal beliau sebenarnya ialah Kee Kim Swee. Setelah memeluk agama Islam , beliau memilih Abdullah sebagai nama Islam beliau dan seterusnya dikenali sebagai Kee Abdullah ataupun OKK Kee Abdullah.[1] Berketurunan Sino Dusun dan dilahirkan pada tahun 1863. Ibu beliau bernama Kipas adalah berketurunan Dusun Tutung. Walau bagaimanapun beliau pernah dipelihara sebagai anak angkat oleh seorang penduduk kampung di Bandau berbangsa Melayu Suluk bernama Pak Ibrahim. Keadaan ini bermula pada tahun 1885 iaitu ketika berlakunya suatu tragedi hitam dalam hidup beliau. Semasa beliau dan bapa beliau dalam pelayaran ke Kudat atas urusan perniagaan, kapal yang mereka naiki karam di perairan Kudat. Beliau telah diselamatkan oleh seorang nelayan bernama Hussein semasa hanyut di laut pada ketika itu, bapa beliau pula mati lemas dalam tragedi itu. Ketika beliau berumur 31 tahun, beliau memulakan kerjaya beliau di dalam jabatan kerajaan sebagai kerani di Sandakan dan kemudiannya ditugaskan di Silam.[2]

Oleh kerana latar pendidikan beliau yang baik dan mempunyai kemahiran kerja yang tinggi, beliau diberi kepercayaan oleh Pegawai Daerah Inggeris di Lahad Datu, Alexander Rankin Dunlop untuk ditugaskan di Tawau pada 16 Oktober 1894 sebagai wakil beliau merangkap jawatan Pemeriksa Kastam dan Pemungut Hasil. Antara tugas utama beliau sebagai wakil kerajaan Inggeris ialah membuat pungutan Cukai Diri ( Poll Tax) bernilai $1 untuk setiap penduduk yang menjadi rakyat di bawah naungan Kerajaan British. Tidak lama selepas itu, Alexander Dunlop juga berpindah ke Tawau dan menjawat jawatan sebagai Residen Tawau yang pertama dan bertugas bersama sama Kee Abdullah di pejabat Residen.

Selama beliau bertugas di Tawau, beliau menjalankan tanggungjawab dengan mesra dan ini menjadikan hubungan beliau dengan masyarakat setempat khususnya masyarakat Melayu sangat erat. Akhirnya beliau mendirikan rumahtangga dengan gadis tempatan berketurunan Melayu Suluk bernama Jumatiah binti Ami Maiden dan dikurniakan beberapa orang cahaya mata yang antaranya merupakan pemimpin yang berjasa dan disegani di Tawau seperti OKK Abu Bakar atau Penghulu Abu Bakar.

Penghulu Abu Bakar adalah pemimpin Melayu yang berjasa ketika era Pendudukan Tentera Jepun dan era Penyatuan Bangsa Melayu selepas era Perang melalui PKMT dan PIT. Anak-anak beliau yang lain ialah Suleiman bin Abdullah, bapa mertua kepada Datuk Abu Bakar Titingan, Pengerusi USNO Tawau iaitu pemimpin Melayu Tawau yang berjasa di dalam usaha mencapai kemerdekaan Tawau dan Sabah bersama Malaysia.

Jasa semasa muda sunting

Jika anak beliau, Penghulu Abu Bakar adalah pemimpin Melayu yang berjasa dan disayangi ketika era Pendudukan Jepun, Kee Abdullah pula antara pemimpin Melayu yang berjasa ketika awal pemerintahan Kerajaan British di Tawau. Sebelum bertugas di Tawau, beliau telah mendapat pendidikan yang tinggi dan berjawatan dalam kerajaan. Dengan latar belakang pendidikan dan pengetahuan yang luas serta mampu bertutur dengan bahasa Inggeris dengan baik selain mampu berkomunikasi dengan mesra dengan masyarakat Melayu tempatan, kehadiran beliau sangat diperlukan oleh kerajaan Inggeris juga oleh masyarakat Melayu tempatan sendiri. Antara kelebihan beliau yang amat dikagumi ialah kemampuan beliau untuk bertutur dalam bahasa Arab dan menulis dalam tulisan Jawi.

Oleh itu semasa masih muda dan baru memulakan tugas beliau, beliau bukan sahaja bertugas untuk memungut hasil kewangan malahan juga diberi tugas untuk berurusan dengan masyarakat tempatan bagi memahami permasalahan mereka dan bergaul rapat dengan mereka. Setelah berpuluhan tahun bersama masyarakat tempatan yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, beliau dianggap seorang pemimpin yang menjadi harapan untuk membantu bangsanya yang serba kedaifan dari segi ekonomi dan taraf pendidikan ketika itu. Pengetahuan beliau yang meluas melalui pengalaman bekerja bersama bangsa Inggeris digunakan sebaik baiknya untuk berbakti kepada anak bangsa di Tawau ini. Beliau bukan sahaja berusaha melalui kerjasama yang baik dengan kerajaan Inggeris untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat melalui kegiatan ekonomi dan pendidikan. Beliau juga menjadi mata dan telinga kerajaan untuk melihat permasalahan rakyat manakala di pihak masyarakat , beliau menjadi suara hati mereka untuk menyampaikan keluhan dan rintihan masyarakat yang daif dan serba kemiskinan untuk didengar pihak kerajaan.

Kepimpinan sunting

Pada mulanya beliau adalah kepercayaan pihak Inggeris dengan perlantikan sebagai pegawai kerajaan Inggeris yang pertama ditugaskan di Tawau pada 1894. Kemudian beliau menjadi sebahagian masyarakat Melayu dan masyarakat Islam melalui perkahwinan dan hubungan keluarga. Sebagai seorang yang terpelajar, beliau bersama-sama dengan Imam Mustapa dan Habib Sheikh menjadi rujukan dan harapan masyarakat Melayu di Tawau ketika itu. Jika Habib Sheikh (menjadi ketua masyarakat pada 1916 ) dan Imam Mustapa ( menjadi ketua masyarakat pada 1925 ) menjadi rujukan agama, Kee Abdullah pula menjadi rujukan soal urusan dengan Kerajaan Inggeris. Mereka bertiga iaitu Kee Abdullah, Imam Mustapa dan Habib Sheikh merupakan pemimpin dan wakil masyarakat Melayu yang diiktirafkan Kerajaan Inggeris dan menduduki tempat dalam Mahkamah Anak Negeri (Native Court).

Kee Abdullah juga pernah terlibat dalam usaha mewujudkan sebuah pekan baru iaitu Pekan Tawau yang baru di sebuah tempat yang lebih strategik iaitu di sebuah tempat yang dikenali sebagai 'Tanjung' untuk menggantikan pekan lama iaitu 'Tawau Lama' yang tidak sesuai lagi untuk dijadikan pusat ekonomi bandar. Usaha ini sebagai langkah untuk menjadikan Tawau sebagai pekan yang lebih luas dan selesa menjadi pusat perdagangan dan perniagaan memandangkan Tawau Lama ketika itu agak sempit dan dipenuhi dengan rumah-rumah kampung masyarakat tempatan.

Oleh kerana beliau sangat dihormati oleh masyarakat Melayu dan juga mendapat kepercayaan British, beliau telah dilantik menjadi Ketua Masyarakat menggantikan Imam Mustapa. Seterusnya jawatan ketua masyarakat ini telah digantikan dengan jawatan baru yang dikenali sebagai Orang Kaya Kaya atau OKK. Kee Abdullah telah diberi penghormatan untuk pertama kalinya memegang jawatan yang baru ini dan selepas itu beliau dikenali sebagai OKK Kee Abdullah. Beliau terus memegang amanah untuk memikul tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Anak Negeri merangkap Penghulu atau Ketua Masyarakat sehinggalah akhir hayat beliau dan jawatan ini diteruskan pula oleh anak beliau sendiri iaitu OKK Abu Bakar seorang pemimpin yang berwibawa , berjasa , dihormati serta disayangi oleh masyarakat Melayu Tawau ketika hidupnya.

OKK Kee Abdullah meninggal dunia pada tahun 1936 ketika berusia 73 tahun setelah lama menyumbangkan jasa dan berbakti kepada bangsa Melayu Tawau selama puluhan tahun. Semasa beliau meninggal dunia, nama beliau sangat dihormati oleh masyarakat Melayu Tawau dan beliau terus dikenang kerana jasa-jasa beliau. Kerana itulah juga anak beliau, Abu Bakar Abdullah dilantik menggantikan beliau sebagai Orang Kaya-Kaya (OKK) atau Penghulu merangkap Ketua Masyarakat Melayu Peribumi (Native Chief). Kini, nama Kee Abdullah telah diabadikan di sebuah jalan di bandar Tawau sempena memperingati jasa-jasa kepada masyarakat dan penduduk di Tawau ini.

Pada ketika ini, keturunan Kee Abdullah masih lagi menyumbangkan jasa dan bakti kepada rakyat Malaysia di Tawau. Antaranya ialah Datuk Ahmad Bahrum Abu Bakar Titingan, mantan Timbalan Ketua Menteri. Juga Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, ADUN Apas merangkap Pembantu Kewangan Ketua Menteri iaitu cicit-cicit beliau yang merupakan anak kepada Kee Hafsah binti Kee Sulaiman dan Hj Abu Bakar Titingan. TerkiniMohd Nizam Abu Bakar Titingan juga memegang jawatan ADUN Kawasan APAS menggantukan Mohd Tawfiq. Selain itu juga mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, K.Y. Mustafa juga adalah cicit beliau iaitu anak kepada Kee Mohd Yusuf bin Kee Abu Bakar. Manakala Ketua Anak Negeri Tawau kini iaitu Kee Ayub bin Kee Abu Bakar adalah cucu beliau sendiri. Terkini juga Jawatan Ketua Anak Negeri di pegang oleh Kee Abdul Jamal biln Kee Sulaiman seorang pesara guru dan Guru besar juga merupakan cucu Kee Abdullah

Nota kaki sunting

  1. ^ Malaysian Chinese and Nation-building: Historical background and economic perspective, Hua she yan jiu zhong xin
  2. ^ Nicholas Chung, Borneo Under the Sun, Natural History Publication, 2005.

Rujukan sunting

  • Ken Gotlet, Tawau The Making of a Tropical Community, Opus Publication, 2010.
  • Nicholas Chung, Borneo Under the Sun, Natural History Publication, 2005.