Sejarah Belgium: Perbezaan antara semakan

aspek sejarah
Kandungan dihapus Kandungan ditambah
Muhd Aiman65 (bincang | sumb.)
Mencipta laman baru dengan kandungan 'thumb|280px|Episod daripada [[Revolusi Belgium pada tahun 1830, hasil gambaran Gustaf Wappers (lukisan minyak, 1...'
(Tiada perbezaan)

Semakan pada 01:31, 1 Januari 2021

Kawasan yang dikenali sebagai Belgium pada hari ini telah menjadi tumpuan sejak zaman Rom lagi. Sejak abad ke-13 dan ke-14, kedudukan Belgium semakin menonjol apabila perdagangan kain telah membawa banda Bruges, Ghent dan Ypres menjadi terkenal dalam kalangan pedagang antarabangsa. Apabila Protestanisme tersebar di Eropah pada abad ke-16, Negera-negara Pamah (kini ialah Belgium, Belanda dan Luxembourg) mula-mula menerima tamparannya terutamanya dalam bentuk Calvinisme. Sebahagian besar masyarakat berasa kesal akan pemerintah mereka pada masa itu, Philip II dari Sepanyol yang merupakan penganut Katolik fanatik. Dari tahun 1568, beberapa siri peperangan yang berlanjutan selama 80 tahun telah menyaksikan Holland dan sekutu-sekutunya mengisytiharkan kemerdekaan di bawah Protestantisme manakala Belgium dan Luxembourg pula kekal di bawah pemerintahan Katolik – bermula dengan Sepanyol sebelum beralih kepada Austria Habsburg. Pemerintahan Perancis yang singkat namun membinasakan mula bertapak sebelum ia diikuti oleh Revolusi Perancis yang membawa kepada kemusnahan biara-biara kebanggaan mereka, yang sebelum ini ia memainkan peranan utama dalam perkembangan ekonomi luar bandar. Khususnya di Liège, pemerintahan keuskupan selama 800 tahun akhirnya berakhir. Selepas kekalahan Napoleon pada tahun 1815 (di Waterloo, berhampiran Brussels), Belanda menguasai Belgium selama 15 tahun. Belgium Katolik berpisah daripada Belanda Protestan pada tahun 1830, bersama-sama dengan sebahagian Luxembourg, manakala sebahagian lagi kekal bersama Belanda sehingga tahun 1890.

Episod daripada Revolusi Belgium pada tahun 1830, hasil gambaran Gustaf Wappers (lukisan minyak, 1835)

Pada masa itu, Belgium dilihat mengalami perkembangan yang pesat melalui perindustrian sambil dirangsang oleh aset kekejaman Raja Léopold II dalam merobek koloninya, Congo.

Dalam Perang Dunia Pertama, Belgium secara rasminya mengekalkan kedudukan neutralnya tetapi Jerman tetap melancarkan pencerobohan. Flanders Barat menjadi medan pertempuran berdarah dengan mengorbankan ribuan orang dan memusnahkan bandar-bandar termasuklah Ypres yang kaya dengan sejarah. Dalam Perang Dunia Kedua, Belgium menjadi saksi pertempuran yang hebat sekali lagi apabila Pihak Berikat cuba untuk mengusir penjajah Jerman Nazi. Ardennes (termasuk Luxembourg) merupakan babak serangan terakhir Hitler semasa Krismas pada tahun 1944. Selepas dua perang dunia, negara-negara Benelux bersama-sama muncul dalam meneraju keselamatan dan integrasi Eropah. Brussels kini menjadi ibu pejabat bagi Kesatuan Eropah dan NATO.

Prasejarah

 
Tulang Neanderthal yang ditemui berhampiran pekan Spy pada tahun 1886.

Kawasan moden Belgium telah dihuni oleh manusia sekurang-kurangnya selama 100,000 tahun dahulu. Tapak Neanderthal di bahagian timur Belgium merupakan salah satu tapak tumpuan utama di Eropah. Peninggalan Neanderthal pertama di dunia telah dijumpai di Engis, di Liège pada tahun 1829. Tapak-tapak Neanderthal yang lain seterusnya ditemui di Sclayn, Spy-sur-l'Orneau, Trooz, La Naulette dan Veldwezelt-Hezerwater. Peninggalan baka anjing pertama yang telah dijinakkan di dunia sejak 33,000 tahun dahulu juga ditemui di Belgium iaitu di Gua Goyet berhampiran Namur.

Homo sapiens (Cro Magnon) tiba di Belgium sekitar 30,000 tahun dahulu. Pada masa Maksimum Glasier Terakhir kira-kira 26,000 hingga 19,000 tahun dahulu, pergerakan galsier ke utara Eropah telah memaksa manusia untuk berpindah ke arah selatan di Franco-Cantabria yang terletak di Pyrenees. Selepas pencairan ais sekitar 10,000 tahun dahulu, manusia mula menghuni semula kawasan utara Eropah.

Pertanian, pembelajinakan dan pembuatan tembikar telah berkembang di Timur Jauh sejak 9,500 tahun SM dan ia tersebar ke seluruh Eropah pada lima alaf berikutnya. Peradaban Neolitik pertama yang sampai ke Belgium ialah Tembikar Linear (LBK) yang berkembang dari Jerman kira-kira 5,200 tahun SM.

Pada Zaman Neolitik Lewat, Belgium telah didiami semula oleh manusia dari tamadun Seine-Oise-Marne, yang berkembang pesat di bahagian Fagne-Famenne, Wallonia dari 3,000 tahun SM. Mereka telah membawa kultur Megalit dan beberapa monumen penting, antaranya termasuklah Wéris.

Penutur bahasa Indo-Eropah pertama dikatakan telah tiba pada permulaan tamadun Zaman Gangsa dari Eropah Tengah kira-kira 2,500 tahun SM. Mereka berkemungkinan menutur bahasa Proto-Celt.

Sekitar 500 tahun SM, tamadun La Tène berkembang dari Alps hingga ke barat Eropah dengan menyebarkan budaya Celtic klasik mereka.

Pada abad pertama SM, Belgium telah dibahagikan antara berbagai-bagai puak Celtic antaranya ialah Menapii (di wilayah timur dan barat Flanders), Nervii (di Brabant dan Antwerp), Eburones (di Limburg dan Liège), Atuatuci (di bahagian Hesbaye), Condrusi (di Condroz), Paemani (di Famenne) dan Treveri (di Luxembourg).

Zaman kuno

 
Peta Gaul pada masa penaklukan Rom.

Julius Caesar telah menakluk Gaul pada 57 SM. Pada masa ini, beliau mengeluarkan kenyataan yang terkenal di mana beliau menyatakan bahawa orang Gaul yang dari kalangan Belgae (Belgium) merupakan paling berani. Walau bagaimanapun, keberanian puak Belgae telah membawa kepada kehancuram mereka semua. Julius Caesar bertindak menghapuskan puak-puak Jermanik yang lain dan kebanyakannya terdiri daripada Menapii. Perkembangan ini kemudiannya menghasilkan satu ruang yang kosong untuk diisi oleh Rom sehinggalah puak-puak baru berhijrah dari arah utara dan timur. Sejak zaman pemerintahan Maharaja Augustus, Rom didesak untuk memberikan tentangan semula terhadap penceroboh dari Magna Germania.

Pada tahun 22 SM, Gallia Belgica telah dibentuk yang terdiri daripada kawasan moden Belgium, selatan Belanda (Maastricht, Nijmegen, Utrecht), Luxembourg dan bahagian barat Rhine di Jerman. Kemudian, ia menjadi wilayah yang mempunyai hak sendiri pada 89 M.

Sekitar abad ke-2 dan ke-3, satu puak Jermanik yang dikenali sebagai Frank telah berpindah dari Scandinavia menuju ke Negari-negari Pamah. Selepas menyerah kepada Maharaja Maximian, Frank Salia menjadi Laeti (sekutu kepada Rom) dan dibenarkan untuk menetap di Germania Rendah. Mereka merupakan puak Jermanik pertama yang membina petempatan kekal di Rom. Mereka juga ialah puak Jermanik pertama yang dirumikan, iaitu menyerap budaya-budaya Rom lalu membolehkan kelompok ini ada yang menjawat sebagai jeneral dan konsul empayar. Cara orang Frank menutur bahasa Latin akhirnya berkembang menjadi satu bentuk bahasa yang baru iaitu bahasa Perancis. Penaklukan Gaul Rom oleh dinasti Merovingia telah membolehkan penyebaran budaya dan bahasa Frank, yang akhirnya menjadi panduan untuk menamakan sebuah negara baharu, Perancis.

Merowig menjadi raja Frank pertama yang disebut oleh Rom dan dianggap sebagai pengasas kepada dinasti Merovingia. Beliau berasal dari Tournai, sebuah petempatan yang telah diasaskan oleh Rom sekitar tahun 50 M yang kemudiannya diserahkan kepada puak Frank sebagai satu fief. Anaknya, Childeric I telah membantu Rom untuk menewaskan Visigoth.

Cucu kepada Merowig, Chlodovech atau lebih dikenali sebagai Clovis I juga berasal dari Tournai. Beliau telah menakluk puak-puak Frank yang mendiami kawasan Negeri Pamah dan Rhineland sebelum mengisytiharkan dirinya sebagai penguasa mereka semua. Beliau juga mengalahkan Syagrius, pegawai Rom yang terakhir di utara Gaul serta menumpaskan Visigoth di barat daya Gaul. Hal ini membolehkan beliau untuk berkuasa ke atas hampir seluruh wilayah Gaul Rom. Beliau turut memeluk agama Katolik atas desakan isterinya, Clotide iaitu seorang puteri Burgundy. Lalu, Clovis menyebarkan agama Kristian kepada seluruh puak Frank yang masih mengamalkan pegangan paganisme.

Zaman Pertengahan

Pada dua abad seterusnya, kemerosotan pengaruh dinasti Merovingia telah mendorong kepada Charles Martel untuk mengisytiharkan dirinya sebagai Duke Frank dan menjadi penguasa Empayar Frank secara de facto. Pada tahun 732, beliau telah menyekat kemaraan penceroboh tentera Islam Umayyah dalam Pertempuran Tours sekali gus menyelamatkan Eropah daripada ancaman Islam.

Selepas kematian Charles, takhta diserahkan kepada anaknya, Pippin si Muda dan seterusnya kepada Carloman. Anak Pippin, Charles telah meluaskan Empayar Frank hingga ke Saxony, Croatia, utara Itali dan Catalonia. Beliau kemudiannya dikenali sebagai Charlemagne ("Charles Agung"). Pada tahun 800, beliau telah ditabalkan sebagai maharaja oleh Paus di Rom dengan mengisytiharkan dirinya sebagai pewaris takhta Empayar Rom yang berpusat di Aachen. Empayarnya telah bertahan buat hampir selama 1,000 tahun (sehingga Napoleon membubarkannya pada tahun 1806) dan ia dikenali meluas dengan nama Empayar Rom Suci.

 
Serangan Perancis ke atas Flanders pada tahun 1302, hasil ukiran Flanders dari abad ke-15.

Pada tahun 843, selepas anak Charlemagne meninggal, empayarnya berpecah kepada tiga bahagian. Charles yang Botak mewarisi bahagian Francia Barat yang kemudiannya dikenali sebagai Perancis. Anak yang sulung, Lothair I mewarisi bahagian Francia Tengah yang mana sebahagian besarnya kini terletak di Belgium. Louis si Jerman pula meraih bahagian Francia Timur. Ketiga-tiga orang adik beradik itu seterusnya berperang sesama mereka. Louis dapat merebut banyak wilayah kekuasaan Lothair sebelum beliau menjadi pewaris takhta Empayar Rom Suci.

Lotharingia Hilir yang merupakan salah satu duchy suku bagi Kerajaan Jerman dilihat hampir sama merangkumi kawasan moden Belgium dan Luxembourg. Duchy ini seterusnya dibahagikan kepada Duchy Babant, Kerajaan Uskup Liege dan beberapa kaunti lain termasuklah Luxembourg, Namur dan Hainault. Kaunti Flanders (merangkumi kawasan moden wilayah Flanders Barat dan Flanders Timur) merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perancis antara abad ke-9 dan ke-15 sebelum ia berada di bawah naungan Habsburg.

Bangsa Viking menjarah Flanders pada abad ke-9 dan ancaman mereka akhirnya dihapuskan di Leuven pada 891. Penguasa feudal Flemish bertindak mengukuhkan kubu dan pertahanan kota ketika masa sukar ini. Mereka juga menyumbangkan dana untuk mengasaskan guild lalu membolehkan Flanders menjadi pusat kekayaan. Bandar-bandar Flemish seperti Bruges, Ghent dan Ypres telah membangunkan pusat perdagangan dan tekstil, mengimport kapas dari England untuk dieskport ke seluruh dunia sehingga ke Rusia dan Amerika Utara.

 
Peta Negara-Negara Pamah pada tahun 1477.

Kaunti Flanders merupakan negeri naungan kepada Raja Perancis. Walau bagaimanapun, kepesatan ekonomi Flanders bergantung kepada pembekalan berterusan kapas yang berkualiti tinggi dari England. Jadi, apabila Flanders menyebelahi rakan dagang Inggeris semasa konflik Inggeris-Perancis, tentera Perancis mula mengatur langkah untuk "mengajar" mereka. Pada tahun 1302, pertempuran berdarah tercetus apabila peristiwa Bruges Matins membawa kepada ledakan pemberontakan anti-Perancis. Perkembangan ini mencapai kemuncaknya dalam Pertempuran Courtrai di Kortrijk yang mana kesatria Perancis mengalami kekalahan. Sejak tahun 1830, pertempuran itu diabadikan sebagai simbol kebanggaan Belgium (atau baru-baru ini Flemish). Namun, pemberontakan ini berakhir dengan perjanjian hina yang dimeterai pada tahun 1305. Flemish malangnya akur kepada kekuasaan Raja Philip IV dengan membayar pampasan yang besar serta menyerahkan bandar-bandar yang maju dengan industri tekstil, Lille dan Douai kepada Perancis (kedua-duanya kekal di negara Perancis sehingga ke hari ini).

Prinsipaliti Liège yang merangkumi sebahagian besar wilayah Liege, Namur, Limburg dan sebahagian Luxembourg kekal sebagai kerajaan merdeka di bawah naungan Empayar Jerman Suci sehingga peristiwa Revolusi Perancis. Banyak konflik yang meledak antara Prinsipaliti Liège menentang Duke Brabant serta Count Namur dan Luxembourg. Peperangan yang paling terkenal ialah Guerre de la Vache ("Perang Lembu") yang berlaku antara tahun 1275 dan 1278.

Pada abad ke-15, sebahagian besar negara Belgium telah beralih kepada Duke Burgundy melalui beberapa siri perkahwinan. Duke Burgundy telah memerintah wilayah pegangan mereka di Belanda dari pusat pemerintahan di Brussels, yang pada masa itu menjadi ibu kota Negeri Pamah. Bahkan, Dataran Besar telah dibina buat pertama kali (ia dibina semula selepas Raja Louis XIV membedil dan memusnahkannya pada tahun 1695).

Pemerintahan Habsburg

Pada awal 1500-an, Monarki Habsburg (dari Austria), Burgundy dan Sepanyol telah disatukan di bawah pemerintahan Charles V dari Habsburg. Perkembangan ini membolehkan Eropah menyaksikan empayar terbesar di benua tersebut semenjak zaman Rom (yang telah berakhir 1,000 tahun yang lalu) sehingga zaman Napoleon (pada 300 tahun kemudian). Empayar itu merangkumi kawasan moden Sepanyol, Austria, timur Perancis, Benelux, selatan Itali, beberapa negara kota Itali, Jerman dan wilayah taklukan di benua Amerika dari Mexico hingga ke Peru. Charles V telah dilahirkan di Ghent, bahagian penutur bahasa Belanda yang terdapat di Belgium tetapi beliau berpendidikan di Perancis melalui rombongan Burgundy. Pada mulanya, beliau memerintah empayarnya dari Brussels. Kemudian, beliau menjelajah ke seluruh wilayah penguasaannya di Eropah sebelum menetap di Sepanyol sehingga beliau meninggal.

Empayar Habsburg lalu dibahagikan antara anak Charles V, Philip II dan abang kepada Charles V, Maximilian II. Philip ditabalkan menjadi Raja Sepanyol dan memperoleh koloni-koloni di benua Amerika, selatan Itali dan Belanda (kebanyakannya kini di Benelux) manakala Maximilian pula mendapat takhta Empayar Rom Suci dan Empayar Austria.

Revolusi keagamaan

 
Armada Sepanyol bertembung dengan kapal Inggeris pada tahun 1588.

Dari pertengahan abad ke-15, kemajuan penciptaan mesin cetak telah membawa kepada perkembangan pendidikan. Tokoh pemikir humanisme seperti Erasmus dan Thomas More tertarik menuju ke pusat intelektual terkemuka di Mechelen dan Brussels. Walau bagaimanapun, pencetakan juga memudahkan golongan celik huruf yang terdiri daripada rakyat biasa untuk membaca kitab Bible. Kemudian, golongan paderi bertindak memungut keuntungan dengan menjual sijil indulgensi (bagi mengurangkan hukuman dosa). Dengan itu, mereka tidak perlu beramal untuk memohon keampunan Tuhan. Kesannya telah membawa kepada kemunculan Gerakan Refomasi atau Protestan. Philip II yang merupakan pengikut Katolik yang taat cuba menjalankan dasar Pasitan Sepanyol untuk menyekat perbezaan pendapat yang didalangi oleh Protestan. Namun, kenaikan harga cukai kepada pedagang-pedagang Sepanyol telah menyebabkan api kebencian terhadap dirinya semakin membara. Pada tahun 1566, golongan Protestan telah merusuh, menggeledah gereja dalam peristiwa Beeldenstorm – banyak patung suci telah dihapuskan, yang mana mereka anggap sebagai berhala. Philip membalas dengan cara kekerasan di mana 10,000 tentera yang dipimpin oleh Duke Alba (Alva). Pelantikan Alba sebagai gabenor Negeri Pamah telah memperlihatkan kekejaman dan kezalimannya. Hal ini telah mengundang kepada pergolakan yang berlangsung selama 80 tahun yang ditandai dengan peristiwa Pemberontakan Belanda, Perang Agama dan Perang Lapan Puluh Tahun. Penglibatan British yang jelas terutamanya apabila Ratu Elizabeth I yang beragama Protestan bertindak menyokong puak pemberontak untuk menentang Philip, iaitu abang iparnya. Akibat campur tangan England di Flanders, Sepanyol telah menghantar Armada tetapi ia menjurus kepada kekalahan Sepanyol pada 1588.

Belanda Sepanyol

 
William dari Orange, dilukis oleh Adriaen Thomasz Key pada 1579.

Selepas tahun-tahun kemusnahan, Belanda berjaya mengusir Sepanyol lalu muncul sebagai sebuah negara bebas beridentitikan Protestan. Namun, Sepanyol kembali menguasai semula Belgium dan Luxembourg (dikenali sebagai 'Belanda Sepanyol'). Di bawah pemerintahan Sepanyol, masyarakat menerima tekanan hebat daripada penganut Katolikisme. Perkembangan ini memaksa ramai penganut Protestan dan pemikir anti-Sepanyol (membabitkan ramai golongan pedagang) untuk berpindah ke Belanda atau England. Sementara itu, keadaan ekonomi tidak berkembang maju walaupun Liège pada masa itu merupakan sebuah kerajaan uskup yang bebas dan luas tetapi mereka menghadapi kebuntuan ekonomi teruk.

Pada tahun 1598, Philip II menyerahkan pentadbiran Belanda Sepanyol kepada anak perempuannya, Infanta Isabella dan suaminya, Archduke Albert dari Austria. Saat peperangan berlangsung sekali-sekala, pihak istana telah menaja sektor industri baharu seperti pembuatan kain renda dan penghasilan berlian. Gereja-gereja bergaya baroque turut dibina untuk menonjolkan pengaruh Gereja Katolik yang dihiasi dengan karya-karya seni mengagumkan.

Pada tahun 1648, Perjanjian Damai Westphalia akhirnya mengiktiraf kemerdekaan Belanda daripada Sepanyol dan Empayar Rom Suci. Walau bagaimanapun, ‘perdamaian’ ini telah membawa satu bencana ekonomi terhadap Belanda Sepanyol, di mana terdapat satu fasal perjanjian itu menuntut sebahagian laluan Sungai Scheldt harus ditutup kepada semua kapal selain dari Belanda. Kesannya, perdagangan di Antwerp terjejas dengan teruk manakala Amsterdam membuka tirai zaman kegemilangannya yang muncul sebagai pusat pelabuhan utama. Perjanjian ‘damai’ ini juga bertahan singkat. Perancis menghulurkan bantuan kepada wilayah Flanders dan selatan Wallonia pada 1650-an. Kemudian pada tahun 1667, semasa Sepanyol berperang dengan Portugal serta peperangan antara Belanda dan England berlangsung, peluang Louis XIV untuk memperoleh kelebihan terbentang luas. Belanda dan British seterusnya menamatkan perbalahan untuk menghalang kemaraan Perancis. Bahkan, British dan Belanda menjadi sekutu selepas England kembali kepada Protestan dan William dari Orange ditabalkan menjadi Raja England, dengan gelaran William III (penguasa England bersama dengan Mary II). Namun begitu, Perang Perancis-Belanda terus berlangsung yang mana Belgium menjadi medan pertempuran utama konflik ini. Peperangan ini mencapai kemuncaknya pada tahun 1695 apabila Raja Louis XIV membedil Brussels menjadi serpihan. Perancis dengan sekali lagi menduduki sebahagian besar kawasan itu dengan mengirim jurutera tentera mereka, Vauban untuk mengukuhkan kubu pertahanan seperti di Namur, Ypres, Philippeville dan Luxembourg.

Pemerintahan Austria dan pendudukan Perancis

 
Belanda Austria pada tahun 1786 dan kelihatan ia dibelah oleh Keuskupan Liège.

Apabila Charles II dari Sepanyol mangkat tanpa meninggalkan pewaris pada 1700, beliau telah mewasiatkan agar Belanda Sepanyol diserahkan kepada putera Perancis. Perkembangan ini bermakna kerajaan Sepanyol dan Perancis lama-kelamaan berkembang menjadi sebuah kuasa besar. Hal ini sekali gus membimbangkan pihak Britain dan Belanda lalu membawa kepada Perang Warisan Sepanyol (1701–13). Tentera Perancis dan Inggeris telah bertempur hampir selama sedekad sehingga Perjanjian Utrecht ditandatangani. Perjanjian itu memperlihatkan Sepanyol menyerahkan Belgium dan sebahagian besar Itali kepada Austria Habsburg, yang seterusnya memerintah wilayah itu dari 1713 hingga 1794. Dengan dipengaruhi oleh Zaman Pencerahan, pihak Austria telah melonggarkan penapisan dan menggalakkan usaha-usaha pembangunan yang berkesan.

 
Gambaran Pertempuran Waterloo di Belgium.

Pada tahun 1789, Revolusi Perancis telah menghumban keadaan politik Eropah ke dalam kancah pergolakan yang baharu. Rusuhan antikeagamaan dan antiberaja di Paris juga bergema di Belgium, di mana Revolusi Brabant telah mewujudkan negara Belgium Syarikat yang bertahan singkat manakala Revolusi Liège pula menggulingkan keuskupan Liège bagi menubuhkan Republik Liège. Austria kemudiannya memulihkan kembali keadaan politik di sana seperti sedia kala. Namun pada tahun 1794, tentera Perancis telah berarak ke Belanda Austria lalu mereka memperkenalkan undang-undang Perancis, antaranya termasuklah penindasan terhadap Gereja Katolik. Kemerdekaan keuskupan Liège telah berakhir serta-merta, banyak gereja dijarah dan biara-biara yang mengagumkan di Belgium dirampas dan tanah-tanah mereka lalu dimiliknegarakan. Bahkan, gereja juga dimusnahkan untuk mendapatkan bekalan binaan batu bangunan.

Napoleon Bonaparte yang menerajui Empayar Perancis telah dihancurkan selepas percubaannya untuk menakluk Rusia pada 1812. Namun, ‘Boney’ melakukan kemunculan terakhir pada tahun 1815 apabila masa depan seluruh benua Eropah ditentukan dalam Pertempuran Waterloo yang berlumpur, hujan dan pertarungan yang berlangsung selama beberapa jam berhampiran Brussels. Selepas kekalahan Napoleon, Kongres Vienna telah mewujudkan Kerajaan Bersatu Belanda, yang pada hari ini ia merangkumi Belanda dan Belgium. Sementara itu, Duchy Agung Luxembourg yang baru dipulihkan (dua kali ganda daripada saiznya pada hari ini) telah diisytiharkan sebagai hak milik peribadi raja Belanda, yang juga berperanan sebagai Duke Agung.

Kerajaan Bersatu Belanda

Kerajaan Bersatu Belanda diwujudkan untuk memelihara keseimbangan kuasa di Eropah dan untuk mewujudkan negara penampan bagi menghalang serangan Perancis. Masyarakat yang berbeza agama dan adat ini dipaksa untuk bersatu tetapi ia telah membawa kepada sedikit kesan. William dari Orange-Nassau, ditabalkan sebagai William I di Brussels telah dimusuhi ramai apabila beliau menolak untuk memberikan perwakilan politik yang adil dari selatan serta cuba untuk menjadikan bahasa Belanda sebagai bahasa kebangsaan. Isu bahasa bukan sahaja menaikkan kemarahan Francophone, malahan juga penutur Flemish yang menganggap bahasa pertuturan mereka berbeza daripada bahasa Belanda. Kemudian, persembahan opera yang diadakan di Brussels telah mencetuskan satu revolusi pada 25 Ogos 1830.

Kemerdekaan

 
Leopold I menjadi raja Belgium pertama pada tahun 1831.

Persidangan London pada tahun 1831 telah mengiktiraf kemerdekaan Belgium (termasuk Luxembourg pada awalnya) dan ia diisytiharkan sebagai sebuah negara neutral. Seorang ahli kerabat diraja yang tunakarya, Léopold dari Saxe-Coburg yang tertekan di London berikutan kematian isterinya, iaitu Puteri Wales, segera keluar daripada istana British untuk ditabalkan sebagai Leopold I dari Belgium. Walau bagaimanapun, kemerdekaan Belgium hanya diiktiraf oleh Belanda pada tahun 1839 setelah Belgium bersetuju untuk ‘menyerahkan semula’ sebahagian wilayah timur Luxembourg (negara Luxembourg sekarang) yang diiktiraf oleh raja Belanda sebagai Duke Agung.

Harapan Belgium untuk berjaya sebagai sebuah kerajaan merdeka dianggap tidak megah pada masa itu. Namun, Léopold terbukti seorang pemerintah yang berkebolehan. Revolusi Perindustrian juga membantu merangsang perkembangan negara di mana lombong arang batu telah dibangunkan di Borinage (berhampiran Mons dan Charleroi) manakala industri penghasilan besi mendatangkan kekayaan kepada bandar Liège.

Selepas menaiki takhta pada tahun 1865, Léopold II bertanggungjawab dalam mengubah negara pemerintahannya yang kecil berubah menjadi sebuah negara yang disegani di mata dunia. Beliau telah berusaha memajukan Brussels dengan mengarahkan pembinaan bangunan yang penting seperti Palais de Justice.

Seterusnya, pada tahun 1885, selepas melalui beberapa siri perjanjian dan kontrak yang meragukan, Léopold telah mendapatkan sendiri wilayah yang luas di tengah Afrika di mana saiznya 70 kali lebih besar daripada Belgium. Wilayah itu dikenali sebagai Negara Bebas Congo. Léopold merupakan perencana kepada perdagangan hamba yang terdiri daripada orang Congo di mana khidmat mereka didapati secara percuma. Ladang-ladang getah terbukti membawa keuntungan yang besar kepada Léopold (tayar telah dibangunkan pada pertengahan 1890-an), tetapi manual tentera Congo pada masa itu mejelaskan bahawa golongan perempuan dan kanak-kanak dipaksa dalam tahanan untuk memaksa kaum lelaki bekerja bagi memenuhi permintaan getah. Laporan mengusulkan bahawa selepas 25 tahun, satu jumlah bilangan yang besar – mungkin hingga mencecah sebahagian daripada populasi Congo telah terkorban sama ada secara langsung atau tidak langsung berikutan pemerintahan Léopold. Penulis-penulis seperti Mark Twain dan Sir Arthur Conan Doyle merupakan tokoh yang lantang berkempen untuk pembaharuan di Congo. Novel Heart of Darkness karya Joseph Conrad yang memberi inspirasi kepada filem Apocalypse Now berlatarkan tempat di Congo semasa pemerintahan Léopold. Akhirnya pada tahun 1908, raja Belgium itu terpaksa menyerahkan Congo kepada Belgium disebabkan oleh reputasi buruknya terhadap negara itu. Namun, Congo tetap menjadi koloni Belgium yang penting sehingga tahun 1960.

Perang Dunia Pertama

 
Seorang tentera Belgium sedang memegang mesingan di barisan hadapan pada tahun 1918.

Selepas Léopold II mangkat pada tahun 1909, beliau telah digantikan oleh anak saudaranya, Albert I. Lima tahun kemudian, seluruh dunia berubah apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama. Malahan, Jerman telah menduduki Belgium yang neutral. Walau bagaimanapun, kemaraan Jerman yang pantas telah dilumpuhkan oleh pertahanan yang kukuh di Liège. Sejauh ke Nieuwpoort yang terletak di utara, kemaraan Jerman telah dihalang disebabkan oleh taktik licik lama yang menghasilkan banjir di kawasan dataran rendah. Taktik ini memerlukan kerja pembukaan pintu air terusan yang dikendalikan oleh sukarelawan yang berani. Hanya terdapat saki-baki kawasan Belgium berhampiran Veurne tidak diduduki oleh Jerman. Raja Albert juga menetap di sana untuk memimpin sendiri tentera Belgium. Dengan itu, kemaraan Jerman menuju ke bandar-bandar yang terletak di kawasan pesisiran pantai Perancis dapat dihalang. Brave Little Belgium dan Remember Belgium telah digunakan sebagai poster pengerahan tentera di Great Britain. Namun, serangan balas Kuasa Bersekutu terbukti sia-sia. Pasukan tentera telah bertindak menggali parit dan mereka menjadi buntu akibat serangan mendadak yang dilancarkan sia-sia dengan mengorbankan ribuan mangsa serta memusnahkan Flanders Barat.

Selepas berakhirnya Perang Dunia Pertama, Perjanjian Versailles telah memansuhkan status neutral Belgium. Belgium juga menerima ganti rugi daripada Jerman yang termasuk penyerahan kawasan pada hari ini dikenali sebagai Eupen-Malmedy serta bekas koloni Jerman di Burundi dan Rwanda. Pada tahun 1934, Raja Albert I yang disayangi rakyat telah meninggal dalam kemalangan pendakian bukit secara misteri lalu beliau digantikan oleh anaknya, Léopold III.

Perang Dunia Kedua

 
Tentera Amerika ketika Pertempuran Bulge.

Pada 10 Mei 1940, tentera Jerman telah melancarkan serangan mengejut dengan pantas ke atas Belanda, Belgium dan Luxembourg. Tidak seperti bapanya, raja Belgium iaitu Léopold III hanya melancarkan sedikit penentangan lalu beliau menyerah kalah kepada Jerman sekali gus meletakkan Pihak Berikat dalam keadaan yang berbahaya. Penampilannya yang beralah akhirnya memaksa beliau untuk digulingkan pada tahun 1951. Kerajaan Belgium yang menentang keputusan raja itu telah berpusat di London dan beroperasi secara buangan sepanjang Perang Dunia Kedua. Gerakan penentangan yang hebat telah dijalankan sepanjang pendudukan Nazi. Namun, terdapat juga pihak yang bersekongkol dengan musuh yang berakar daripada elemen fasis yang wujud dalam masyarakat Belgium, terutamanya Parti Rexisme pimpinan Léon Degrelle serta pecahan gerakan nasionalis Flemish. Rejim Nazi dengan sengajanya membangkitkan pertikaian yang berpanjangan antara kumpulan linguistik atas tujuan dasar pecah dan perintah. Populasi masyarakat Yahudi di Belgium dan minoriti Roma (gipsi) menjadi sasaran untuk dihapuskan oleh pihak berkuasa Nazi.

Apabila Belgium dibebaskan pada tahun 1944, abang kepada Léopold, Charles telah dilantik sebagai pemangku raja yang mana beliau menggalas jawatan itu sehingga penggulingan Léopold.

Selepas perang

Walaupun menghadapi saat-saat sukar semasa peperangan, Belgium telah bangkit semula dengan pantas hasil perkembangan industri arang batu dan besi. Pada tahun 1958, Pameran Dunia Brussels telah mempamerkan kemajuan industri Belgium, yang merupakan satu mesej disampaikan oleh seni bina unik Atomium. Pada tahun yang sama, Brussels menjadi ibu pejabat sementara bagi Suruhanjaya Eropah. Pada tahun 1967, NATO telah memindahkan ibu pejabatnya ke Brussels dari Perancis selepas Perancis mengambil keputusan untuk berundur daripada sayap ketenteraan NATO. Belgium juga merupakan anggota pengasas NATO dan telah menyumbangkan banyak bantuan ketenteraan semasa Perang Dingin.

 
Bahagian dan provinsi yang terdapat di Belgium.

Namun, pertikaian linguistik tetap berterusan dan satu 'sempadan bahasa' secara rasminya dilakar pada tahun 1963, dengan menghasilkan empat kawasan mengikut bahasa pertuturan utama (komuniti berbahasa Belanda, Perancis, Jerman serta kawasan dwibahasa Brussels). Seperti di negara-negara Barat yang lain, Flower Power yang aman dan damai telah digoncang oleh tunjuk perasaan para pelajar secara kekerasan pada tahun 1968. Di Belgium, rusuhan berlaku di kawasan berbilang komuniti di Leuven, di mana penutur bahasa Perancis di universiti terkemuka di bandar itu dipaksa untuk berpindah meninggalkan bandar Flemish itu lalu berpindah secara rahsia ke Louvain-la-Neuve.

Pada tahun 1960, Congo Belge telah diberikan kemerdekaan manakala Rwanda dan Burundi pula mengisytiharkan kemerdekaannya pada dua tahun kemudian, yang mana kedua-dua negara itu merupakan wilayah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kerajaan dan populasi Belgium terus mengekalkan minat dalam usaha pembangunan di Afrika Tengah, yang banyak menerima bantuan pembangunan dari Belgium.

Pada era 1970-an, ekonomi global menerima tamparan hebat apabila harga minyak meningkat sebanyak empat kali ganda. Perindustian berat ‘lama’ (perlombongan, kaca, logam) telah merosot dan menjejaskan Wallonia yang dahulunya terkenal sebagai pusat perlombongan dan keluli. Usaha-usaha untuk membantu industri-industri yang terjejas teruk dengan bantuan subsidi terbukti sia-sia. Namun, di kala ekonomi Wallonia tidak dapat berkembang, perindustrian di Flanders yang pelbagai dan berskala kecil tidak begitu terjejas. Pada tahun-tahun berikutnya, ekonomi Flanders telah meluru di hadapan apabila pelaburan terhadap teknologi-teknologi baharu berjaya membuahkan hasil. Pertambahan ekonomi ini juga telah membawa kepada peningkatan pertikaian antara komuniti linguistik. Pembaharuan negara pada 1980-an dan 1990-an telah memberikan parlimen kepada komuniti linguistik dan tiga bahagian (Flanders, Wallonia dan Brussels) serta negara persekutuan yang baharu.

Ekonomi negara kini berada di kedudukan antara 15 negara memiliki KDNK terbesar di dunia dan ia bergantung kepada sektor pembuatan, industri mekanikal dan kimia serta perdagangan. Pelabuhan Antwerp merupakan salah satu daripada sepuluh pelabuhan terbesar di dunia dan merupakan pelabuhan kedua tebesar di Eropah.

Pada Ogos 1993, setelah kemangkatan Raja Baudouin, adik beliau ditabalkan menjadi raja Belgium dengan gelaran Albert II. Pada tahun 2002, euro telah menggantikan franc Belgium sebagai mata wang negara. Setahun kemudian, Belgium menegakkan kelantangan terhadap campur tangan Amerika Syarikat di Iraq bersama-sama dengan Perancis dan Jerman. Pada tahun yang sama, Belgium telah menjadi negara kedua di dunia yang membenarkan perkahwinan sejenis selepas Belanda.

Dalam tempoh antara 13 Jun 2010 hingga 6 Disember 2011, Belgium melalui krisis kerajaan terpanjang di dunia yang berlangsung selama 541 hari. Kebuntuan politik telah diakhiri dengan pelantikan perdana menteri, Elio di Rupo yang merupakan seorang sosialis Walloon dan berasal daripada keturunan Itali. Pada 21 Julai 2013, Raja Albert II turun daripada takhta selepas lebih 20 tahun memerintah sekali gus membenarkan puteranya, Philippe untuk menaiki takhta sebagai raja Belgium ketujuh.

Pautan luar

[1]