Congkak

permainan tradisional Melayu

Congkak (Tulisan Jawi: چوڠكق) ialah sejenis permainan tradisional masyarakat Melayu yang sering dimainkan ketika masa lapang. Selalunya, ia menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan kebiasaannya buah congkak menggunakan biji getah atau guli.

Congkak yang digunakan oleh kaum bangsawan di Malaysia

Latar belakang sunting

Congkak dipercayai berasal dari dunia Afrika atau Arab.[1][2] Bagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai oleh cari gali purba yang dibiayai oleh Persatuan National Geographic menjumpai kepingan batu kapur yang mempunyai dua liang selari bertarikh 5000 hingga 7000 SM, di masa kini Jordan.[3]

Dari Timur Tengah, permainan ini tersebar ke Afrika. Congkak tersebar ke Asia melalui pedagang-pedagang Arab.

Di Asia Tenggara, congkak mungkin berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini merupakan pusat perdagangan pada waktu dahulu.[4] Nama "congkak" dipercayai berasal daripada perkataan Melayu congak yang bermaksud "pengiraan mental".[5] Selain orang Melayu, keturunan peranakan India dan Baba Melaka turut meminati permainan Congkak.[6]

Kanak-kanak di Kepulauan Karibia juga bermain congkak. Congkak dipercayai sampai ke sana melalui perdagangan hamba. Di sana, congkak dikenali sebagai warri atau awari. Di Indonesia, congkak dikenali dengan nama congklak, manakala di Filipina, sungka.

Pada zaman dahulu, golongan istana bermain congkak dengan menggunakan papan congkak yang berukir mewah, sementara di kalangan rakyat jelata, ia sekadar dimainkan dengan mengorek lubang di tanah. Pada hari ini, congkak dimainkan di seluruh dunia.[perlu rujukan]

Congkak begitu terkenal dan diminati sehingga peminat-peminatnya mencipta pelbagai laman sesawang di internet. Dalam laman-laman sesawang ini disenaraikan pelbagai maklumat tentang congkak dalam budaya dan bangsa di seluruh dunia. Terdapat juga permainan congkak dalam talian.[perlu rujukan]

Asas permainan sunting

Permainan congkak melibatkan pengiraan. Mereka yang cekap mencongak mempunyai kelebihan mengumpul mata dan seterusnya memenangi permainan.

 
Papan congkak berbentuk bangau menyudu di Muzium Negara

Dalam permainan congkak, terdapat dua bahan iaitu papan congkak dan buah congkak. Papan congkak berbentuk sampan dan boleh diperbuat daripada pelbagai jenis kayu dan terdapat lima atau tujuh lubang sebaris yang dikenali sebagai 'kampung' dan di kedua-dua hujungnya terdapat lubang ibu yang dikenali sebagai 'rumah'. Panjang papan congkak tujuh lubang biasanya sekitar 80 cm dan lebarnya 18 cm."Congkak" (dalam bahasa B. Inggeris). ThinkQuest Library. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-06-02. Dicapai pada 18 April 2008.CS1 maint: unrecognized language (link)</ref>[7]

Dua orang pemain diperlukan dan berkedudukan mengadap satu sama lain. Untuk memulakan permainan, biji getah atau guli akan diisikan dalam setiap kampung dengan sama banyak dan rumah dibiarkan kosong.

Dalam permainan ini, pemain akan memulakannya dengan serentak. Mereka akan mengambil buah congkak dan dimasukkan secara satu per satu buah congkak ke dalam setiap 'kampung' menuju ke rumah masing-masing menurut arah pusingan jam, sehingga salah seorang berhenti di lubang yang kosong dan dianggap mati. 'Rumah' kepunyaan sendiri terletak di lubang hujung sebelah kiri pemain. Pemain yang seorang lagi akan terus berjalan sehingga dia berhenti di lubang yang kosong.

Dan selepas itu, setiap pemain akan bergilir berjalan sehingga buahnya mati. Setiap pemain akan meneruskan permainan sehingga kehabisan buah congkak, dan pemain akan mengisi lubang dengan buah yang terdapat dalam lubang ibu. Pemain yang tidak cukup buah akan ditutup lubangnya, dan pemain yang menang dalam giliran sebelumnya akan memulakan permainan. Permainan ini akan diulang sehingga salah seorang pemain tidak cukup buah bagi mengisi walau satu lubang sekali pun dan dianggap kalah (atau apabila kedua-dua pemain sudah bosan).

Sekiranya pemain telah membuat satu pusingan, iaitu melepasi lubang ibu dan kembali ke lubang sebelah pemain, ia boleh mengambil buah di sebelah lubang bertentangan sekiranya ia mati di sebelah sendiri. Ini dikenali sebagai "tembak".

Peraturan permainan sunting

Berikut merupakan peraturan permainan congkak yang paling biasa:[7][8]

  1. Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu ke dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.
  2. Gerakan diteruskan sehingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan ke dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut, hanya selepas membuat satu pusingan.
  3. Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.
  4. Jika tidak terdapat sebarang buah di kampung pemain sungguhpun giliran berada di pihaknya, maka giliran untuk menggerakkan buah akan berpindah kepada pihak lawan.
  5. Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap 'terbakar'. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.

Di akhir permainan, buah congkak dikira dari rumah masing-masing. Pemenang adalah yang mempunyai buah congkak terbanyak. Sekiranya jumlah buah congkak sama banyak, maka pemain dengan jumlah kampung terbakar terbanyak dikira kalah.

Perbezaan peraturan sunting

Walaupun permainan congkak kelihatan sama dengan permainan lain yang berasaskan lubang dan buah seperti Manchala dan Sungka, terdapat beberapa kelainan dari segi peraturan.

Perbezaan utama ialah semasa permulaan permainan ketika mana permainan congkak bermula serentak antara kedua-dua pemain. Pengagihan buah dalam permainan congkak juga bergerak mengikut arah jam berbanding dengan permainan lain yang bergerak secara melawan arah jam.

Cara membuat congkak sunting

 
Congkak plastik moden.

Congkak selalunya diperbuat daripada kayu hutan seperti merbau, keruing, balau dan sebagainya. Terdapat juga papan congkak yang dibuat daripada kayu rambutan, nangka dan sebagainya, mengikut kemampuan si tukang pembuat congkak.

  1. Kayu ditebang menggunakan kapak dan dipotong mengikut kepanjangan papan congkak yang bergantung kepada lubang rumah yang dihasilkan kelak.
  2. Kayu yang masih buah dibelah dua bahagian. Hanya satu bahagian sahaja yang diperlukan dalam pembuatan congkak.
  3. Setelah dibelah, gergaji digunakan untuk mengerat lebihan kayu yang tidak terpakai. Parang atau pahat digunakan untuk melicinkan batang kayu tersebut.
  4. Kayu tersebut akan dipahat untuk membuat lubang. Lubang-lubang ditebuk dalam dua baris dan dinamakan ‘kampung’ yang mempunyai jumlah bilangan tertentu.
  5. Ditebuk satu lubang besar di kedua-dua hujung yang dikenali sebagai ‘rumah’.
  6. Pahat bermata halus digunakan untuk melicinkan lubang tersebut. Butiran ini penting supaya tidak menggelikan jari-jemari pemain sewaktu bermain.
  7. Setelah siap, papan tersebut akan diukir dengan pelbagai hiasan seperti bentuk tumbuh-tumbuhan, kosmos, geometri dan sebagainya.
  8. Papan congkak divarniskan dengan warna perang kekuningan, perang kemerahan, perang atau hitam.

Congkak juga dihasilkan daripada logam ataupun tanah di kawasan pedalaman. Tempurung kelapa digunakan supaya tangan tidak kotor terkena tanah.

Congkak zaman moden kebanyakannya diperbuat daripada plastik keras atau kayu mampat, dan dengan pelbagai jenis rekaan. Congkak juga diubah suai menjadi mudah alih , dan boleh dibimbit untuk dibawa ke mana-mana sahaja.

Buah congkak yang dipakai selalunya ialah biji guli, buah saga, biji plastik, batu kecil, dan biji getah. Namun demikian, buah congkak tidak mempunyai bentuk yang tetap; apa-apa sahaja yang agak bulat dan sesuai boleh digunakan.[8]

Lain-lain sunting

UDANIS pernah mengarah filem congkak

Rujukan sunting

Nota kaki sunting

  1. ^ Sports and Games of Medieval Cultures, By Sally E. D. Wilkins
  2. ^ Malaysia, Brunei and Singapore, By James Alexander
  3. ^ Oklahoma Anthropological Society: 1990-1994, Volumes 38-42, The Society, 1990 - Anthropology
  4. ^ The guide to Melaka, Malaysia: essential information for business and pleasure in the heart of South-East Asia.
  5. ^ Congkak, Permainan Tradisi Melayu
  6. ^ Peranakan Indians of Singapore and Melaka: Indian Babas and Nonyas--Chitty ... By Samuel Dhoraisingam, Institute of Southeast Asian Studies.
  7. ^ a b "Congkak, a game of wits". Brunei Darussalam Newsletter (dalam bahasa B. Inggeris). Brunei Darussalam Information Department. 9 Februari 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-06-10. Dicapai pada 18 April 2008.CS1 maint: unrecognized language (link)
  8. ^ a b "Permainan Tradisional : Congkak". Malaysiana. Perpustakaan Negara Malaysia. 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-08-19. Dicapai pada 18 April 2008. Cite has empty unknown parameter: |month= (bantuan)

Pautan luar sunting