Arus terus (DC, juga AT) merujuk kepada arus elektrik yang mengalir sehala. Arus terus dihasilkan daripada pelbagai sumber seperti bateri, termogandingan, sel suria serta dinamo jenis komutator. Di dalam arus terus, cas elektrik mengalir pada arah yang tetap, berbeza dengan arus ulang-alik (AC).

Jenis-jenis arus terus.

Arus terus juga boleh diperolehi daripada bekalan arus ulang-alik dengan menggunakan diod atau rektifier yang membenarkan arus mengalir sehala sahaja. Arus terus juga boleh ditukar kembali ke arus ulang-alik dengan menggunakat inverter ataupun set motor-penjana.

Sistem penghantaran elektrik pertama (dibangunkan oleh Thomas Edison pada lewat abad ke-19) menggunakan arus terus. Oleh kerana kelebihan arus ulang-alik lebih baik berbanding arus terus dalam penukaran voltan serta penghantaran, hampir kesemua sistem penghantaran elektrik menggunakan arus ulang-alik. Bagi aplikasi yan memerlukan arus terus, seperti sistem kereta api elektrik yang menggunakan rel ketiga, arus ulang-alik dihantar ke pencawang, yang seterusnya ditukarkan ke arus terus dengan menggunakan rektifier. Sila rujuk rencana Perang Arus Elektrik.

Arus terus digunakan untuk mengecas bateri, serta pada hampir kesemua sistem elektronik seperti pada sistem bekalan kuasa. Kuasa elektrik arus terus pada kuantiti yang besar digunakan dalam penghasilan aluminium daripada bijihnya serta proses elektrokimia yang lain. Sistem penghantaran arus terus voltan tinggi (HVDC) digunakan dalam penghantaran pukal bekalan elektrik merentasi jarak yang sangat jauh ataupun untuk menghubungkan antara dua grid arus ulang-alik yang berjiran.

Pelbagai definisi sunting

Dalam kejuruteraan elektrik, istilah DC digunakan bagi merujuk kepada sistem kuasa dengan hanya satu kekutuban voltan atau arus, serta merujuk kepada lawannya, berfrekensi sifar, ataupun nilai min setempat bagi voltan atau arus yang berubah secara perlahan.[1] Contohnya, voltan yang merentasi punca voltan DC adalah malar sebagaimana arus merentasi punca arus DC. Penyelesaian DC bagi litar elektrik ialah penyelesaian di mana semua voltan dan arus adalah malar.

Walaupun DC bermasud "Arus Terus", DC kadang-kala merujuk kepada "kekutuban malar". Melalui definisi ini, voltan DC boleh berubah mengikut masa, seperti keluaran mentah daripada rektifier ataupun isyarat bunyi yang berubah-ubah melalui talian telefon

Sesetengah bentuk DC (seperti yang dihasilkan pada alat kawalan voltan) mempunyai voltan yang hampir malar, tetapi masih mempunyai perubahan pada keluaran kuasa dan arus.

Aplikasi sunting

Pemasangan arus terus biasanya mempunyai set soket, suis serta peralatan yang berbeza, selalunya disebabkan voltan yang rendah. Adalah penting bagi peralatan arus terus untuk tidak menterbalikkan kekutuban kecualilah jika peralatan tersebut mempunyai titian diod untuk memperbetulkannya (kebanyakan peralatan berkuasa bateri tiada titian diod).

 
Simbol pada peralatan elektronik yang memerlukan atau menghasilkan arus terus.

DC biasanya didapati pada aplikasi voltan rendah, terutamanya yang berkuasa bateri, yang hanya boleh menghasilkan DC, ataupun sistem kuasa suria, memandangkan sel suria hanya menghasilkan DC. Kebanyakan aplikasi automotif menggunakan DC, walaupun pengulangalik ialah peranti AC yang menggunakan rektifier untuk menghasilkan DC. Kebanyakan litar elektronik memerlukan bekalan kuasa CD. Aplikasi menggunakan sel bahan api (mencampurkan hidrogen dengan oksigen bersama untuk menghasilkan elektrik dan air) juga hanya menghasilkan DC.

Kebanyakan telefon disambungkan ke wayar pasangan berlingkar, serta mengasingkan komponen AC pada voltan di antara dua wayar (isyarat audio) dengan komponen DC antara dua wayar (untuk membekalkan elektrik pada telefon).

Peralatan komunikasi ibusawat telefon, seperti DSLAM, menggunakan bekalan kuasa piawai -48V DC. Kekutuban negatif diperolehi dengan membumikan terminal positif sistem bekalan kuasa serta bateri. Ia dilakukan untuk mengelakkan mendapan elektrolisis.

Rel ketiga yang dikenakan bekalan elektrik boleh digunakan untuk membekalkan kuasa kepada sistem alihan laju serta kereta api elektrik atas tanah.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Roger S. Amos, Geoffrey William Arnold Dummer (1999). Newnes Dictionary of Electronic. Newnes. ISBN 0750643315.

Pautan luar sunting