Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia: Perbezaan antara semakan

Kandungan dihapus Kandungan ditambah
Che090572 (bincang | sumb.)
Mencipta laman baru dengan kandungan ''''Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia''' adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang mengendalikan …'
(Tiada perbezaan)

Semakan pada 02:39, 3 Jun 2009

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang mengendalikan pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan dan parti politik. Di bawah Seksyen 2, Akta Pertubuhan 1966, sesebuah pertubuhan adalah didefinisikan sebagai mana-mana kelab, perkongsian atau persatuan yang mengandungi tujuh ( 7 ) orang atau lebih, tidak kira apa jua jenis atau tujuannya, sama ada sementara atau kekal tetapi tidak termasuk badan-badan yang perlu didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis seperti syarikat, koperasi, kesatuan sekerja, persatuan ibu bapa dan guru, badan-badan sukan dan lain-lain.

Matlamat

Matlamat Jabatan ini ialah untuk menentukan pertumbuhan dan perkembangan pertubuhan yang sihat serta teratur dan tidak bercanggah dengan kehendak-kehendak keamanan, kebajikan, keselamatan, ketenteraman awam atau akhlak.

Fungsi

Fungsi utama Jabatan adalah untuk mentadbir dan menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 dan dasar-dasar mengenai pertubuhan; mengawal dan mengawasi pertubuhan supaya tidak bertentangan dengan keamanan, kebajikan, keselamatan, ketenteraman awam, ketertiban atau akhlak negara Malaysia serta mengurus dan menyimpan rekod-rekod pendaftaran berkaitan dengan pertubuhan dan cawangan pertubuhan berdaftar.

Aktiviti Pendaftaran

Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, Jabatan menjalankan tugas-tugasnya dari aspek pendaftaran, pengawasan dan pengawalan. Dalam hal ini penumpuan diberi kepada beberapa aktiviti berikut:

  • Memproses permohonan untuk mendaftarkan pertubuhan baru dan permohonan untuk kebenaran bagi menubuhkan cawangan pertubuhan.
  • Memproses permohonan daripada pertubuhan berdaftar mengenai pertukaran nama dan alamat, pindaan undang-undang, pendaftaran undang-undang baru dan kebenaran menggunakan bendera, lambang dan lencana serta tanda-tanda lain.
  • Mendaftar pegawai-pegawai awam bagi pertubuhan untuk urusan pendakwaan di mahkamah.
  • Mengesahkan pelantikan pemegang-pemegang jawatan pertubuhan bagi menyempurnakan segala suratcara berkaitan dengan harta takalih pertubuhan.

Aktiviti Pengawasan dan Pengawalan

Di dalam aktiviti pengawasan dan pengawalan pula, Jabatan bertanggungjawab di dalam:

  • Mengawal kegiatan-kegiatan pertubuhan dan cawangan pertubuhan supaya selaras dengan tujuan-tujuan berdaftarnya dan tidak bertentangan dengan keamanan, kebajikan, keselamatan, ketenteraman awam, ketertiban atau akhlak di Malaysia.
  • Menyemak penyata kewangan tahunan pertubuhan dan cawangan pertubuhan bagi memastikan kepentingan dan hak ahli-ahli adalah terjamin.
  • Menyemak minit mesyuarat, penyata tahunan dan maklumat-maklumat lain yang diperolehi daripada pertubuhan dan cawangan pertubuhan atau daripada agensi-agensi lain bagi memastikan pertubuhan menjalankan kegiatan-kegiatannya berlandaskan undang-undang berdaftarnya dan tidak bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 atau peraturan-peraturan di bawahnya.
  • Menentukan jawatan-jawatan di dalam pertubuhan dan cawangan pertubuhan tidak dipegang oleh orang-orang yang boleh memudaratkan keamanan, kebajikan, keselamatan, ketenteraman awam, ketertiban atau akhlak di Malaysia.
  • Menentukan supaya semua pertubuhan berdaftar termasuk cawangan pertubuhan bertindak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri dalam Malaysia.
  • Memastikan semua pemegang jawatan, penasihat dan pekerja pertubuhan dan cawangan pertubuhan adalah sah dan tidak hilang kelayakan mereka di bawah Seksyen 9A, Akta Pertubuhan 1966 untuk memegang atau menjawat jawatan dalam pertubuhan dan cawangan pertubuhan.
  • Memastikan hanya mereka yang tidak dikenakan sekatan sekatan di bawah Seksyen 49, Akta Pertubuhan 1966 memegang jawatan di dalam pertubuhan dan cawangan pertubuhan.
  • Mengambil tindakan untuk membatalkan pendaftaran pertubuhan dan cawangan pertubuhan yang melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 2A, 5, 13 dan 16 Akta Pertubuhan 1966.
  • Mengambil tindakan mendakwa pertubuhan dan ahli-ahli jawatankuasa pertubuhan yang melanggar peruntukan-peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

Sejarah

Pada zaman pemerintahan penjajahan British, pihak penjajah British telah menggalakkan secara aktif kedatangan orang-orang keturunan Cina ke Malaya seperti mana negara disebutkan pada masa itu.

Pendatang-pendatang orang Cina adalah terlibat terutama sekali dalam aktiviti-aktiviti perlombongan timah dan perdagangan. Mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Hakka yang berasal dari pendalaman Kwangtung, Kantonis berasal dari Canton, Hokkien berasal dari Daerah Amoy di Selatan Fukien dan suku-suku lain yang mempunyai perbezaan dailek, kebudayaan dan fungsi ekonominya. Semasa berada di Tanah Melayu, mereka telah membentuk perkumpulan yang dikenali sebagai "Huay Kuan" dan ”Kongsi".

Dari segi keahlian "Huay Kuan" dihadkan kepada mereka yang datang dari wilayah yang sama dan persamaan dailek di negeri China, manakala keahlian ”Kongsi” dibuka kepada mereka yang mempunyai nama keluarga yang sama. Ada juga perkumpulan yang dibentuk berasaskan kepada persamaan pekerjaan dipanggil ”Shay-Hui” dan pertubuhan lain yang bercorak kebajikan, keagamaan, sosio-budaya dan hiburan. Tujuan utama penubuhan "Huay Kuan", ”Kongsi” dan ”Shay-Hui” adalah untuk bertindak sebagai badan kerjasama untuk faedah bersama dan menyemaikan perasaan kekitaan serta memberi perlindungan di kalangan ahli-ahlinya. Pada amnya, badan-badan ini berorientasikan kebajikan dan memberi bantuan kepada ahli-ahli yang baru sampai dari China untuk mencari pekerjaan dan memberi tempat tinggal.

Di samping badan-badan yang disebutkan di atas, terdapat juga kongsi-kongsi gelap (disebutkan dalam Akta sebagai "Triad Societies") yang menjalankan aktiviti-aktiviti anti-sosial dengan cara menggunakan keganasan yang mengancam struktur pentadbiran penjajahan British. Akibatnya, secara berperingkat, pentadbiran penjajahan British telah mengawal keadaan dengan mengambil pelbagai langkah seperti berikut:

  • Menubuhkan jawatan "Secretary For Chinese Affairs" (SCA) yang bertanggungjawab mentadbir hal ehwal dan mengawal kegiatan yang tidak diingini dan masalah jenayah di kalangan orang-orang Cina.
  • Membentuk Societies Enactment 1899 di Negeri-Negeri Bersekutu yang bertujuan membendung aktiviti-aktiviti orang-orang Cina yang semakin ramai di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
  • Meminda Enakmen 1899 pada tahun 1913 dengan memperuntukkan bahawa pegawai yang bertanggungjawab ialah "Registrar of Society" dengan memberi perhatian khusus dalam soal mengendalikan persatuan yang wujud pada masa itu. Di sinilah bermulanya fungsi Pendaftar Pertubuhan terhadap pengawalan aktiviti-aktiviti pertubuhan yang wujud pada masa itu. Enakmen ini dipinda dari masa ke semasa iaitu pada tahun 1927, 1947 dan 1949.
  • Enakmen Pertubuhan yang dipinda pada tahun 1949 dikuatkuasakan pada 1 September 1949 dengan mewajibkan pendaftaran ke atas semua pertubuhan yang ada pada masa itu. Sehingga 31 Disember 1949 sebanyak 1,590 pertubuhan telah didaftarkan. Enakmen ini terus digunapakai hinggalah selepas Malaya mencapai kemerdekaan pada 1957.
  • Enakmen 1899 telah digubal semula oleh Parlimen dalam tahun 1965/66 dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 1966 dikenali sebagai Akta Pertubuhan 1966 (Akta 13 tahun 1966). Akta 1966 ini merupakan hasil keluaran yang melibatkan percantuman tiga ordinan berlainan sebelum ianya diluluskan, iaitu Ordinan 1949 untuk Persekutuan Tanah Melayu, Ordinan Pertubuhan 1957 bagi negeri Sarawak dan Ordinan Pertubuhan 1961 bagi negeri Sabah. Akibat daripada Akta tahun 1966 itu, Pejabat Pendaftaran Pertubuhan telah diwujudkan pada tahun 1966 untuk menguatkuasakan Akta, selepas ianya dipisahkan daripada Pejabat Pendaftaran Kesatuan Sekerja.