Ahmad Said (ahli politik)

Dato' Seri (Dr.) Haji Ahmad bin Said, S.S.M.Z., D.P.M.T., A.S.M., P.J.K. merupakan ADUN Barisan Nasional kawasan Kijal yang dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu oleh Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Mac 2008 hingga 12 Mei 2014. Perlantikan itu pada awalnya tidak dipersetujui pimpinan UMNO yang sebaliknya menyokong Dato' Seri Idris bin Jusoh.[1][2] [3] Pada peringkat parti, beliau ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Terengganu dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (turut hadir). Beliau pernah terkenal pada suatu ketika dahulu dengan kehebatanya berdebat di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu berhubung isu-isu pentadbiran kerajaan Negeri Terengganu. Beliau dilantik menjadi pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) pada 15 Mei 2022 bagi menggantikan Senator Datuk Razali Idris.


Ahmad bin Said

SSMZ, DPMT, ASM, PJK (Terengganu)
Ketua Pembangkang
Dewan Undangan Negeri Terengganu
Memegang jawatan
21 Mac 2019
Didahului olehAhmad Razif Abd Rahman
Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu
untuk Kijal
Memegang jawatan
22 Mac 2004
Didahului oleh Muhamed Sulong
Pengerusi KETENGAH
Memegang jawatan
15 Mei 2022
Didahului olehRazali Idris
Menteri Besar Terengganu
Dalam jawatan
24 Mac 2008 – 12 Mei 2014
Didahului oleh Idris Jusoh
Digantikan oleh Ahmad Razif Abd Rahman
Butiran peribadi
Lahir (1957-02-15) 15 Februari 1957 (umur 67)
Terengganu Teluk Kalung, Chukai, Kemaman, Terengganu
Parti politik Barisan Nasional
UMNO
PasanganTo' Puan Seri Hajah Norliza binti Mahmud
Anak-anak8 (termasuk Cash Farhan)
Alma materUniversiti Sains Malaysia
PekerjaanAhli politik
Laman web rasmiBlog rasmi

Latar belakang sunting

Dato’ Seri Ahmad bin Said merupakan anak bongsu kepada pasangan Said bin Mohamad dan Wook binti Ali. Beliau dilahirkan pada tanggal 15 Februari 1957 di Teluk Kalung, Kemaman, Terengganu. Beliau dilahirkan daripada keluarga yang hidup susah. Bapa beliau hanya bekerja sebagai nelayan dan juga dikenali sebagai Tok Nyandat iaitu penyandat nira kelapa bagi menyara kehidupan keluarga.

Walaupun hidup susah, ianya tidak mematahkan semangat beliau untuk belajar. Sejak kecil, selain suka membaca, beliau juga serasi dengan kehidupan sebagai seorang budak kampung ataupun ‘Kampung Boy’.

Sejak kecil lagi, Ahmad memiliki sikap seorang pejuang. Sikap tidak mudah mengalah dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang diimpikan. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang berani dan tidak mudah mengalah. Beliau juga seorang yang amat mementingkan disiplin dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang tidak berdisplin. Malah beliau turut dikenali sebagai seorang yang telus, berterus terang dan tidak suka orang yang berbohong.

Pengalaman hidup yang penuh mencabar banyak membantu membina jati diri Ahmad Said sebagai seorang insan yang amat prihatin terhadap nasib anak bangsa.

Pendidikan sunting

Zaman persekolahan Ahmad bermula pada tahun (1964-1969) di Sekolah Kebangsaan Telok Kalong, Kemaman, Terengganu. Beliau mendapat pendidikan di sekolah ini dari tahun 1 hingga tahun 6.

Beliau kemudiannya menyambung persekolahan di peringkat menengah di Sekolah Menengah Chukai, Kemaman dari tahun 1970 hingga 1975. Ketika di sekolah menengah, Ahmad pernah dilantik sebagai Kapten Asrama. Beliau juga dikenali sebagai kapten asrama yang tegas. Sikap kepimpinan beliau sudah mula disemai ketika di peringkat sekolah lagi.

Ahmad juga dikenali sebagai individu yang aktif dalam kegiatan sukan. Antara sukan kegemarannya ialah bola sepak dan hoki. Beliau melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 di Maktab Adabi, Kuala Terengganu bagi menduduki peperiksaan STPM (1975-1976). Beliau belajar bersungguh-sungguh dan memperolehi keputusan cemerlang dalam STPM.

Selepas mendapat keputusan STPM, beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Jurusan Sains Politik di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian). Ketika melanjutkan pelajaran di USM, beliau mula mengasah bakat kepimpinan. Ini terbukti apabila beliau dilantik sebagai sebagai Yang di Pertua Persatuan Anak-Anak Negeri Terengganu selama 2 tahun. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Sains Politik dan Setiausaha Agong Persatuan Mahasiswa USM.[4]

Kerjaya sunting

Ahmad memulakan kerjaya sebagai Penolong Pegawai Daerah Kemaman pada tahun 1982. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Pentadbir Tanah II Daerah Kemaman pada tahun 1985. Pada tahun 1986, beliau dilantik menjadi Pengetua Pusat Pupuk Semangat Negeri Terengganu selama 2 tahun.

Tahun berikutnya beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Setiu. Bermula tahun 1990 hingga 1995, beliau meneruskan kerjaya sebagai Yang Di Pertua Majlis Daerah Kemaman.

Sepanjang tahun 1992 hingga tahun 2000, beliau juga telah diberi peluang menimba pengalaman di dalam sektor swasta dengan memegang pelbagai jawatan di dalam sektor berkenaan. Antaranya, beliau pernah menjadi Pengerusi Pesama Timba Corporation Sdn.Bhd, Pengerusi PESAKA Terengganu Berhad, Pengarah Golden Pharos Berhad, Pengerusi Kumpulan Kayu Kayan Berhad dan Pengerusi GP Furniture.

Pengalaman Politik sunting

Beliau mula menceburi bidang politik seawal tahun 1975 iaitu di usia 19 tahun ketika dilantik sebagai Naib Ketua UMNO Cawangan Telok Kalong, Kemaman. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1978. Belaiu juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 1982 sehingga tahun 1986.

Pada bulan Ogos 1990, Ahmad telah dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal setelah berjaya memenangi kerusi Dun Kijal pada Pilihan Raya Kecil yang diadakan di Kijal. Beliau juga berjaya mengekalkan kerusi sebagai ADUN Kijal dalam Pilihan Raya Umum yang Ke-9 pada tahun 1995. Beliau berjaya menewaskan calon PAS dengan majoriti 1834 undi yang mengekalkan beliau sebagai ADUN Kijal. Dengan kemenangan ini, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Terengganu, EXCO Pemuda UMNO Malaysia Dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu.

Walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999, menyaksikan beliau kalah dengan majoriti 264 undi. Namun situasi ini tidak melemahkan semangat beliau apabila beliau kembali bangkit dengan mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada tahun 2004. Beliau berjaya menewaskan calon PAS dengan majoriti undi sebanyak 3469. Kemenangan ini membolehkan beliau kekal sebagai Adun Kijal dan juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Ahmad Said menang dalam kawasan DUN Kijal menewaskan calon PAS, Hazri Jusoh dengan majoriti 3,157 undi. Beliau memperoleh 8,169 undi manakala Hazri 5,012 undi. Kemenangan ini juga bermulanya titik tolak kebangkitan dan kemuncak kerjaya Dato Seri Ahmad bin Said.

Beliau menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar Terengganu yang ke 13 pada tanggal 23 Mac 2008 daripada Yang Di Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR). Selepas menjadi Menteri Besar, beliau dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu pada 14 Jun 2008.

Beliau berdepan pelbagai cabaran dengan penuh keberanian dan ketabahan. Walaupun demikian, beliau sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat. Di bawah pentadbiran beliau yang berpaksikan pendekatan berjiwa rakyat, mesra rakyat serta menawan hati rakyat amat dikagumi oleh seluruh rakyat Negeri Terengganu. Malah semangat jitu beliau untuk mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat Negeri Terengganu turut diperakui dan dikagumi oleh rakan-rakan perjuangan beliau.

Selepas Pilihan raya umum Malaysia 2013, apabila BN hilang 2/3 majoriti di Dewan Undangan Negeri Terengganu, Ahmad Said meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Terengganu pada masa yang sama. Beliau dan 2 orang ADUN BN Terengganu mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas. Namun demikian, selepas beberapa bulan keluar daripada UMNO beliau memasuki semula parti dan memohon maaf kepada Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Sri Najib Razak selaku Presiden UMNO.

Beliau kembali menjadi pengerusi badan Perhubungan UMNO negeri Terengganu menggantikan Abdul Razif Ibrahim.

Kepimpinan semasa Menjadi Menteri Besar Terengganu sunting

Setelah dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ahmad Bin Said memberi tumpuan utama kepada pelaksanaan pembangunan yang berpaksikan rakyat atau people-centric. Beliau memperkenalkan slogan “Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan” sebagai teraju utama dalam kepimpinan beliau. Pentadbiran yang mesra rakyat menjadi tonggak utama pentadbiran beliau dan menjadi keutamaan beliau dalam memastikan kepentingan dan permasalahan rakyat diselesaikan. Beliau juga menegaskan bahawa apa jua perkhidmatan yang dilaksanakan haruslah demi kepentingan rakyat.

Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan sunting

Slogan “Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan” dengan 8 nilai[5] teras utama turut memfokuskan kepada memperkasakan modal insan, meningkatkan daya saing negeri dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan. Justeru itu, beliau menyeru kepada kakitangan awam agar bekerjasama antara satu sama lain bagi menjamin kecemerlangan bekerja dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Malah beliau menyeru agar pegawai sentiasa turun padang untuk mendekati rakyat bagi mendengar masalah mereka supaya apa jua masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat segera diatasi.

8 Nilai Utama Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan sunting

BUDAYA ILMU Budaya ilmu atau pendidikan yang berkesan adalah asas bagi kejayaan rakyat. Ayat al-quran yang pertama diturunkan ialah iqra’, yakni bacalah yang membawa maksud ilmu adalah keutamaan.

CEMERLANG Cemerlang adalah perkara yang perlu diberi keutamaan oleh semua pihak dalam semua aspek. Pemimpin, pentadbir dan rakyat cemerlang itulah harapan kita semua untuk menjadikan negeri ini terbilang.

CAKNA Cakna adalah perkataan dalam dialek Terengganu. Ia boleh diertikan sebagai prihatin, ambil berat atau memberi perhatian. Sememangnya Kerajaan Barisan Nasional amat mengambil berat dan memberi perhatian terhadap keperluan, kebajikan dan pembangunan rakyat.

AMANAH Amanah adalah suatu nilai yang tinggi dan merupakan sifat rasulullah. Apabila adanya sifat amanah kita tidak akan mengkhianati amanah dan kepercayaan yang diberi baik sebagai pemimpin, pentadbir atau rakyat biasa.

SETIA Setia kepada Negara, pemimpin dan kepada organisasi yang kita bernaung di bawahnya adalah nilai yang amat penting. Jika kita tidak setia, maka kita akan mengkhianati perjuangan suci dan bertindak membuka pintu kepada musuh untuk menceroboh Negara.

MUAFAKAT Muafakat adalah perkara penting dalam hidup bermasyarakat dan bernegara. Pepatah melayu ada menyebut, ‘lidi yang sebatang mudah dipatahkan, tetapi lidi seberkas tidak mungkin dapat dipatahkan’.

BERSYUKUR Bersyukur pula adalah suatu amalan mulia yang sudah diketahui umum. Syukur yang sebenar ialah syukur yang diucapkan oleh lidah, dirasakan atau ditasdikkan di dalam hati dan dilaksanakan dalam perbuatan.

ISTIQAMAH Istiqamah pula, jika dilihat pada struktur Bahasa Arab bermaksud terus berdiri. Sesuai jugalah dengan Bahasa Melayu yang boleh difahamkan sebagai sentiasa teguh berdiri, yakni berterusan dalam keadaan sedar dan aktif terhadap sesuatu pegangan mahupun amalan. Istiqamah bermakna konsisten dan tidak lari dari perjuangan. Kita tidak mahu menjadi seperti lalang, yang sekali tegak, sekali ke kiri atau ke kanan mengikut arah angin.

Kontroversi sunting

Isu Mercedes sunting

Kualiti buatan serta kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive mula dipersoalkan berikutan satu kontroversi pada Julai 2008 apabila kerajaan negeri Terengganu pimpinan Ahmad Said dari Barisan Nasional membeli 14 buah kereta Mercedes-Benz E200 Kompressor, yang bertujuan untuk menggantikan kereta 2004 Perdana V6 Executive sedia ada sebagai kereta rasmi kerajaan negeri.[6] Ketua Setiausaha Negeri Terengganu Mokhtar Nong menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berikutan kekurangan kebolehbergantungan Perdana, dengan mendakwa bahawa kereta-kereta Perdana tersebut memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi, terutamanya pada kotak gear, semasa digunakan dalam perjalanan jauh.[6] Dua daripada Perdana V6 tersebut memerlukan kos baik pulih masing-masing sejumlah RM175,229.97 dan RM132,357.76 sejak 2004.

Proton menafikan tuduhan kos penyelenggaraan yang tinggi oleh kerajaan negeri Terengganu, dengan mengatakan kos penyelenggaraan berkala (penggantian minyak enjin dan penapis minyak) bagi Perdana ialah sekitar RM200. Kontroversi tersebut telah menyebabkan timbul tuduhan mengenai penyelewengan penyelenggaraan oleh kerajaan Terengganu,[7] memandangkan kos penyelenggaraan berkala terkumpul pagi sebuah Perdana V6 biasa pada tempoh yang sama jauh lebih rendah seperti yang didakwa, serta berikutan tiada tuntutan waranti yang dibuat oleh kerajaan negeri sejak Oktober 2004 bagi salah satu kereta yang rosak.

Berikutan dengan kes tersebut, seorang pemilik bengkel di Chendering telah didakwa memberi invois mengandungi butiran palsu. Bagaimanapun beliau dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen dari keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya tanpa perlu dipanggil membela diri, kerana satu dokumen penting berkaitan kes itu hanya dibekalkan kepada pembela semasa kes berkenaan telah berjalan. [8], [9]

Saman dua blog sunting

Pada 4 Oktober 2011, dua blog iaitu http://msomelayu.blogspot.com dan guanopulok.blogspot.com telah memfitnah Menteri Besar itu telah 'ditangkap' oleh seseorang di Hilton Sentral.Pada 9 November 2011, beliau membuat laporan polis dan akan memfailkan saman di mahkamah.[10]

Tiada pembangunan di kawasan BN kalah sunting

Satu kontroversi telah tercetus setelah Ahmad Said mengangkat sumpah sebagai MB bagi penggal ke 2.Kenyataan Akhbar berbunyi"Kerajaan Negeri Terengganu tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang BN kalah dalam pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata rakyat di kawasan Parlimen dan DUN berkenaan perlu meminta bantuan daripada wakil rakyat yang mereka pilih.

"Kita akan pertimbangkan cara lain, namun buat masa ini memang tiada cadangan untuk meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan yang (BN) kalah.

"Pembangunan akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan, namun pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan DUN yang kita (BN) kalah, kita akan bina di kawasan yang dimenangi BN," katanya. http://www.malaysiakini.com/news/229850

Letak jawatan sebagai MB dan keluar parti sunting

Pada 12 Mei 2014, beliau menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu kepada Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin. Kemudian, beliau bersama-sama ADUN Ajil menghantar pula surat keluar parti kepada Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor. Penyandang jawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru di hadapan Sultan Mizan Zainal Abidin pada sebelah malamnya. Walau bagaimanapun, beliau kembali bersama UMNO keesokan harinya.

Pilihan raya 2013 sunting

PRU 2013 merupakan PRU pertama bagi Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.Pada PRU 2013,BN dibawah kepimpinan Ahmad Said memenangi Kerusi DUN dengan 17 kerusi BN dan 15 kerusi untuk PR.BN Terengganu tidak berjaya mengekalkan majoriti 2/3 yang sebelum ini pernah dikecapi(PRU 11 & PRU 12).BN Terengganu tumpas 3 kerusi Parlimen dan 7 kerusi DUN dirampas PAS.Keadaan di Terengganu bagi PRU 2013 berbeza dengan negeri-negeri lain yang kembali ditangan BN iaitu Perak dan Kedah.Perak dan Kedah berjaya menambah kerusi DUN dan membentuk kerajaan.PRU untuk negeri Terengganu telah memberi isyarat kepada BN Terengganu dibawah kepimpinan Ahmad Said.http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Keputusan&pg=kp_04.htm

Rujukan sunting

  1. ^ Saya Bukan Penderhaka Umno, Kata Ahmad Said, Bernama. Dicapai 25 Mac 2008.
  2. ^ Idris dakwa dapat sokongan PM dan TPM sebagai MB Terengganu, mSTAR Online. Dicapai 25 Mac 2008.
  3. ^ "Istana mahu Ahmad Said -- 23 ADUN berdiri teguh di belakang Idris, © Utusan Melayu (M) Bhd". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-01-03. Dicapai pada 2013-06-04.
  4. ^ "Ahmad Said letak jawatan, pengganti angkat sumpah malam ini". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-05-13. Dicapai pada 2014-05-20.
  5. ^ 8 NILAI TERAS MPPNT
  6. ^ a b R. S. N. Murali (2008-07-20). "Terengganu: Mercedes purchase was cost-cutting measure". The Star Online. Dicapai pada 2008-07-22.
  7. ^ Norliza Abd. Rahman (2008-07-24). "BPR siasat kos senggara Perdana V6 Terengganu (Melayu)". Utusan Malaysia Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-07-25. Dicapai pada 2008-07-24.
  8. ^ Perdana V6: Pemilik bengkel bebas dari tuduhan memalsu tuntutan[pautan mati kekal]
  9. ^ Perdana V6: Pemilik bengkel bebas dari tuduhan memalsu tuntutan.
  10. ^ "Ahmad Said fail saman 2 pemilik blog". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-11-12. Dicapai pada 2011-11-09.

Pautan luar sunting


Penyandang Terdahulu Menteri Besar Terengganu
24 Mac 2008 - 12 Mei 2013
Penyandang Kemudian
Dato' Seri Idris bin Jusoh Ahmad Razif Abd Rahman