Bahasa Indo-Eropah Purba

leluhur kepada semua bahasa-bahasa Indo-Eropah
(Dilencongkan dari Bahasa Proto-Indo-Eropah)

Bahasa Indo-Eropah Purba ialah bahasa leluhur bersama yang direkonstruksi dari keluarga bahasa Indo-Eropah.[1] Tiada catatan atau sebarang bukti langsung yang ditemui mengenai kewujudan bahasa Indo-Eropah Purba, dan ciri-ciri yang dikemukakan itu semua diterbitkan berdasarkan rekonstruksi linguistik kepada kesemua bahasa Indo-Eropah sedia ada.[2]

Bahasa Indo-Eropah Purba
PIE
Rekonstruksi bahasa-bahasa Indo-Eropah
RantauLihat bahagian § Kawasan
ZamanLihat bahagian § Zaman
Rekonstruksi turutan

Jauh lebih banyak usaha telah dilakukan untuk merekonstruksi bahasa Indo-Eropah Purba berbanding mana-mana rekonstruksi bahasa purba, dan rekonstruksi bahasa purba ini adalah paling difahami berbanding mana-mana bahasa purba sezamannya. Kebanyakan kerja-kerja linguistik pada abad ke-19 ditumpukan kepada rekonstruksi bahasa-bahasa Indo-Eropah purba serta bahasa-bahasa anaknya, dan hasilnya banyak teknik moden rekonstruksi linguistik (seperti kaedah pembandingan) dapat dikembangkan.

Bahasa Indo-Eropah Purba dihipotesis bahawa ia dituturkan sebagai satu bahasa bermula 4500 tahun sehingga 2500 tahun sebelum Masihi[3] sewaktu Zaman Neolitik Akhir sehingga ke Zaman Gangsa Awal, walaupun andaian tersebut mempunyai julat lebih daripada seribu tahun. Menurut hipotesis Kurgan, tanah asal orang Indo-Eropah Purba mungkin berada di dataran rumput Pontia-Kaspia di timur Eropah. Rekonstruksi linguistik bahasa Indo-Eropah Purba telah memberi petunjuk mengenai budaya gembala dan kepercayaan berlandaskan sistem kebapaan (patriarki) penutur-penutur bahasa tersebut.[4]

Sewaktu penutur-penutur Indo-Eropah Purba menjadi terpisah antara satu sama lain melalui beberapa rombongan pemindahan orang Indo-Eropah, dialek-dialek kawasan yang dituturkan oleh pelbagai penutur Indo-Eropah Purba bercambah, kerana setiap dialek mengalami beberapa pengalihan dari segi sebutan (hukum bunyi Indo-Eropah), morfologi, dan perbendaharaan katanya. Setelah berabad lamanya, dialek-dialek tersebut berubah menjadi bahasa-bahasa Indo-Eropah kuno yang diketahui. Dari situ juga, percambahan linguistik lanjutan menyebabkan evolusi menjadi bahasa-bahasa keturunannya yang dikenali sebagai bahasa-bahasa Indo-Eropah Moden. Kini, keturunan kepada bahasa Indo-Eropah Purba dengan penutur asli teramai adalah terdiri daripada bahasa Sepanyol, bahasa Inggeris, bahasa Portugis, bahasa Hindustani (yakni bahasa Hindi dan bahasa Urdu), bahasa Benggali, bahasa Rusia, bahasa Punjabi, bahasa Jerman, bahasa Parsi, bahasa Perancis, bahasa Marathi, bahasa Itali dan bahasa Gujarati.

Bahasa Indo-Eropah Purba dipercaya mempunyai sistem morfologi yang terperinci yang termasuklah imbuhan fleksi (padanan perkataan bahasa Inggeris child, child's, children, children's) serta ablaut (pengubahsuaian bunyi-bunyi vokal seperti yang terdapat pada perkataan bahasa English sing, sang, sung, song) dan aksen. Bentuk kata namaan dan kata ganti nama yang terdapat pada bahasa Indo-Eropah Purba mempunyai sistem tasrif yang kompleks, dan kata kerja bahasa ini juga mempunyai sistem konjugasi yang kompleks. Sistem fonologi, kata partikel, kata bilangan, dan kata kopula yang terdapat pada bahasa Indo-Eropah Purba juga telah matang rekonstruksinya.

Tanda bintang digunakan sebagai tanda lazim diletakkan di hadapan kata-kata yang direkonstruksi, contohnya *'wódr̥', *'ḱwn̥tós', atau *'tréyes'; kata-kata tersebut ialah kata leluhur rekonstruksi yang berpadanan dengan kata-kata Inggeris moden seperti water, hound, dan three.


Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Indo-European languages – The parent language: Proto-Indo-European". Encyclopedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-09-19.
  2. ^ "Archaeology et al: an Indo-European study" (PDF). School of History, Classics and Archaeology. The University of Edinburgh. 2018-04-11. Dicapai pada 2018-12-01.
  3. ^ Powell, Eric A. "Telling Tales in Proto-Indo-European". Archaeology. Dicapai pada 2017-07-30.
  4. ^ Fortson (2004), m/s. 16.

Bacaan lanjut sunting

Pautan luar sunting

Templat:Proto-Indo-European language