Buka menu utama

Kemahkotaan Sultan Ibrahim Ismail

Jata Kemahkotaan Sultan Ibrahim

Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor adalah suatu istiadat diraja Johor yang memahkotakan Sultan Ibrahim selaku Sultan Johor ke-5 dengan mahkota kerajaan negeri. Istiadat ini diadakan pada 23 Mac 2015 di Istana Besar Johor, Johor Bahru.

Istiadat Kemahkotaan ini diadakan bukan dengan kuasa dan kehendak undang-undang bahkan ia merupakan warisan tradisi Diraja Johor mengikut fasal 4, bahagian ke-5 Lembaga Aturan bagi Perintah Majlis Raja, Majlis Istana dan Agama 1922 memperuntukan kemahkotaan boleh diadakan pada sebarang masa mengikut budi bicara dan kehendak Sultan Johor.

Kali terakhir Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor ialah kemahkotaan DYMM Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan Sultanah Ungku Tun Aminah pada 10 Februari 1960.

Istiadat yang diperkenalkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar ini memaparkan kesinambungan tiga unsur budaya yang mempengaruhi Kesultanan Johor Moden iaitu Melayu, Islam dan Barat.[1]

Istiadat ini diadakan secara eksklusif dengan kehadiran Raja-raja Melayu Malaysia dan Brunei, Perdana Menteri Malaysia, Menteri Luar Negeri Singapura, kerabat terdekat Sultan Johor dan dif-dif kenamaan. Walau bagaimanapun, rakyat kebanyakan negeri dapat menyaksikan perjalanan Istiadat Kemahkotaan itu secara langsung melalui televisyen.[2]

Istiadat-istiadatSunting

Bagi mengiringi keberlangsungan Istiadat Kemahkotaan untuk menzahirkan kemeriahan tradisi diraja johor, terdapat istiadat-istiadat lain yang turut dijalankan sebelum dan selepas Istiadat Kemahkotaan tersebut.[3]

Istiadat Meletak KerjaSunting

Istiadat Meletak Kerja atau turut dikenali sebagai Istiadat Mula Kerja merupakan istiadat yang diperkenalkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar dengan mencipta satu bendera khusus pada 1871. Istiadat ini adalah untuk mengisytiharkan permulaan kerja-kerja rasmi sebelum berlangsungnya istiadat yang sebenar.[4]

Istiadat Meletak Kerja sempena Istiadat Kemahkotaan ini diadakan pada 16 Mac 2015, bersamaan 25 Jamadilawal 1436H di Tugu Peringatan Istana Besar Johor Bahru. Upacara ringkas ini dimulakan dengan pengumuman oleh Dato’ Penghulu Istiadat Menyeru Memulakan Majlis, diikuti dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri, tujuh das letupan meriam dan Bendera Istiadat Kerajaan dinaikkan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Bendera ini akan terus berkibar sehingga tamatnya tempoh Istiadat Kemahkotaan iaitu 20 April nanti.[4]

Majlis Tahlil dan Doa KesyukuranSunting

Pada hari Jumaat sebelum berlangsungnya Istiadat Kemahkotaan, 20 Mac 2015 bersamaan 29 Jamadilawal 1436H, YAM DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan kerabat diraja yang terdekat telah berangkat hadir ke Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru bagi melangsungkan majlis bacaan Surah Yaasin, tahlil dan doa selamat sempena hari istimewa itu.

Majlis bacaan dan doa akan diketuai oleh Mufti Negeri Johor.

Istiadat Siram TabalSunting

Pada hari Sabtu, 21 Mac 2015 bersamaan 30 Jamadilawal 1436H, DYMM Sultan Ibrahim bersama DYMM Raja Zarith Sofiah telah melangsungkan Istiadat Siram Tabal, suatu istiadat yang diwarisi sejak Kesultanan Melayu Melaka dan dilakukan oleh kebanyakan Raja-raja Melayu. Istiadat ini diadakan sebagai simbolik pembersihan diri dan menjauhkan bala bencana.

Sebuah "Panca Persada" iaitu sejenis pentas diraja yang dijadikan tempat mandi telah didirikan di Perkarangan Bukit Bintang, Istana Besar, Johor Bahru untuk istiadat tersebut. Istiadat bersiram ini juga menggunakan air daripada hulu sungai di setiap 10 daerah di negeri Johor sebagai lambang kekuasaan baginda ke atas seluruh negeri dan jajahan takluk baginda. Air itu nanti akan dicampur bersama air tahlil dan doa serta air zam-zam.[4]

Istiadat ini khusus kepada kerabat terdekat dan jemputan diraja sahaja.

Tunku Kamariah Binti Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Puteri Johor dan Tengku Puan Panglima Selangor yang juga kakanda sulung Sultan Ibrahim yang telah menyempurnakan istiadat ini.[5] Istiadat ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Negeri dan Istiadat Tepung Tawar oleh ibunda Sultan Ibrahim iaitu Enche’ Besar Hajah Khalsom binti Abdullah.

Istiadat KemahkotaanSunting

Istiadat Kemahkotaan ialah kemuncak bagi perayaan gilang-gemilang negeri Johor ini. Istiadat ini diadakan di Bilik Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru.

Istiadat dimulakan dengan kehadiran dif-dif kehormat dan kenamaan, keberangkatan tiba tetamu kehormat mengikut turutan:

  1. Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor dan isteri,
  2. Menteri Besar Johor, Dato' Seri Mohamed Khaled dan isteri
  3. Tunku Besar Zabedah Binti Almarhum Sultan Iskandar
  4. Tunku Kamariah Binti Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Puteri Johor dan
    Tengku Sulaiman Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Tengku Panglima DiRaja Selangor,
  5. Tunku Abu Bakar Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
  6. Tunku Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.
  7. Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor.
  8. Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim.
  9. Tunku Abdul Majid Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Bendahara Johor dan isteri, Tunku Teh Mazni.
  10. Enche’ Besar Hajah Khalsom Binti Abdullah.
  11. Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.
  12. Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan Che’ Puan Khaleeda.
  13. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib dan isteri.
  14. Yang di-Pertua2 Negeri dan Toh Puan – Toh Puan.
  15. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Raja-Raja Permaisuri.
  16. Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri.

Selepas semua jemputan kenamaan dan tetamu diraja berangkat tiba, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pula berangkat dan membuat Pemeriksaan Barisan Kehormatan Askar Timbalan Setia Negeri Johor dengan iringan Lagu Bangsa Johor. Kemudian, baginda berdua kemudiannya berangkat ke Bilik Persemayaman buat sementara.

Tatkala itu, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja berangkat masuk ke Bilik Singgahsana dengan diiringi oleh Tuan-Tuan Yang Dipertua, Perdana Menteri dan pasangan masing-masing. Selepas semua jemputan dan tetamu diraja mengambil tempat yang disediakan, DYMM Tuanku Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pula berangkat masuk ke Bilik Singgahsana. Lagu Bangsa Johor dimainkan sebelum Istiadat dimulakan.

Istiadat Kemahkotaan pun bermula. Menteri Besar Johor memulakan istiadat dengan membaca pemasyhuran kemahkotaan buat makluman hadirin. IStiadat bersambung dengan lafaz ikrar Sultan Ibrahim untuk memerintah Johor dengan adil dan saksama.

Kemudian, Dato' Mufti membawa masuk Mahkota Kerajaan dan Mahkota. Sebelum Istiadat Meletakkan Mahkota, Timbalan Mufti membacakan potongan ayat al-Quran yang bermaksud:

"Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Selepas itu, Mufti Negeri Johor memakaikan Mahkota Kerajaan di hulu Sultan Ibrahim dan juga Mahkota Permaisuri di hulu Raja Zarith Sofiah disambut dengan 21 das Bedilan Selamat. Dengan pemakaian mahkota kepada Raja Zarith Sofiah, adalah dengan rasmi dimasyhur baginda dengan gelaran "Permaisuri Johor", gelaran pertama digunakan buat suri Sultan Johor dalam sejarah Kesultanan Johor.

Sebaik sahaja Istiadat Kemahkotaan, Timbalan Mufti Negeri Johor membacakan doa dengan disambut Lagu Bangsa Johor. Majlis Mengadap Takzim pula diadakan oleh Tunku Mahkota Johor dan isteri, Paduka-paduka anakanda baginda dan Menteri Besar Johor bersama isteri. Setelah tamat, DYMM Sultan dan Permaisuri Johor berangkat pula ke Anjung Istana untuk menyaksikan Lintas Hormat Udara. Istiadat diakhiri dengan pasangan diraja ini berangkat ke Perarakan DiRaja menemui rakyat jelata bermula dari Istana Besar mengelilingi kawasan utama Bandaraya Johor hingga kembali baginda berdua ke Istana Bukit Serene. Pada masa yang sama juga, keberangkatan balik semua tetamu diraja dan jemputan khusus sebelum majlis bersurai.

Majlis Santapan DirajaSunting

Majlis Santapan Diraja diadakan pada malam hari Istiadat Kemahkotaan untuk DYMM Sultan dan Permaisuri Johor meraikan hari istimewa baginda bersama tetamu diraja dan kerabat baginda. Santapan ini juga bagi memberi peluang kepada baginda untuk meluaskan diplomasi antara kerajaan baginda dan negeri-negeri sekitar.

Tetamu diraja yang hadir semasa Istiadat Kemahkotan dijemput hadir sekali lagi ke Majlis Santapan Diraja ini dengan diserikan juga kehadiran Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Al-Haj dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Majlis Santapan ini diadakan di Istana Besar Johor.

Istiadat Kurniaan Darjah dan PingatSunting

Seminggu selepas Istiadat Kemahkotaan, iaitu Isnin, 30 Mac 2015 DYMM Sultan Ibrahim berkenan pula untuk mengurniakan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Johor kepada penerima yang dirasakan baginda berhak untuk menerimanya. Majlis ini turut diadakan di Istana Besar.

Majlis Santapan NegeriSunting

Majlis Santapan Negeri adalah Majlis Santapan rasmi sempena Istiadat Kemahkotaan di peringkat negeri. Berbeza dengan Majlis Santapan Diraja, Majlis Santapan Negeri menerima tetamu dari kalangan pembesar negeri, penerima-penerima darjah kebesaran negeri dan tokoh-tokoh yang menaikkan negeri Johor.

Majlis Santapan Negeri ini diadakan di PERSADA Johor Bahru pada 31 Mac 2015.

Pengurniaan Gelaran PermaisuriSunting

Pada Januari 2015, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan satu gelaran baru kepada suri baginda, Raja Zarith Sofiah ibni Almarhum Sultan Idris Shah sebagai "Permaisuri Johor" yang pertama kali digunakan dalam negeri ini.

Ketika baginda Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada Januari 2010, orang ramai kebanyakannya menggelarkan suri baginda, Raja Zarith Sofiah dengan gelaran Sultanah. Walau bagaimanapun, perkara ini ditegur oleh pihak istana kerana gelaran Sultanah itu adalah hak Sultan Johor dan perlu dikurnia oleh Sultan melalui suatu majlis istiadat sebelum memakainya. Gelaran rasmi untuk baginda ialah Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan dibahasakan Tuanku dalam semua ucapan dan persuratan. [6]

Mengikut sejarah, gelaran bagi suri Sultan Johor yang pernah dikurniakan adalah Tunku Ampuan dan Sultanah. Bagi memudahkan perbezaan bagi kedua-dua gelaran tersebut, Menteri Besar Johor, Dato' Abdullah bin Jaafar melalui Percanangan Dalam Bilangan 4 bertarikh 24 Julai 1924 telah menyatakan:

"isteri yang khas bagi Sultan dari pihak gahara yakni isterinya itu dari taraf anak Raja digelarkan dia Tunku Ampuan. Jika lain dari itu digelarkan Sultanah."[7]

Mengikut ketetapan tersebut, gelaran bagi suri Sultan Johor yang berdarah gahara iaitu mempunyai darah raja dari kalangan Kesultanan Johor Moden (lazimnya mempunyai nama awalan "Ungku") adalah layak diberikan gelaran Tunku Ampuan Johor seperti yang digunakan oleh Tunku Ampuan Mariam binti Almarhum Ungku Abdul Majid, suri Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar. Tunku Ampuan Mariam dimahkotakan dan digelar Tunku Ampuan pada 2 November 1895.[8]

Gelaran Sultanah pula diberikan oleh Sultan Johor kepada suri baginda yang dari berdarah keturunan rakyat biasa atau orang kebanyakan seperti Sultanah Fatimah, Sultanah pertama Johor dan Sultanah Hajah Zanariah, Sultanah Johor yang terakhir sebelum Sultan Ibrahim Ismail naik takhta.

Disebabkan Raja Zarith Sofiah adalah berdarah gahara dari Kesultanan Perak, iaitu di luar dari susur galur darah keturunan Kesultanan Johor, dan juga puteri langsung dari Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Shah dan bukannya puteri kerabat yang jauh, taraf baginda sudahpun tinggi dari kalangan yang lain. Disebabkan itu, baginda berkenan untuk memperkenalkan gelaran Permaisuri Johor buat Raja Zarith Sofiah bagi menunjukkan perbezaan status asal baginda.

Gelaran Permaisuri Johor mula digunapakai secara rasmi bermula ketika Istiadat Kemahkotaan ini.

Istimewa Sempena IstiadatSunting

Bersempena dengan Hari Istiadat Kemahkotaan tersebut, Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan 23 Mac 2015 sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Johor bagi merai dan memeriahkan sambutan hari istimewa tersebut. Kerajaan negeri juga menyeru syarikat swasta untuk turut membenarkan pekerja untuk bercuti dalam semangat ingin menyambut hari kebesaran negeri itu.

 
Jata Kemahkotaan Sultan Ibrahim

Jata khusus Istiadat juga dikeluarkan oleh Jumuah Majlis Diraja Johor. Dua jata tersebut, yang satu daripadanya memaparkan gambar Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah bersama bendera peribadi Sultan dan Sultanah Johor manakala satu jata lagi hanya memaparkan logo peribadi Sultan Ibrahim bersama bendera peribadi Sultan dan bendera negeri Johor. Kedua-duanya mempunyai ketopong atau mahkota di atas manakala di bawahnya terdapat cogan kata "توكل كڤد الله" (Tawakal Kepada Allah) yang mempunyai sinonim kepada cogan kata jata negeri iaitu "Kepada Allah Berserah".

Pos Malaysia turut mengeluarkan Sampul Hari Pertama dan setem pos yang direka khas sempena Istiadat Kemahkotaan ini, dalam denominasi 60 sen, 80 sen dan RM1. Bank Negara Malaysia turut membuat dan menjual medalion emas sempena Istiadat ini.

Sultan Ibrahim turut menitahkan agar penggunaan tulisan Jawi diperluaskan dalam hebahan dan iklan-iklan berkenaan Istiadat Kemahkotaan ini. Tujuan baginda adalah untuk menyemarakkan kembali penggunaan tulisan jawi di kalangan orang awam di Johor.

Istana Besar Johor Johor juga dititah Sultan untuk dinaiktaraf serta diperbaharui warna dindingnya kembali kepada warna asal iaitu berwarna kuning telur, berbeza dengan warna ketika pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar iaitu biru dan putih. Hiasan dalamannya juga dinaiktaraf sesuai untuk meraikan tetamu ketika Istiadat Kemahkotaan nanti.

Laman web khas diwujudkan bagi memaparkan maklumat terkini, sejarah, jadual istiadat, peraturan dan kalendar keraian untuk rujukan orang ramai. Maklumat tersebut juga dapat dimuat turun sebagai aplikasi telefon pintar melalui "Appstore" dan "Google Play".

RujukanSunting

  1. ^ "mStar Online: Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Tampilkan Tiga Elemen Budaya" (berita dalam talian) (dalam bahasa Melayu). mStar Online. 2 Mac 2015. Dicapai 17 Mac 2015. 
  2. ^ "Sinar Harian: Istiadat pemahkotaan Sultan Johor pada 23 Mac" (berita dalam talian) (dalam bahasa Melayu). mStar Online. 6 Januari 2015. Dicapai 17 Mac 2015. 
  3. ^ Laman Web Rasmi Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor
  4. ^ a b c http://www.hmetro.com.my/node/35852
  5. ^ "The Star: Sultan attends full-dress rehearsal" (berita dalam talian) (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. 18 Mac 2015. Dicapai 20 Mac 2015. 
  6. ^ "Berita Harian: Gelaran Diraja balu 2 sultan ditarik balik" (berita dalam talian). Berita Harian (dalam bahasa Melayu). Berita Harian Online. 18 Februari 2011. Dicapai 17 Mac 2015. 
  7. ^ Datuk Abdul Rahim Ramli. "Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012" (dalam bahasa Melayu). Johor Bahru, Johor: Penerbit UTM. ISBN 978-983-52-0916-1. 
  8. ^ Blog Johor Dihatiku-Che Yed: Tunku Ampuan Johor