Cheti atau chetty ialah satu kumpulan masyarakat minoriti India berasal daripada Choromandel dan Malabar di India, dan lazimnya ramai boleh ditemui dekat Melaka. Masyarakat ini tidaklah boleh disamakan dengan masyarakat chettier yang terkenal di bidang meminjamkan wang tetapi ia adalah masyarakat yang terbentuk hasil daripada perkahwinan campur antara orang-orang Hindu dengan orang-orang tempatan seperti Melayu, Cina dan lain-lain.

Kuil Chetti di Melaka
Muzium Chetti di Melaka

Sejarah ada membuktikan bahawa saudagar India sering berulang-alik ke Melaka untuk tujuan perdagangan kerana pada ketika itu Melaka amat sibuk sekali sebagai pusat perdagangan dan sering menjadi tumpuan para pedagang yang sebahagian besarnya adalah dari India Selatan. Oleh kerana terlalu ramai saudagar India tertumpu ke Melaka, pemerintah Melaka ketika itu telah menyediakan suatu penempatan untuk mereka tinggal yang dikenali sebagai 'Kampung Keling' untuk memudahkan saudagar terbabit berurusniaga. Menurut seperti apa yang tercatat di dalam buku Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, perkataan 'keling' adalah berasal dari 'Kalingappatinam' atau 'Kalinggam' yang dikenali sebagai Benua Kalinga.

Berdasarkan faktor-faktor sejarah dan perkembangan ugama Hindu di Alam Melayu ini, ciri-ciri kebudayaan dan kesenian masyarakat 'India Chetti' ini hampir merangkumi kebudayaan di negara ini kerana mereka turut mengamalkan perkahwinan campur, adat menyambut tetamu dan pakaian tradisional mereka. Sebagai contoh, pakaian tradisional mereka lebih mirip kepada bangsa Melayu iaitu kebaya labuh dan bersanggul tiga bagi wanita manakala yang lelakinya pula berkain pelekat, baju Melayu labuh dan talapa iaitu kain seperti serban bagi menutup kepala.

Oleh kerana kehidupan mereka dipengaruhi oleh alam sekeliling dan pergaulan dengan masyarakat tempatan, maka makanan harian mereka juga adalah seperti orang-orang Melayu iaitu nasi. Namun terdapat juga makanan tradisi mereka yang biasanya dihidangkan pada hari-hari kebesaran ugama atau perayaan. Makanan itu ialah thosai dan idli. Kedua-dua makanan ini diperbuat daripada beras yang direndam dan dikisar halus.

Masyarakat 'India Chetti' ini menganut agama Hindu. Mereka adalah penganut agama yang setia serta berpegang teguh kepada ajaran dan pantang larang. Antaranya ialah hari Ponggol iaitu Hari Kesyukuran mereka kepada nenek moyang dan tuhan mereka. Adalah dipercayai perayaan ini turut disambut oleh masyarakat India tetapi bagi masyarakat Chetti ia bermula lebih awal. Sambutan perayaan ini bermula pada hari terakhir bulan Margali (13 Januari) yang bermaksud bulan berbunga dan pada hari itu dipanggil 'Paru' atau 'Bogi' (bermulanya perayaan Pongal).

Pada hari tersebut masyarakat Chetti akan memasak makanan tradisional mereka seperti nasi lemak kukus berlauk pinding ikan parang, kuah terung, sambal timun, udang, urap kelapa, kangkung tumis, kacang goreng minyak, acar cili dan sambal taik minyak. Ia disediakan kira-kira tiga hari sebelum menjelangnya perayaan tersebut kerana ia perlu disiapkan dengan penuh teliti. Mereka yang memasak tidak boleh bersembang dan merasa makanan yang mereka masak kerana adalah dikhuatiri jika mereka melanggar pantang larang ini arwah nenek moyang mereka akan mengutuk serta mendatangkan bencana terhadap keluarga mereka. Manakala wanita yang sedang mengalami haid pula, tidak dibenarkan memasak kerana ia menjadi pantang larang dalam menyediakan makanan itu untuk roh dan nenek moyang dan sudara mara mereka yang telah meninggal dunia.

Masyarakat Chetti akan bersembahyang setiap hari sepanjang bulan Margali sebelum matahari terbit manakala wanitanya pula akan membasuh lantai di depan rumah dan menabur bunga serta meletakkan bekas bara sebagai tanda kesyukuran ketika sembahyang arwah. Bulan ini juga adalah bulan yang paling sibuk bagi masyarakat Chitty kerana pada minggu terakhir mereka beramai-ramai akan pergi ke kubur nenek moyang masing-masing untuk bersembahyang dan membersihkan kawasan persekitaran terbabit yang bertujuan meminta restu daripada nenek moyang mereka supaya keamanan serta perpaduan sentiasa terjalin di dalam keluarga.

Pada hari pertama bulan Thai (14 januari) pula masyarakat Chetti akan menyambut perayaan 'Veetu Pongal" iaitu rumah terbuka kepada sanak saudara dan sahabat handai. Para tetamu akan dihidangkan dengan kuih muih tradisional seperti dodol, wajik, koya kacang, kanda kasturi, bahulu, kuih belanda, kuih bangkit, halwa dan sagun yang menjadi kegemaran masyarakat Chetti.

Walaupun masyarakat Chetti adalah kaum minoriti perpaduan dan sikap kekeluargaan diutamakan apabila diadakan perayaan seperti itu. Kemeriahan pastinya terbayang di wajah penduduk perkampungan seperti di Gajah Berang kerana kepulangan saudara mereka untuk berkumpul bagi merapatkan lagi hubungan kekeluargaan mereka. Untuk menghidupkan atau mengekalkan adat istiadat di kalangan generasi baru, beberapa pertandingan diadakan seperti mengikat Talapa (serban kepala), menganyam daun kelapa (matteh), mengikat bunga (Saram) dan melukis Kolam. Namun kini, kebanyakan generasi muda masyarakat Chetti Melaka ini kurang mengenali adat istiadat mereka. Hanya segelintir sahaja yang mengetahuinya melalui datuk nenek mereka.