Anjing berjambul China

baka anjing dari China

Anjing berjambul China[a] ialah satu baka anjing botak. Seperti kebanyakan baka anjing botak, anjing berjambul China terdapat dalam dua keragaman, yang tanpa bulu dan yang dengan bulu, yang dapat lahir dalam perinduk sama: yang botak dan yang paf bedak.

Anjing berjambul China
Jantan dewasa
Nama ringkasCrested, Puff
Negara asalChina[1]
Anjing (Canis lupus familiaris)

Perihal sunting

 
Keragaman berlapis bulu dipanggil "paf bedak" dan merupakan jenis beriktiraf

Anjing berjambul China dianggap sebagai baka esktra kecil hingga kecil dengan purata berat sebanyak 10–13 lb (4.5–5.9 kg). Ketinggiannya ialah 11–13 inci (28–33 cm). Baka ini bertulang halus dengan mata berbentuk badam dan telinga besar dan tegak. Tiada piawaian warna untuk baka ini.[2]

Pada pandangan pertama, keragaman botak dan keragaman paf bedak bagi anjing berjambul China kelihatan seperti dua baka berlainan, tetapi kebotakan ialah trait dominan tidak lengkap dalam satu baka. Keragaman botak mempunyai kulit lembut mirip manusia serta jumbai bulu pada kakinya ("stoking") dan ekor ("bulu") dan rambut panjang berjela-jala pada kepalanya ("jambul"). Selain sebagai gen dominan tidak lengkap, gen "botak" mempunyai kesan maut pranatal apabila homozigus.[3] Zigot-zigot yang terjejas dengan gen botak ganda tidak pernah berkembang menjadi anak anjing dan diserap semula di dalam rahim. Oleh itu, semua anjing berjambul China botak dengan itu adalah heterozigus.

Keragaman botak dapat berbeza-beza dari segi jumlah bulu tubuh. Bulu pada muncung, yang dikenali sebagai janggut, adalah lazim juga. Anjing botak sejati selalunya tidak mempunyai begitu banyak jumbai (bulu di kepala, di ekor, dan di kaki). Perbezaan antara anjing botak sangat berbulu dengan anjing paf bedak ialah bahawa anjing botak mempunyai lapis bulu tunggal dengan bahagian botak pada tubuh, manakala anjing paf bedak mempunyai lapis bulu ganda tebal. Kulit anjing botak terdapat dengan pelbagai warna, daripada isi pucat hingga hitam. Anjing berjambul China botak kerap kekurangan set lengkap gigi geraham kecil, tetapi ini tidak dianggap sebagai kecacatan.[4]

Anjing paf bedak mempunyai lapis bulu panjang dan lembut. Kedua-dua keragaman botak dan paf bedak dapat muncul dalam perinduk sama. Rupa paf bedak berbeza menurut cara pendandanan. Apabila bulunya sepenuhnya tumbuh pada mukanya, ia sangat menyerupai terier; walau bagaimanapun, paf bedak biasanya dicukur di sekeliling muncung dengan gaya potongan bulu piawai. Anjing berjambul China paf bedak ialah anjing yang elegan dan anggun yang sesuai sebagai teman penyayang yang suka bermain dan menghiburkan. Lapis bulu anjing paf bedak adalah panjang dan lembut bak sutera.

Jumlah bulu tubuh pada keragaman botak berbeza-beza dengan agak meluas, daripada yang botak sejati yang mempunyai sedikit bulu tubuh dan jumbai atau tidak mempunyai bulu tubuh dan jumbai langsung, kepada yang dipanggil anjing "botak berbulu", yang, jika dibiarkan tidak didandani, kerap mempunyai lapis bulu yang tumbuh hampir sepenuhnya. Anjing botak berbulu ini bukan kacukan antara anjing berjambul China paf bedak dengan anjing berjambul China botak, tetapi hanyalah hasil daripada ekspresi lebih lemah bagi gen botak yang berubah-ubah. Mutasi yang bertanggungjawab untuk trait botak dikenal pasti pada tahun 2008.[5]

Penjagaan sunting

 
Anak anjing berjambul China berusia 12 minggu, paf bedak
 
Anjing berjambul China, paf bedak

Kedua-dua keragaman memerlukan jumlah pendandanan tertentu. Anjing paf bedak dilitupi sepenuhnya dengan lapis bulu ganda sangat lembut dan lurus. Walaupun lapis bulu anjing paf bedak tidak tumbuh berterusan, lapis bulunya dapat tumbuh menjadi agak panjang pada panjang penuh; mandi mingguan dan pemberusan kerap biasanya membantu untuk mengelakkan pengusutan. Untuk lapis bulu optimum, ada syor agar lapis bulu anjing berkenaan tidak diberus kering atau kotor, kerana semburan air ringan atau semburan dandanan pada lapis bulunya disyorkan sebelum pemberusan. Ramai orang memilih untuk mencukur anjing paf bedak mereka dalam "gaya potongan bulu poni" yang meninggalkan bulu panjang pada bahagian bawah kaki, ekor, kepala, dan jambul untuk lapis bulu dengan penjagaan mudah. Anjing paf bedak adalah sangat bersih dan tidak berbau. Baka ini mengalami "sedikit salin bulu atau salin bulu sifar".[6]

Penjagaan kulit keragaman botak adalah serupa dengan penjagaan kulit manusia dan, oleh itu, kulitnya dapat menjadi rentan terhadap akne, kekeringan, dan selaran matahari. Krim pelembap hipoalergenik atau bebas minyak dapat menghalang kulit daripada menjadi terlalu kering apabila digunakan setiap hari atau selepas mandi. Kelecuran dapat berlaku di kawasan yang terdedah kepada sinaran UV kuat, terutamanya pada anjing berkulit cerah. Ramai pemilik menyapu pelindung matahari bayi pada haiwan peliharaan mereka sebelum meluangkan masa di bawah sinar matahari terik. Sesetengah anjing berjambul China mempunyai alahan kulit terhadap lanolin.

 
Anjing berjambul China, keragaman botak, kulit cerah

Melainkan anjing berkenaan ialah anjing botak "sejati" (yang hampir tanpa pertumbuhan bulu pada bahagian bukan hujung), pemangkasan dan/atau pencukuran kerap dilakukan untuk menanggalkan pertumbuhan bulu berlebihan.

Anjing berjambul China selanjutnya dibezakan lagi dengan kaki kelinci-nya (yang mempunyai jari kaki lebih memanjang), berbanding dengan kaki kucing yang lazim pada kebanyakan anjing lain. Oleh sebab ini, isi kuku anjing berjambul China masuk lebih dalam ke dalam kuku, jadi perlu ada perhatian untuk tidak memotong kuku terlalu pendek untuk mengelakkan kesakitan dan perdarahan.

Anjing paf bedak suka keluar untuk bersenam setiap hari, walaupun ia bukan baka bertenaga tinggi. Sebagai baka sangat cerdas, anjing ini berjaya dalam sukan jenis kepatuhan. Ketekalan ialah kemestian; walau bagaimanapun, baka ini dapat menjadi agak sensitif dan patut mempunyai jurulatih lemah lembut. Anjing paf bedak sangat pandai belajar dan melakukan trik.

Kesihatan sunting

 
Seekor anjing berjambul China botak yang menyertai pertandingan ketangkasan

Anjing paf bedak tidak terjejas akibat banyak penyakit kongenital yang terdapat pada baka mainan lain. Walau bagaimanapun, ia terdedah kepada sesetengah keadaan yang tersenarai ini. Masalah mata seperti kehelan kanta, glaukoma, dan PRA (atrofi retina progresif), tempurung lutut terkehel, dan penyakit Legg-Perthes. Anjing paf bedak patut mempunyai kegigian penuh, tanpa gigi hilang atau bengkok, sebagaimana yang diterima pada keragaman botak.

Keragaman botak bagi anjing berjambul China dapat menjadi terdedah kepada kegigian buruk.[7] Kegigian buruk mungkin termasuk gigi hilang atau rapat dan gigi yang cenderung untuk reput apabila tidak dijaga dengan betul. Kebanyakan anjing keragaman paf bedak mempunyai sedikit, jika ada, kecacatan gigi.

Masalah mata merupakan kebimbangan dalam baka ini, yang mempunyai insiden lebih tinggi bagi kehelan kanta primer (PLL) berbanding dengan kebanyakan baka lain.[8] Anjing berjambul China juga dapat mempunyai sekurang-kurangnya dua bentuk atrofi retina progresif (PRA) yang akhirnya dapat membawa kepada kebutaan juga. Untuk PLL dan salah satu bentuk PRA, ujian genetik dapat dilakukan untuk menentukan sama ada seseekor anjing merupakan 'pembawa', 'bebas', atau 'terjejas'. Memandangkan ujian tersebut hanya dapat mendedahkan kewujudan status terjejas atau pembawa bagi salah satu bentuk PRA, pembiak baka dan pemilik baka ini masih patut membawa anjing mereka untuk menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh ahli oftalmologi veterinar.[9] Baka ini juga menderitai penyakit mata lain yang dipanggil keratokonjunktivitis sika atau sindrom mata kering (DES).[10]

Bersama-sama dengan terier biru Kerry, anjing berjambul China dapat menghidap degenerasi berbilang sistem anjing (CMSD) yang juga dipanggil abiotrofi neuron progresif (PNA) pada terier biru Kerry. Ini ialah kecelaruan pergerakan progresif yang bermula dengan ataksia serebelum pada usia antara 10 minggu dengan 14 minggu. Selepas umur 6 bulan, anjing terjejas mengalami kesukaran untuk memulakan pergerakan dan kerap jatuh. Gen yang bertanggungjawab telah dipetakan kepada kromosom anjing 1.[11]

Seperti semua baka mainan lain, anjing berjambul China dapat menjadi terdedah kepada kehelan tempurung lutut. Keadaan boleh waris ini disebabkan oleh sendi lutut cetek (stifel) dan menyebabkan tempurung lutut terkeluar dari tempatnya. Permulaan selalunya pada usia muda dan dapat menyebabkan ketempangan sementara hingga kekal berdasarkan keparahan. Pembiak baka patut memastikan bahawa ternakan mereka disahkan bebas daripada kehelan tempurung lutut. Kelab kenel di banyak negara mengekalkan pejabat pendaftaran berpusat untuk keputusan kesihatan.[12][13]

Alahan dan penyakit autoimun telah diperhatikan pada baka ini. Sesetengah alahan makanan juga dapat menyebabkan jerawat kulit, seperti bintik hitam berlebihan, jerawat, dan kekeringan. Baka ini telah diperhatikan mempunyai alahan terhadap ayam dan ramai pemilik memilih diet bebas ayam atau diet buatan sendiri. Keparahan penyakit ini, yang dapat menyebabkan kematian pramatang bagi anjing berkenaan, bermakna ini merupakan sesuatu yang perlu dipandang berat oleh pembiak baka untuk mengelakkannya menjadi masalah kepada baka ini.

Sejarah sunting

Walaupun anjing botak telah ditemukan di banyak tempat di dunia, tidak mungkin asal usul anjing berjambul China moden adalah di China.[14] Mutasi genetik sama yang dikongsi dengan xoloitzcuintli membawa kepada teori bahawa kedua-duanya mempunyai asal usul bersama.[15] Asal usul anjing berjambul China moden dipercayai sama ada terletak di Afrika atau, kemungkinan besar, di Mexico.[perlu rujukan]

Penjelajah Sepanyol menemukan anjing berjambul China di Mexico dan di bahagian lain di Amerika Tengah dan Amerika Selatan seawal tahun 1500-an. Penjelajah British, Perancis, dan Portugis juga menemukan baka ini di pelbagai bahagian Afrika dan Asia semasa tahun 1700-an dan tahun 1800-an.[16]

Pada tahun 1950-an, Debora Wood mewujudkan kenel "Crest Haven" dan mula sengaja membiakbakakan dan mencatatkan zuriat anjing berjambul China beliau. Penari burlesk masyhur Gypsy Rose Lee juga membiakbakakan anjing berjambul China yang, selepas kematian beliau, dimasukkan ke dalam Crest Haven. Kedua-dua susur galur ini merupakan asas sebenar bagi setiap anjing berjambul China yang masih hidup kini. Cik Wood juga mengasaskan American Hairless Dog Club pada tahun 1959, yang akhirnya dimasukkan ke dalam American Chinese Crested Club (ACCC) pada tahun 1978. ACCC menjadi kelab induk Amerika Syarikat untuk baka ini apabila anjing berjambul China diiktiraf oleh American Kennel Club 13 tahun kemudian, pada tahun 1991.[16]

Anjing berjambul China diiktiraf secara rasmi oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa[1] pada tahun 1987 dan oleh American Kennel Club pada tahun 1991.[17]

Pembiakbakaan sunting

 
Seekor anjing berjambul China paf bedak dalam pertunjukan anjing pada tahun 2011

Alel botak (jenis liar) ialah trait dominan (dan trait maut pranatal homozigus), sementara alel paf bedak bertidak sebagai trait resesif ringkas dalam kehadirannya. Zigot-zigot yang menerima dua salinan alel botak tidak akan berkembang menjadi anak anjing. Oleh itu, semua anjing berjambul China membawa sekurang-kurangnya satu salinan alel paf bedak.

Trait paf bedak tidak dapat dikeluarkan melalui pembiakbakaan kerana trait ini dibawa oleh semua anjing berjambul China (termasuk yang botak). Semua anjing berjambul China mempunyai kebolehan untuk menghasilkan anak anjing paf bedak, walaupun apabila dibiakbakakan dengan seekor anjing botak lain. Anjing paf bedak yang dibiakbakakan dengan seekor lagi anjing paf bedak pula sama sekali tidak akan menghasilkan anak anjing botak, kerana kedua-duanya tidak membawa gen botak.

Dalam kebudayaan popular sunting

Seekor anjing berjambul China masyhur ialah anjing botak baka tulen bernama Sam. Ia merupakan pemenang Peraduan Anjing Paling Hodoh di Dunia dari tahun 2003 hingga tahun 2005; ia mati sebelum ia dapat bertanding pada tahun 2006. Anjing berjambul China lain, sama ada baka tulen atau kacuk, telah mendapat tempat tinggi dalam acara itu juga.[18]

Sesetengah anjing berjambul China juga telah muncul sebagai watak dalam filem dan rancangan televisyen seperti yang berikut:

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ برجمبول چينا; Cina mudah: 中国冠毛犬; Cina tradisional: 中國冠毛犬; pinyin: Zhōngguó guānmáoquǎn; bahasa Inggeris: Chinese crested dog; Chinese crested

Rujukan sunting

  1. ^ a b "FCI-Standard N° 288 CHINESE CRESTED DOG" [Piawaian FCI No. 288 Anjing Berjambul China] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). 15 September 2021. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  2. ^ "Chinese Crested Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Februari 2024.
  3. ^ Robinson, Roy (1 Mei 1985). "Chinese crested dog". The Journal of Heredity (dalam bahasa Inggeris). American Genetic Association. 76 (3): 217–218. doi:10.1093/oxfordjournals.jhered.a110074. PMID 3998444. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  4. ^ Chinese Crested (dalam bahasa Inggeris), American Kennel Club, dicapai pada 8 Februari 2024
  5. ^ Drogemuller, C.; Karlsson, E. K.; Hytonen, M. K.; Perloski, M.; Dolf, G.; Sainio, K.; Lohi, H.; Lindblad-Toh, K.; Leeb, T. (2008). "A Mutation in Hairless Dogs Implicates FOXI3". Science (dalam bahasa Inggeris). 321 (5895): 1462. Bibcode:2008Sci...321.1462D. doi:10.1126/science.1162525. PMID 18787161. S2CID 206514824.
  6. ^ Dogs that do not shed (Inggeris) Diarkibkan 30 September 2018 di Wayback Machine. Go Pets America. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  7. ^ Kupczik, K.; Cagan, A.; Brauer, S.; Fischer, M. S. (2017). "The dental phenotype of hairless dogs with FOXI3 haploinsufficiency". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). 7 (1): 5459. Bibcode:2017NatSR...7.5459K. doi:10.1038/s41598-017-05764-5. PMC 5511229. PMID 28710361.
  8. ^ "Primary Lens Luxation (PLL) | Veterinary Genetics Laboratory". vgl.ucdavis.edu (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Februari 2024.
  9. ^ "prcd-PRA Test for Chinese Cresteds" (dalam bahasa Inggeris). Optigen.com. 19 Jun 2007. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  10. ^ Chinese Crested Health (Inggeris) Diarkibkan 27 Julai 2012 di Wayback Machine
  11. ^ D. P. O'Brien, G. S. Johnson, R. D. Schnabel, S. Khan, J. R. Coates, G. C. Johnson, dan J. F. Taylor. "Genetic mapping of canine multiple system degeneration and ectodermal dysplasia Loci" (Inggeris). Journal of Heredity 96 (7):727–734, 2005.
  12. ^ "Orthopedic Foundation for Animals (OFA)" (dalam bahasa Inggeris). Offa.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Mei 2020. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  13. ^ Patellar Luxation General Information - OFA (Inggeris) Diarkibkan 14 September 2007 di Wayback Machine
  14. ^ Fernandez, Amy; Rhae, Kelly (1999). Hairless Dogs: The Naked Truth (dalam bahasa Inggeris). Kelly Rhae. ISBN 0-9672160-1-X.
  15. ^ "Discover Magazine" (dalam bahasa Inggeris). Blogs.discovermagazine.com. 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Ogos 2011. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  16. ^ a b Dickerson, S. M. Dick (23 September 2021). "Chinese Crested History: Worldwide Origins of the Quirky, Hairless Breed". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 8 Februari 2024.
  17. ^ "American Kennel Club Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  18. ^ "Under-bite helps Pabst become World's Ugliest Dog" (dalam bahasa Inggeris). Boston.com. Associated Press. 28 Jun 2009. Dicapai pada 8 Februari 2024.

Pautan luar sunting