Bola sepak Amerika

Bola sepak Amerika (bahasa Inggeris: American football atau football di Amerika Syarikat) merupakan sejenis sukan pasukan yang manggabungkan aspek strategi dan kebolehan fizikal. Matlamat sukan ini adalah untuk menjaringkan mata dengan menggerakkan bola ke zon hujung (end zone) pasukan lain. Matlamat ini boleh dicapai dengan memegang bola sambil bergerak dengan bola (mainan lari, running play) atau melontarkan bola kepada pemain sepasukan (mainan hantaran, passing play). Pasukan menyerang juga boleh mengumpulkan mata melalui cara lain, seperti menendang bola melalui tiang goal di zon hujung pasukan bertahan. Pasukan bertahan pula boleh mengumpul mata dengan menumbangkan pemain yang memegang bola di zon hujungnya sendiri. Pasukan yang mengumpulkan mata terbanyak pada akhir perlawanan menang.

Perlawanan NFL antara Tennesee Titans dan Houston Texans di Stadium Reliant, bandar raya Houston.

Di Amerika Syarikat, bola sepak Amerika dimainkan pada tahap sekolah tinggi, institusi pengajian tinggi (kolej serta universiti) serta profesional. Cara permainan dalam ketiga-tiga tahap adalah sama tetapi mempunyai peraturan yang berlainan sedikit.

Badan-badan pentadbiran pada tahap IPT ialah Persatuan Sukan Kolej Negara (NCAA) dan Persatuan Sukan Antara Kolej Negara (NAIA). Liga profesional utama bola sepak Amerika di seluruh dunia ialah National Football League (NFL). Permainan ini juga terkenal di United Kingdom, Jerman (German Football League GFL),[1] Itali,[2] Switzerland,[3] Finland, Sweden,[4] Jepun dan Mexico tetapi tidak hampir setaraf Amerika Syarikat.

Sejarah sunting

Bola sepak Amerika berasal daripada sukan bola sepak serta ragbi. Ia merupakan hasil perubahan kepada peraturan sukan ragbi, terutamanya oleh Walter Camp, yang kini dianggap "Bapa Bola Sepak Amerika", di Amerika Syarikat. Antara ciri-ciri yang diperkenalkan termasuk garisan skrum, cubaan dan jarak (down and distance) serta hantaran ke depan. Ciri-ciri tersebut menjadikan sukan ini menjadi semakin terkenal pada awal abad ke-20 di institusi pengajian tinggi Amerika Syarikat.[5][6][7]

Persatuan Bola Sepak Profesional Amerika (American Professional Football Association) ditubuhkan pada 1920, dan di sinilah bermula era profesional dalam sukan ini. Ia bertukar nama kepada Liga Bola Sepak Negara (National Football League, NFL) pada 1922, dan kini merupakan antara liga sukan yang paling terkenal di Amerika Syarikat. Pada tahun 1960 pula, Liga Bola Sepak Amerika (American Football League, AFL) ditubuhkan dan menjadi pesaing kepada NFL. Selepas NFL dan AFL digabungkan pada 1970 kepada NFL baru, juara kedua-dua liga mempertandingkan acara Super Bowl pada akhir musim setiap tahun. Super Bowl, iaitu perlawnan kejuaraan NFL merupakan acara televisyen yang menarik penonton terbanyak di Amerika Syarikat.

Peraturan sunting

Padang sunting

 
Nombor-nombor di atas padang menandakan jarak dari zon hujung terdekat.

Padang bola sepak Amerika adalah seluas 360 kaki kali 160 kaki (109.7 kali 48.8 meter). Garisan tepi (sidelines) menandakan sempadan tepi panjang, manakala garisan hujung (endlines) menandakan sempadan tepi pendek. Garisan gol (goal line) terletak di dalam kawasan padang dekat garisan hujung. Jarak garisan gol dari satu hujung ke hujung berhadapan ialah 100 ela. Kawasan antara garisan gol dan garisan hujung dikenali sebagai zon hujung (end zone).

Garisan ela (yard lines), yang selari dengan garisan gol dan hujung, ditandakan setiap lima ela. Garisan ela pula dinomborkan setiap 10 ela sehingga garisan 50 ela. Dua baris tanda cencang (hash marks), iaitu garisan pendek selari dengan garisan ela, dilukis dekat kawasan tengah padang setiap satu ela. Setiap urutan mainan mesti bermula atas atau di antara tanda cencang.

Dua tiang gol (goal posts) yang disangga oleh palang gol (crossbar) setinggi 10 kaki terletak di belakang zon hujung. Tiang-tiang mempunyai jarak 18 kaki 6 inci antara satu sama lain.

Pemain sunting

Setiap pasukan mempunyai 11 pemain di atas padang. Semua pemain boleh digantikan pada tempoh masa antara urutan mainan. Jumlah penggantian pemain dalam perlawanan juga tidak dihadkan. Oleh itu, pemain-pemain hanya menjalankan tugas tertentu yang khusus. Mengikut keperluan, pasukan-pasukan akan memilih dan mengaturkan pemain-pemain dalam tiga bentuk: menyerang (offense) ketika memegang bola, bertahan (defense) ketika tidak memegang bola, dan pasukan khas (special teams) ketika menendang bola untuk memulakan perlawanan, tendang lepas (punt), cuba menjaring gol padang (field goal) dan lain-lain.

Permulaan perlawanan sunting

Sebelum perlawanan, lambungan duit diadakan untuk menentukan pasukan mana yang menendang bola untuk memulakan perlawanan (tendang mula, kickoff) serta hujung mana dipertahan oleh pasukan masing-masing. Pengadil mengendalikan lambungan dengan kapten kedua-dua pasukan. Pasukan yang memenangi lambungan dapat menentukan:

  1. sama ada untuk tendang mula atau menerima tendangan mula pasukan lain
  2. hujung mana untuk mempertahankan.
  3. menangguhkan keputusan kepada pasukan lain, supaya dapat satu peluang lagi untuk memilih sama ada menendang atau bertahan pada separuh masa kedua.

Jika pasukan ini memilih untuk menendang atau bertahan, pasukan lain diberikan pilihan untuk mempertahankan hujung yang mana.

Pada permulaan separuh masa kedua, pilihan-pilihan di atas diberikan kepada pasukan yang tidak membuat pilihan dahulu pada separuh masa pertama.

Tempoh perlawanan sunting

Setiap perlawanan terdiri daripada empat sukuan (quarters) selama 15 minit. Separuh masa (halves) pula terdiri daripada dua sukuan. Jam dalam bola sepak Amerika membilang bawah, iaitu jumlah masa dikurangkan sehingga sifar semasa perlawanan berlangsung. Jam berhenti membilang selepas peristiwa-peristiwa dalam permainan yang tertentu. Oleh itu, perlawanan bola sepak Amerika biasanya mengambil masa selama tiga jam.

Dalam NFL, kalau kedua-dua pasukan seri selepas empat sukuan, masa tambahan (overtime) selama 15 minit diadakan. Peraturan suntuk dadak digunakan, iaitu pasukan yang menjaringkan mata dahulu dalam masa tambahan menang. Namun begitu, dalam perlawanan pascamusim, kalau pasukan yang memegang bola dahulu hanya berjaya menjaringkan gol padang, pasukan lain akan mendapat peluang membalas jaringan. Pada musim tetap, kalau kedua-dua pasukan gagal menjaringkan mata dalam masa tambahan, perlawanan itu dianggap seri. Dalam pascamusim, masa tambahan diadakan sehingga satu pasukan menang.

Peraturan masa tambahan pada tahap kolej berbeza dengan NFL. Dalam masa tambahan perlawanan kolej, pasukan-pasukan bergilir-gilir menyerang dari garisan 25 ela. Jam tidak digunakan, dan pasukan yang menjaringkan jumlah mata yang lebih selepas satu pusingan masa tambahan menang.

Menggerakkan bola sunting

Pasukan menyerang (offense) yang memegang bola mempunyai empat cubaan (downs) untuk memajukan bola sekurang-kurangnya 10 ela menujui zon hujung pasukan lain. Apabila pasukan menyerang berjaya memajukan bola 10 ela, mereka mendapat cubaan pertama baru (first down), iaitu mereka mendapat empat cubaan baru untuk mara lagi sekurang-kurangnya 10 ela. Jika pasukan menyerang gagal mendapat cubaan pertama baru selepas empat cubaan, pasukan lain dapat memegang bola di tempat cubaan keempat dahulu berhenti. Pasukan ini mula menggerakkan bola ke arah lawan.

Setiap urutan mainan dimulakan dengan naikan (snap). Pemain menyeran berdiri menghadap pemain bertahan di garisan skrum (line of scrimmage). Satu pemain menyerang, pemain tengah (center) "menaikkan" bola dari lantai menerusi ruang antara dua kakinya kepada rakan sepasukan di belakangnya, iaitu pemain suku belakang (quarterback).

Selepas itu, pasukan menyerang boleh menggerakkan bola melalui:

  • berlari sambil memegang bola.
  • membuat hantaran kepada pemain sepasukan. Pasukan menyerang hanya boleh membuat hantaran ke arah depan hanya satu kali dalam satu cubaan. Pemain yang membuat hantaran itu mesti berada di belakang garisan skrum. Namun, bola boleh diserahkan kepada pemain lain (handoff) atau dilontar ke arah belakang dan tepi seberapa kali dalam satu cubaan.
 
Seorang pemain ditumbangkan.

Bola dianggap mati (dead ball) dan cubaan tamat apabila:

  • pemain yang memegang bola ditumbangkan ke atas lantai atau diberhentikan bergerak ke hadapan oleh pasukan bertahan.
  • bola hantaran arah depan keluar dari padang (out of bounds) atau terkena lantai padang sebelum ditangkap.
  • pemain yang memegang bola bergerak ke luar padang.
  • satu pasukan menjaringkan mata.

Tukaran milik bola sunting

Pasukan menyerang terus memegang bola kecuali jika:

  • mereka gagal mendapat cubaan pertama baru selepas empat cubaan. Pasukan lain diberikan bola, dan memulakan cubaan pertama meraka di tempat akhirnya cubaan terdahulu (turnover on downs).
  • mereka berjaya menjaringkan touchdown atau gol padang. Selepas jaringan, pasukan menyerang pula menendang bola kepada pasukan lain untuk memulakan lagi perlawanan.
  • pasukan menyerang melakukan tendangan lepas (punt). Pasukan bertahan akan menerima bola yang ditendang di kawasan yang lebih dekat dkepada zon hujung mereka. Pasukan-pasukan biasanya berbuat demikian ketika cubaan keempat. Tendangan lepas dibuat jika pasukan menyerang gagal mendapat cubaan pertama baru tetapi inginkan pasukan lain memulakan cubaan pertama di kawasan sejauh semungkin dari zon hujung sendiri.
  • pasukan bertahan berjaya menangkap hantaran bola oleh pasukan menyerang (pintasan, interception). Pemain yang menangkap bola boleh bergerak sehingga dia ditumbangkan, ditolak keluar dari padang, atau menjaringkan touchdown.
  • pasukan menyerang melepaskan bola (fumble), dan akibatnya pemain bertahan berjaya mendapatkan bola (fumble recovery).
  • pasukan menyerang cuba tetapi gagal menjaringkan gol padang.
  • pemain menyerang yang memegang bola ditumbangkan atau ditolak keluar padang ketika berada di zon hujung, atau memegang bola di zon hujung ketika pasukan penyerang melonggar peraturan.

Jaringan sunting

Berikut ialah cara-cara menjaringkan mata:

  • Touchdown (TD): 6 mata. Pemain menyerang berlari sambil memegang bola ke dalam zon hujung, ataupun menerima hantaran bola di zon hujung. Selepas satu pasukan mendapat touchdown, mereka boleh mengumpul lebih mata melalui:
    • Mata tambahan (Extra point/Point after touchdown, PAT): 1 mata. Pasukan menyerang berjaya menendang bola yang diletakkan atas garisan 2 ela (3 ela pada tahap kolej) melalui tiang-tiang gol selepas menjaringkan touchdown.
    • Konversi dua mata (Two-point conversion): menjaringkan satu lagi touchdown dari garisan 2 ela (atau 3 ela).
  • Gol padang (Field goal, FG): 3 mata. Pasukan menyerang berjaya menendang bola melalui tiang-tiang gol dari mana-mana kedudukan atas padang. Biasanya bola diletakkan secara tegak di atas padang (oleh pemegang, holder) lalu ditendang oleh penendang (kicker). Pasukan-pasukan biasanya cuba menjaringkan gola padang pada cubaan keempat
  • Jaringan selamat (Safety, S): 2 mata. Bola dimatikan ketika pasukan menyerang memegang bola di zon hujung sendiri. Ini termasuk pemain yang memegang bola ditumbangkan di zon hujung, keluar padang di zon hujung atau melepaskan bola ke luar padang di zon hujung.

Tendang mula sunting

Separuh masa pertama dan kedua bermula dengan tendang mula (kickoff). Tendang mula juga dilakukan selepas satu pasukan menjaringkan mata. Bola ditendang dari garisan 30 ela. Sebelum tendang mula, pemain-pemain pasukan menendang (termasuk penendang) akan berdiri di belakang garisan 30 ela. Pemain-pemain pasukan lain, iaitu pasukan menerima tendangan akan berdiri di kawasan hadapan pasukan menendang, dan menunggu sehingga bola ditendang. Apabila bola ditendang oleh penendang, pemain-pemain lain akan maju ke depan untuk menghentikan pasukan menerima tendangan daripada menggerakkan bola.

Seorang pemain pasukan menerima tendangan, pengembali tendangan (kick returner) akan menangkap bola lalu cuba menggerakkan bola ke arah zon hujung pasukan menendang sejauh semungkin. Selepas itu, pasukannya akan memulakan pacuan (drive) dari tempat dia dihentikan. Pacuan ialah urutan cubaan pasukan menyerang untuk memajukan bola.

Sebelum bola yang ditendang bergerak 10 ela ke arah hadapan, ia tidak boleh disentuh oleh pasukan menendang.

Penalti sunting

Pasukan yang melanggar peraturan akan dihukum dengan penalti. Biasanya, bola digerakkan ke tempat lebih dekat kepada zon hujung pasukan itu. Jika sesuatu faul berlaku, pengadil akan menjatuhkan kain penalti (penalty flag) berwarna kuning ke atas lantai.

Anggota pasukan sunting

 
Rajah posisi-posisi biasa.

Berikut ialah posisi-posisi dalam bola sepak Amerika:

Menyerang sunting

  • Garisan menyerang (Offensive line, OL): lima pemain yang ditugaskan melindungi pemain suku belakang serta menghalang pemain-pemain bertahan daripada menumbangkan pelari. Termasuk pemain tengah (center, C), dua pengawal (guard, OG) dan dua penumbang menyerang (tackle, OT).
  • Pemain suku belakang (Quarterback, QB): mendapat bola daripada pemain tengah pada permulaan mainan. Dia menyerahkan bola kepada pelari belakang, melontarkannya kepada penerima atau berlari sambil memegang bola.
  • Pelari belakang (Running back, RB): selepas diserahkan bola oleh QB, mereka berlari sambil memegang bola. Tugas lain termasuk menghalang pemain bertahan daripada menumbangkan pemain sepasukan.
  • Penerima luas (Wide receiver, WR): menangkap bola yang dilontar oleh QB serta menghalang pemain bertahan.
  • Pemain hujung ketat (Tight end, TE): campuran tugas garisan menyerang dan penerima luas.

Bertahan sunting

  • Garisan bertahan (Defensive line, DL): tiga hingga enam pemain yang mengambil kedudukan di hadapan garisan menyerang. Tugas mereka adalah cuba menumbangkan QB, menghalang pelari menyerang atau menghalang pemain menyerang lain. Termasuk penumbang bertahan (defensive tackle, DT) dan pemain hujung bertahan (defensive end, DE).
  • Pemain belakang garis (Linebacker, LB): menjalankan tugas di belakang garisan bertahan, termasuk menumbangkan QB dan menghalang pemain menyerang.
  • Pemain penjuru belakang (Cornerback, CB) serta pemain keselamatan (Safety, S) yang bertugas mengelakkan hantaran bola daripada QB kepada pemain menyerang lain.

Pasukan khas sunting

  • Penendang lepas (Punter, P): melakukan tendangan lepas.
  • Penendang (Kicker, K): menendang bola untuk menjaringkan gol padang dan mata tambahan. Juga mengendalikan tendang mula.
  • Penaik jauh (Long snapper, LS): menaikkan bola semasa tendangan lepas, cuba menjaringkan gol padang dan mata tambahan.
  • Pengembali tendang mula (Kickoff returner, KR) dan pengembali tendangan lepas (punt returner, PR): menangkap bola selepas tendang mula dan tendang lepas dan cuba menggerakkan bola sejauh mungkin.

Budaya sunting

Di Amerika Syarikat, bola sepak Amerika dimainkan pada musim luruh. Musim NFL dan kolej bermula pada hujung bulan Ogos sehingga hujung tahun. Acara Super Bowl biasanya diadakan pada awal bulan Februari. Super Bowl merupakan acara yang paling terkenal di Amerika Syarikat, dan penyiaran Super Bowl menarik jumlah penonton yang paling banyak antara rancangan-rancangan televisyen di Amerika Syarikat.[8] Biasanya, perlawanan kolej diadakan pada hari Sabtu, dan perlawanan NFL pada hari Ahad.

Perlawanan-perlawanan juga diadakan pada hari cuti seperti Hari Kesyukuran serta Hari Tahun Baru dan menjadi sebahagian tradisi hari-hari cuti tersebut.

Rujukan sunting

  1. ^ "GFL - German Football League" (dalam bahasa German). GFL. Dicapai pada 2016-06-09.CS1 maint: unrecognized language (link)
  2. ^ "FIF - Federazione Italiana Football" (dalam bahasa Italian). FIF. 4 April 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-09-04. Dicapai pada 2009-04-05.CS1 maint: unrecognized language (link)
  3. ^ "SAFV - Schweizerischer American Football Verband" (dalam bahasa German). SAFV. Dicapai pada 2009-05-19.CS1 maint: unrecognized language (link)
  4. ^ Superserien Diarkibkan 2007-10-01 di Wayback Machine on www.amerikanskfotboll.com (Swedish)
  5. ^ "The History of Football". The History of Sports. Saperecom. 2007. Dicapai pada 2007-05-15.
  6. ^ "Camp and His Followers: American Football 1876–1889". The Journey to Camp: The Origins of American Football to 1889. Professional Football Researchers Association. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-05-14. Dicapai pada 2007-05-16.
  7. ^ "NFL History 1869–1910". NFL.com. NFL Enterprises LLC. 2007. Dicapai pada 2007-05-15.
  8. ^ "Super Bowl dethrones 'M*A*S*H,' sets all-time record". The Live Feed. Feb. 8, 2010. Check date values in: |date= (bantuan)

Pautan luar sunting