David Rice Atchison: Perbezaan antara semakan

Kandungan dihapus Kandungan ditambah
SyahirSQRT2 (bincang | sumb.)
Nanti akan sambung lagi. Akan tambah gambar, infobox, rujukan dengan kategori.
(Tiada perbezaan)

Semakan pada 17:12, 10 Disember 2015

David Rice Atchison (11 Ogos 1807 – 26 Januari 1886) adalah Ahli Senat Amerika Syarikat Parti Demokrat dari Missouri. Beliau telah memegang jawatan sebagai Presiden pro tempore Senat Amerika Syarikat selama enam tahun. Beliau paling dikenali dengan dakwaan beliau mungkin telah berkhidmat sebagai Pemangku Presiden Amerika Syarikat selama satu hari, pada 4 Mac 1849. Namun, hampir semua sejarawan, cendekiawan dan periwayat telah menafikan kepercayaan ini.

Atchison yang memiliki ramai hamba dan sebuah ladang merupakan seorang aktivis properhambaan dan ketua Border Ruffian yang terkenal. Beliau banyak terlibat dalam pelakuan keganasan terhadap penggerak penghapusan dan peneroka penentang perhambaan (free-stater) ketika peristiwa "Kansas Berdarah".

Kehidupan awal

Atchison telah dilahirkan di Frogtown (kemudiannya dinamakan Kirklevington) yang kini adalah sebahagian daripada Lexington, Kentucky, dan berbapakan William Atchison. Beliau telah belajar di Universiti Transylvania di Lexington, sekelas dengan lima bakal senator Demokrat (Solomon Downs di Louisiana, Jesse Bright di Indiana, George W. Jones di Iowa, Edward Hannegan di Indiana, dan Jefferson Davis di Mississippi). Atchison telah disertakan dalam badan peguam Kentucky pada 1829.

Peguam dan ahli politik Missouri

Pada 1830 beliau telah berpindah ke Liberty di Daerah Clay di barat Missouri dan menubuhkan firma guamannya, di samping membuka ladang. Praktik undang-undang Atchison berkembang, dan klien beliau yang paling dikenali ialah pengasas Gerakan Latter Day Saint, Joseph Smith. Atchison telah mewakili Smith dalam pertikaian berkenaan pemilikan tanah dengan peneroka bukan Mormon di Daerah Caldwell dan Daerah Daviess.

Alexander William Doniphan telah menyertai praktik undang-undang Atchison di Liberty pada Mei 1833. Kedua-dua mereka segera menjadi rakan dan meluangkan masa lapang bersama-sama bermain kad, menyaksikan perlumbaan kuda, memburu, memancing, menghadiri majlis-majlis keramaian serta acara-acara politik. Atchison yang merupakan ahli Liberty Blues, satu militia sukarela di Missouri, telah membawa Doniphan menyertai pertubuhan tersebut.

Atchison telah terpilih menyertai Dewan Perwakilan Missouri pada 1834. Beliau telah bekerja keras bagi Pembelian Platte yang meluaskan sempadan barat laut Missouri ke Sungai Missouri pada 1837.

Apabila pertikaian sebelum ini bertukar menjadi apa yang dinamakan Perang Mormon 1838, Atchison telah dilantik sebagai mejar jeneral militia negeri dan terlibat dalam menumpaskan keganasan daripada kedua-dua belah pihak.

Pada 1838, beliau telah dipilih semula ke Dewan Perwakilan Missouri. Tiga tahun kemudian, beliau telah melantik seorang hakim mahkamah litar bagi kawasan enam daerah dalam Pembelian Platte. Pada 1843, beliau telah dijadikan pesuruhjaya daerah di Daerah Platte, di mana beliau tinggal ketika itu.

Jawatan senat

Pada Oktober 1843, Atchison telah dipilih ke Senat Amerika Syarikat untuk mengambil tempat Lewis F. Linn yang telah meninggal dunia. Beliau menjadi ahli senat pertama dari barat Missouri, dan pada usia 36 tahun, beliau juga adalah ahli senat yang paling muda dari Missouri pada waktu itu. Pada akhir 1843, Atchison telah dilantik untuk berkhidmat menggantikan Linn ketika baki tempoh khidmatnya, dan telah dilantik semula pada 1849.

Atchison sangat terkenal di kalangan ahli Senat Demokrat yang lain. Apabila parti Demokrat berkuasa ke atas Senat pada Disember 1845, ahli parti tersebut telah memilih Atchison sebagai Presiden pro tempore, meletakkan beliau di tempat ketiga dalam jurai pewarisan jawatan Presiden, serta memberikan beliau kuasa mempengerusikan Senat apabila Naib Presiden tidak ada. Ketika beliau dilantik, beliau berusia 38 tahun dan baru berkhidmat dalam Senat selama dua tahun. Pada 1849, Atchison meletakkan jawatan sebagai Presiden pro tempore dan digantikan oleh William R. King. King kemudiannya menyerahkan kedudukan tersebut kembali kepada Atchison pada Disember 1852, kerana beliau telah dilantik sebagai Naib Presiden Amerika Syarikat. Atchison terus berkhidmat sebagai Presiden pro tempore sehingga Disember 1854.

Sebagai ahli Senat, Atchison merupakan penyokong tegar perhambaan dan peluasan kawasan. Beliau menyokong pengilhakkan Texas dan Perang Amerika Syarikat-Mexico. Atchison dan seorang lagi ahli Senat Missouri, Thomas Hart Benton yang dihormati, menjadi pesaing dan kemudiannya musuh, meskipun kedua-duanya ahli Demokrat. Benton menyuarakan penentangannya terhadap amalan perhambaan pada 1849, dan pada 1851 Atchison telah bersekutu dengan ahli-ahli Parti Whig untuk mengalahkan Benton dalam pengundian semula.

Benton yang ingin mencabar Atchison pada 1854, telah mula menggesa pengurusan wilayah-wilayah di kawasan barat Missouri (kini negeri Kansas dan Nebraska) supaya ia boleh dibuka untuk penerokaan. Untuk menentang ini, Atchison telah mencadangkan kawasan tersebut diuruskan dan seksyen dalam Kompromi Missouri yang mengharamkan perhambaan ditarik balik bagi menyebelahi kedaulatan rakyat yang membolehkan peneroka di setiap wilayah untuk menentukan sama ada amalan perhambaan boleh dibenarkan atau tidak.

Atas permintaan Atchison, ahli Senat Stephen Douglas dari Illinois telah memperkenalkan Akta Kansas-Nebraska yang mengandungi idea tersebut, pada November 1853. Akta ini dijadikan undang-undang pada Mei 1854, lantas menubuhkan Wilayah Kansas dan Nebraska.

Border Ruffians

Douglas (dan Atchison) menyangka yang Nebraskan akan diteroka oleh peneroka Free-State dari Iowa dan Illinois, dan Kansas pula oleh orang Missouri dan orang-orang Selatan yang menyokong perhambaan, lantas mengekalkan keseimbangan bilangan negeri tanpa dan dengan amalan perhambaan. Pada 1854, Atchison telah membantu menubuhkan bandar Atchison, Kansas sebagai bandar yang properhambaan. Bandar (dan daerah) tersebut dinamakan bersempena beliau.

Hakikatnya, meskipun orang-orang Selatan gembira diberi peluang untuk meneroka Kansas, tidak ramai yang benar-benar melakukannya. Sebaliknya, kebanyakan orang tanah bebas menggemari Kansas. Tambahan pula, aktivis antiperhambaan di serata negeri-negeri Utara melihat Kansas sebagai kawasan pertempuran dan membentuk pertubuhan-pertubuhan untuk menggalakkan peneroka tanah bebas untuk pergi ke Kansas dan memastikan kedua-dua Kansas dan Nebraska menjadi negeri bebas.

Ketika itu, kelihatan seperti badan perundangan Wilayah Kansas yang akan dilantik pada Mac 1855 akan dikawal oleh orang tanah bebas dan akan mengharamkan perhambaan. Ini dilihat sebagai pecah kepercayaan oleh Atchison dan penyokong-penyokongnya. Atchison yang membara memanggil orang-orang Missouri yang pro-perhambaan untuk menegakkan amalan perhambaan dengan kekerasan dan "untuk membunuh setiap seorang pemahampenghapusan terlaknat di daerah itu" jika perlu. Beliau telah mengumpul satu kumpulan rusuhan yang besar yang terdiri daripada orang Missouri yang lengkap bersenjata; mereka yang dikenali sebagai "Border Ruffians". Pada hari pengundian, 30 Mac 1855, Atchison telah mengetuai 5000 Border Ruffians ke Kansas. Mereka telah menguasai semua tempat pengundian dengan senjata api, mengenakan puluhan ribu undi palsu kepada calon-calon pro-perhambaan, dan melantik badan perundangan yang pro-perhambaan.

Walau bagaimanapun, tindakan kejam ini diterima oleh kerajaan Persekutuan. Apabila Gabenor Wilayah Andrew Reeder membantah, beliau telah dipecat oleh Presiden Amerika Syarikat Franklin Pierce.

Meskipun dengan tindakan keganasan ini, lebih ramai peneroka penentang perhambaan berhijrah ke Kansas berbanding peneroka penyokong perhambaan. Telah berlaku serangan dan serang hendap berterusan oleh kedua-dua belah pihak dalam "Kansas Berdarah". Walaupun Atchison dan Border Ruffians telah mencuba segala yang mereka mampu, Kansas telah menolak amalan perhambaan dan akhirnya menjadi negeri bebas pada 1861.

Dikalahkan dalam pelantikan semula

Tempoh Senat Atchison tamat pada 4 Mac 1855. Beliau cuba mendapatkan peluang untuk dilantik semula bagi satu lagi tempoh, tetapi ahli Demokrat dalam badan perundangan Missouri telah berbelah bahagi antara beliau dengan Benton, sementara minoriti Whig telah mempertandingkan wakil mereka sendiri. Tidak ada ahli Senat yang dilantik sehingga Januari 1857, apabila James S. Green telah dilantik.

Cadangan landasan kereta api

Apabila Landasan Rentas Benua Pertama dicadangkan pada 1850-an, Atchison telah mencadangkan ia dibina sepanjang laluan tengah (dari St. Louis melalui Missouri, Kansas dan Utah), dan bukannya melalui laluan selatan (dari New Orleans melalui Texas dan New Mexico). Sudah tentu, laluan yang beliau cadangkan melalui Atchison, Kansas.

Jeneral Perang Saudara

Atchison dan A. W. Doniphan tidak bersetuju antara satu sama lain berkenaan politik sebelum Perang Saudara dan ke arah manakah Missouri patut pergi. Atchison menginginkan pemisahan, sementara Doniphan tidak pasti dan akan kekal kebanyakannya berdolak-dalik. Doniphan secara senyap-senyap menyokong Kesatuan, tetapi beliau berasa sukar untuk menentang rakan-rakan dan sekutu-sekutunya.

Ketika krisis pemisahan di Missouri pada awal Perang Saudara Amerika, Atchison telah menyebelahi gabenor pro-Gabungan Missouri, Claiborne Jackson. Beliau telah menerima pelantikan sebagai jeneral Missouri State Guard. Atchison giat merekrut Pengawal Negeri di utara Missouri dan telah berkhidmat dengan komander Missouri State Guard, Jeneral Sterling Price, sewaktu kempen musim panas pada 1861. Pada September 1861, Atchison telah mengetuai 3500 Pengawal Negeri merentasi Sungai Missouri untuk memperkuatkan Price, dan mengalahkan tentera-tentera Kesatuan yang cuba untuk menghalang gerakannya dalam Pertempuran Liberty.

Atchison terus berkhidmat sepanjang akhir 1861. Pada 1862, tentera Kesatuan di teater Trans-Mississippi telah memenangi kemenangan mutlak di Pea Ridge di Arkansas dan memastikan kawalan Kesatuan ke atas Missouri. Atchison kemudiannya berundur daripada tentera disebabkan perbantahan berkenaan strategi dengan Jeneral Price dan berpindah ke Texas sehingga akhir Perang Saudara. Selepas perang, beliau bersara dan tinggal di ladangnya berhampiran Gower. Beliau dikatakan menafikan banyak pernyataan beliau yang properhambaan yang dibuat sebelum Perang Saudara. Tambahan lagi, kotej di mana beliau bersara di luar Plattsburg telah terbakar hangus sebelum kematiannya pada 1886. Ini mengakibatkan kehilangan sepenuhnya koleksinya yang mengandungi buku-buku, dokumen-dokumen dan surat-surat yang mencatatkan peranannya dalam Perang Mormon, hal ehwal orang Indian, aktiviti pro-perhambaan, dan sebarang rekod lain yang menyentuh berkenaan kariernya sebagai peguam, ahli senat, dan tentera.

"Presiden untuk Sehari"

Atchison sendiri tidak pernah mendakwa yang beliau secara teknikalnya adalah Presiden Amerika Syarikat untuk sehari, iaitu pada hari Ahad, 4 Mac 1849. Presiden James K. Polk yang akan turun daripada kerusi Presiden telah tamat tempohnya pada tengah hari 4 Mac, yang jatuh pada hari Ahad. Penggantinya, Zachary Taylor, tidak mahu mengangkat sumpah untuk jawatan pada hari Ahad. Sebagai Presiden pro tempore, dan oleh itu Pemangku Naib Presiden, di bawah undang-undang pewarisan presiden yang berkuat kuasa pada waktu itu, sesetengah percaya bahawa Atchison adalah Pemangku Presiden.

Dalam temu ramah dengan St. Louis Globe-Democrat, Atchison mengatakan bahawa pada hari beliau dikatakan berkhidmat sebagai presiden, beliau telah tidur hampir sepanjang hari itu: "Telah ada tiga atau empat malam yang sibuk untuk menghabiskan kerja di Senat, dan saya telah tidur hampir sepanjang Ahad itu."

Meskipun begitu, satu pameran muzium telah dibuka bersempena beliau, yang tuan empunya pameran mengatakan adalah Pustaka Presiden yang terkecil di negara itu. Meskipun ia tidak diiktiraf sebagai Pustaka Presiden oleh kerajaan Amerika Syarikat, ia telah dibuka pada Februari 2006 dengan nama Muzium Sejarah Daerah Atchison di Atchison, Kansas.


Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.