Silat Sendeng Malaysia: Perbezaan antara semakan

Kandungan dihapus Kandungan ditambah
Tiada ringkasan suntingan
 
Tiada ringkasan suntingan
Baris 1:
'''Seni Silat Sendeng Malaysia'''
 
Seni Silat Sendeng Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Seni Silat Sendeng Muar telah diasaskan oleh Allahyarham [[Haji Abd Hamid Hj Hamzah]] di Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau telah mewarisi pembelajaran Seni Silat Sendeng ini dari ninda-ninda beliau serta guru-gurunya yang lain yang terkenal dengan kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan serta kerohanian mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.
 
Perguruan ini merangkumi persilatan dari 3 aliran yang terkenal dizaman silam iaitu Kuntau Telok Mas, Pukulan Sendeng dan Pukulan Sendeng 7 Hari. Ketiga-tiga jenis aliran persilatan ini diajar secara berperingkat yang dinamakan Kuntau 3 bulan, Sendeng dan Sendneg 7 Hari. Setiap satu diperturunkan sama seperti aliran persilatan yang asal tanpa mengubah atau mencampur aduk permainan.
 
Bagi Kuntau 3 Bulan pelajarannya terdiri dari tari dan langkah silat melayu yang asli seperti lela sembah, lompat tiong , lebah mengurap, lipat pandan dll, permainan senjata seperti keris, tumbuk lada , tekpi ,pedang , pedang –perisai dan tembong. Juga terdapat belebat kuntau , pecah(kata) ,pernafasan lian dan pukul selain dari tangkapan dan kuncian. Dalam permainan Sendeng terdapat belebat, langkah dan pukul termasuk cara menyerang tangan kosong dan sparing. Permainan sendeng 7 hari lebih menumpukan kepada membaca gerak dan melapis pukul sendeng serta mengenali sasaran lemah pada lawan. Dalam peringkat ini cara bertahan atau menyerang tidak bergantung kepada lawan.
 
Dalam permainan Sendeng terdapat belebat, langkah dan pukul termasuk cara menyerang tangan kosong dan sparing. Permainan sendeng 7 hari lebih menumpukan kepada membaca gerak dan melapis pukul sendeng serta mengenali sasaran lemah pada lawan. Dalam peringkat ini cara bertahan atau menyerang tidak bergantung kepada lawan.
'''Salasilah dan Pengasas Seni Silat Sendeng
Long Mamat'''
Long Mamat ialah seorang pendekar keturunan Bugis yang berasal dari Pontian, Johor. Beliau bertanggungjawab mengembangkan ilmu Pukulan Sendeng di Muar pada penghujung kurun ke19 (1885-1910an). Long Mamat juga dikatakan pernah merantau ke Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan. Dipercayai beliau menggunakan nama dan gelaran yang berlainan pada tempat-tempat yang disinggahinya.
 
Dari mana asal Pukulan Sendeng yang dibawa oleh beliau tidak jelas tetapi terdapat 2 cerita bagaimana beliau mempelajari aliran persilatan ini;
 
# Long Mamat mempelajari pukulan sendeng dari empat orang saudaranya diatas kapal. Kisah ini disampaikan oleh cicit Long Mamat kepada Allahyahyarham Hj Ismail Hj Hamzah.
 
# Beliau mempelajarinya dari seorang bapa saudaranya di Parit Raja, Muar setelah ditewaskan sewaktu mencuba bapa saudaranya itu. Pada waktu itu beliau telah tamat berguru dengan 39 orang guru silat. Kisah ini diceritakan oleh seorang tua di Parit Bakar, Muar kepada Allahyarham Hj Ismail Hj Hamzah.
 
Menurut Bapak Aidinal Alrashid, seorang guru Pencak Silat Bugis-Makassar, Sendeng adalah sejenis aliran silat yang berasal dari Tanah Ugi atau tanah Bugis yang terletak di Sulawesi Selatan, Indonesia. Sendeng telah tersebar ke merata tempat di Indonesia dan juga Malaysia bersama-sama dengan penghijrahan orang-orang Bugis dan Makassar sejak ratusan tahun dahulu. Menurutnya lagi, Long Mamat mempunyai seorang anak yang dikenali sebagai Mat Koleng yang meneruskan usaha mengembangkan Pukulan Sendeng.
Pada awal abad ke 19 ( 1885-1910) Long Mamat yang pada ketika itu bermastautin di Padang, Muar, telah dijemput oleh penghulu mukim Serom, Muar, ketika itu iaitu Penghulu Hj Abdulah (ninda kepada YAB Menteri Besar Johor kini, Datuk Abdul Ghani Othman) untuk mengajar pukulan sendeng di Serom. Seramai 5 orang pendekar telah dipilih setelah diadakan satu pertandingan di Serom.
 
Kelima-lima orang itu ialah Hj Taman bin Dagang, Pak Unggal Khalil (adik Taman Dagang), Hj Mohd Arif Shamsu, Pak Habib dan Naib Nalang. Selain di Serom , Long Mamat juga mempunyai ramai murid terutama dikawasan Parit Bakar hingga ke Parit Raja, Muar. Salah seorang murid beliau yang dapat dikesan di Parit Samsu, Muar, ialah Haji Baba Bin Makruf (1901-1984). Anak cucu beliau di Pontian, Johor pula mengembangkan silat kuntau sendeng yang diterajui oleh cucunya iaitu Penghulu Zakaria Kasim.
 
 
'''Hj Hassan Hj Mahat(1838 - 1958)'''
 
Hj Hassan Hj Mahat ialah ninda kepada almarhum Hj Hamid Hamzah iaitu bapa kepada Hj Hamzah. Beliau diberi gelaran ‘pendekar’ oleh Almarhum Sultan Ibrahim (1895 – 1959) kerana kemasyuran dan ketokohannya dalam dunia persilatan.
 
Semasa remaja Hj Hassan Pendekar dan ayahnya berniaga ternakan ayam itik dari Kesang ke Singapura dan Kelang. Beliau adalah berketurunan Bugis dan berpindah ke Sungai Mati dari Kesang, Melaka, setelah Almarhum Sultan Muhamad Ali Iskandar Shah (1835-1855) menyerahkan Kesang kepada Almarhum Sultan Abu Bakar (1862-1895) pada tahun 1877.
 
Hj Hassan Pendekar yang bertubuh kecil mula mendalami ilmu persilatan dari bapanya Hj Mahat pada usia remaja. Kemudian beliau telah berguru pula dengan Hj Dollah Telok Mas yang terkenal kehandalannya di Telok Mas, Melaka. Hj Dollah juga masyhur dengan gelaran Hj Dollah Polong kerana kepantasan pukulannya. Silat yang dibawa oleh Hj Dollah sering dirujuk sebagai Kuntau Telok Mas kerana pada zaman itu nama silat diambil dari nama guru atau tempat asal guru yang membawanya. Dari Hj Dollah , Hj Hassan Pendekar juga telah mempelajari permainan senjata seperti keris, pedang, tumbuk lada, tekpi, pedang-perisai dan tembong. Beliau kemudiannya telah mengajar ilmu persilatan ini di Sungai Mati, Muar.
 
Semasa hayatnya Hj Hassan Pendekar sering menerima cabaran dari pendekar-pendekar yang lain dan termasuk juga ahli kuntau Cina dan India. Lantai serambi rumahnya dipenuhi kesan darah kering pendekar yang mencubanya. Beliau juga pernah dicuba oleh guru kuntau dan penjual ubat bangsa cina yang tahan digilis oleh lori beberapa minggu sebelum meninggal. Malah seminggu sebelum Hj Hassan Pendekar meninggal Allahyarham Hj Ismail dan Allahyarham Aziz Bai juga pernah menyerang beliau didalam gelap untuk menguji tetapi dapat ditewaskan oleh beliau.
 
Sebelum meninggal dunia Hj Hassan Pendekar telah mengijazahkan segala perkakas persilatan miliknya yang termasuk gendang, senjata dan buku catatan yang mengandungi petua dan mentera kepada Hj Abd Hamid dan adiknya Hj Ismail. Hj Hassan telah meninggal dunia pada 1958 pada usia sekitar 120 tahun. Anak beliau Hj Hamzah yang juga seorang pendekar telah meninggal pada 1942. Hj Hamzah tidak mengajar silat kerana menghormati guru dan bapanya Hj Hassan Pendekar.
 
Antara keistimewaan Hj Hassan Pendekar yang terkenal ialah bisa pukulan dan kepantasan kakinya. Sewaktu dicuba orang, 3 teknik yang sering digunakan ialah buang dalam dan luar serta petik. Beliau juga turut mengajar titik sasaran lemah pada badan(vital point). Sebagai seorang yang terkenal dengan ilmu pendekar dan masak dengan asam garam hidup, tabiat biasa beliau bila membuat pertunjukan atau bertanding samada didalam daerah atau diluar ialah naik ke pentas memperkenalkan diri dan mempelawa sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati dan berhajat untuk mencubanya. Jika tidak berani dengan beliau mereka boleh mencuba dengan cucu-cucunya yang ketika itu berusia 10- 12tahun. Menurut Allahyarham Hj Ismail, perwatakan Hj Hassan Pendekar sebenarnya ialah periang dan ceria serta tidak pandai berbohong walau pun akalnya panjang. Ramai juga pencabar yang terkena dengan tipu helahnya.
 
Antara pesanan beliau untuk anak cucunya ialah;
- raja jangan dilawan nanti kita dihalau, jangan dirapik(rapat) nanti kita dikuda
- masak-masak pecah empat
- tak semua kayu boleh dibuat batang tajak
 
'''Hj Taman bin Dagang'''
 
Taman Dagang terkenal dengan kebal dan gagah. Semasa hayatnya beliau telah berguru dengan ramai guru silat antaranya Long Mamat, Cikgu Kumudin dan Pendekar Putih. Sebelum berguru dengan ketiga-tiga guru ini beliau telah pun terkenal dengan kehandalannya. Bapa beliau, Tok Dagang ialah seorang pemburu gajah dan juga terkenal dengan kebal dan gagah. Taman Dagang pernah diuji oleh bapanya dengan direjam dengan lembing ketika tidur diserambi rumah setelah pulang dari merantau. Lembing itu dapat ditangkap dengan jari kakinya sahaja. Sewaktu berguru dengan Long Mamat beliau dikasihi oleh gurunya dan selalu dilatih secara rahsia selepas tengah malam apabila rakan –rakan yang lain telah tidur.
 
Taman Dagang juga sering berpasangan dengan Hj Hamzah dalam permainan pedang kerana kedua-duanya dikatakan tidak lut senjata. Selepas berguru dengan Long Mamat, Taman Dagang telah berguru pula dengan Cikgu Kumudin yang berasal dari Alai, Melaka. Cikgu Kumudin dijemput oleh Penghulu Hj Abdulah untuk mengajar di Serom. Pelajaran yang diajar ialah silat cekak iaitu permainan tangkap menangkap. Sebelum mengajar Cikgu Kumudin telah dicuba dahulu oleh Pak Ungal Khalil. Guru terakhir Taman Dagang ialah Pendekar Putih yang berasal dari Aceh. Pendekar Putih telah menjadi buruan raja Acheh dan melarikan diri ke Serom . Di Serom, Pendekar Putih telah memohon perlindungan Penghulu Hj Abdulah dan tinggal di rumah Taman Dagang. Beliau telah menurunkan pukulan dan lapis sendeng kepada Taman Dagang. Walau pun pukulan yang dibawa sama dengan Long Mamat tidak pula diketahui kaitan antara Pendekar Putih dan Long Mamat.
 
Raja Acheh kemudiannya telah menghantar 7 orang pendekar yang tahan dipahat biji mata untuk membawa Pendekar Putih pulang ke Acheh. Pendekar Putih dapat ditawan setelah lehernya dicekak dengan kayu berbentuk ‘Y’ dan dibawa ke Acheh. Kayu itu dan tekpi peninggalan Pendekar Putih masih ada dalam simpanan waris Taman Dagang. Apa yang terjadi kepada Pendekar Putih kemudian tidak diketahui walaupun beliau akhirnya mashyur di Jambi. Almarhum Hj Ismail pernah bertemu dengan anak murid Pendekar Putih bernama Hj Yusof Wilem di Festival Silat Nusantara di Johor Baharu sekitar tahun 1990an.
 
Antara keistimewaan Hj Taman Dagang selain dari kebal dan gagah ialah memiliki tendangan kaki yang pantas serta menewaskan serangan dari belakang dan didalam gelap.
 
'''Hj Mohd Arif Shamsu'''
 
Hj Mohd Arif bin Shamsu berasal daripada Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau merupakan rakan sepeguruan Hj Taman semasa mendalami Pukulan Sendeng dan Sendneg 7 Hari daripada Long Mamat. Beliau juga telah menghalusi permainan sendeng dari Hj Taman setelah tewas sewaktu mencubanya.
 
Hj Mohd Arif terkenal dengan kemahiranya di dalam permainan ‘Sendeng 7 Hari’. Pukulan Tujuh Hari ini dianggap ‘Ilmu Pukul’ atau ‘Ibu Pukul’ yang tertinggi di dalam pelajaran Seni Silat Sendeng. Ia berbeza dengan pukulan yang lain. Pukulanya lebih deras, pantas dan tangkas.
 
Beliau pernah merantau sehingga ke Patani dan Pulau Pinang untuk mencuba pukulan sendeng 7 harinya. Dikatakan ketika beliau mengajar di Pulau Pinang pada tahun 1939, Hj Hassan Pendekar telah ikut serta didalam rombongan beliau. Sebelum itu beliau telah mencuba Hj Hassan Pendekar. Walaupun pukulan tangan Hj Mohd Arif tidak dapat ditandingi oleh Hj Hassan Pendekar, kepantasan kaki Hj Hassan pula tidak dapat ditepis oleh Hj Mohd Arif.
 
Diantara murid beliau yang lain ialah Pak Teh Hassan. Pak Teh Hassan kemudiannya telah berguru pula dengan Hj Taman bin Dagang. Kemudiannya beliau telah menurunkan permainan Sendeng 7 Hari dan Melapis yang dipelajari dari Hj Mohd Arif dan Taman Dagang kepada Ibrahim Bin Kassim yang juga dikenali sebagai Ibrahim sidang. Ibrahim Kassim ini pula telah mengajar cucunya Abd Aziz Bin Abd Latif (Aziz Bai). Anak murid pertama khatam dengan Aziz Bai ini pula ialah almarhum Hj Ismail Hamzah dan yang terakhir ialah Cikgu Saifudin Ismail iaitu anak almarhum Hj Iamail. Almarhum Hj Ismail telah mengambil sendeng 7 hari dari Aziz sebelum berguru pula dengan kekandanya Hj Hamid dalam usia 22 tahun.
 
Hj Mohd Arif meninggal dunia pada penghujung tahun 1940an.
 
 
'''Hj Salleh Abd Karim'''
 
Hj Salleh Abd Karim lebih dikenali dengan gelaran kiyai dan Panglima Salleh , Batu Pahat. Beliau mengetuai orang-orang melayu menentang bintang tiga di Batu Pahat, Johor. Panglima Salleh telah dilahirkan pada tahun 1916 di Jorak , Muar. Semasa hayatnya telah berguru dengan ramai guru agama dan pendekar silat. Antara guru beliau yang diketahui ialah Kiyai Mustahir ,Pagoh dan Kiyai Arshad al Banjari. Dari kedua-dua guru ini beliau telah menuntut ilmu agama dan amalan perang yang berasaskan amalan Ayat 4.
 
Beliau mula memimpin orang melayu Batu Pahat pada usia 29 tahun iaitu sekitar tahun 1945. Serangan pertama keatas kubu pengganas komunis di Bukit Simpor dibuat selepas subuh19 April 1945 yang disertai oleh 38 orang penduduk kampung. Itulah pertama kali penduduk kampung menyaksikan kehebatan panglima Salleh dalam pertempuran. Pada tahun 1949, Panglima Salleh bersama-sama dengan Hj Abd Hamid telah mengetuai dua pasukan penduduk kampung untuk memburu Mat Indera.
 
Panglima Salleh juga diketahui amat benci kepada amalan-amalan khurafat seperti bertapa di gunung –ganang dsb. Panglima Salleh telah meninggal dunia pada 21April 1959 di hospital besar Johor Bahru kerana penyakit bengkak paru-paru.
 
'''Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah'''
Haji Abdul Hamid telah dilahirkan pada tahun 1927 di Sungai Mati sebuah pekan kecil yang terletak lebih kurang 10 km daripada Bandar Maharani, Muar, Johor. Beliau mula mengembangkan ilmu persilatan sendeng ini secara individu di peringkat awalnya sekitar tahun 1950-an dan kemudian menamakannya sebagai 'Silat Sendeng Muar' seterusnya berkembang serta diterima ramai di Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
Haji Abdul Hamid telah mula berjinak-jinak dengan ilmu kependekaran pada tahun 1932, semasa berusia 5 tahun, dibawah asuhan dan bimbingan nindanya Haji Hassan Pendekar. Selama lebih kurang 10 tahun beliau telah mempelajari bukan sahaja sepak terajang silat malah seni dan tari silat serta cara menggunakan alat silat seperti pedang, keris, tumbuk lada, tek-pi, tembong, tongkat, tuas dan kerambit. Selain itu beliau juga turut mempelajari beberapa silat termasuk Silat Cekak, Belebat, Kuntau dan Silat Sembah.
 
7 tahun kemudiannya, lebih kurang pada tahun 1942, Haji Abdul Hamid berguru pula dengan nindanya Haji Mohd Arif bin Shamsu. Beliau mengajar Sendeng 7 hari kepada Hj Abdul Hamid bersama beberapa orang dewasa seperti PakNgah Hassan dll. Hj Abdul Hamid telah diuji dengan dipanggil naik ke rumah dan diserang dari belakang pintu. Serangan itu dapat dielak. Beliau mengakui Hj Abdul Hamid boleh menjadi guru.
Seterusnya, pada tahun 1944, Hj Abdul Hamid menuntut pula dengan nindanya Hj. Taman. Dari Hj Taman, Hj Hamid telah mempelajari Pukul dan Lapis Sendeng. Hj Taman sangat tegas dalam menurunkan ilmu. Setiap satu belebat yang diajar mengambil masa 6 bulan. Waktu itu Hj Taman mengajar Hj Abdul Hamid secara bersendirian.
 
Bagi memantapkan ilmu keagamaan dan kerohanian pula, lebih kurang pada tahun 1945, Haji Abdul Hamid telah berguru dengan Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim yang lebih dikenali dengan panggilan Kiai Salleh atau Panglima Salleh di Batu Pahat. Sebelum Panglima Salleh menerima Hj Abdul Hamid untuk menjadi murid, beliau telah diuji terlebih dahulu dengan disuruh mengerjakan kebun selama 6 bulan. Hanya selepas 6 bulan barulah beliau bertanya nama Hj Hamid dan dipanggil untuk diperturunkan ilmu-ilmu keagamaan dan kebatinan. Hj Hamid telah berguru dan tinggal bersama Panglima Salleh selama 3 tahun iaitu dari tahun 1946 hingga 1949.
 
Sebelum dikhatamkan , Hj Abdul Hamid telah diuji kefahaman tauhid oleh gurunya dengan disuruh beramal didalam gua disebuah Bukit di Parit Sulong untuk mendapat ilmu dari harimau jadian. Hj Hamid yang faham dengan tujuan gurunya itu menolak dengan baik dan menyatakan lebih baik beliau beramal dimasjid. Panglima Salleh yang gembira dengan jawaban itu terus menyatakan bahawa Hj Abdul Hamid telah layak untuk dikhatamkan. Menurut Allahyarham Hj Ismail, Hj Abdul Hamid telah dikhatamkan didalam kelambu oleh panglima Salleh untuk mengelak dari dilihat oleh murid-murid yang lain. Dari Panglima Salleh, Hj Abdul Hamid telah menerima amalan ayat empat yang terus dikembangkan kepada ahli-ahli PSSSM.
 
Selain daripada, guru-guru yang tersebut Allahyarham Hj Hamid juga dikatakan telah berguru kepada guru-guru berikut yang diketahui:
 
# Kiyai Mustahir, Pagoh
# Panglima Lias, Pagoh
# Hj Mohd Lip Bedu (Ilmu Tauhid)
# Hj Abd Ghani, Jalan Daud, Muar
# Dato Mohd Bakar (Kadi Besar, Johor)
# Ustaz Sulaiman Sujak
# Ustaz Ahmad Tunggal, Parit Sakai, Muar.
 
Disamping mengembagkan Seni Silat Sendeng, Haji Abdul Hamid juga cenderung dan terkenal di bidang masa memasak. Selain daripada itu beliau pernah diamanahkan untuk menjadi Imam Masjid Jamik Bukit Kangkar, Muar serta Ketua Kampung, Bukit Kangkar, Muar.
Setelah hampir 58 tahun, beliau mengharungi liku-liku dan pahit manis belajar dan menggembangkan ilmu persilatan ini, demi mengekalkan kesinambungan warisan pusaka bangsa yang diwarisinyanya, pada tanggal 19 Mei 1990 bersamaan 23 Syawal ,1410 Hijrah , Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah telah kembali ke rahmatullah dalam usia 63 tahun. Al - Fatihah.
 
'''Haji Ismail bin Haji Hamzah'''
 
Pemergian Haji Abdul Hamid merupakan satu kehilangan besar bagi keluarga sendeng seluruhnya. Namun berkat asuhan beliau usaha untuk mengembankan Seni Silat Sendeng ini tetap diteruskan oleh anak-anak murid beliau dibawah pimpinan adinda beliau iaitu Haji Ismail bin Haji Hamzah yang dilantik sebagai Guru Utama.
Beliau adalah anak ke-9 manakala Haji Abd Hamid adalah anak ke-3 daripada 13 orang adik beradik. Sebagai adik kepada Haji Abdul Hamid dan dibesarkan di kalangan keluarga pendekar, Haji Ismail turut menerima pendidikan Seni Silat Sendeng sejak awal lagi. Semasa berusia lima tahun beliau telah mula mempelajari selok belok persilatan dari nindanya Haji Hassan. Setelah berguru dengan nindanya itu, beliau telah mendalami ilmu persilatan dengan kekandanya ketika berusia dua puluh tahun.
 
Kepimpinan Haji Ismail telah menyaksikan Seni Silat Sendeng Muar didaftarkan secara rasmi dan dikenali sebagai Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia (PSSSM). Bertujuan memperkembangkan Seni Silat Sendeng secara bersistematik dan dapat bergerak berlandaskan undang-undang negara, di samping berusaha menyatupadukan ahli-ahli di bawah satu naungan, suatu perjumpaan bagi menubuhkan sebuah pertubuhan telah diadakan pada 24 Disember 1990, bertempat di Hotel Kuala Lumpur International, Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur.
Perjumpaan yang dihadiri seramai 84 orang wakil daripada Johor, Melaka, Pahang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur, telah dirasmikan oleh wakil YB Datuk Abdul Ghani Osman (pada ketika itu Timbalan Menteri Kewangan) iaitu Tuan Haji Abdullah Mohd Ali, setiausaha sulit kanan beliau. Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan ketika itu, Encik Abdul Rahman Hassan.
 
Haji Ismail telah sebagai Presiden Jawatankuasa Penaja bagi menguruskan penubuhan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia. Diatas usaha Jawatankusa Penaja di bawah kepimpinan Hj Ismail dan sokongan ahli-ahli, Seni Silat Sendeng telah berjaya didaftarkan secara rasmi pada 11 Julai 1992.
Setelah tertubuh secara rasmi Seni Silat Sendeng telah terus bekembang maju dan pada tahun 1995 telah dijemput untuk turut serta sebagai salah satu displin seni beladiri yang bergerak dibawah program Rakan Muda -Rakan Wajadiri anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Ini membolehkan Seni Silat Sendeng bergerak dengan lebih cergas dan meluas sehingga bertapak di Malaysia Timur.
Setelah hampir 10 tahun beliau memikul amanah menyebarkan Seni Silat Sendeng ini sehingga tersebar ke beberapa buah negeri lagi iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kelantan, Labuan dan Sabah, Haji Ismail telah dipanggil kembali ke Rahmatullah pada 22hb Mac 2002.
 
Falsafah dan Kaedah Pembelajaran
 
Pengertian Seni Silat Sendeng
 
Nama Seni Silat Sendeng yang diabadikan oleh Allahyarham Guru Utama Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah pada perguruan ini, mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri.
 
Di tinjau pengertiannya sepintas lalu menurut ungkapan tersebut ialah : -
 
SENI - adalah kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.
 
SILAT - ialah ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.
 
SENDENG - merupakan adunan teknik pukulan dan taktik mengelak atau menyerang berposisi mengiring.
Mendalami pengertian SENDENG yang menjadi teras perguruan ini, ia mencakupi ertikata yang amat luas baik dari segi istilah, fizikal mahupun rohaniah. Dari segi istilah perkataan 'Sendeng' terdiri dari dua sukukata yang dicantumkan iaitu 'SEN dan 'DENG'.
 
'SEN ' - singkatan dari perkataan ' Senggam ' bermaksud kedudukan yang kukuh, kuat dan rapi.
 
'DENG ' - (atau ' DING ' ) berasal dari perkataan ' Dinding ' iaitu tempat bertahan, tembok atau tempat perlindungan.
Di sudut fizikal pula, kedudukan secara menyendeng ketika menunggu serangan dapat menyelamatkan tujuh bahagian anggota yang merbahaya (muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk , perut dan kemaluan.Di mana setiap bahagian sasaran utama yang menguntungkan lawan telah dikawal rapi. Dengan cara ini juga akan memudahkan pesilat untuk menggorak langkah sama ada maju ke hadapan, mengundur dan membuat buangan atau menepis.
 
Manakala dari segi rohaniah kedudukan menyendeng dikatakan selamat dari ancaman 'permainan jauh ' dan seandainya kena hanya sipi dan tidak tepat kerana ternyata tempat yang hendak di 'tujui' nya (seperti jantung, ulu hati dan kemaluan) telah terlindung oleh bahu malah tidak dapat ditembusi kerana digalang oleh rahsia ' Lam Alif ' yang terjadi pada bentuk badan bila berkeadaan mengiring. Lagipun turun naik nafas yang menjadi panduan utama keberkesanan ' permainan jauh' itu sukar untuk dikesan.
 
Oleh yang demikian itu kedudukan 'Sendeng ' merupakan salah satu cara unutk melepaskan, mematikan, membuang dan menepis sebarang bentuk 'musibah' yang menghampirinya kerana falsafah sendeng ada menyatakan "capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup".
 
Menghadapi Musuh
 
Mendahului serangan
 
Pada masa dahulu pembelajaran Seni Silat Sendeng lebih menumpukan kepada aspek seni beladiri ataupun lebih dikenali sebagai “pukul”. Berdasarkan prinsip, menyerang adalah sebaik-baik belaan, latihan-latihan Seni Silat Sendeng pada ketika itu lebih menjurus kepada memahirkan teknik-teknik mendahului serangan musuh. Prinsip ini diterjemahkan di dalam bentuk teknik beladiri yang 99 peratus menyerang dan 1 peratus menunggu.
 
Dalam ertikata lain, pesilat sendeng amat jarang menunggu serangan sebaliknya memintas serangan musuh berdasarkan isyarat yang dipamerkan oleh musuh yang bersedia untuk menyerang.
 
Isyarat ini juga disimpulkan di dalam falsafah yang berbunyi "Dalam terang ada cahaya, dalam kilat ada kilau, dalam seni ada halus, dalam silat ada silau,dalam gayang ada gerak, dalam gerak ada bayang."
 
Pesilat Sendeng akan dapat mendahului serangan setelah 'masak gerak' iaitu kemahiran untuk mengenal punca punca gerak ataupun ibu gerak samada pergerakan tangan, kaki ataupun mana-mana bahagian tubuh. Secara khusus, pergerakan halus dikenali sebagai gerak manakala pergerakan kasar pula dikenali sebagai gayang.
 
Bagi membolehkan pesilat sendeng mendahului serangan lawan, beliau perlu memahami konsep ibu pukul serta menguasai teknik memati gerak dan memati pukul. Konsep mendahului serangan diterangkan melalui falsafah yang berbunyi "Gerak engkau gerak aku, mula engkau aku tiba, langkah engkau gayang aku, serangan kau makanan aku." Ini bermakna lagi pantas musuh menyerang lagi pantas kita serang.
 
Dalam keadaan musuh menyerang dengan pantas kita matikan serangannya. Sebab itulah walaupun pada dasarnya pihak lawan cuba menyerang dahulu tetapi pergerakan lawan itu dapat dipintas dan akhirnya pesilat sendeng yang memukul.
 
Selain daripada itu, pesilat Sendeng juga perlu mempunyai keberanian dan dapat mengunakan akal yang waras semasa menghadapi sesuatu serangan. Saat menghadapi musuh ini disimpulkan didalam falsafah yang berbunyi 'Gerak, gayang, pantas, berani, berakal'. Gerak dan gayang pada musuh tapi pantas, berani dan berakal pada kita.
Konsep mendahului serangan bertujuan untuk menghapuskan punca ancaman seperti yang ditekankan di dalam falsafah Sendeng yang berbunyi "Yang memukul itulah di pukul, yang menyerang itulah yang diserang, yang menyakitkan itulah yang disakitkan."
Akhirnya, seorang pesilat Sendeng yang telah benar-benar mahir dan memahami konsep mendahului serangan akan mencapai tahap dimana "Penamat belajar mengelak, tak payah mengelak, penamat belajar menepis, tak payah menepis” dan "Capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup."
 
Pergerakan Relatif
 
Sendeng dalam erti kata lain juga bermaksud ialah sandar. Pukulan Sendeng yang dilakukan secara lazimnya menyandar atau menumpang kepada kekuatan, kelajuan, kemarahan dan kemaraan pihak lawan.
 
Falsafah Sendeng berbunyi 'cepat datang cepat pula jatuh, besar yang datang besar perginya'. Falsafah ini mengariskan konsep di dalam Seni Silat Sendeng di mana pesilat membela diri secara relatif dengan menggunakan kekuatan dan kepantasan pihak lawan.
 
Terdapat juga falsafah Sendeng yang berbunyi "Kalau dia datang sekati kita beri dia dua kati. Dia datang sepikul, jatuh dua pikul, kita sepikul dia sepikul."
 
Pergerakan yang hidup
 
Di dalam Seni Silat Sendeng setiap teknik pergerakan adalah hidup seperti falsafah yang berbunyi 'tangan itu yang menumbuk dan tangan itu juga yang menepis'. Setiap serangan yang dimulakan ianya akan berlapis-lapis sebab pesilat sendeng dilatih melakukan dua kerja serentak.
 
Falsafah Sendeng menekan pergerakan yang hidup "Ada datang ada pergi, ada hidup ada mati, ada sakit ada ubatnya, ada tumbuk ada penepisnya, ada tangkap ada pelepasnya dan ada kunci ada pembukanya."
 
Praktikal
 
Teknik beladiri di dalam Seni Silat Sendeng lebih menekankan kepada cirri-ciri praktikal dan keberkesanan. Ini digambarkan oleh falsafah yang berbunyi "Sendeng itu permainannya buruk tetapi kenanya bonyok. Pukulnya hodoh, kena lodoh." dan "Pukul sendeng datangnya tak tegak tetapi kenanya tepat."
 
Haram di sentuh
 
Sendeng juga mengamalkan falsafah 'haram di sentuh'. Haram bukan dari segi agama tetapi haram yang dimaksudkan ialah tidak dibenarkan sama sekali pukulan sendeng disentuh atau ditangkap. Bagi Seni Silat Sendeng pukulan lebih pantas dari kunci kerana pukul sendeng bukan pukul bermalam dan diterangkan di dalam falsafah berbunyi "Belum sempat nak tangkap dah terlepas, sorong kena tarikpun kena."
 
Sesuai dengan peredaran masa dan undang-undang, kaedah pembelajaran Seni Silat Sendeng kini telah dirombak dan disusun semula. Berdasarkan konsep, teknik dan adab aliran kuntau, sendeng dan pukul 7 hari, Seni Silat Sendeng kini telah diadun menjadi satu sistem seni beladiri yang berkesan, praktikal, selamat, menjimatkan masa dan pergerakan, disamping menekankan aspek kecergasan fizikal dan mental serta memupuk sikap-sikap positif seperti displin diri, sabar, berlapang dada dan bersungguh-sungguh di dalam setiap pekerjaan.
 
Kaedah pembelajaran Seni Silat Sendeng juga telah disusun semula dengan melaksanakan sistem ujian berperingkat bagi mengenalpasti tahap pencapaian pelatih-pelatih berdasarkan sukatan matapelajaran PSSSM.
 
Adab dan Tatcara
 
Silat dalam ertikata yang luas tidak sahaja terhad kepada seni beladiri semata-mata malahan mengandungi cirri-ciri warisan budaya yang telah diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Melayu sejak beratus tahun yang lalu.
Disini dipaparkan sebahagian dari tatacara dan warisan tersebut yang menyentuh adab belajar, rukun perguruan, tatacara berpakaian dan peralatan gendang silat.
 
Adab Belajar
 
Sebagai salah satu daripada warisan budaya Melayu yang berlandaskan syariat Islam, Seni Silat Sendeng amat menekankan adab-adab yang seharusnya diamalkan semasa mempelajari dan mempraktikan Seni Silat Sendeng. Adab belajar disimpulkan oleh Haji Abdul Hamid melalui kata-kata berikut:-
"Kalau menuntut hendakkan berkat, biarlah timba mencari perigi bukannya perigi mencari timba. Kerana setinggi manapun ilmunya tetapi tiada berkat, ibarat keris yang tidak berbisa,kalau kena pun tidak memberi mudarat. "
"Orang yang berakal itu akan berfikir ketika diam dan orang yang berfikir itu akan ingat sampai bila-bila."
"Belajar dengan tidak berfikir adalah bahaya dan berfikir tanpa belajar akan kecundanglah kita."
"Biar pahit di gelanggang tetapi manis di luar gelanggang."
Rukun Perguruan
Rukun atau dasar asas di dalam Seni Silat Sendeng Malaysia ialah:-
• Mentaati perintah Allah dan rasul, anjuran dan suruhan Nya serta menghindari segenap larangan dan cegahan serta yang dicela Nya.
• Menyantuni kedua Ibubapa, Guru-guru, Jurulatih (lama dan baru), keluarga tua, sebaya dan muda serta rakan seperguruan.
• Memelihara maruah dan kehormatan Seni Silat Sendeng Malaysia dan kerukunan hidup kekeluargaan dan kemasyarakatan.
• Menjauhi sifat-sifat takbur, ujub, riak, hasad sesama insan dan menghindari dari pertelagahan sesame seperguruan dan berlawan dengan orang lain, melainkan dalam keadaan terdesak dan tercabar.
• Menghormati budaya Silat Melayu yang lain serta seni bela diri bangsa asing.
Sukatan Matapelajaran PSSSM
 
Permainan Gendang Silat
 
Peggunaan bunti-bunyian atau muzik (gendang) memang wujud sejak dahulu lagi. Muzik digunakan untuk mengiringi latihan, persembahan serta majlis adat istiadat.
Di dalam Seni Silat Sendeng, kumpulan muziknya terdiri dari empat orang iaitu dua orang daripadanya memukul gendang (gendang ibu dan gendang anak), seorang meniup serunai dan seorang lagi memalu gong. Terdapat tiga irama atau rentak asas yang dimainkan semasa mengiringi persembahan seni silat sendeng iaitu :-
 
# Gendang Rentak Inai
# Gendang Rentak Pahlawan
# Gendang Rentak Sendayung
 
Secara ringkasnya struktur pendatbiran PSSSM adalah seperti berikut:-
 
Majlis Tertinggi PSSSM
 
Majlis Tertinggi PSSSM adalah jawatankuasa peringkat tertinggi yang dianggotai oleh ahli-ahli yang dipililh semasa Muktamar Dwi-Tahunan PSSSM. Ia berfungsi sebagai satu badan yang mengelolakan pentadbiran diperingkat pusat dan memberi kuasa kepada Jawatankuasa Kerja PSSSM Negeri untuk menguruskan pentadbiran PSSSM peringkat negeri-negeri. Ia juga memberi kuasa kepada Majlis Guru PSSSM untuk menguruskan hal ehwal berkenaan perguruan Seni Silat Sendeng termasuk sukatan matapelajaran, pentauliahan jurulatih dan adat istiadat persilatan.
 
Majlis Guru PSSSM
 
Berlainan, dengan Majlis Tertinggi PSSSM, Majlis Guru PSSSM dianggotai oleh ahli-ahli PSSSM yang dilantik khusus dari kalangan ahli-ahli yang benar-benar arif berkenaan selok belok persilatan Seni Silat Sendeng. Fungsi utama majlis ini adalah untuk memastikan mutu dan keaslian Seni Silat Sendeng yang dikembangkan terjamin dan terpelihara. Pada ketika ini, Majlis Guru PSSSM, dipimpin oleh Tuan Haji Ismail bin Sadin yang telah dilantik untuk memegang jawatan tersebut sejak tahun 2002.
 
Jawatankuasa Kerja PSSSM Negeri
 
Diperingkat negeri, pentadbiran PSSSM adalah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kerja PSSSM Negeri yang dipilih dari kalangan ahli-ahli PSSSM disetiap Mesyuarat Agung Tahunan PSSSM Negeri yang diadakan pada setiap tahun.
 
Pertandingan Seni Silat Sendeng
 
Pertandingan Silat Seni
 
Sejak tahun 1997, PSSSM telah menganjurkan pertandingan silat seni untuk displin Seni Silat Sendeng dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebagai sebahagian daripada acara didalam Kejohanan Seni Mempertahankan Diri – Rakan Wajadiri yang diadakan pada setiap tahun. Seramai 12 orang ahli-ahli PSSSM yang berumur 16 tahun keatas akan dipilih sebagai peserta dan pegawai untuk mewakili setiap negeri bagi merebut pingat didalam 12 kategori yang merangkumi pelajaran-pelajaran tangan kosong atau mengunakkan alat-alat silat Seni Silat Sendeng yang dipertandingkan secara format persembahan.
 
Pertandingan Silat Seni 2002 di Bandar Indera Mahkota, Kuantan
 
Pertandingan “Sendeng Full Contact”
Pada tahun 2001, PSSSM telah menggubal sejenis pertandingan berbentuk tempur yang dikenali sebagai “Sendeng Full Contact”. Pertandingan bentuk ini khusus untuk ahli-ahli PSSSM yang berumur 18 tahun ke atas dan dipertandingkan menggunakan konsep kutipan mata. Pertandingan “Sendeng Full Contact” yang pertama telah diadakan di Kuala Lipis, Pahang.