Kelas peralatan elektrik

Dalam industri pengeluaran peralatan elektrik, kelas perlindungan IEC berikut digunakan untuk membezakan keperluan sambungan bumi bagi peralatan tersebut.

Kelas 0 sunting

 
Wayar kuprum lembar halus dengan penebat tunggal.

Peralatan dalam kelas ini tiada sambungan bumi serta menampilkan hanya satu aras penebatan sahaja. Peralatan sebegini hanya bertujuan untuk digunakan di kawasan kering sahaja. Di kebanyakan negara, penjualan peralatan elektrik Kelas 0 yang menggunakan voltan bekalan elektrik sesalur kini telah diharamkan, memandangkan satu sahaja kegagalan sudah cukup untuk menyebabkan renjatan elektrik ataupun bahaya-bahaya lain. Suruhanjaya Elektroteknikal Antarabangsa kini sedang dalam proses memansuhkan piawaian peranti Kelas 0. Adalah dianggarkan bahawa suatu hari nanti konsep Kelas 0 akan dimansuhkan daripada pasaran antarabangsa serta digantikan dengan peranti Kelas II.

Kelas I sunting

 
Wayar bumi berwarna kuning/hijau.
 

Peralatan elektrik Kelas I memerlukan kerangkanya dibumikan dengan menggunakan wayar pengalir bumi berwarna hijau atau kuning/hijau di kebanyakan negara. Kegagalan pada peralatan berkenaan yang menyebabkan wayar hidup bersentuhan dengan kerangka peralatan akan menyebabkan arus elektrik mengalir melalui wayar bumi. Arus ini seterusnya akan menyebabkan sama ada alat perlindungan arus lampau (fius atau pemutus litar), ataupun pemutus litar bocor ke bumi (PLBB) atau peranti arus baki (PAB) untuk memutuskan bekalan elektrik kepada peralatan berkenaan.

Kelas II sunting

 

Peralatan elektrik Kelas II atau penebatan berganda adalah peralatan elektrik yang direka sebegitu rupa agar ia tidak memerlukan sambungan bumi.

Keperluan asas kepada kelas ini ialah dengan memastikan tiada kegagalan pada peralatan yang boleh menyebabkan pendedahan kepada voltan berbahaya yang membawa kepada renjatan elektrik serta perlindungan terhadap risiko sedemikian dapat dicapai tanpa memerlukan perumah logam yang dibumikan. Perlindungan tersebut dicapai sekurang-kurangnya melalui penggunaan dua lapisan penebat yang mengelilingi bahagian hidup ataupun dengan menggunaan penebatan yang diperkukuhkan.

Di Eropah, peralatan dengan penebatan berganda mestilah dilabelkan sebagai "Kelas II", "penebatan berganda" atau mempamerkan simbol penebatan berkembar (satu segiempat sama di dalam segiempat sama yang lebih besar).

Kelas III sunting

 

Peralatan Kelas III direka bagi menggunakan bekalan elektrik daripada sumber voltan sangat rendah seperti bateri ataupun penyuai AC. Voltan daripada sumber tersebut adalah cukup rendah sehinggakan dalam keadaan biasa pengguna yang tersentuh bahagian yang hidup tidak akan mengalami risiko renjatan elektrik. Oleh itu, ciri-ciri keselamatan tambahan seperti pada peralatan Kelas I dan Kelas II tidak diperlukan.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  • Palam Kuasa 3 Pin, Palam Kuasa 2 Pin - oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia.
  • IEC 61140: Perlindungan daripada renjatan elektrik — Aspek lazim bagi pemasangan dan peralatan. Suruhanjaya Electroteknikal Antarabangsa. 2001. (dahulunya: IEC 536-2: Klasifikasi peralatan elektrik dan elektronik berkenaan dengan perlindungan daripada renjatan elektrik, 1992)
  • BS 2754 : 1976 (1999): Memorandum. Pembinaan peralatan elektrik bagi perlindungan daripada renjatan elektrik.