Keladi hiasan

kelompok keladi yang ditanam sebagai hiasan

Keladi hiasan ialah sekelompok tumbuhan dalam keluarga Araceae yang ditanam selaku tanaman hiasan. Beberapa genusnya yang penting dari segi komersial termasuklah Aglaonema, Anthurium, Dieffenbachia, Epipremnum, Philodendron, Spathiphyllum dan Syngonium;[1] dan juga Alocasia, Caladium dan Colocasia.[2] Ia ditanam untuk daun yang menonjol dan kebolehannya untuk tumbuh di kawasan redup yang kurang mendapatkan cahaya. Seludang Anthurium yang cantik dan tahan lama sering dijadikan bunga potong, sama juga dengan Spathiphyllum. Syngonium dan Epipremnum pula dijadikan tanaman gantung atau ditanam pada junjungan.[1]

Keladi kultivar 'Florida Sweetheart'

Terdapat keladi yang daunnya berwarna macam keladi merah,[3] dan terdapat juga yang keseluruhannya hijau macam keladi seberang. Sesetengahnya mempunyai daun bercabang macam pokok ekor naga, dan ada pula yang memanjat seperti sirih gading dan tapak angsa. Pelbagai kultivar keladi unik kini tular dan diburu oleh peminat tanaman hiasan. Malah ada peminat yang sanggup membeli spesies eksotik dengan harga ribuan ringgit.[4][5]

Taburan sunting

Keladi hiasan ini kebanyakannya tumbuh di rantau tropika di seluruh dunia. Sebilangan besar spesies keladi atau aroid berasal dari Amerika Selatan tetapi ia juga ditemukan tersebar meluas di kawasan tropika Asia Tenggara, contohnya Alocasia dan Amorphophallus.[6] Beberapa jenis keladi tropika Amerika yang berkepentingan hortikultur termasuklah Anthurium, Philodendron, Dieffenbachia, Spathiphyllum, Monstera dan Caladium.[2] Genus Caladium yang berasal dari Amerika Selatan dan Tengah terkenal di kalangan penggemar tanaman hiasan dengan daun yang warna utamanya merah, dadu dan putih.[7] Genus Philodendron, Dieffenbachia dan Monstera pula sesuai dijadikan hiasan di dalam rumah disebabkan penjagaannya yang mudah.

 
Birah hitam tumbuh dalam rumpun Spathipyllum

Di Asia Tenggara, kawasan yang paling kaya dengan spesies keladi adalah Borneo, iaitu dengan sekitar 265 spesies dalam 27 genus berlainan. Kebanyakan keladi di Borneo ini mempunyai nilai hiasan, salah satunya genus Alocasia. Alocasia longiloba atau birah hitam, contohnya, dalam kalangan keladi dengan daun yang paling cantik dan menarik. Sejak beberapa tahun lalu, perhatian penuh telah diberikan pada jenis birah kecil berdaun tebal yang tumbuh di kawasan berbatu kapur. Beberapa spesiesnya mendapat perhatian dan telah dibiakkan di negara-negara Asia melalui kaedah kultur tisu.[6]

Selain itu, perhatian juga diberikan pada dua genus daratan iaitu Homalomena dan Schismatoglottis.[6] Homalomena atau kemoyang sering ditemukan tumbuh liar di kawasan hutan belukar. Schismatoglottis pula hidup di kawasan tanah lembap, zon limpah banjir dan kawasan paya terang.[2]

Keladi-keladi liar ini sering diburu untuk dibiakkan sebagai hiasan dan dikomersilkan.[8][4] Tindakan yang berlebihan boleh menyebabkan keladi ini pupus di habitat asalnya.[4] Umbisi yang tertanam seharusnya dibiarkan tumbuh ketika pokoknya diambil untuk memulihara spesies tersebut.

Penanaman sunting

 
Keladi belang (Caladium lindenii)

Secara umumnya keladi ini boleh dipecahkan kepada dua kelompok iaitu yang ditanam di dalam rumah dan juga di halaman sebagai hiasan landskap.[9] Keladi boleh ditanam menggunakan umbisi atau anak pokok dan memerlukan sinar cahaya yang cukup.

Tumbuhan rumahan sunting

Kebanyakan keladi ditanam sebagai hiasan dalaman lantaran penyesuaiannya dengan persekitaran dalam rumah. Kebanyakan spesies memilih cahaya terang tak langsung dan tidak tahan sinaran cahaya langsung melebihi beberapa jam setiap hari. Suhu bilik antara 65–85 °F (18–29 °C) adalah paling sesuai, sedangkan suhu di bawah 60 °F (16 °C) boleh merosakkan daun sesetengah spesiesnya. Spesies landskap semacam Zantedeschia, Caladium dan Symplocarpus menggemari tanah yang sentiasa lembap, sedangkan spesies dalam rumah pula tumbuh elok bilamana dibiarkan kering sedikit antara jarak siraman. Kelembapan yang tinggi sangatlah membantu, lagi-lagi sepanjang bulan musim sejuk di kawasan bermusim.[9]

Kebanyakan keladi ini mendapat manfaat daripada pemakaian baja yang ringan iaitu sekali atau dua kali sepanjang musim pertumbuhan. Keladi yang dijadikan tanaman rumah tumbuh elok ketika sudah agak padat ke pasu dan tidak perlu digantikan ke dalam bekas yang lebih besar setiap tahun. Contoh-contoh keladi yang dikelaskan sebagai tanaman dalam rumah termasuk Aglaonema, Alocasia, Amorphophallus, Anthurium, Colocasia, Dieffenbachia, Epipremnum, Monstera, Philodendron, Spathiphyllum dan Zamioculcas.[9]

Tumbuhan halaman sunting

 
Bunga Anthurium merah terang

Keladi yang ditanam terus di atas tanah tumbuh lebih subur dan besar. Arisaema iaitu genus untuk likir, mempunyai spesies yang tempatan dari China, Jepun, Afrika tengah, Tibet, Thailand, Malaysia, India, Vietnam, Taiwan, Mexico dan Amerika Utara. Ia ditanam selaku tanaman hiasan laman. Contoh-contoh keladi yang ditanam di halaman termasuk Arisaema, Caladium, Symplocarpus dan Zantedeschia.[9]

Kekreatifan penanam amat penting dalam menyusun tona warna keladi hiasan di halaman supaya laman kelihatan menarik. Bagi pokok yang tumbuh renek, latarnya boleh dihiasi dengan pokok yang lebih tinggi, contohnya pisang sepit dan pandan serani. Keladi putih pula boleh diserlahkan keunikan daunnya dengan ditanam pada rumpun berdaun hijau tua seperti pakis.[3] Keladi gajah pula sesuai dijadikan peneduh bagi tumbuhan yang tidak menggemari persekitaran yang terdedah pada sinaran.

Senarai keladi hiasan sunting

Berikut adalah senarai ringkas keladi hiasan mengikut pengenalan setempat:

Rujukan sunting

  1. ^ a b R. J., Henny; D. J., Norman; J., Chen (Oktober 2004). "Progress in Ornamental Aroid Breeding Research". Annals of the Missouri Botanical Garden. Missouri Botanical Garden Press. 91 (3): 464-472.
  2. ^ a b c Peter Boyce; Wong Sin Yeng (2008). "A Decade of Schismatoglottis Species". the IAS Newsletter. International Aroid Society, Inc. 2 (3): 1-7.
  3. ^ a b Factsheet (15 April 2022). "CALADIUM". Home and Garden Information Center.
  4. ^ a b c Siti Haliza Yusop; Ahmad Rabiul Zulkifli (6 Disember 2021). "Harga keladi RM38,000 sepokok". Berita Harian.
  5. ^ ROSALINDA MD. SAID (14 Januari 2022). "Raih jualan keladi hampir RM100,000". Utusan Malaysia.
  6. ^ a b c Peter Boyce (2004). "The Aroids of Borneo". Gardenwise. Malesiana Tropicals Kuching, Malaysia. 23: 11-13.
  7. ^ Anil Kumar Acharya (2014). "Caladium cultivation for ornamental, medicine and export". Nepalese Floriculture. Floriculture Association Nepal (FAN). 18: 4-13.
  8. ^ Boyce, P. (1995). "AROID CONSERVATION". Curtis’s Botanical Magazine. 12 (3): 173–176.
  9. ^ a b c d Cindy Haynes (8 Januari 2021). "A is for Aroids!". ISU Extension and Outreach. Department of Horticulture.
  10. ^ The Exotic Rainforest Plants in the Exotic Rainforest Collection – Alocasia Amazonica

Pautan luar sunting