Pertempuran Sentinum: Perbezaan antara semakan

Kandungan dihapus Kandungan ditambah
Muhd Aiman65 (bincang | sumb.)
Mencipta laman baru dengan kandungan '{{Infobox military conflict| image=Carte_TroisGuerreSamnite_298avJC.png| caption=Pertempuran yang terlibat dalam Perang Samnium Ketiga.| conflict=Pertempura...'
 
(Tiada perbezaan)

Semakan semasa pada 15:17, 5 Julai 2020

Pertempuran Sentinum merupakan pertempuran muktamad bagi konflik Perang Samnium Ketiga yang tercetus pada tahun 295 SM berhampiran Sentinum (bersebelahan bandar moden Sassoferrato di Marche, Itali).

Pertempuran Sentinum
Sebahagian daripada Perang Samnium Ketiga

Pertempuran yang terlibat dalam Perang Samnium Ketiga.
Tarikh295 SM
Lokasi
Sentinum (kini berhampiran Sassoferrato, Marche, Itali)
Keputusan Kemenangan muktamad Rom
Pihak yang terlibat
Republik Rom Samnium
Senone Gauls
Komandan dan pemimpin
Publius Decius Mus 
Quintus Fabius Maximus Rullianus
Gellius Egnatius 
Kekuatan

ca. 40,000 tentera


4 legiun (18,000-24,000 Rom)
kira-kira 20,000 tentera campuran
ca. 40,000 tentera[1]
Kerugian dan korban
8,700 terkorban 25,000 terkorban
8,000 ditawan

Latar belakang sunting

Konflik Perang Samnium Ketiga bermula dengan kemenangan mudah diraih oleh legiun Rom yang melakukan kempen-kempen yang memusnahkan di wilayah Samnit dan Etruscan. Sejak daripada itu, pakatan Samnit dan Etruscan perlu melancarkan peperangan bijak ataupun Rom akan bertindak membinasakan mereka semua. Dengan itu, jeneral Samnit iaitu Gellius Egnatius mengambil keputusan meninggalkan tanah airnya lalu berarak bersama pasukannya ke arah utara menuju ke Etruria untuk menyertai tentera Etruscan yang lain di sana. Apabila tentera gabungan pimpinan Egnatius telah ditewaskan dalam satu pertempuran kecil pada tahun 297 SM, terbuktilah bahawa Rom kini menghadapi lebih banyak masalah menghadapi ancaman sedemikian. Perkara ini telah menyebabkan Egnatius untuk merumuskan formasi tentera gabungannya yang besar yang terdiri daripada Samnit, Etruscan dan Umbria bagi mengekang perluasan Rom. Bahkan, Senones Gaul telah dibawa sekali yang berperanan sebagai tentera upahan. Tentera konsul Rom yang melepasi kawasan Pergunungan Apennine menuju ke Umbria pada tahun 295 SM berkemungkinan angkatan tentera Rom terbesar yang pernah dibawa ke medan pertempuran.

Pertempuran sunting

Semasa angkatan tentera Rom yang ramai berkhemah sejauh empat batu sahaja daripada tentera campuran yang terdiri daripada empat bangsa berhampiran Sentinum, tentera campuran itu mengambil keputusan untuk membahagikan tentera-tentera mereka dan mengagihkan rancangan. Askar Gaul dan Samnit yang paling berpengalaman dalam tentera campuran itu akan bertempur dengan legiun Rom. Apabila pertempuran mula tercetus, puak-puak Etruscan dan Umbri akan bertindak mengelilingi dan menyerang kem musuh. Mereka berharap dapat melakukan serangan terhadap musuh dari arah belakang semasa pertempuran kian memuncak. Malangnya bagi tentera campuran apabila terdapat beberapa pengkhianat yang menyelinap menyertai tentera musuh Rom daripada kem mereka pada waktu malam. Kumpulan ini kemudiannya mendedahkan rancangan musuh Rom itu secara terperinci kepada konsul. Hal ini memberikan peluang kepada Rullianus untuk merangka langkah balas. Beliau kemudiannya mengirim utusan segera kepada dua buah pasukan kecil Rom berhampiran yang berada di bawah pimpinan Gnaeus Fulvius dan Lucius Postumius. Mereka berdua telah diberikan arahan untuk mara ke arah utara dan menjarah tanah-tanah milik Etruscan berhampiran Clusium.

Semasa askar Etruscan dan Umbri mendapati akan perkara ini, mereka segera berpecah dan bergerak untuk mempertahankan tanah-tanah mereka yang sedang dijarah musuh. Seakan-akan patah harapan setelah kehilangan sebahagian besar tenteranya, Samnit dan Gaul menolak untuk bertempur dengan Rom selama dua hari kerana menunggu kedatangan saki-baki tentera yang lain. Namun, kavalri Rom sering melakukan serbuan yang menghasilkan angka korban di belah pihak musuh pada waktu subuh hari ketiga pertempuran. Hal ini menyebabkan angkatan Gaul dan Samnit melangkah mara menuju ke dataran yang bernama Sentinum sebelum mereka berbaris untuk menghadapi pertempuran. Legiun Rom turut berbaris untuk menyusun formasi angkatan.

Pada bahagian kanan tentera Gaul-Samnit, gerombolan dari Senone Gaul telah menghadap sebahagian daripada barisan tentera Rom termasuklah legiun kelima dan keenam Rom di bawah pimpinan Publius Decius Mus. Pada bahagian lain pula, Samnit yang dipimpin sendiri oleh jeneral Gellius Egnatius sedang berbaris menghadap Rullianus bersama sebahagian lagi tentera Rom termasuklah legiun pertama dan ketiga di kedudukan yang bertentangan. Pasukan kavalri untuk kedua-dua belah pihak telah diletakkan di bahagian sayap. Rom juga menempatkan pasukan simpanan kecil di belakang barisan utama tentera manakala tentera Gaul pula disokong oleh kira-kira 100 rata perang yang kukuh.

Pertempuran ini mungkin dianggap sebagai pertempuran terhebat yang pernah tercetus di Itali sambil disertai oleh disiplin, tentera Rom melangkah mara dengan teratur menentang pahlawan-pahlawan Samnit dan Gaul yang terkenal dengan keganasan di hadapan mereka. Serangan itu mendatangkan kesan yang hebat. Pada awalnya, kehebatan pahlawan Samnit memaksa barisan pertama Rom mengambil keputusan untuk berpatah balik tetapi kedudukan mereka dengan pantasnya berjaya dipulihkan semula. Hal ini berlaku selepas pertarungan melibatkan semua barisan yang mana kedua-dua pihak tidak berjaya mendaratkan serangan muktamad di mana-mana tempat. Namun apabila pertempuran sengit itu menghasilkan angka korban yang tinggi, pertarungan di bahagian kedua-dua belah sayap mula berubah dari sudut kualiti gara-gara sifat dan pengalaman yang dibawa oleh komander. Konsul Rullianus yang telah berusia mendapati bahawa tentera musuh dilanda keletihan selepas mereka melancarkan serangan awal dengan menggunakan banyak tenaga. Jadi, beliau mengarahkan tenteranya melakukan percubaan bertahan dan mengurangkan kerugian nyawa seberapa mungkin sambil melakukan pengunduran apabila perlu. Perkara ini akan memakan masa tetapi Rullianus percaya bahawa tentera Rom akan bertahan lebih lama daripada musuhnya.

Di bahagian sayap yang lain, rakan seperjuangan Rullianus iaitu Decius telah menghadapi situasi yang sukar. Pasukan legiun Decius mengalami kekalahan berat kepada tentera Gaul. Tentera Gaul yang berlindung di balik perisai bertindak memberi tekanan kepada tentera Rom sebelum pasukan musuh Gaul itu berundur. Konsul Rom itu selanjutnya mengambil dasar tergesa-gesa dengan tidak mahu menunggu dan memeriksa sama ada pasukan-pasukan Gaul dilanda keletihan atau sebaliknya. Beliau kemudiannya mengambil tindakan dengan menunggang menuju ke bahagian sayap kiri sebelum memimpin satu serangan kavalri yang berhasil ke atas tentera berkuda Gaul sebanyak dua kali. Serangan itu telah mengusir kuda-kuda tunggangan Gaul daripada medan peperangan. Walau bagaimanapun, apabila serangan ketiga dilancarkan, pasukan berkuda beliau telah menyerang terlalu jauh sebelum mereka dikejutkan oleh kepungan pasukan berkuda musuh. Walaupun berada dalam kancah kegagalan taktik peperangan, mereka masih lagi bertahan. Kemudian, Gaul kini menghantar unit rata kuda mereka untuk menyertai pertempuran itu. Setiap daripada mereka telah membawa dan mengheret kereta bagasi di belakang. Pasukan tentera Rom yang tidak biasa dengan peperangan rata menyebabkan kuda-kuda Rom menjadi terkejut oleh bunyi bising yang dihasilkan oleh roda-roda kereta Gaul sebelum tentera-tentera Decius akhirnya berpecah.

Oleh kerana gagal untuk mengendalikan tunggangan, ramai askar kavalri Rom yang tidak terkawal telah melanggar barisan infantri yang lain. Barisan itu menjadi berselerakan dan meruntuhkan semangat dan moral tentera-tentera lalu ramai yang mengambil keputusan untuk meninggalkan medan pertempuran dengan serta-merta. Sebagai peluang yang terbuka bagi pihak Gaul, mereka telah melancarkan serangan lain ke atas barisan tentera Rom yang tidak tersusun sekali gus melanjutkan lagi pengusiran tentera-tentera Decius daripada medan pertarungan. Bapa Decius pernah mengorbankan dirinya dalam Perang Latin beberapa dekad yang lalu untuk menghasilkan kemenangan Rom. Kini, Decius sedar bahawa tibalah gilirannya untuk melakukan perkara yang sama. Beliau kemudiannya melaungkan ucapan yang kuat sehingga dapat didengari oleh semua tenteranya yang menyatakan bahawa inilah medan perjuangannya yang terakhir. Decius juga sempat melakukan doa sebelum beliau melancarkan serangan ke arah barisan tentera musuh yang paling ramai. Beliau kemudiannya dibunuh oleh lontaran tombak dan peluru-peluru serangan yang lain. Decius melakukan devotio sebelum mati terkorban sama seperti cara bapanya mati pada beberapa dekad yang lalu.

Dengan menyaksikan kematian pemimpin mereka itu, tentera Decius yang goyah berkumpul semula lalu kembali menyertai medan peperangan. Mereka sekali lagi memberikan tentangan sengit terhadap Gaul. Moyang kepada Scipio Africanus turut sama membantu dengan menyertai pasukan sayap. Dalam masa yang singkat, tentera Rom yang segar berjaya meraih kelebihan di bahagian sayap lalu mula memaksa tentera Gaul untuk berundur. Konsul Rom yang seorang lagi yang telah bertahan sejak pertempuran bermula mula menerima laporan yang menyatakan bahawa strateginya berhasil. Pihak Samnit yang menentangnya telah mula mengalami keletihan serta stamina mereka juga telah merosot kerana perlu menghadap pertempuran yang lama.

Pada masa itu, saki-baki tentera simpanan Rom telah dikirim ke arah pertempuran utama dan pasukan sayap kanan Rom berjaya mengusir tentera sayap musuh. Jeneral Rom akhirnya berjaya memecahkan barisan tentera musuh sehingga memaksa Egnatius bersama tenteranya meninggalkan sekutunya yang lain untuk melarikan diri ke kem. Pada masa itu, barulah Rullianus mendapati rakan sejawatnya telah pun terkorban. Dengan mencari peluang untuk meraih kemenangan, beliau telah menghantar 500 kavalri terbaik dari Campania dan pasukan legiun ketiganya untuk menyingkirkan sisa-sisa askar Gaul. Lalu, berakhirlah pertempuran ini apabila tentera bersekutu telah bercerai-berai dan musnah.

Kesan sunting

Republik Rom telah berjaya mengatasi konflik yang paling dahsyat mereka hadapi pada setakat ini. Sistem manipulus Rom yang diguna pakai terbukti berkesan dan fleksibilitinya. Kemenangan Rom ini bukannya satu kejayaan yang dipandang mudah. Seramai 8,700 tentera Rom terkorban terkujur di atas medan peperangan. Jumlah ini dilihat sebagai takdir bertuah menyebelahi mereka jika dibandingkan dengan musuh iaitu Samnit yang menanggung angka korban seramai 25,000 orang dan 8,000 lagi dibawa sebagai tahanan perang.

Catatan sunting

  1. ^ Livy, The History of Rome, 10,27; Livy stated that after the Etruscans and Umbrians had left the allies had a comparable force to the Romans.

Bibliografi sunting

  • Livy, Rome's Italian Wars: Books 6-10 (Oxford's World's Classics). Oxford University Press, 2103, ISBN 978-0199564859
  • Scullard, H.H. A History of the Roman World 753-146.

Pautan luar sunting