Akson (daripada istilah Yunani ἄξων áxōn, "paksi") atau gentian saraf ialah suatu unjuran sel saraf atau neuron panjang dan halus yang biasanya mengalirkan impuls elektrik (keupayaan tindakan) daripada jasad sel saraf. Ia berfungsi menyalurkan maklumat ke pelbagai jenis neuron, otot dan kelenjar yang berbeza. Dalam neuron deria (pseudounipolar neuron) tertentu untuk deria sentuhan atau pengesanan suhu persekitaran, impuls elektrik digerakkan melalui akson – dikenali sebagai gentian (fiber) saraf aferen dalam konteks ini – daripada bahagian badan periferal ke jasad sel hingga ke korda spina sepanjang satu cabang lain akson yang sama. Gangguan atau “disfungsi” (dysfunction[1]) kepada akson telah menyebabkan penyakit neurologi sama ada yang diperolehi mahupun diwarisi yang boleh menjejaskan kedua-dua neuron periferal and pusat. Gentian saraf dikelaskan kepada tiga jenis iaitu gentian saraf kumpulan A, gentian saraf kumpulan B dan gentian saraf kumpulan C; di mana kesemua kumpulan ini termasuk gentian deria (sensory fibre) dan gentian motor (motor fibre). Kumpulan A and B mengandungi mielin namun tidak pula pada kumpulan C. Terdapat satu lagi pengelasan melibatkan gentian deria yang dibahagikan kepada Jenis I, Jenis II, Jenis III dan Jenis IV.

Gambarajah lama neuron dengan unjuran akson yang memanjang - ditandai dengan huruf 'a'. (daripada Untersuchungen über Gehirn und Rückenmark des Menschen und der Sa¨ugethiere karya Otto Deiters, 1865)

Akson dibezakan daripada unjuran bersitoplasma lain dalam jasad sel neuron seperti dendrit melalui beberapa ciri yang tersendiri seperti bentuk (dendrit cenderung menirus manakala radius akson masih dikekalkan sepanjang strukturnya dari hujung ke hujung), panjang (akson lebih panjang daripada dendrit yang terhad kepada ruang sekeliling jasad sel neuron), dan fungsi (dendrit menerima isyarat badan manakala akson memancarkan isyarat tersebut). Ada jenis neuron tertentu yang tidak mempunyai akson memancarkan isyarat terus daripada dendrit masing-masing. Neuron langsung tidak mempunyai lebih daripada satu akson; namun akson yang ada dalam tubuh haiwan-haiwan invertebrat seperti serangga atau lintah kadangkalanya terdiri daripada beberapa kawasan yang berfungsi lebih kurang bebas antara satu sama lain.[2]

Rujukan sunting

  1. ^ "'dysfunction' – Maklumat Kata". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 27 Januari 2018.
  2. ^ Yau, KW (1976). "Receptive fields, geometry and conduction block of sensory neurons in the CNS of the leech". Journal of Physiology. Lond. 263 (3): 513–538. doi:10.1113/jphysiol.1976.sp011643. PMC 1307715. PMID 1018277.

Pautan luar sunting