Long Gaffar ibni Raja Long Nik: Perbezaan antara semakan

Kandungan dihapus Kandungan ditambah
Zamwan (bincang | sumb.)
v
(Tiada perbezaan)

Semakan pada 04:20, 27 Mac 2020

Long Gaffar ibni Raja Long Nik ibni Long Senik Geting ibni Raja Wan Daim merupakan pemerintahan kerajaan Kelantan Selatan pada tahun 1762 sehingga tahun 1793.

Sejarah

Pada tahun 1762, kerajaan Kelantan Selatan diasaskan dan bermulanya pemerintahan Long Gaffar di sebelah selatan negeri Kelantan. Tiga bulan selepas berakhirnya Perang Kota Kubang Labu I pada tahun 1757, baginda bersama rombongan yang turut disertai oleh Long Yunus telah berangkat daripada Kota Jelasin (Wakaf Che Yeh), tempat persemayaman Mandur Mis (Tuan Khomis) sepupu kepada Long Yunus untuk menyahut cabaran menyabung ayam oleh panglima Bugis di Terengganu. Pada masa itu negeri Terengganu diperintah oleh Sultan Mansur Riayat Shah (Marhum Berjanggut, 1733 – 1793). Selepas berjaya mengalahkan pasukan Bugis, baginda dan rombongan diraikan oleh Sultan Terengganu selama 6 bulan.

Semasa pulang dari Terengganu pada tahun 1761, baginda dan rombongan yang turut diiringi oleh pasukan tentera dari Terengganu telah diserang oleh pasukan Long Muhammad (Raja Kelantan dari Kota Kubang Labu) di Kuala Besut. Serangan tersebut berjaya dipatahkan dan Long Gaffar bersama-sama dengan Long Yunus serta rombongan pasukan tentera dari Terengganu kemudian segera ke Kota Jelasin untuk bertemu Mandur Mis dan seterusnya bergabung. Pada malamnya, gabungan tentera Terengganu dan pasukan sukarelawan Kelantan yang dipimpin oleh Long Gaffar, Mandur Mis, Penghulu Adas dan Long Yunus telah melancarkan serangan dari Kota Jelasin ke atas Kota Kubang Labu (Pasir Pekan) yang menyebabkan meletusnya Perang Kota Kubang Labu 2. Kota Kubang Labu berjaya ditawan dan Long Muhammad berjaya dibunuh. Maka berakhirlah pemerintahan Kota Kubang Labu. Kejayaan ini disebut oleh pengkaji sejarah sebagai menandakan bermulanya penguasaan Long Gaffar dan Long Yunus di negeri Kelantan.

Long Gaffar telah mengasaskan pemerintahan di Kota Jelasin tempat bersemayamnya Mandur Mis pada tahun 1762 setelah Mandur Mis berpindah ke Lundang. Pada tahun 1765, Long Gaffar telah memindahkan pusat pemerintahan ke Limbat. Perpindahan pusat pemerintahan ke Limbat menandakan bermulanya penubuhan pemerintahan yang digelar "Negeri yang Dikerat Lintang" bermula dari Sungai Pasir Tumboh hingga ke laut, ke timur hingga ke sempadan Terengganu, ke barat hingga ke sempadan Kadok dan ke selatan hingga ke Kuala Krai. Peristiwa inilah yang menyebabkan munculnya nama "Negeri yang Dikerat Lintang", iaitu negeri yang di kerat lintang di antara Baginda Long Gaffar dan Long Yunus. Sempadan bagi kedua-dua kawasan pemerintahan ini ialah Sungai Pasir Tumboh.

Rujukan

Pautan luar