Asam rong: Perbezaan antara semakan

Kandungan dihapus Kandungan ditambah
Mencipta laman baru dengan kandungan '==Pengenalan== Bagi masyarakat di sebelah Pahang selatan nama asam rong bukanlah asing bagi mereka. Asam rong ini dijadikan makanan tradisi yang diwarisi …'
(Tiada perbezaan)

Semakan pada 04:16, 18 Mei 2009

Pengenalan

Bagi masyarakat di sebelah Pahang selatan nama asam rong bukanlah asing bagi mereka. Asam rong ini dijadikan makanan tradisi yang diwarisi dari turun-temurun. Asam rong merupakan salah satu makanan tradisional masyarakat di daerah Jerantut Pahang ini. Asam rong ini cukup popular di kawasan di dalam daerah Jerantut ini iaitu di Kampung Ulu Tembeling, Kampung Kuala Tembeling, Kampung Kuala Tahan dan sekitarnya. Kini asam rong mula dikenali hingga ke beberapa daerah dalam negeri Pahang yang lain seperti di Kuala Lipis, Maran Raub dan Kuantan.


Asal Asam Rong

Asam rong ini dipopularkan oleh penduduk di sebelah kampung Ulu Tembeling dan asam rong ini pada asalnya diperbuat dari buah perah iaitu sejenis buah yang didapati dari pokok perah yang tumbuh di dalam hutan tebal. Namun menyedari sukarnya mencari dan mendapatkan buah perah ini penduduk di sini mula mencari alternatif lain dengan menggantikan dengan biji getah iaitu biji dari pokok getah. Pada masa kini mereka menggunakan biji getah kerana ianya senang diperolehi berbanding dengan buah perah yang perlu dicari di dalam hutan tebal. Memandangkan kebanyakan penduduk di sini banyak menanam pokok getah sebagai sumber pendapatan utama mereka maka penggunaan biji getah untuk membuat asam rong ini memudahkan mereka mendapatkan bahan tersebut.

Asam rong ini bukanlah mempunyai rasa masam seperti lazim asam yang lain, ianya mempunyai rasa yang sedikit pahit dan lemak. Mungkin kerana ianya diperam berbulan-bulan lamanya dan dipanggil asam oleh penduduk di sini lantaran cara penyedian dan penyimpanannya sama dengan asam yang lain.

Cara Memproses Asam Rong

Bahan utama yang diperlukan untuk membuat asam rong ini ialah biji getah atau buah perah. Biji getah ini dikutip di bawah pokok getah yang gugur dari pokok-pokok getah yang telah matang. Biji getah ini dikumpulkan lalu dipecahkan kulitnya untuk mendapatkan isi yang berwana putih kerana biji getah ini mempunyai kulit yang keras dan licin.

Apabila kesemua biji getah ini dipecahkan lalu isinya dikumpul dan dijemur di tengah panas. Proses penjemuran ini memakan masa 3 hingga 7 hari bergantung kepada keadaan kekeringannya. Setelah kering isi biji getah tadi ditumbuk tetapi tidak terlalu hancur seperti menuumbuk kacang untuk dibuat kuah ketupat.

Isi biji getah tadi yang telah ditumbuk lalu diperam di dalam bekas yang bertutup dan sedia untuk dimasak. Kebiasaanya asam rong ini boleh bertahan hingga berbulan-bulan lamanya walaupun tidak di simpan di dalam peti sejuk.

Gulai Asam Rong

Bagi penduduk di sini asam rong boleh dimasak bersama ikan atau sayur seperti kangkung. Jika ia dmasak dengan menggunakan ikan ia dikenali sebagai gulai asam rong. Cara memasak gulai asam rong ini sama seperti cara memasak gulai yang lain cuma perlu dicampurkan sedikit asam rong ini (tiga hingga lima sudu camca teh) di dalam masakan tersebut. Asam rong ini boleh dipelbagaikan cara masakkanya bergantung kepada daya kreativiti tukang masaknya.

Keunikkan Rasanya

Bagi yang baru pertama kali merasainya mungkin ada yang terus jatuh hati dengan keunikkan rasanya yang berbeza dengan masakan Melayu yang lain dan mungkin juga ada yang tidak menyukai dengan masakan ini. Bagi penggemar gulai asam rong ini aroma baunya sahaja sudah cukup memberikan selera makan yang luar biasa.