Abdul Khalid Ibrahim

ahli politik Malaysia; bekas Menteri Besar Selangor

Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid bin Ibrahim (14 Disember 1946 – 31 Julai 2022) ialah seorang ahli politik Malaysia berbangsa Melayu. Beliau merupakan mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Selangor ketika itu serta bertanding di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR). Di peringkat negeri, beliau merupakan mantan Menteri Besar Selangor sebelum dipecat oleh PKR pada tahun 2014.


Abdul Khalid Ibrahim

PSM; SPMS, DPMS (Selangor); DSAP (Pahang)
Menteri Besar Selangor ke-14
Dalam jawatan
13 Mac 2008 – 22 September 2014
RajaSultan Sharafuddin Idris Shah
Didahului olehMohamed Khir Toyo
Digantikan olehMohamed Azmin Ali
Anggota Parlimen Malaysia
untuk Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur
Dalam jawatan
8 Mac 2008 – 9 Mei 2018
Didahului olehTan Chai Ho
Digantikan olehKamarudin Jaffar
Majoriti2,515
Ahli Dewan Negeri Selangor
untuk Pelabuhan Klang
Dalam jawatan
6 Mei 2013 – 9 Mei 2018
Didahului olehBadrul Hisham Abdullah
Digantikan olehAzmizam Zaman Huri
Majoriti2,994
Ahli Dewan Negeri Selangor
untuk Ijok
Dalam jawatan
8 Mac 2008 – 5 Mei 2013
Didahului olehK. Parthiban
Digantikan olehDr. Idris Ahmad
Majoriti1,920
Butiran peribadi
Lahir(1946-12-14)14 Disember 1946
Jeram, Kuala Selangor, Selangor, Tanah Melayu British (kini Malaysia)
Meninggal dunia31 Julai 2022(2022-07-31) (umur 75)
Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur
Tempat persemadianMakam Diraja Shah Alam, Selangor
Parti politik UMNO (1979–1998, 2017–2018)
PKR (2008–2014)
BEBAS (2014–2017)
PasanganPuan Sri Salbiah Tunut
Anak-anak4
Alma materUniversiti Malaya
Universiti Queensland

Latar belakang sunting

Abdul Khalid Ibrahim dilahirkan pada tahun 1946 di Kampung Jalan Raja Abdulah, Jeram, Kuala Selangor, Selangor. Beliau berkahwin dengan Puan Sri Salbiah Tunut dan dikurniakan empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan. Salah seorang daripada anak perempuannya merupakan pakar bedah kucing yang mempunyai klinik khusus untuk haiwan itu di Brisbane,Australia. Abdul Khalid seorang yang fobia terhadap kucing, namun begitu ahli keluarganya mempunyai hobi memelihara sehingga 20 ekor kucing.[1]

Pendidikan sunting

Abdul Khalid belajar di Sekolah Melayu Jeram pada 1956 dan menduduki Special Malay Class. Seterusnya belajar di Sekolah Inggeris Kampung Kuantan. Beliau mendapat ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dalam jurusan Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975.[2]

 
Abdul Khalid Ibrahim

Kerjaya sunting

Khalid Ibrahim pernah bekerja sebagai guru, pensyarah universiti, pegawai kredit, pegawai kewangan korporat dan memegang pelbagai jawatan tinggi dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Kemudian, beliau melangkah ke arena korporat dan berada dalam kedudukan CEO dari 1979-1994 di bawah firma syarikat kewangan yang diselia kerajaan, Permodalan Nasional Berhad (PNB).[2] Pada 1981, beliau menjadi terkenal setelah menyelesaikan "dawn raid" di Bursa Saham London, yang mana PNB mencatat agihan 51% syer di syarikat perindustrian British iaitu Guthrie kurang daripada dua jam. Khalid kemudian menjadi CEO Malaysianized Guthrie, yang kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd, dari 1995 hingga 2003.[2]

Beliau pernah menghadiri kursus USA International Visitors Program pada 1983 dan Eisenhower Exchange Fellowship Program pada 1989. Beliau juga pernah menjadi ahli majlis eksekutif Unit Investment Fund dan ahli Financial Engineering Advisory Forum di Islamic Development Bank, Jeddah, Arab Saudi. Beliau juga merupakan ahli APEC Business Advisory Council (ABAC).

Politik sunting

Beliau kemudian meninggalkan lapangan korporat dan menyertai dunia politik, menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mulanya sebagai Bendahari PKR dan Ketua Perhubungan PKR Selangor. Kemasukan beliau selaku tokoh ekonomi ke dalam parti itu memberi rentak baru dalam pakatan pembangkang yang kemudian dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

Dalam Pilihan raya kecil Ijok 2007 beliau ditumpaskan oleh cikgu muda K. Parthiban dari Kongres India Malaysia (MIC), sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 1,920 undi.[3] Dalam pilihan raya kecil Ijok, ucapan tersasulnya 'Undilah Barisan Nasional' telah diulang-ulang dalam media elektronik.

Ketika Pilihan raya umum Malaysia 2008 pada 8 Mac 2008, beliau bertanding bagi kerusi Parlimen P124 Bandar Tun Razak dan Dewan Undangan Negeri N11 Ijok yang mana beliau berjaya memenangi kedua-kedua kerusi yang beliau tandingi. Beliau menewaskan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho dari Barisan Nasional/MCA di Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 2,515. Khalid memperoleh 28,123 undi sementara Tan Chai Ho mendapat 25,608 undi. Khalid mendapat 7,196 undi berbanding 5,276 yang diperoleh calon BN, Datuk Mohamed Sayuti Said di DUN Ijok pada 8 Mac 2008.

Menteri Besar Selangor sunting

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dan secara rasminya beliau mengangkat sumpah bermula 13 Mac 2008 di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor.[4] Beliau merupakan orang pertama yang bukan mewakili parti komponen Barisan Nasional untuk dilantik menjadi Menteri Besar Selangor. Ketiga-tiga belas Menteri Besar sebelumnya mewakili Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), sebuah parti komponen utama Barisan Nasional.

Anugerah sunting

Pada 15 Disember 1998, beliau dianugerah sebagai CEO Malaysia Terbaik 1997 dari majalah Business Times anjuran Business Times Sdn. Bhd. dan the American Express Corporate Services. Khalid Ibrahim juga menerima Anugerah International Alumnus dari Universiti Queensland 2001.

Pada 10 Julai 2003 menerima anugerah “AAAB Captain of Industry Award 2002” (First Asian Academy of Applied Business”) dari Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu. Seterusnya menjadi pensyarah pelawat di Oxford Centre of Islamic Studies, Universiti Oxford .

Guthrie Malaysia sunting

Khalid menjadi CEO Kumpulan Guthrie dari tahun 1995 hingga tahun 2003. Atas jasa beliau, Kumpulan Guthrie Berhad telah membina Lebuhraya Guthrie dari Kuala Selangor ke Sungai Buloh bersambung dengan Lebuhraya Utara-Selatan. Pusat latihan penyelenggaraan jentera industri dengan kerjasama UMW Berhad telah dibina di Kuala Selangor. Program Rakan Jaya Diri diadakan di Kuala Selangor bagi melatih pelajar yang tercicir dari persekolahan dan seterusnya bekerja dengan Guthrie Berhad.[perlu rujukan]

Isu kontroversi sunting

Menyertai PKR sunting

Pada 25 April 2007, Datuk Seri Najib Tun Razak menuduh Khalid Ibrahim kecewa kerana tidak mendapat 20% saham Guthrie. Mulanya beliau meminta 6.5% pada 1994 dan meningkat kepada 20%. Untuk 6.5% dia terpaksa meminjam RM175 juta. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah menulis surat kepada pengerusi PNB, Tun Ismail Mohd Ali agar saham diberikan kepada Khalid Ibrahim. Ismail Mohd Ali ialah abang ipar kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Tan Sri Mohd Desa Pachi pula menjadi Ketua Pegawai Eksekutif pertama PNB. [5]

Bekalan air Selangor sunting

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) bercadang menaikkan tarif air di Selangor. Keputusan kenaikan tarif air akan dibuat oleh kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan Selangor akan membuat beberapa cadangan supaya perkara ini tidak akan membebankan rakyat. Strategi pengurusan air kerajaan Pulau Pinang yang kosnya dikatakan lebih rendah daripada Selangor akan diteliti.[6]

Perjanjian konsesi air antara kerajaan persekutuan, kerajaan Selangor dan Syabas selama 30 tahun (1 Jan 2005 hingga 31 Dis 2034), tarif air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sepatutnya dinaikkan sebanyak 37 peratus pada 1 Jan 2009, tetapi dilanjutkan kepada 31 Mac 2009 bagi membolehkan kerajaan negeri Selangor menyusun semula industri air. Perjanjian konsesi itu boleh dibatalkan dan tarif air boleh distrukturkan semula jika semua aset pemegang konsesi air diserahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Penilaian semua aset Puncak Niaga, SYABAS, ABASS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) sedang dirunding. Puncak Niaga menetapkan lebih RM6 bilion sebagai nilai pengambilalihan semua aset berkenaan oleh kerajaan negeri Selangor.

Oleh kerana Syabas telah melanggar beberapa terma penting yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi selama 30 tahun maka Selangor meminta kerajaan persekutuan membatalkan perjanjian konsesi itu. Antara laporan Jabatan Audit Negara ialah :

  • Ada projek yang tidak ditender dan lebih RM500 juta daripada kontrak itu dibuat secara rundingan langsung. Selain itu ada beberapa perbelanjaan yang tidak mengikut syarat dan terma perjanjian konsesi.
  • Syabas membelanjakan lebih RM50 juta untuk menaik taraf pejabatnya di Shah Alam sedangkan Jabatan Kawal Selia Air Selangor (JKAS) hanya meluluskan peruntukan sebanyak RM23.2 juta pada 2005.[7]

Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) diadakan berikutan Kerajaan Persekutuan atas nasihat pakar termasuk dari Jepun meramalkan Lembah Klang akan berhadapan dengan krisis air seawal tahun 2014. Oleh itu loji tambahan dibina di Hulu Langat perlu dibina bagi kawasan yang selalu terjejas dengan bekalan air. Khalid Ibrahim dan pemimpin PR berterusan mendakwa projek itu membazir, akan membebankan caj pengguna. Namun akhirnya MOU ditandatangani selepas kerajaan persekutuan bersetuju membantu pengambilalihan aset pemegang konsesi air oleh kerajaan negeri, antara Khalid dengan Kerajaan Persekutuan yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pemimpin PR terkejut dengan MOU itu kerana mereka tidak mengetahuinya.[8]

Tender rundingan terus sunting

Pada 12 April 2008, Abdul Khalid Ibrahim menghapuskan tender rundingan terus kepada kontraktor Bumiputera kerana 98 % diperoleh dan dilaksanakan oleh kumpulan tertentu ketika Barisan Nasional / UMNO memerintah Selangor. Walaupun nama syarikat berbeza tapi pemegang saham dalam syarikat itu tetap sama. Kontraktor terbabit tidak akan disenaraihitamkan kecuali jika kontraktor terbabit gagal melaksanakan projek dalam tempoh yang telah ditetapkan. 'Pena sakti' Menteri Besar tidak diperlukan untuk mendapatkan tender kerajaan negeri. Keputusan tender ditentukan oleh semua anggota Exco dan pegawai yang terlibat.[9]

Perhimpunan 14 April sunting

Perhimpunan 14 April tanpa permit sempena pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Abdul Khalid selaku Presiden Kelab Sultan Sulaiman meminta nasihat daripada Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Zauyah T. Lothy Khan dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Ramli Mahmud dan pihak PDRM kerana premis tersebut berpagar dan bukan kawasan terbuka. Perhimpunan itu sepatutnya tamat jam 11.00 malam tetapi ditamatkan oleh pihak polis pada jam 10.30 malam ketika Anwar Ibrahim sedang berucap. Lebih 7000 hadir dan menyebabkan kesesakan teruk di Kampung Baru Kuala Lumpur. [10]

Dana Sambutan 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat sunting

Pada 23 Jun 2008, beberapa syarikat swasta memberi sumbangan bagi Sambutan 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor yang didepositkan ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR). bekas Ketua Pemuda PKR Mohamad Ezam Mohd Nor mendakwa tindakan itu tidak selaras wawasan Pakatan Rakyat. Khalid Ibrahim berikrar akan membekukan sumbangan tersebut, dipindahkan dari akaun PKR ke akaun kerajaan negeri Selangor dan mengucapkan kad ucapan terima kasih kepada syarikat penderma terbabit.[11]

Polis mengiringi pemimpin sunting

Pada 15 Disember 2008, beliau mendakwa konvoi polis mengiringi Menteri Besar Selangor dan pemimpin lain akan menyekat kemesraan dan hubungan yang sedia terjalin antara pemimpin dengan rakyat. Oleh itu saranan anggota Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Suhaimi Shafiei agar pemimpin diiringi oleh pasukan keselamatan tidak perlu. Isu ini berbangkit selepas ancaman 'serangan bogel' Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) dan mengejar Menteri Besar Selangor di majlis-majlis perasmiannya bagi membawa tuntutan mereka berhubung kadar kenaikan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR).[12]

Lembu korban 2008 sunting

25 Januari 2009, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjanji mendedahkan belanjawan kerajaan negeri Selangor Barisan Nasional pimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo di Dewan Undangan Negeri Selangor. Harapan beliau agar tidak bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sebelum itu, Dr Mohamad Khir mengaku memiliki salinan minit mesyuarat bertarikh 28 November 2008 yang disahkan Menteri Besar yang mengarahkan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Selangor Incorporated Corporation (SIC) membiayai RM110,400 untuk pembelian 46 ekor lembu bagi ibadah korban dan peruntukan itu perlu ditanggung anak syarikat kerajaan negeri yang lain. Selain itu resit pembayaran RM110,400 bertarikh 16 Disember 2008 . Semua bukti itu diposkan kepada Dr Khr. 46 ekor lembu disedekahkan kepada surau-surau di Bandar Tun Razak sebagai satu tanggungjawab sosial korporat. Bandar Tun Razak bukan lagi dalam negeri Selangor tetapi di bawah pentadbiran Wilayah Persekutuan dan Khalid Ibrahim menjadi ahli parlimennya. Khir Toyo cuba membabitkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak gemar wang kerajaan negeri Selangor disalurkan ke Wilayah Persekutuan atau negeri lain. Selepas ini negeri lain seperti Terengganu akan bertindak dalam cara yang sama. [13]

Kes ini disiasat oleh SPRM tetapi kemudiannya ditutup bersama kes-kes lain pada 12 Februari 2010.[14]

Perakam video di pejabat sunting

Pada 11 Ogos 2010, sebuah perakam video dijumpainya sendiri di kain langsir pejabatnya di SUK Shah Alam.[15] Ia dipercayai untuk mengintip sebarang pertemuan , aktiviti dan perbualan Menteri Besar itu. Alat itu dikesan selepas terdengar bunyi bateri lemah. Kes itu belum dilapor kepada polis kerana mahu menyiasat sendiri terlebih dahulu.

Kronologi krisis politik Selangor sunting

Dalam PRU 2013, beliau 'lari' bertanding dari DUN Ijok ke DUN Pelabuhan Klang. [16][17] DUN Ijok dimenangi oleh Dr Idris Ahmad (PKR/PR) menewaskan calon BN cikgu K. Parthiban. Khalid menang Pelabuhan Klang menggantikan Badrul Hisham Abdullah yang berpaling tadah menyertai UMNO.

Pemilihan PKR sunting

Pemilihan PKR bermula pada 4 April 2014. Khalid Ibrajhim mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.[18] Beliau selaku ADUN Ijok, kalah dalam pemilihan PKR Ijok kerana isu gagal mengekalkan kemudahan awam seperti padang bola , tapak kuil Hindu serta tanah wakaf Masjid Kampung Ijok, tanah perkuburan Islam dan pusat komuniti Cina.[19]

S. Manikavasagam bekas Ahli Parlimen Kapar dan calon Ketua Cabang Kuala Selangor menuduh Khalid Ibrahim terlibat dengan politik wang.Pada 15 Mei 2014, Biro Politik yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memberi surat tunjuk sebab kepada Manikavasagam kerana melanggar Perkara B.7 Tataetika Pemilihan PKR.[20]

Kajang Move sunting

Kajang Move atau 'Langkah Kajang' merupakan slogan PKR semasa pilihan raya kecil Kajang 2014 yang menyaksikan Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya menewaskan calon MCA Chew Mei Fun . Pilihan raya pada 23 Mac 2014 itu diadakan selepas DUN milik PKR 'dikosongkan' dan diharap dapat menamatkan kemelut kepimpinan PKR.[21][22]

Nafi letak jawatan sunting

Pada 7 Julai 2014, Khalid Ibrahim menafikan beliau meletak jawatan Menteri Besar Selangor yang kononnya disebarkan oleh agensi berita Bernama. Mesej dalam Whatsapp menyatakan Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Shah bagi menyerahkan surat peletakan jawatannya. Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab menafikan berita palsu.[23][24]

Dipecat parti sunting

Pada 9 Ogos 2014, Abdul Khalid dipecat daripada PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta. Keputusan itu dibuat kerana beliau didapati mengingkari arahan parti untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada Wan Azizah. Dengan itu, negeri Selangor diterajui oleh seorang ADUN bebas.[25]

Meninggal dunia sunting

Abdul Khalid meninggal dunia pada 31 Julai 2022 di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur akibat jangkitan pada injap jantung pada usia 76 tahun. Jenazah Allahyarham telah disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Selangor atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.[26]

Keputusan pilihan raya sunting

Dewan Undangan Negeri Selangor[27][28][29]
Tahun Perlembagaan Kerajaan Undi Prts Pembangkang Undi Prts Buang undi Majoriti Keluar
2007 N11 Ijok, Selangor K. Parthiban (MIC) 5,884 59.33% Abdul Khalid Ibrahim (PKR) 11,731 52.91% 10,052 1,850 81.90%
2008 Abdul Khalid Ibrahim (PKR) 7,196 57.70% Mohamed Sayuti Said (UMNO) 5,276 42.30% 12,684 1,920 82.01%
2013 N46 Pelabuhan Klang, Selangor Abdul Khalid Ibrahim (PKR) 18,591 54.38% Nasarruddin M Zin (UMNO) 15,597 45.62% 34,835 2,994 87.15%
Parlimen Malaysia[27][28][29]
Tahun Perlembagaan Pembangkang Undi Prts Kerajaan Undi Prts Lain-lain Undi Prts Buang undi Majoriti Keluar
2008 P124 Bandar Tun Razak Abdul Khalid Ibrahim (PKR) 40,334 53.92% Tan Chai Ho (MCA) 33,467 44.74% 54,995 2,515 75.72%
2013 Abdul Khalid Ibrahim (PKR) 44,067 57.02% Tan Kok Eng (MCA) 32,235 41.71% Mohd Sukeri Abd Samat (IND) 793 1.03% 78,157 11,832 85.89%
Mokhtar Salahudin (IND) 191 0.25%

Anugerah dan penghargaan sunting

  •   Malaysia :
    •   Panglima Setia Mahkota Malaysia (PSM) - Tan Sri (1998)[30]
  •   Selangor :
    •   Dato Paduka Mahkota Selangor (DPMS) - Dato' (1988)[31]
    •   Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) - Dato' Seri (2009)[31]
  •   Pahang :
    •   Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) - Dato' (1990)[31]

Rujukan sunting

  1. ^ "Menteri besar dan kucing-kucingnya", Malaysiakini.com. 14 Ogos 2010.
  2. ^ a b c "Fact boxes on Ijok (subscription required)". malaysiakini.com. 2007-04-19. Dicapai pada 2007-04-20.
  3. ^ Dass, Maria J. & Yusop, Husna (2007-04-18). "Khalid is Keadilan's pick for Ijok", p. 2. The Sun.
  4. ^ "Khalid Ibrahim sworn-in as new Selangor Mentri Besar". The New Straits Times. 13 Mac 2008. Dicapai pada 2008-03-13.
  5. ^ Najib Dedah Punca Khalid Ibrahim Musuhi Kerajaan BN
  6. ^ Khalid Sediakan Kertas Kerja Sebagai Asas Untuk Kaji Semula Perjanjian Bekalan Air
  7. ^ Surat Berasaskan Laporan Audit Negara - Khalid Ibrahim
  8. ^ "Langkah checkmate Khalid Ibrahim". Utusan Malaysia. 2 Mac 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-14. Dicapai pada 2014-07-11.
  9. ^ Tiada Lagi Tender Secara Rundingan Terus, Kata Abdul Khalid
  10. ^ [1]
  11. ^ Khalid Akui Ada Sumbangan Derma Yang Dimasukkan Dalam Akaun PKR
  12. ^ Polis Tidak Perlu Iringi Pemimpin - Khalid Ibrahim
  13. ^ [2]
  14. ^ [http://www.malaysiakini.com/news/124289 " SPRM tutup kes Khalid Ibrahim, Ali Rustam", Malaysiakini.com, 12 Februari 2010.
  15. ^ Isu Perakam Video: MB Selangor Nafi Rombak Kakitangan Lama Di Pejabat Beliau
  16. ^ "Analisis PRU-13: Khalid Ibrahim mahu lari ke "lubang cacing"". Utusan Malaysia. 15 April 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-15. Dicapai pada 2021-09-22.
  17. ^ "Khalid Ibrahim 'lari waktu malam'". Utusan Malaysia. 29 april 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-06. Dicapai pada 2021-09-22. Check date values in: |date= (bantuan)
  18. ^ "Khalid Ibrahim bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR". Utusan Malaysia. 28 Feb 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-15. Dicapai pada 2014-07-11.
  19. ^ "100 penduduk Ijok tuntut janji Khalid Ibrahim". Utusan Malaysia. 13 Mei 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-14. Dicapai pada 2014-07-11.
  20. ^ "Setiausaha Politik Khalid Ibrahim diberi surat tunjuk sebab". Utusan Malaysia. 16 Mei 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-15. Dicapai pada 2014-07-11.
  21. ^ "Biarkan Zaid Ibrahim pertahan Khalid Ibrahim cabar Anwar Ibrahim". Utusan Malaysia. 17 Feb 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-09. Dicapai pada 2014-07-11.
  22. ^ "Surat terbuka kepada Khalid Ibrahim". Utusan Malaysia. 18 Mac 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-03-22. Dicapai pada 2014-07-11.
  23. ^ "MB Selangor nafi letak jawatan". Utusan Malaysia. 7 Julai 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-11. Dicapai pada 2014-07-07.
  24. ^ "su MB: Bernama pandang serius berita palsu". Sinar Harian. 7 Julai 2014.
  25. ^ T K Letchumy Tamboo (9 Ogos 2014). "Khalid Ibrahim wajar dipecat dari PKR - Lembaga Disiplin PKR". Astro Awani. Dicapai pada 11 Ogos 2014.
  26. ^ Ruwaida Md Zain (31 Julai 2022). "Khalid Ibrahim meninggal dunia". Berita Harian. Dicapai pada 1 Ogos 2022.
  27. ^ a b "Keputusan Pilihan Raya Umum Parlimen/Dewan Undangan Negeri". Election Commission of Malaysiaaccessdate=4 February 2017. Percentage figures based on total turnout.
  28. ^ a b "Malaysia General Election". undiinfo Malaysian Election Data. Malaysiakini. Dicapai pada 4 February 2017. Results only available from the 2004 election.
  29. ^ a b "Keputusan Pilihan Raya Umum Parlimen 2013". Election Commission of Malaysiaaccessdate=6 May 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-05-08. Dicapai pada 2017-11-19.
  30. ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-07-19. Dicapai pada 2020-06-01.
  31. ^ a b c "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat".
Jawatan politik
Didahului oleh
Mohamad Khir Toyo
Menteri Besar Selangor
13 Mac 2013 – 22 September 2014
Diikuti oleh:
Mohamed Azmin Ali