Birutė Galdikas: Perbezaan antara semakan

Kandungan dihapus Kandungan ditambah
KLITE789 (bincang | sumb.)
Dicipta dengan menterjemah laman "Birutė Galdikas"
(Tiada perbezaan)

Semakan pada 06:05, 24 Disember 2019

Birutė Marija Filomena Galdikas, OC (lahir 10 Mei 1946), merupakan ahli antropologi, primatologi, pemuliharaan, etologi, dan pengarang buku berbangsa Lithuania-Kanada.[1] Beliau kini seorang profesor di Universiti Simon Fraser. Terkenal dalam bidang primatologi, Galdikas diiktiraf sebagai pakar orang utan yang berwibawa.[2] Sebelum beliau menceburi kajian orang utan, golongan saintis tidak tahu banyak tentang spesies berkenaan. [3]

Birutė Galdikas

Kelahiran
Birutė Marija Filomena Galdikas

(1946-05-10) 10 Mei 1946 (umur 77)
Pusat pendidikanUniversiti California, Los Angeles
Terkenal keranaKajian orang utan, pemuliharaan
AnugerahTyler Prize for Environmental Achievement (1997)
Kerjaya saintifik
BidangPrimatologi, antropologi, etologi
InstitusiUniversiti Simon Fraser
TesisOrangutan adaptation at Tanjung Puting Reserve, Central Borneo (1978)
PengaruhLouis Leakey

Kehidupan awal

Galdikas dilahirkan pada 10 Mei 1946 di Wiesbaden, Jerman. Ibu bapanya, Filomena dan Antanas Galdikas adalah pelarian dari Lithuania yang melarikan diri dari pendudukan Soviet di negara-negara Baltik selepas Perang Dunia Kedua. Ketika Galdikas berusia dua tahun, keluarganya pindah ke Kanada ketika ayahnya menandatangani kontrak untuk bekerja di lombong tembaga di Quebec. Tahun berikutnya, mereka berpindah ke Toronto, di mana Galdikas dibesarkan. Ayahnya bekerja sebagai pelombong dan kontraktor. Sebagai seorang anak kecil, Birutė meminati hutan-hutan dan haiwan-haiwan eksotik nun jauh. Buku pertama yang dipinjamnya dari Perpustakaan Awam Toronto adalah kisah tentang monyet kecil nakal yang bernama Curious George. Menjelang usia dewasa, beliau meminati pengembaraan Jane Goodall dan Dian Fossey dalam National Geographic. [4] Dia mempunyai dua orang adik lelaki dan seorang adik perempuan.[5]

Pada tahun 1962 keluarga Galdikas berpindah semula, mula-mula ke Vancouver dan kemudian ke Amerika Syarikat. Galdikas mendaftar di Universiti California, Los Angeles, di mana beliau mengkaji ilmu psikologi, arkeologi, dan antropologi. Pada tahun 1966, beliau memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi dan zoologi, yang dianugerahkan oleh UCLA bersama dengan Universiti British Columbia. Beliau memperoleh ijazah sarjana dalam bidang antropologi dari UCLA pada tahun 1969. Semasa pengajian siswazahnya di UCLA, Galdikas bertemu dengan ahli paleoantropologi Louis Leakey yang didekatinya untuk mengkaji tentang orang utan di habitat semula jadi mereka. Leakey berpakat dengan National Geographic Society untuk menubuhkan kemudahan penyelidikan di Borneo. [6] Penyelidikan Galdikas menjadi asas kajian kedoktorannya, dan beliau memperoleh gelaran doktornya dalam antropologi dari UCLA pada tahun 1978.

"The Trimates"

Galdikas mempelopori kajian terhadap spesies mawas yang bergelar orang utan yang berasal dari Indonesia dan Malaysia. Beliau memujuk Leakey untuk membantu mengendalikan usahanya, walaupun pada mulanya dibangkang oleh Leakey. Pada tahun 1971, Galdikas bersama suaminya ketika itu, seorang jurufoto bernama Rod Brindamour, tiba di Cagar Alam Tanjung Puting, Kalimantan Indonesia. Galdikas adalah yang ketiga dari tiga wanita yang dilantik oleh Leakey untuk mengkaji spesies mawas besar di habitat semula jadi mereka. Digelar oleh Leakey sebagai "The Trimates",[7] barisan bertiga itu turut dianggotai oleh Jane Goodall yang mengkaji cimpanzi, dan Dian Fossey, yang mempelajari gorila. [3]

Leakey bersama National Geographic Society membantu Galdikas untuk menubuhkan kem penyelidikannya untuk menjalankan kajian terhadap orang utan secara lapangan di Borneo. Sebelum Leakey mengambil keputusan untuk melantik Galdikas, orang utan merupakan spesies mawas besar yang paling kurang didalami. Sejak itu, Galdikas terus mengembangkan pengetahuan saintifik terhadap tingkah laku, habitat dan pemakanan orang utan.

Penyelidikan dan advokasi

Pada umur 25 tahun, Galdikas tiba di Borneo untuk memulakan kajian lapangan terhadap orang utan di persekitaran rimba yang penuh rintangan bagi kebanyakan orang Barat. Dari situlah Galdikas banyak mendatangkan sumbangan yang tidak ternilai kepada pemahaman saintifik tentang keanekaragaman hidupan di Indonesia dan hutan hujan secara keseluruhan sambil menjulang orang utan ke mata dunia.

Ketika tiba di Borneo, Galdikas menginap di sebuah pondok yang terbina daripada kulit pohon dan jerami atap di tapak yang diberi nama Camp Leakey di pinggir Laut Jawa. [2] Setelah itu, beliau berhadapan dengan gerombolan manusia pemburu haram, dan juga dikerumuni lintah dan serangga karnivor. Sungguhpun begitu, beliau terus menempuh rintangan dan menetap di situ selama lebih dari 30 tahun sambil memperjuangkan nasib orang utan dan pemeliharaan hutan hujan selaku habitat bagi mawas tersebut yang teruk terjejas oleh kegiatan-kegiatan pembalakan, penanaman kelapa sawit, perlombongan emas, dan pembakaran.[8]

Usaha-usaha pemuliharaan Galdikas bukan lagi setakat advokasi, malah lebih memberi tumpuan pada usaha pemulihan orang utan yatim piatu yang diserahkan kepada beliau untuk dipelihara. Kebanyakan anak-anak orang utan piatu itu pernah dibela secara haram sebagai haiwan kesayangan sebelum menjadi terlalu tangkas dan sukar bagi dikendalikan.[2] Usaha-usaha pemulihan Galdikas melalui Orangutan Foundation International (OFI) yang ditubuhkan dan diketuai oleh beliau juga termasuk pemeliharaan hutan hujan.

Usaha-usaha Dr. Galdikas telah diakui nilainya dalam program-program televisyen yang dihoskan oleh Steve Irwin dan Jeff Corwin di saluran Animal Planet. Di samping itu, keprihatinan dan usaha Dr. Galdikas untuk memelihara hutan hujan Indonesia dipentingkan lagi oleh makalah mengenai bahan api biologi dalam akhbar The New York Times bertarikh 25 Januari 2007 dan juga rencana majalah National Geographic Januari 2008 yang bertajuk "Borneo's Moment of Truth". Organisasi OFI juga terlibat dalam projek pemulihan hutan dengan menanam pokok-pokok asli di kawasan hutan hujan yang telah dimusnahkan sebelumnya.

Legasi

Di samping giat memperjuangkan usaha pemuliharaan spesies primat dan pemeliharaan hutan hujan, Galdikas meneruskan usaha dalam penyelidikan lapangan yang telah menjadi salah satu usaha penyelidikan terhadap mamalia yang paling lama berterusan. Suaminya, Pak Bohap, ialah seorang penanam padi Dayak, penghulu puak, dan juga seorang pengarah bersama program orang utan di Borneo.

Beliau telah mengarang beberapa buku, termasuk sebuah memoir bertajuk Reflections of Eden, di mana beliau mengisahkan pengalamannya di Camp Leakey di samping usaha memulihkan dan melepaskan orang utan yang pernah ditawan di hutan hujan Borneo.

Galdikas kini bertugas sebagai profesor di Universiti Simon Fraser di Burnaby, British Columbia, di samping memegang jawatan Profesor Khas di Universitas Nasional di Jakarta, Indonesia. Beliau juga adalah presiden Orangutan Foundation International di Los Angeles, California .

Pengiktirafan

Galdikas telah dipaparkan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah Life, The New York Times, The Washington Post, Los Angeles Times, dan banyak dokumentari televisyen, di samping pernah dua kali menghiasi kulit majalah National Geographic. [2]

Pada tahun 1995, Galdikas dianugerahi gelaran Order of Canada.

Bersama rakan seperjuangan Jane Goodall dan ahli biologi lapangan terkemuka George Schaller, Galdikas menerima Hadiah Tyler untuk Pencapaian Alam Sekitar pada tahun 1997 untuk penyelidikan lapangan dan sumbangan sepanjang hayatnya untuk memajukan ilmu alam sekitar. Antara tanda-tanda pengiktirafan lain termasuk Anugerah Kalpataru dari Indonesia, Anugerah Pegawai Sains Institute of Human Origins, Anugerah Global 500 Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (1993), Pingat Komemoratif Elizabeth II, Eddie Bauer Hero of the Earth (1991), Anugerah Kemanusiaan PETA (1990), dan Anugerah Chico Mendes Sierra Club (1992). Beliau dianugerahkan kunci kepada bandar Las Vegas, Nevada, pada tahun 2009 ketika berucap untuk jabatan antropologi Universiti Nevada di Las Vegas.

Kontroversi

Galdikas pernah dikritik pada akhir 1990-an mengenai kaedah pemuliharaannya. Ahli-ahli primatologi membahaskan isu berkenaan di dalam senarai mel Internet Primate-Talk;[9] isu ini dilanjutkan lagi oleh penerbitan artikel dalam majalah <i id="mwnA">Outside</i> (Mei 1998) dan Newsweek (Jun 1998).[10] Seperti yang diwartakan dalam kedua-dua artikel dan diringkaskan lagi dalam buku The Follow oleh novelis Kanada Linda Spalding pada tahun 1999, Kementerian Kehutanan Indonesia yang pernah bertelingkah dengan Galdikas atas dasar pembalakan, mendakwa bahawa Galdikas memeliara "sebilangan besar orang utan secara melanggar undang-undang ... dalam keadaan yang amat teruk" di kediamannya di Indonesia, sekali gus mendesak kerajaan untuk mendakwa beliau. Galdikas menafikan semua dakwaan tersebut dalam jawapannya kepada majalah Newsweek pada bulan Jun 1999 dengan menyatakan bahawa tuduhan penganiayaan itu adalah "tidak benar sama sekali", malah dakwaan-dakwaan yang "aneh" merupakan dasar bagi "kempen yang amat berat sebelah untuk menentang diri saya."[11]

Filem dan televisyen

Galdikas membintangi filem dokumentari cetera bertajuk Born to Be Wild 3D yang dikeluarkan pada bulan April 2011. Beliau juga pernah muncul dalam rancangan-rancangan dokumentari Nature (siri TV 2005), Life and Times (siri TV 1996), 30 Years of National Geographic Specials (dokumentari TV 1995), Orangutans: Grasping the Last Branch (dokumentari 1989), Beauty and the beasts (dokumentari Channel 4 UK, 1996) dan The Last Trimate (dokumentari TV, 2008).

Rujukan

  1. ^ "Dr. Biruté Mary Galdikas – Orangutan Foundation International". Orangutan Foundation International (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-04-09.
  2. ^ a b c d Galdikas-Brindamour, Birutė (October 1975). "Orangutans, Indonesia's "People of the Forest"". National Geographic Magazine. 148 (4). m/s. 444–473.
  3. ^ a b de Waal, Frans (January 1995). "The Loneliest of Apes". The New York Times.
  4. ^ Pfeiff, Margo (1993). "Mother to the Apes". Reader's Digest. 143 (855): 127–132.
  5. ^ Gallardo, Evelyn (1993). Among the Orangutans: The Birute Galdikas Story. Chronicle Books. m/s. 8–9. ISBN 0811804089. Dicapai pada August 14, 2015.
  6. ^ Gallardo, Evelyn (1993). Among the Orangutans: The Birute Galdikas Story. Chronicle Books. m/s. 9–10. ISBN 0811804089. Dicapai pada August 14, 2015.
  7. ^ "The Vanishing Man of the Forest". Galdikas, Birute Mary, The New York Times, January 6, 2007. Dicapai pada 2013-12-14.
  8. ^ Robin McDowell (2009-01-18). "Palm oil frenzy threatens to wipe out orangutans". Associated Press. Diarkibkan daripada yang asal pada January 20, 2009. Dicapai pada 2009-01-18.
  9. ^ "News from academe: Monkey Business II". Slate. June 20, 1998. Dicapai pada 2014-01-19.
  10. ^ Hammer, Joshua (1 June 1998). "A typhoon in a rain-forest Eden". Newsweek. 131 (22). m/s. 58.
  11. ^ Galdikas, Birute (29 June 1998). "Galdikas responds". Newsweek. 131 (26). m/s. 17.

Bacaan lanjut

Pautan luar