Perkataan keling berasal daripada bahasa Sanskrit "Kalingga" yang merujuk kepada sebuah daerah di India Tenggara.[1] Pada masa ini, perkataan ini kebiasaannya merujuk kepada suku bangsa Dravida termasuk kaum Tamil, Telugu dan Malayalam. Di kawasan yang dulunya Kalinga, penduduknya pada hari ini bertutur dalam Bahasa Telugu dan Bahasa Oriya.

Keling juga merupakan nama hero ketua Panggau-Gelong, yang mengetuai perpindahan ke Nanga Skapai, di Sungai Skapat.[2]

Makna asal Sunting

Dari segi sejarah, perkataan keling merujuk kepada Benua Keling,[3] (kini India), sebagaimana yang disebut dalam Peta Google dan Hikayat Hang Tuah mengenai pelayaran ke benua Keling, kampung Keling dan sebagainya. Selain itu, perkataan keling menjadi lumrah di keseluruhan Tanah Melayu pada masa itu tetapi kini ia disalah tafsir. Penggunaan perkataan ini dapat dilihat melalui Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang, Tanjung Keling, Melaka, dan kuih telinga keling di Johor. Kemungkinan lain ialah ia merujuk kepada Kerajaan Kalinga juga merupakan sebuah kerajaan besar Filipina.[4]

Selain itu, beberapa Dinasti Kalinga turut menghantar angkatan besar yang terdiri daripada beberapa kapal dan rakyatnya dan belayar ke banyak tempat di Asia Tenggara termasuk Sri Lanka (Ceylon). Mereka ini kemudiannya mengasaskan keluarga Diraja Sinhala (merujuk kepada Ceylon) dan dinasti Kalinga di Jawa. Kapal-kapal ini belayar dari Kalinga dan terus ke Nicobar atau ke Ta Kuapa di selatan Thailand atau mereka belayar ke selatan dan sampai ke kerajaan Sumatera Utara seperti Akshaya, atau Kadaram di Malaysia.

Pelabuhan Kalinga ini mengendalikan laluan perkapalan yang banyak dengan jumlah perdagangan dan kuasa ekonomi yang besar. Disebabkan kebanyakan kapal datang dari Kalinga, dan pengembara, walaupun datang dari segenap penjuru India tiba menggunakan kapal kepunyaan Kalinga, istilah Keling digunakan bagi merujuk kepada kesemua mereka. Disebabkan lumrahnya penggunaan perkataan keling, keturunan dari India lain seperti suku Indo-Aryan seperti di utara India, Pakistan, Bangladesh juga dikenali sebagai bangsa keling dari Benua Keling (kini dikenali sebagai negara India).

Orang Cina pula mengenali mereka sebagai 'Kleynga' dan orang Tamil sebagai Chu-lien. Chu-lien diambil daripada Cholzia - penduduk tempatan Cholza Desa. Kini, perkataan itu dikenali sebagi Chulia dan digunakan bagi merujuk kepada Tamil Muslim.[5]

Penduduk India ini menetap di banyak tempat dan di mana mereka duduk, tempat itu dikenali sebagai Pekan Keling, Kampong Keling, dan Tanjung Keling.

Semasa Kesultanan Melaka, pedagang Tamil tinggal dengan senang-lenang. Pengembara Portugis seperti Castanheda banyak menulis tentang zaman keagungan Melaka dari 1528 hingga 1538, menyebut mengenai kekayaan mereka dan memanggil mereka sebagai Chiitis, daripada perkataan Tamil, Chetti atau Keling (Quelins).[6] Mereka menulis bahawa bahagian bandar Melaka di mana golongan Chiities tinggal adalah lebih besar, baik, cantik dan kaya berbanding bahagian lain di Melaka, yang kini dikenali sebagai 'Tanjong Keling'.

Castanheda:

"Di bahagian utara bandar, tinggal saudagar yang dikenali sebagai Quelins; Di bahagian ini, bandarnya lebih besar berbanding bahagian lain. Terdapat ramai saudagar asing di Melaka, yang seperti saya katakan dahulu, tinggal sesama mereka. Mereka ialah moors (Arab) dan pagan. Kaum pagan kebanyakannya datang dari Paleacate; mereka menetap di sini. Mereka amat kaya. Mereka ialah pedagang terkaya di dunia pada tempoh ini"...... [7][8]

Penggunaan Sunting

Perkataan keling selalunya digunakan untuk merujuk masyarakat India tetapi ada pihak yang mendakwa bahawa istilah ini dianggap menunjukkan rasa tidak hormat kepada masyarakat India di Malaysia. Ada mereka yang menyamakan istilah ini seperti nigger untuk masyarakat Amerika Afrika.[perlu rujukan]

Peribahasa seperti "kalau jumpa ular dengan keling, pukul keling dahulu" menunjukkan keling tidak boleh dipercayai, dan ular itu melambangkan pembelit atau penipu.[perlu rujukan] Selain itu, istilah keling juga digunakan dalam simpulan bahasa seperti cakap macam keling yang bemaksud seorang yang tidak berterus terang, jujur atau suka memutar belit apabila bercakap.

Dalam masyarakat Cina, perkataan keling-a (Hokkien; 吉寧仔; POJ: kiet-lêng-á), keling kwai (Kantonis; 吉寧鬼; Yale: git-lìhng-gwái), dan keling-kia (Teochew) selalu digunakan di Malaysia dan Singapura. Perkataan-perkataan ini boleh digunakan dalam niat baik atau tidak. Dalam dialek Hokkien dan Teochew tambahan -a dan -kia bermaksud "anak" dan dalam dialek Kantonis, istilah kwai bermaksud "hantu"

Dianggap menghina Sunting

Perubahan perkataan keling daripada istilah umum bagi kaum India bertukar menjadi satu istilah yang dianggap menghina bermula semenjak 1963. Hal ini terbukti dengan perubahan istilah orang Keling kepada orang India dalam buku Cherita Jenaka yang diterbitkan 1960 dengan Cherita Jenaka yang diterbitkan pada 1963.[9] Kemungkinan yang lain adalah dari segi sejarah, kebanyakan pendatang dari India yang awal bekerja di ladang dan dikenali sebagai keling. Oleh itu apabila mereka mencapai tahap ekonomi yang lebih tinggi, mereka mahu menjauhkan diri daripada gelaran yang mempunyai stigma kelas bawahan.[perlu rujukan]

Usaha utama menghalang penggunaan "keling" dalam bahasa Melayu diketuai oleh Angkatan Pelopor India Muslim (APIM).[1] Diarkibkan 2007-09-28 di Wayback Machine

Walau apa pun punca asalnya, perkataan keling kini tidak digemari oleh kaum India di Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Di Indonesia dan Malaysia, istilah atau perkataan "keling" sering dianggap sepatah kata makian dan sepatutnya digunakan dengan hati-hati.

Kontroversi ini bertambah apabila Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyenaraikan perkataan asal "keling" dan ditambah dengan beberapa perkataan penambah seperti keling kapal karam dan keling mabuk todi.

Keling dalam Kamus Dewan Sunting

Pada 22 Disember 2005, Pengerusi Angkatan Pelopor India Muslim Selangor dan Wilayah Persekutuan (APIM), Ramli@Mohd Othman Ravinthranath Abdullah menyaman DBP, Ketua Pengarah DBP, Menteri Pendidikan, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, syarikat pencetak Harian (Zulfadzli) Sdn Bhd dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. Ramli memohon supaya istilah itu dipadamkan daripada Kamus Dewan Edisi Ketiga kerana menghina kaum India Malaysia. Tetapi Timbalan Ketua Pengarah DBP, Abu Bakar Mohamad berhujah bahawa APIM tidak mempunyai 'locus standi' (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan saman tersebut bagi pihak kaum India Muslim.

Pada 29 Disember 2006, Penolong Pendaftar Kanan (SAR) Mahkamah Tinggi, Nik Isfahanie Tasnim Wan Abdul Rahman membenarkan permohonan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menafikan dakwaan APIM bahawa 'Keling' menghina kaum India Malaysia. Pada 14 Mei 2009, Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memutuskan istilah 'keling' dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga dibenarkan kerana ia untuk tujuan pembelajaran. Tiada 'mala fide' (niat jahat) kepada mana-mana pihak dan DBP hanya melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan.[10]

Perkataan Keling juga dianggap mempunyai konotasi negatif di Indonesia.[11]

Rujukan Sunting

Nota kaki Sunting

  1. ^ Handbuch Der Orientalisgtik. By Jan Gonda, Hartmut Scharfe, Johannes Bronkhorst, Bertold Spuler, Hartwig Altenmüller
  2. ^ [http://books.google.com.my/books?id=10u3AAAAIAAJ&q=keling&dq=keling&lr= The Sarawak Museum journal By Sarawak Museum]
  3. ^ Leaves of the same tree By Leonard Y. Andaya
  4. ^ Kerajaan Kalinga (Inggeris)
  5. ^ India's diplomatic relations with the East By Bhasker Anand Saletore
  6. ^ Portuguese Vocables in Asiatic Languages By Sebastião Rodolfo Dalgado, Anthony X. Soares
  7. ^ Foreign notices of South India By Kallidaikurichi Aiyah Nilakanta Sastri
  8. ^ KELING BY DR.S.JAYABARATHI
  9. ^ malay concordance project - Cherita Jenaka, edisi baru, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1963.
  10. ^ 'Keling' kekal dalam Kamus Dewan
  11. ^ "Dari Kampung Keling ke Kampung Madras, KOMPAS, Jumat, 18 Juli 2008". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-04-09. Dicapai pada 2009-06-22.

Pautan luar Sunting