Air payau merupakan air dalam persekitaran semula jadi yang mempunyai tahap kemasinan lebih tinggi daripada air tawar, tetapi tidak sebanyak air laut. Ia mungkin terhasil akibat campuran air laut (air masin) dan air tawar seperti di muara sungai, atau ia mungkin wujud dalam akuifer fosil berpayau. Beberapa aktiviti manusia tertentu boleh menyebabkan penghasilan air payau, khususnya melibatkan projek kejuruteraan awam seperti pembentengan dan pembanjiran kawasan paya pantai untuk menghasilkan kolam air payau untuk ternakan udang air tawar. Air payau juga merupakan bahan buangan utama proses kuasa kecerunan kemasinan. Disebabkan air payau membantut pertumbuhan kebanyakan spesies tumbuhan darat, tanpa pengurusan yang sesuai ia berupaya untuk merosakkan alam sekitar.

Secara teknikal, air payau mengandungi 0.5 hingga 30 gram garam seliter—lebih kerap dinyatakan sebagai 0.5 hingga 30 bahagian per seribu (‰), dengan graviti tentu antara 1.0004 sehingga 1.0226. Oleh itu, kepayauan meliputi satu julat takat kemasinan dan tidak dianggap sebagai keadaan yang ditakrifkan secara tepat. Ia merupakan sesuatu ciri yang boleh didapati pada kebanyakan air permukaan yang payau dengan kemasinannya yang berubah-ubah dengan ketara merentasi ruang mahupun masa. Air dengan kepekatan garam lebih daripada 30‰ dianggap air garam.

Habitat air payau sunting

Muara sungai sunting

 
Ikan air payau: Monodactylus argenteus

Keadaan air payau biasanya berlaku apabila air tawar bertemu dengan air laut. Malahan, habitat air payau yang paling besar di seluruh dunia adalah di muara sungai, tempat sungai bertemu dengan laut.

Sungai Thames yang mengalir melalui London merupakan satu contoh klasik muara sungai. Bandar Teddington beberapa batu di barat London menandakan sempadan antara bahagian pasang surut dengan bahagian bukan pasang surut pada Sungai Thames, walaupun persempadanan sejauh timur Battersea masih dianggap sebagai julat sungai air tawar disebabkan kemasinan puratanya, fauna ikan yang utamanya terdiri daripada spesies air tawar seperti ikan roach, ikan dace, ikan kap, ikan kerakap, dan ikan tombak. Muara Thames menjadi payau antara Battersea dan Gravesend, dan kepelbagaian spesies ikan air tawar yang ada adalah lebih kecil, dengan lazimnya hanya terdiri daripada ikan roach dan ikan dace; manakala spesies laut euryhaline seperti ikan flounder, ikan siakap Eropah, ikan belanak, dan ikan sepiring menjadi lebih mudah ditemui. Lebih jauh ke timur, kemasinan meningkat dan spesies ikan air tawar digantikan sepenuhnya oleh dengan spesies euryhaline lautan, sehingga sungai mencapai Gravesend, takat apabila keadaan menjadi lautan sepenuhnya dan fauna ikan menyerupai Laut Utara yang bersebelahan dan merangkumi kedua-dua spesies euryhaline dan spesies stenohaline. Corak penggantian yang sama dapat diperhatikan dengan tumbuhan akuatik dan invertebrata yang hidup di sungai.[1][2]

Jenis penggantian ekologi daripada ekosistem air tawar kepada ekosistem lautan ini adalah lazim ditemui di muara sungai. Muara sungai membentuk titik pementasan penting untuk sewaktu penghijrahan spesies ikan anadromus dan katadromus, seperti ikan salmon, ikan terubuk dan belut, memberi mereka masa untuk membentuk kumpulan sosial dan menyesuaikan diri dengan perubahan kemasinan. Ikan salmon bersifat anadromus, maknanya mereka hidup di laut tetapi melawan arus sungai untuk bertelur; belut pula bersifat katadromus, maknanya hidup di sungai besar dan sungai kecil tetapi kembali ke laut untuk membiak. Selain spesies yang berhijrah melalui muara sungai, terdapat banyak jenis ikan lain yang menggunakannya sebagai "tapak semaian" untuk bertelur atau sebagai tempat anak-anak ikan memakan dan membesar sebelum berpindah ke tempat lain. Ikan hering dan ikan plais merupakan dua spesies penting yang menggunakan Muara Thames untuk tujuan ini.

Muara sungai juga biasa digunakan sebagai tempat menangkap ikan dan sebagai tempat penternakan ikan.[3] Contohnya, ladang salmon Atlantik selalunya terletak di muara sungai, walaupun perkarani ini telah menimbulkan kontroversi, kerana dengan berbuat demikian, penternak ikan mendedahkan ikan liar yang berhijrah kepada sejumlah besar parasit luar seperti kutu laut yang melepaskan diri diri dari kandang ikan ternakan itu.[4]

Paya bakau sunting

Satu lagi habitat air payau yang penting ialah paya bakau. Banyak walaupun bukan semua kawasan paya bakau di pinggiran muara atau lagun menghadapi perubahan kemasinan setiap kali air pasang. Antara haiwan air yang paling khusus menghuni hutan bakau ialah ikan belacak (yakni ikan yang mencari makanan di darat) dan ikan sumpit (yakni ikan yang mirip kerakap tetapi "meludah" ke arah serangga dan haiwan kecil lain yang tinggal di dalam pokok, mengetuk mereka ke dalam air supaya dapat dimakan). Seperti muara sungai, paya bakau merupakan tapak pembiakan yang sangat penting bagi pelbagai jenis ikan, dengan spesies seperti ikan kakap, ikan julung-julung dan ikan cemberet sebagai contoh haiwan yang bertelur atau berbesar di paya bakau. Selain ikan, banyak haiwan lain berhabitat di paya bakau, termasuk spesies seperti buaya air masin, buaya Amerika, kera bekantan, tuntung berlian, dan kodok sawah dengan nama saintifik Fejervarya cancrivora (dahulunya Rana cancrivora). Paya bakau mewakili tapak bersarang yang penting bagi banyak kumpulan burung seperti burung pucung, burung botak, ibis senduk, ibis, burung raja udang, burung randai dan burung laut.

Walaupun sering merupakan tempat pembiakan nyamuk dan serangga lain yang menyebabkan wabak penyakit terhadap manusia, paya bakau merupakan zon penampan yang sangat penting antara darat dan laut, dan merupakan pertahanan semula jadi khusus terhadap kerosakan taufan dan tsunami.[5]

Sundarbans dan Paya Bakau Bhitarkanika merupakan dua daripada hutan bakau besar di dunia, kedua-duanya di pantai Teluk Benggala.

Laut dan tasik payau sunting

Beberapa jasad laut dan tasik yang airnya bersifat payau. Laut Baltik merupakan laut payau yang bersebelahan dengan Laut Utara. Pada asalnya ia berhubung dengan sistem sungai Eridanos sebelum zaman Pleistosen, namun selepas itu ia dibanjiri oleh Laut Utara namun masih menerima begitu banyak air tawar dari tanah bersebelahan sehingga membentuk air payau. Oleh kerana air laut lebih tumpat, air di Baltik adalah berstrata, dengan air laut di bahagian bawah dan air tawar di bahagian atas. Percampuran terhad berlaku kerana kekurangan air pasang dan ribut, mengakibatkan fauna ikan di permukaan adalah komposisi air tawar manakala bahagian bawah lebih marin. Ikan kod merupakan contoh spesies yang hanya terdapat di perairan dalaman di Baltik, manakala ikan tombak terhad kewujudannya pada permukaan perairan yang kurang masin.

Laut Kaspia ialah tasik terbesar di dunia dan mengandungi air payau dengan kemasinan kira-kira satu per tiga daripada air laut biasa. Laut Kaspia ini juga terkenal dengan fauna haiwannya yang tersendiri, termasuk salah satu daripada beberapa anjing laut bukan marin (anjing laut Kaspia) dan ikan sturgeon besar yang merupakan sumber utama kaviar.

Teluk Hudson merupakan laut marginal payau di lautan Artik, ia kekal payau kerana sambungannya yang terhad ke lautan terbuka dengan input larian permukaan air tawar yang sangat tinggi dari lembangan saliran Teluk Hudson yang besar, dan kadar sejatan yang rendah kerana diliputi sepenuhnya dalam ais selama lebih separuh tahun.

Di Laut Hitam air permukaan bersifat payau dengan kemasinan purata kira-kira 17–18 bahagian per seribu berbanding 30 hingga 40 untuk lautan.[6] Air yang dalam dan anoksik di Laut Hitam berasal dari air suam dan masin di Laut Mediterranean.

Tasik Texoma, yakni sebuah takungan di sempadan antara negeri Texas dan Oklahoma di AS, merupakan contoh tasik payau yang jarang berlaku yang bukan sebahagian daripada lembangan endorheik mahupun lanjutan langsung dari lautan, walaupun kemasinannya jauh lebih rendah berbanding jasad badan air lain yang disebutkan di atas. Takungan itu dicipta selepas pembendungan Sungai Merah Selatan, yang (bersama dengan beberapa anak sungainya) menerima sejumlah besar garam daripada resapan semula jadi daripada mendapan yang tertimbus di kawasan hulu. Kemasinannya cukup tinggi sehinggakan ikan belang, yakni ikan yang biasanya hanya terdapat dalam air masin, mempunyai populasi yang mampu bertahan hidup di tasik tersebut.[7][8]

Kegunaan manusia sunting

Air payau digunakan oleh manusia dalam pelbagai sektor. Ia biasanya digunakan sebagai air penyejuk untuk penjanaan kuasa dan digunakan dalam pelbagai cara lain dalam industri perlombongan, minyak dan gas. Setelah penyahgaraman ia juga boleh digunakan untuk pertanian, ternakan, dan kegunaan perbandaran.[9] Air payau boleh dirawat menggunakan osmosis terbalik, elektrodialisis dan proses penapisan lain.[10]

Rujukan sunting

  1. ^ The River Thames – its geology, geography and vital statistics from source to sea Diarkibkan 2010-05-16 di Wayback Machine, The-River-Thames.co.uk
  2. ^ The River Thames – its natural history Diarkibkan 2006-08-18 di Wayback Machine The-River-Thames.co.uk
  3. ^ "Tropical Aquaculture". www.eattilapia.com. Diarkibkan daripada yang asal pada September 29, 2010.
  4. ^ "脱毛の口コミまとめ". saveourseatrout.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-07-17.
  5. ^ Mangrove forests 'can reduce impact of tsunamis' Diarkibkan 2006-06-18 di Wayback Machine, Science and Development Network, December 30, 2004
  6. ^ Lüning, Klaus (1991-01-16). Seaweeds: Their Environment, Biogeography, and Ecophysiology. John Wiley & Sons. m/s. 121. ISBN 978-0-471-62434-9. OL 7619451M.
  7. ^ Malewitz, Jim (21 November 2013). "Communities Along Red River Seek Feds' Help." The Texas Tribune. Retrieved 25 December 2018.
  8. ^ U.S. Geological Survey Fact Sheet 170-97. Retrieved 25 December 2018.
  9. ^ Program, USGS - U.S. Geological Survey Water Availability and Use Science. "How is Brackish Groundwater Being Used? - USGS National Brackish Groundwater Assessment". water.usgs.gov (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2022-03-08.
  10. ^ Ahdab, Yvana D.; Lienhard, John H. (2020), "Desalination of brackish groundwater to improve water quality and water supply", Prof. Lienhard (dalam bahasa Inggeris), Elsevier, ISBN 978-0-12-818172-0, dicapai pada 2022-03-08

Bacaan lanjut sunting