Tan Sri Dato' Seri Haji Chik Mohamad Yusuf bin Sheikh Abdul Rahman (Jawi: چئ محمد يوسف شيخ عبدالرحمن; 3 Mac 1907 – 26 Jun 1975) juga dikenali CM Yusuf merupakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang ketiga. Beliau bergelar Dato' Bendahara Perak, iaitu salah seorang Orang Besar Empat Perak, serta merupakan tokoh undang-undang dan tokoh korporat.


Chik Mohamad Yusuf Sheikh Abdul Rahman

چئ محمد يوسف شيخ عبدالرحمن
Yang di-Pertua Dewan Rakyat ke-3
Dalam jawatan
25 November 1964 – 1 Mac 1974
RajaPutra
Ismail Nasiruddin
Abdul Halim
Perdana MenteriTunku Abdul Rahman
Abdul Razak Hussein
Didahului olehSyed Esa Alwee
Digantikan olehNik Ahmad Kamil Nik Mahmud
Butiran peribadi
Lahir(1907-03-03)3 Mac 1907
Meninggal dunia26 Jun 1975(1975-06-26) (umur 68)
Parti politik UMNO (1946–1953, 1959-1974)
NAP (1953-1959)
Alma materUniversiti Oxford
ProfesionPeguam
Chik Mohamad Yusuf bin Sheikh Abdul Rahman menerima kedatangan Menteri Imigresen Australia di parlimen

SMK Dato' Bendahara C.M. Yusuf di Tanjung Tualang, Perak yang siap dibina pada 1965 dinamakan sempena namanya. Sebelum itu sekolah ini bernama SMR Tanjung Tualang dan dirasmikan oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Mohamed Khir Johari pada Mac 1969. Sultan Perak juga berkenan menamakan dua batang jalan raya di Ipoh sebagai Jalan CM Yusuf dan Bulatan CM Yusuf.

Latar belakang sunting

CM Yusuf dilahirkan pada 3 Mac 1907 dan merupakan anak kepada bapanya, Sheikh Abdul Rahman, dan ibunya, Mariam Kulop Mohd Yusuff. Beliau berkahwin dengan Toh Puan Zainab Mohd Rashid. CM Yusuf meninggal dunia pada 26 Jun 1975 ketika berusia 68 tahun, manakala isterinya meninggal pada 1982. Mereka mempunyai dua orang anak iaitu Ahmad Kamil dan Esmee Mahanee. Akhbar Harian Metro pada 1 Mei 2011 melaporkan, Chik Ahmad Kamil menjadi penagih dadah sejak kematian bapa dan ibunya. Beliau dilaporkan akan tidur di kaki lima Jalan CM Yusuf apabila teringat akan bapanya dan telah beberapa kali ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana bergelandangan di sekitar bandar Ipoh. Esmee Mahanee juga telah meninggal dunia.[1]

Datuknya, Kulop Mohd Yusuff Ngah, dan moyangnya, Ngah Abdul Lassam, pernah menjadi Dato' Panglima Kinta. Beliau diberikan gelaran Dato' Bendahara Perak oleh Sultan Perak, Sultan Yussuff Izzuddin Shah, pada 1959 yang membawa gelaran Dato'. Selain itu beliau telah dianugerahkan pingat PMN, SPMP, OBE, JP dan MP.

Beliau menerima Sarjana Muda Sastera dari Universiti Oxford dan seterusnya berkhidmat sebagai peguam dalam badan perundangan Malaysia.

Beliau meninggal dunia pada 26 Jun 1975 akibat kemalangan jalan raya.

Politik sunting

Sebelum dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat, CM Yusuf telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan penting dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau merupakan antara pemimpin tinggi UMNO di Perak.

Dalam mesyuarat UMNO pada 1950, CM Yusuf telah mencadangkan agar cawangan dan bahagian UMNO ditubuhkan di seluruh negara. Dalam mesyuarat UMNO Perak di Kuala Kangsar pada 30 Ogos 1950, beliau telah membincangkan tentang dasar UMNO berhubung isu kewarganegaraan. Wakil Perak ke Kuala Lumpur ialah Megat Khas dan Encik Abdullah Udi. Turut serta ialah Megat Yunus, Raja Omar bin Raja Ali dan Nasaruddin bin Abdul Rais.[2]

CM Yusuf merupakan sekutu kepada Dato' Panglima Bukit Gantang serta Dato' Onn Jaafar yang merupakan pengasas UMNO. Pada 25 Ogos 1951, Dato' Onn Jaafar bertindak keluar dari persidangan UMNO setelah usul beliau agar UMNO dibuka kepada semua kaum ditolak. Ramai pihak yang cuba menahan Onn Jaafar keluar dari UMNO, terutamanya Perwakilan UMNO Perak yang diketuai oleh CM Yusuf. Namun, Dato' Onn Jaafar tetap memutuskan untuk meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada hari yang berikutnya. Pada 26 Ogos sewaktu berlangsungnya hari kedua persidangan, pemilihan kepimpinan parti telah diumumkan setelah perletakan jawatan mengejut Dato' Onn Jaafar pada hari sebelumnya. CM Yusuf selaku sekutu Dato' Onn Jaafar bertindak bertanding dalam pemilihan tersebut untuk jawatan Presiden UMNO bagi meneruskan perjuangan beliau. Namun, pemilihan tersebut dimenangi Tunku Abdul Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama dengan 57 undi. Beliau menewaskan CM Yusuf yang meraih 11 undi berbanding Ahmad Fuad Hassan yang hanya meraih 7 undi.[3]

Setelah berlanjutnya gemelut dalaman di antara UMNO Perak dan UMNO Persekutuan, Tunku Abdul Rahman bertindak menyingkirkan Menteri Besar Perak, Dato' Panglima Bukit Gantang, sebagai pengerusi UMNO Perak pada April 1953. Namun, cawangan-cawangan UMNO di Perak memilih untuk menyokong Menteri Besar mereka dengan majoriti undi percaya 37 berbanding 15. Setelah cawangan-cawangan tersebut diberi amaran oleh Tunku Abdul Rahman bahawa mereka akan dipecat sekiranya berterusan mengakui Dato' Panglima Gantang, beliau berserta CM Yusuf bertindak keluar dari parti tersebut bersama sebahagian besar pemimpin akar umbi UMNO Perak lalu menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Perak (NAP) pada 4 Oktober 1953. Parti tersebut memberi sokongan mereka kepada kedua-dua parti yang ditubuhkan Dato' Onn Jaafar, iaitu Parti Kemerdekaan Malaya dan Parti Negara, dan ia terbukti apabila Parti Negara memutus untuk tidak bertanding di Perak pada Pilihan raya umum Tanah Melayu 1955. CM Yusuf bertanding di parlimen Kinta Utara [en] dalam pilihan raya tersebut namun tewas dengan 1,832 undi berbanding 7,900 undi yang diraih V.T. Sambathan dari Parti Perikatan. NAP ditewaskan dalam pilihan raya tersebut dengan meraih hanya 12.88 peratus undi di keseluruhan negeri Perak dan tewas di kesemua lapan kerusi yang ditanding. Akhirnya, NAP dibubarkan pada tahun 1959 dengan sebahagian besar kepimpinan parti, termasuk CM Yusuf, memutuskan untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Pada 25 Disember 1964 beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketika berusia 56 tahun. Perlantikan CM Yusuf telah diusulkan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan disokong oleh Ng Kam Poh, iaitu ahli parlimen Parti Perikatan mewakili Telok Anson. Sewaktu itu, CM Yusuf bukan seorang wakil rakyat lalu memudahkan proses pemilihan dan penjalanan tugasan beliau. Timbalan beliau ialah Dato' Syed Esa Alwee yang merupakan bekas ahli parlimen Batu Pahat serta Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebelum beliau. CM Yusuf berkhidmat selama hampir sepuluh tahun sebagai Yang di-Pertuan Dewan Rakyat dan meletakkan jawatan pada 1 Mac 1974.[4]

Pada 28 Januari 1966 CM Yusuf selaku Yang di-Pertuan Dewan Rakyat menyertai delegasi yang diketuai Tun Abdul Razak berkunjung ke Korea Selatan. Rombongan tersebut turut meninjau perjalanan parlimen di Seoul dan diberikan taklimat oleh Speaker Rhe Hyo-sang.[5]

Ketika Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku dan Parlimen Malaysia digantung, beliau masih menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Pada 24 Februari 1971, akhbar The Straits Times melaporkan rumah CM Yusuf telah dipecah masuk oleh pencuri. Antaranya yang hilang ialah sekotak cerut. Ia merupakan kali ke-4 rumahnya dimasuki pencuri dan dianggarkan barangan yang hilang bernilai RM300.

Pada 16 Jun 1973, Menteri Imigresen Australia, Tuan A.J. Grassby [en] telah mengunjungi Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' CM Yusof di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Turut serta ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Tuan A.R. Parsons.[6]

Rujukan sunting

  1. ^ Harian Metro, 1 Mei 2011
  2. ^ The Straits Times, 19 Mei 1950, Halaman 8 ; TIDAK MASA UNTUK MENGUBAH UNDANG-UNDANG KE ATAS WARGANEGARA[pautan mati kekal]
  3. ^ Abdullah Ahmad Badawi: jalan ke puncak, oleh Sivamurugan Pandian, hlm 24
  4. ^ PERLANTIKAN SPEAKER BARU DEWAN RAKYAT-Tarikh Peristiwa pada 25-12-1964
  5. ^ Speaker Yusuf in Seoul[pautan mati kekal]
  6. ^ A.J.GRASSBY MENGUNJUNGI SPEAKER DEWAN RAKYAT, TAN SRI DATO C.M. YUSOF,DI BANGUNAN PARLIMEN[pautan mati kekal]