Kepupusan bahasa

(Dilencongkan dari Kematian bahasa)

bidang linguistik, kepupusan bahasa atau kematian bahasa ialah proses kemerosotan kefasihan sesebuah bahasa atau loghat di kalangan para penuturnya. Sesebuah bahasa pupus sepenuhnya apabila tiada lagi penuturnya yang masih wujud dalam sesebuah masyarakat yang pernah menggunakan bahasa tersebut (iaitu lenyapnya semua penutur asli). Mana-mana bahasa atau loghat boleh menghadapi kepupusan.

Kajian kemerosotan bahasa di peringkat individu tertumpu pada mengetengahkan kehilangan bahasa pertama (L1) atau bahasa kedua (L2) seseorang penutur dalam persekitaran L1 atau L2.

Jenis kepupusan bahasa sunting

Proses kepupusan bahasa yang paling ketara adalah sesebuah masyarakat penutur satu bahasa menguasai satu lagi bahasa, lama-kelamaan mereka tunduk kepada bahasa kedua itu sehingga mengabaikan bahasa asal (atau warisan) mereka. Inilah salah satu proses asimilasi yang boleh dipilih oleh para penutur sendiri atau diterima mereka atas paksaan anasir-anasir luaran. Para penutur sesebuah bahasa, terutamanya bahasa daerah atau minoriti, boleh mengetepikan bahasa ibunda mereka untuk menguasai bahasa yang dianggap lebih berguna atau tinggi tarafnya atas sebab-sebab ekonomi atau manfaat diri. Bahasa juga boleh menjadi pupus akibat genosid, wabak, atau mana-mana bencana alam yang melenyapkan seluruh masyarakat penuturnya.

Sesebuah bahasa sering diisytiharkan pupus sekalipun seorang penutur asli terakhir masih hidup. Jika cuma tinggal sebilangan kecil orang penutur sesebuah bahasa yang sudah berusia, dan tidak lagi menggunakan bahasa itu untuk berhubung sesama sendiri, maka bahasa tersebut dianggap pupus begitu sahaja. Bahasa yang menjunam ke tahap sebegitu rendah ini adalah nazak.[1] Proses kemerosotan bahasa berlaku apabila terhentinya pewarisan "bahasa warisan", bahasa ibunda atau bahasa asli turun-temurun.

Selalunya, proses kepupusan bahasa perlahan sekali, iaitu generasi demi generasi semakin kurang mempelajari bahasa berkenaan, sehingga penggunaan bahasa itu diketepikan dan diletakkan lingkungan kegunaan tradisional, seperti pantun dan lagu. Contohnya, orang-orang tua dalam sesebuah keluarga bertutur dalam bahasa asli mereka, tetapi tidak menurunkan bahasa berkenaan kepada anak-anak mereka, maka berkuburnya bahasa tersebut dalam keluarga ini. Contoh bahasa yang mengalami nasib sedemikian ialah bahasa Dalmatia.

Atrisi bahasa sunting

Atrisi bahasa ialah keciciran sesebuah bahasa atau sebahagian bahasa oleh sesebuah masyarakat mahupun individu. Atrisi bahasa mengambil kira empat perihal penting, iaitu keciciran bahasa pertama (L1) atau bahasa kedua (L2), dan tempat berlakunya keciciran dalam persekitaran L1 atau L2.[2]

Faktor sosiolinguistik sunting

Faktor sosiolinguistik memainkan peranan dalam kepupusan bahasa jika sesebuah gagasan masyarakat tidak menggalakkan kepelbagaian bahasa. Seperti mana norma kebudayaan dan dasar kerajaan boleh memulihkan ataupun memupuk penggunaan bahasa terancam atau minoriti, sekatan boleh mengakibatkan pengecutan dan akhir sekali kepupusan. Kepupusan bahasa boleh dipercepatkan oleh pertimbangan praktik seperti kegunaan ekonomi bahasa yang berkuasa berbanding bahasa lain.

Pemulihan bahasa sunting

Sesekali sesebuah bahasa yang pupus boleh dipulihkan, seperti bahasa Ibrani di Israel. Bagaimanapun, jarang sekali adanya rancangan pemulihan bahasa sedemikian, apalagi bahasa Ibrani itu satu-satunya bahasa yang berjaya dipulihkan menjadi bahasa kebangsaan yang ramai penutur yang menjadikannya bahasa pertama, meskipun pernah lenyap dalam kegunaan seharian sejak sekian lama, kecuali berperanan sebagai bahasa suci.

Dalam kejayaan membangkitkan semula bahasa Ibrani, wujudnya teori bahawa "para pemulih bahasa Ibrani yang berhajat untuk bertutur dalam bahasa Ibrani sejati gagal berbuat demikian. Hasilnya ialah bahasa Israel yang mempesonakan dan berbagai-bagai yang bukan sahaja berbilang lapis, bahkan juga berbilang puncanya. Pemulihan bahasa yang mati klinikal tidak dapat dijayakan tanpa persenyawaan kacukan dari bahasa ibunda para pemulih."[3]

Contoh-contoh bahasa lain yang berjaya dipulihkan ialah bahasa Wales dan bahasa Hawaii.

Perubahan bahasa sunting

Ahli linguistik membezakan "kepupusan" bahasa dengan proses yang mana sesebuah bahasa menjadi "pupus" melalui perubahan bahasa yang biasa, iaitu fenomena linguistik yang seakan-akan kepupusan palsu. Ini terjadi apabila sesebuah bahasa yang sedang berkembang secara normal dan beransur-ansur berubah menjadi bahasa yang kedengaran asing sekali dari bentuk lamanya yang tiada penutur asli lagi. Justeru itu, bahasa Inggeris Kuno sebagai contoh boleh dianggap "pupus" kerana tiada penutur asli yang wujud lagi, namun sebenarnya tidak "mati", sebaliknya cuma berubah dan berkembang menjadi bahasa Inggeris Moden. Proses perubahan bahasa juga boleh melibatkan perpecahan sesebuah bahasa menjadi satu famili bahasa turunan, manakala bahasa leluhur sepunya pula "mati" begitu sahaja. Ini telah berlaku pada bahasa Latin, yang lama-kelamaan berkembang menjadi famili bahasa-bahasa Romawi. Proses sedemikian biasanya tidak disifatkan sebagai "kepupusan bahasa" kerana melibatkan pewarisan turun-temurun bahasa itu tanpa henti, dengan hanya sekadar perubahan kecil di setiap generasi. Maka tiadanya bila "pupusnya" bahasa Latin.

Rujukan sunting

  1. ^ Crystal, David (2000) Language Death. Cambridge, UK: Cambridge University Press.
  2. ^ Crystal, David (2000) Language Death. Cambridge, UK: Cambridge University Press.
  3. ^ Zuckermann, Ghil'ad, "Aboriginal languages deserve revival" Diarkibkan 2009-09-23 di Wayback Machine, The Australian Higher Education, August 26, 2009.

Pautan luar sunting