Ali Wallace

ahli alamiah dan pembantu Alfred Russel Wallace

Ali Wallace (hidup sekitar 1840–1907) ialah nama yang digunakan oleh seorang Melayu asal Sarawak yang menemani serta membantu dalam penjelajahan dan pengembaraan ahli botani dan naturalis masyhur British, Alfred Russel Wallace, dari tahun 1855 sehingga tahun 1862. Ada juga catatan berdasarkan penceritaan daripada orang Ternate di Maluku Utara yang memberi nama Buang bin Muhammad Ali sebagai nama asal beliau.[1][sumber tak boleh dipercayai?]

Gambar Ali pada tahun 1862 sejurus sebelum A. R. Wallace meninggalkan Singapura.

Pada awalnya, Ali hanyalah diupah sebagai tukang masak beliau. Namun, Ali kemudiannya diberi kepercayaan untuk mengumpul dan mengutip secara bersendiri beberapa ekor spesimen di mana catatan diberi penghargaan kepada Wallace. Ali turut membuat pemerhatian terhadap burung dan orang yang kemudiannya diberitahu kepada Wallace. Anggaran spesimen burung yang dikumpul dan disediakan oleh Ali menghampiri 5,150 ekor. Spesimen burung terbabit tersimpan rapi dalam himpunan beberapa muzium sejarah semula jadi seluruh dunia.

Pengembaraan bersama Wallace sunting

Alfred Russel Wallace menjelajah ke kepulauan Melayu pada bulan Mac 1854 bersama pembantunya, Charles Martin Allen (1839–92), untuk mengumpul binatang. Beliau mengupah seramai 1,200 orang sepanjang pengembaraannya ketika detik-detik dan tempat-tempat tertentu. Beberapa orang upahannya ada yang memberi tanggapan kepadanya serta dicatat nama mereka.[2] Mereka tiba di Singapura pada 18 April 1854 lalu beliau mengupah seorang kanak-kanak lelaki Melayu yang bernama Ali. Keterangannya mengenai Ali:

Ketika saya di Sarawak pada tahun 1855, saya mengambil seorang kanak-kanak lelaki Melayu bernama Ali sebagai pembantu peribadi saya, dan sebagai satu cara untuk mempelajari bahasa Melayu lantaran keperluan berbicara dengannya sepanjang masa. Ia sangat melayani kehendakku dan seorang yang pembersih, malahan boleh memasak dengan sangat bagus. Lambat-laun, ia mula mempelajari cara menembak burung, menguliti burung tersebut, bahkan baru-baru ini mula mengatur kulit-kulit burung dengan begitu rapi. Sudah lumrah orang Melayu, ia pelaut yang handal, justeru segala kesulitan dan malapetaka sepanjang perjalanan kami dihadapinya dengan penuh tenang serta bersedia melakukan apa-apa sahaja yang diperlukan. Ia menemaniku ketika seluruh pengembaraanku, ada masanya keseorangan, namun selalunya bersama-sama beberapa orang pembantu yang lain. Ialah yang mengajari mereka tugas masing-masing, selepas betah dengan kemahuan dan tabiatku.
 
Bidadari halmahera, spesimen yang dikumpul serta diterangkan oleh Ali

Lama-kelamaan, Ali mula cekap menembak serta menguliti burung. Beliau menemani Wallace dan Allen lalu menjadi pembantunya yang paling dipercayai. Di kepulauan Aru, spesimen burung cenderawasih raja (Cicinnurus regius) berjaya dikumpul barangkali besarnya oleh Ali. Beliau juga ada mengumpul seekor burung Pitta maxima (dijelaskan sebagai Pitta gigas) dari Halmahera. Ali menemani Wallace ke Pulau Papua pada tahun 1858 sebelum kembali ke Ternate. Pada 24 Ogos 1858 di kepulauan Bacan, Ali mengumpul burung manakala Wallace mengumpul serangga. Wallace mencatat:[3]

Sejurus selepas aku pulang Ali kembali selepas berburu sambil menggantung beberapa ekor burung di tali pinggangnya. Gembira tampaknya, lalu ia berbicara, "Tuan, lihatlah betapa anehnya burung ini," sambil dipegangnya akan suatu burung yang memang membingungkan. Kelihatan seekor burung dengan gumpalan bulu pelepah yang maha hijau di dadanya, lalu membentuk sepasang jambul yang berkilauan; namun, yang paling membingungkan ialah sepasang bulu pelepah putih panjang yang mengunjur keluar dari tiap-taip bahunya. Ali menerangkan bahawa memang burung itu telah mengunjurkan bulu tersebut ketika mengepak-ngepakkan sayapnya, malahan terus berkeadaan sedemikian walaupun tanpa dipegang. Tahulah saya bahawa burung ini amat berharga, sejenis burung cenderawasih yang baharu, teramatlah berlainan daripada mana-mana burung yang diketahui sebelum ini.

Spesies ini diberikan nama oleh George Robert Gray dengan nama Semioptera wallacii ataupun nama setempatnya "Bidadari Halmahera".[3]

Ketika di Ternate, Ali telah mengahwini seorang perempuan serta tidak bersama Wallace pada tahun 1859. Ali bertemu semula dengan Wallace pada tahun 1861 ketika dalam perjalanan ke Pulau Buru. Pada tahun 1862, Wallace telah ke Singapura untuk membuat persiapan pulang ke England. Pada masa inilah dibekalkannya Ali wang, sepucuk senapang, beberapa butir peluru dan pelbagai bekalan lain. Wallace meminta Ali diambil gambarnya dan dalam sebuah buku catatannya yang bertahun 1905, Wallace ada mencatat:

Inilah kali pertama ia diberi persalinan Eropah, namun tidaklah sesegak pakaian aslinya. Begitulah ada seorang rakan yang mengambil gambarnya dengan sungguh baik. Dengan ini saya persembahkan rupanya kepada sekalian pembacaku akan seorang pembantu orang asli yang terbaik pernah kutemui dan seorang peneman yang setia sepanjang perjalananku di sekitar kepulauan di Timur jauh.

Kehidupan pascakhidmat dengan Wallace sunting

Pada tahun 1907, seorang ahli herpetologi (kaji binatang merayap, iaitu reptilia dan amfibia) Amerika Syarikat yang bernama Thomas Barbour telah berada Ternate dan seperti tercatat dalam buku kisah kenangannya yang bertahun 1943:[4]

Semasa saya dan isteri saya sedang bersedia untuk mendaki Tasik Kawah (Tasik Tolire), kami dihentikan oleh seorang lelaki. Yang menemani kami ketika itu ialah Ah Woo dengan jaring kupu-kupunya, Indit dan Bandoung, pengumpul Jawa yang cekap dilengkapi beberapa pucuk senapang patah, karung pakaian dan sebuah vasculum (bekas simpanan) untuk mengangkut burung. Yang memberhentikan kami ialah seorang lelaki Melayu tua yang berkerepot. Saya perhatikannya, kepalanya bersongkok biru pudar. Katanya, "Aku Ali Wallace". Ketika itu jugalah saya tahu akan tubuh yang sedang berdiri di hadapanku ini merupakan teman setia Wallace selama beberapa tahun, kanak-kanak yang tidak sahaja membantunya mengumpul binatang malahan merawatnya ketika sakit. Kami mengambil gambarnya lalu dihantarkan kepada Wallace selepas pulang. Beliau menuliskanku sepucuk surat untuk memberitahu penerimaan surat tersebut dan mengenangkan detik ketika Ali telah menyelamatkan nyawanya bilamana Ali merawat beliau semasa demam kura.

Sebuah cerakinan tahun 2015 oleh John van Wyhe dan Gerrell M. Drawhorn telah mendapati bahawa Ali bukan sahaja seorang pembantu kerja malahan beliau betul-betul berminat dengan kajian burung.[3] Sebuah filem dokumentari, Searching for Ali Wallace (Pencarian Ali Wallace), diterbitkan pada tahun 2016.

Rujukan sunting

  1. ^ Desjeux, Isabelle (2015). "Buang, the Lost Malay Scientist". Dicapai pada 4 November 2020. - projek dokumentari dilakukan mengenai asal-usul pembantu ini.
  2. ^ Wyhe, John van (2018). "Wallace's Help: The Many People Who Aided A. R. Wallace in the Malay Archipelago" (PDF). Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (dalam bahasa Inggeris). 91 (314): 41–68.
  3. ^ a b c Wyhe, John Van; Drawhorn, Gerrell M. (2015). "'I am Ali Wallace': The Malay Assistant of Alfred Russel Wallace" (PDF). Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (dalam bahasa Inggeris). 88: 3–31. doi:10.1353/ras.2015.0012.
  4. ^ Barbour, Thomas (1944). Naturalist at Large (dalam bahasa Inggeris). Boston: Little, Brown and Company. m/s. 42.

Pautan luar sunting