Dayang Nurfaizah

Penyanyi dan pelakon wanita Malaysia

Dayang Nurfaizah Awang Dowty (lahir 20 Julai 1981) ialah seorang penyanyi wanita Malaysia. Dilahirkan di Kuching, Sarawak, beliau dikenali dengan kelunakan vokalnya yang bernada tinggi dan kebolehan luar biasanya menyanyikan lagu-lagu Melayu asli dan R&B. Beliau telah dipetik oleh media tempatan sebagai "Ratu R&B" negara.[1]

Dayang Nurfaizah
Dayang mengadakan persembahan dalam rancangan MeleTOP pada 9 Februari 2016.
Latar belakang
Nama lahirDayang Nurfaizah binti Awang Dowty
Juga dikenali sebagai
DN
Kelahiran (1981-07-20) 20 Julai 1981 (umur 42)
Kuching, Sarawak, Malaysia
GenrePop, R&B, Balada
PekerjaanPenyanyi, penerbit rakaman, penulis lagu, pelakon
InstrumenVokal
Tahun aktif1998–kini
Syarikat rakaman
Delima Records (1999)
Broadway Entertainment (2000–2002)
DNAD (2003–kini)
New Southern Records - edaran (2005–2009)
Universal Music Malaysia - edaran (2011–kini)
Pengkarya berkait
Hael Husaini

Dayang mula membuat persembahan di pelbagai pertandingan nyanyian di usia belasan tahun, dan mula meraih perhatian sebagai pemenang pertandingan nyanyian Golden Teen Search pada tahun 1997. Beliau menandatangani kontrak rakaman bersama Delima Records dan muncul bersama album sulungnya yang mengambil namanya sebagai judul album (1999), yang memuatkan single "Hakikat Cinta". Beliau kemudian menandatangani kontrak dengan Broadway Entertainment pada tahun 2001 dan muncul bersama album Seandainya Masih Ada Cinta, yang memuatkan lagu bertajuk sama, yang memenangi Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-9.

Beliau menubuhkan syarikat rakamannya sendiri, DN & AD Entertainment yang turut berkhidmat sebagai pasukan pengurusannya. Di bawah labelnya, beliau muncul dengan album Dayang Sayang Kamu (2004), yang menerima ulasan positif daripada pengkritik muzik. Pada tahun 2006, beliau menyertai One in a Million, pertandingan nyanyian yang dianjurkan oleh 8TV. Dayang akhirnya menjadi salah satu daripada empat finalis dalam pertandingan itu yang ditentukan oleh sistem undian teks pesanan ringkas sebanyak 50%. Antara anugerah yang diterimanya termasuk Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

Kehidupan dan kerjaya sunting

1981–1997: Kehidupan awal dan Golden Teen Search sunting

Dayang Nurfaizah dilahirkan pada 20 Julai 1981 di Kuching, Sarawak. Bakat besar yang dimiliki oleh Dayang mula dikesan sejak kecil lagi bila mana beliau telah berjinak-jinak dalam bidang nyanyian sejak dari sekolah rendah. Di zaman persekolahannya, beliau dikenali sebagai penyanyi undangan pada setiap majlis sekolah diadakan sehingga namanya begitu terkenal. Dengan kebolehan luar biasa menyanyikan lagu-lagu asli Melayu serta lagu bergenre R&B, Dayang mula mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan nyanyian di negeri kelahirannya sendiri antaranya memenangi Bintang Asli Remaja 1996 dan ke peringkat akhir dalam pertandingan Bintang Remaja Sarawak 1996 dan akhirnya muncul juara dalam edisi 1997. Bertitik tolak daripada itu, beliau memberanikan diri untuk meninggalkan kampung halamannya di Kuching dan menyertai pertandingan nyanyian anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Golden Teen Search di Auditorium Besar, Angkasapuri, Kuala Lumpur.[2] Penyertaannya dalam pertandingan bakat nyanyian lagu-lagu Bahasa Inggeris ini ternyata mengakui kehebatan Dayang hingga berjaya meraih gelaran juara ketika beliau baru berusia 17 tahun.

1998–2000: Penampilan sulung dan album pertama sunting

Selepas memenangi Golden Teen Search, nama beliau mula meniti di bibir peminat dan berjaya menambat hati maestro muzik terkenal, Adnan Abu Hassan (Allahyarham) untuk menerbitkan album studio sulung beliau di bawah naungan Delima Records milik Adnan.[3][4] Album sulung Dayang yang mengambil namanya sebagai tajuk album telah dikeluarkan pada 7 Mei 1999.[5][6] Album ini berkonsepkan pop dengan majoriti lagu dalam album ini dicipta oleh Adnan, yang mengenal pasti kekuatan Dayang menerusi pop Melayu dan tanda dagangnya dalam muzik R&B.[7] Single pertama yang dikeluarkan untuk album ini ialah "Hakikat Cinta" yang memperkenalkan Dayang kepada peminat. Lagu ini berjaya memanjat anak tangga carta muzik biarpun wajah dan namanya masih tidak begitu dikenali dengan meluas.[8][9][10] Single keduanya, "Rindu", yang bernada rancak bagaimanapun tidak berjaya menyambung hayat populariti Dayang apabila lagu itu jarang diputar dan ditambah pula dengan masalah pengedaran album oleh Delima Records. Syarikat itu tidak berjaya mencetak dan mengedar album terbitannya hingga terpaksa ditutup biarpun baru setahun jagung penubuhannya. Berikutan itu, kerjaya seni Dayang mula tidak mempernampakkan sinarnya.

Atas kepercayaan dan keyakinan Adnan bahawa Dayang mampu pergi dengan lebih jauh, beliau akhirnya ditampilkan dalam projek khas sebuah album berjudul Jelita Hebat yang diterbitkan pada September 1999.[11] Menerusi album ini, Dayang bekerjasama dengan penyanyi tersohor Ziana Zain untuk berduet dalam lagu ciptaan penggubah lagu-lagu R&B iaitu Azalea yang berjudul "Pusaka Rimba".[12][13][14] Gandingan hebat antara Dayang dan Ziana membuahkan hasil apabila lagu ini dicalonkan dalam kategori Lagu Sepanjang Tahun di Anugerah Industri Muzik ke-7 pada tahun 2000. Dayang turut disenaraikan sebagai finalis untuk kategori Artis Baru Terbaik. Ketika berlangsungnya malam penganugerahan, Dayang dipanggil untuk membuat persembahan solo menerusi sebuah lagi lagu ciptaan Azalea yang pernah dimuatkan dalam album sulungnya berjudul "Kembalilah Sayang". Persembahan beliau yang menjadi titik mula kerjaya seni Dayang.[15] Penyanyi wanita Indonesia, Krisdayanti mengakui terpaku menonton nyanyian secara langsung Dayang yang disifatkan sebagai menakjubkan dan penuh jiwa.[16] Lagu ini mula berkumandang di stesen radio sebagai keluaran siaran radio ekoran ketiadaan album sulung beliau di pasaran.[17] Dayang, bagaimanapun, tewas dalam kategori Artis Baru Terbaik di tangan penyanyi irama latin Shawn Baharin yang memenangi kategori tersebut.[18]

2001–2003: Seandainya Masih Ada Cinta, Di Sini Bermula dan Hembusan Asmara sunting

Dayang menyertai syarikat rakaman Broadway Entertainment di bawah kelolaan penerbit Boon Tan daripada kontrak yang terbengkalai dengan Delima Records. Broadway bernaung edarannya di bawah EMI Music Malaysia ketika itu namun menerbitkan 100% album solo kedua Dayang.[19][20] Album keduanya yang pada awalnya bertajuk Ikatan Kita sempena single pengenalan pada hujung tahun 2000 itu, dikeluarkan pada 8 Februari 2001 dengan judul rasmi Seandainya Masih Ada Cinta (SMAC). Nama Dayang mula meledak dengan lagu bertajuk sama yang menjuarai hampir kesemua carta muzik kebangsaan dan serantau.[21][22][23][24] Lagu ciptaan Ajai dan Syed EnV ini turut disiarkan di stesen radio di Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam. Lagu ini akhirnya menjadi lagu pengenalan beliau dan meraih banyak anugerah hebat seperti di Anugerah Juara Lagu, Anugerah Planet Muzik dan memenangi anugerah Lagu Sepanjang Tahun di Anugerah Industri Muzik ke-9 pada tahun 2002 serta meraih kedudukan keempat dalam senarai 100 Terhangat di stesen radio Era.

Susulan daripada kejayaan SMAC,[25] album tersebut berjaya terjual sebanyak 65,000 unit serta mengeluarkan keseluruhan 6 single dan paling diingati ialah lagu pop "Bahagia" juga ciptaan Ajai dan Syed EnV yang mara ke peringkat akhir AJL ke-16 serta lagu R&B seperti "Sekali Lagi" dan "Sedingin Mana Cintamu" yang juga mendominasi carta-carta muzik.[26] Dalam masa setahun, Dayang meraih kedudukan selesa sebagai penyanyi wanita terkenal di Malaysia hinggakan pernah dikatakan hanya satu langkah di belakang Siti Nurhaliza apabila Siti sendiri mengakui Dayang ialah pesaing terdekatnya ketika itu. Persaingan antara Siti dan Dayang dapat dilihat daripada pertandingan-pertandingan di majlis-majlis anugerah yang mana silih berganti diraih oleh kedua-dua penyanyi tersebut.[27][28] Dayang tewas kepada Siti dalam merebut anugerah Persembahan Vokal Terbaik Wanita (AIM) dan Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001.

Pada masa yang sama, Dayang menjadi salah seorang peserta Bintang Penghibur HMI 2001. Peserta lain termasuk Syura, Shawn Baharin dan Fazley Yaakob.[29] Beliau dinobatkan sebagai juara pertadingan itu.[30][31]

Ekoran populariti yang begitu hebat ketika menjengah tahun 2002, Broadway mengambil keputusan untuk menerbitkan semula album sulung Dayang selepas syarikat itu mendapat kesuluruhan hak cipta penyiaran lagu-lagu dalam album tersebut. Album bungkusan semula, Di Sini Bermula dikeluarkan pada 3 Februari 2002 dengan lagu bertajuk sama dikeluarkan sebagai single.[32][33][34][35] Ternyata album itu berjaya terjual 10,000 unit dalam tempoh sebulan pertama. Dayang dan Boon Tan mula bersiap untuk menerbitkan album ketiga beliau dengan pengumpulan material namun album itu mengambil tempoh lama untuk diterbitkan memaksa Broadway mengeluarkan sebuah single promosi. "Rindu Bayangan", lagu asal nyanyian kumpulan Carefree, dinyanyikan secara duet oleh Dayang bersama abang kandungnya, Dino. Lagu ini menjadi popular dan sering diputarkan di radio-radio hingga dicalonkan di Anugerah Era 2002 untuk kategori Duo/Kumpulan Pilihan.

Beliau ialah antara artis yang menyumbangkan suaranya untuk sebuah lagu tema promosi untuk kempen Kempen Membaca Kebangsaan 2002 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia, yang bertajuk "Membaca Gaya Wawasan". Selain Dayang, artis lain yang terlibat ialah Amy Mastura, Fazley, Maya Karin, Afdlin Shauki, Syafinaz Selamat, Jeslina Hashim dan Siti Nurhaliza.[36]

Pada 20 Disember 2002, album keempat Dayang, Hembusan Asmara dikeluarkan. Album ini menjadi kejayaan komersial apabila ia terjual sebanyak 8,000 unit dan dikenang sebagai album gelap dalam sejarah industri muzik Malaysia. Selepas single pertama yang berentak jazz berjudul "Hanyalah Kasihmu" gagal di radio, Broadway mempertaruhkan lagu "Pintaku Yang Terakhir" ciptaan Efendi dan balada "Hembusan Asmara" ciptaan Adnan Abu Hassan. Kedua-dua lagu tersebut meledak di stesen-stesen radio namun Dayang tidak dapat sepenuhnya mempromosikan albumnya itu.[37][38]

Biarpun album tersebut terjual dengan baik tetapi Dayang tidak sepenuhnya terlibat dalam mempromosikan lagu-lagu dalam album tersebut sebaliknya hanya bergantung kepada promosi di radio.[39][40][41] Single daripada album tersebut seperti "Jangan Datang Lagi" dan "Bahaya" (menampilkan Mizz Nina) bagaimanapun secara tidak langsung memperkenalkan arah muzik Dayang ke pasaran yang lebih urban sekaligus menyaksikan Dayang bersiap sedia untuk merakamkan album studio keempatnya secara bebas ekoran beliau tidak dapat memilih untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman biarpun banyak yang hadir menawarkan kontrak yang lumayan. Album Hembusan Asmara dicalonkan dalam dua kategori termasuk Album Pop Terbaik di AIM 2003. Pada penghujung 2003, Broadway menerbitkan album kompilasi The Best of Dayang Nurfaizah yang memuatkan lagu-lagu popular penyanyi itu sepanjang bernaung sekaligus memperkenalkan lagu "Mana Mungkin" yang mendominasi carta pada penghujung tahun itu.[42][43][44][45]

2004–2006: Kesuraman kerjaya, "Dayang Sayang Kamu" dan One in a Million sunting

Pada 20 hingga 22 Februari 2004, Dayang berpeluang membuat konsert khas selama tiga hari berturut-turut di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bersama penyanyi Adibah Noor. IB memilih kedua-dua penyanyi itu menjayakan Konsert Putera Puteri yang mempersembahkan karya hasil ciptaan Jimmy Boyle, P. Ramlee, Pak Lomak, Yusoff B, Ahmad Jaafar, Osman Ahmad, Zubir Said, Saiful Bahri, Ahmad C.B. dan Abu Kassim. Konsert tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mengetengahkan karya penggubah-penggubah terbabit malah ia turut memberi peluang kepada penggubah semasa antaranya Ruslan Mohd. Imam, Danny Francisco dan Ayub Ibrahim menyusun kembali lagu-lagu yang dipilih. Konsert yang menampilkan lagu-lagu popular di era komposer terbabit bukan sekadar mengembalikan nostalgia silam, sebaliknya bertujuan untuk menarik perhatian generasi muda. Antara lagu yang diperdengarkan dengan iringan 68 anggota pemuzik orkestra ialah "Putera-Puteri, "Kweek Mambo", "Jauh-Jauh", "Ibu", "Malamku Bermimpi", "Seri Mersing", "Seri Dewi Malam", "Senjakala" dan "Cincin Belah Rotan".[46][47] Biarpun rakaman konsert ini tidak dapat disiarkan, namun ia menjadi titik mula kepada inisiatif Dayang untuk menerbitkan sebuah album khas yang memuatkan lagu-lagu klasik seperti yang dijelmakan dalam album Kasih pada tahun 2005.[48][49]

Kemudian, Dayang diberi penghormatan menyanyikan lagu kebangsaan "Negaraku", pada majlis pembukaan Asian X Games VI yang berlangsung di Stadium Tertutup Bukit Jalil pada 19 Februari.[50]

Biarpun tidak lagi bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman dan terikat dengan kes mahkamah, Dayang tetap meneruskan niatnya untuk merakamkan album solo keempat.[51][52] Beliau terpaksa mengeluarkan duitnya sendiri untuk proses rakaman album terbarunya. "Kau Pergi Jua" (nyanyian asal Adam Ahmad) dan "Biar Akhirnya Di Sini" ciptaan Afdlin Shauki merupakan dua lagu pertama yang dirakamkan oleh Dayang. Menerusi lagu ciptaan Afdlin itu, Dayang menjemput pemain biola tersohor Indonesia iaitu Henry Lamiri untuk mengiringinya. Apabila album itu sudah siap, Dayang mencari dan memilih syarikat rakaman yang sesuai untuk menerbit serta mengedarkan album keempatnya itu nanti. Dalam album terbarunya itu, Dayang bukan sahaja mengekalkan konsep R&B, tetapu beliau turut terbabit secara langsung dalam pembikinannya memandangkan sebelum ini, Dayang hanya menyanyikan sahaja lagu yang diberikan. Namun selepas setahun disiapkan dengan bajet yang tinggi, album tersebut tidak dapat dipasarkan ekoran kes saman yang belum selesai. Akhirnya Dayang menjual sendiri album berjudul Dayang Sayang Kamu tersebut secara 'bawah tanah' di mana-mana persembahan tertutupnya.[53][54] Lagu berbahasa Inggeris berjudul "Need A Break/Seketika" mula meraih sokongan pendengar bandar sementara lagu "Erti Hidup yang dijadikan modul dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mula meniti bibir peminat. Dayang sendiri mencetak dan mengedarkan CD kepada peminat-peminat hingga berjaya terjual 5000 unit pada sebulan pertama jualan pada Ogos 2004. Dayang juga mempromosikan lagu "Dayang Sayang Kamu" dengan persembahan perdana di Anugerah Era 2004 dengan berduet bersama penyanyi Adam. Akhirnya album tersebut diterbitkan dan diedarkan pada September 2004 di bawah label DNAD Entertainment, syarikat rakaman milik Dayang sendiri.

Album Dayang Sayang Kamu menjadi penyambung hayat buat Dayang biarpun diancam dengan penerbitan album Buat Kamu oleh Broadway yang merupakan album bungkusan semula Hembusan Asmara sebulan sebelum edaran Dayang Sayang Kamu.[55][56][57] Broadway juga menerbitkan album kompilasi The Best of Anuar Zain & Dayang Nurfaizah sebelum itu yang menampilkan single "Melerai Prasangka" yang menerima putaran di radio. Lagu "Erti Hidup" berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu ke-19[58] dan akhirnya memenangi kategori Etnik Kreatif dan menaikkan semula nama Dayang dan memperkenalkan bakat Afdlin sebagai penggubah. Dayang kemudian bernaung di bawah syarikat rakaman New Southern Records (NSR). Ketua Bahagian Melayu NSR, Iman Wan berkata NSR telah mengeluarkan jumlah wang yang besar untuk membeli semula semua kontrak Dayang dengan syarikat-syarikat yang disamannya. Jumlah pembelian kontrak itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Beliau ialah salah seorang daripada beberapa artis Malaysia yang menyumbangkan suara untuk sebuah lagu khas bertajuk "Suluhkan Sinar". Diterbitkan oleh KRU dan dikeluarkan pada Januari 2005, lagu ini ditujukan khas kepada mangsa-mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami Lautan Hindi 2004 dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak. Artis-artis lain yang terlibat dalam projek ini ialah peserta-peserta Akademi Fantasia, AC Mizal, Erra Fazira, Alleycats, Jaclyn Victor dan Anita Sarawak.[59]

 
Dayang mengadakan persembahan pada 2005.

Pada 16 September 2005, secara rasminya NSR menjadi pengedar rasmi Dayang Sayang Kamu dan seiring itu album bungkusan semula yang mana memuatkan lagu "Kasih Maafkan" mendapat perhatian peminat. Bersama Iman Wan yang mengelola NSR ketika itu, Dayang bekerjasama menerbitkan album khas lagu-lagu klasik berjudul Kasih pada 25 Oktober 2005 selepas kejayaan konsert Putera Puteri di IB dan populariti lagu "Kau Pergi Jua" dan single pengenalan lagu dodoi berjudul "Suriram".[60][61] Kehebatan Dayang dalam mengalunkan lagu-lagu klasik menyaksikan album tersebut dicalonkan di Anugerah Industri Muzik ke-13 untuk kategori Album Pop Terbaik dan album ini juga memenangi anugerah Rakaman Album Terbaik. Lagu "Kasih" berjaya meletakkan nama Dayang ke kedudukan yang lebih selesa apabila lagu keroncong yang dijazzkan itu meraih populariti berganda di radio dan televisyen.

Dayang mula melihat persaingan berlaku di kalangan penyanyi wanita di Malaysia di saat Siti Nurhaliza mendominasi sebehagian besar pasaran, dengan nama-nama seperti Misha Omar dan Jaclyn Victor sudahpun mengukuhkan nama mereka sebaris dengan Dayang. Dayang juga berdepan dengan lambakan peserta TV realiti yang memasuki pasaran dan menjadi demam baru industri. Menyedari peluang meneroka pasaran baru makin terbatas, akhirnya Dayang memberanikan diri menyertai program realiti anjuran stesen 8TV iaitu One in a Million (OIAM) yang menyaksikan penyanyi amatur dan profesional merebut hadiah bernilai RM1 juta berserta kontrak rakaman Monkey Bone Records.[62] Penyertaan Dayang menimbulkan polemik tersendiri di kalangan pemerhati seni kerana kedudukan Dayang sebagai penyanyi yang sudah kukuh sedangkan beberapa peserta lain ialah penyanyi profesional yang gagal di pasaran.[63][64] Di samping itu, keberanian Dayang menyertai program yang 100% bersandarkan undian peminat juga menimbulkan konflik tersendiri.[65][66][67] Namun Dayang tekad dengan keputusannya dan akhirnya berjaya mara ke peringkat Top 4 sebelum tersingkir seminggu sebelum malam konsert akhir.[68][69][70][71] Biarpun tewas kepada peserta lain yang kini popular seperti Alif Satar dan Faizal Tahir, Dayang positif kerana setidak-tidaknya beliau telah berjaya meneroka pasaran baru.[72][73] Perkara pertama yang dilakukan Dayang apabila tersingkir daripada saingan OIAM ialah mengukuhkan pasaran Singapuranya dengan berkolaborasi dengan penyanyi negara Kota Singa seperti Imran Ajmain dan kumpulan Bhumiband.[74]

Berikut ialah senarai persembahan Dayang dalam 'One in a Million:

2007–2010: Pasca-One in a Million dan 20 07 sunting

Pada tahun 2007, bersama Iman Wan, Dayang menerbitkan album solo keenamnya yang berjudul 20 07. Dikeluarkan pada 21 Julai 2007, album berkonsepkan pop ini menampilkan lagu-lagu hits seperti "Ingin Ku Miliki", "Hilang" dan "Tiga" yang mana kesemuanya menyaksikan kolaborasi bersama penggubah Audi Mok.[75] Ketika album ini dipasarkan, Dayang mengambil keputusan untuk menyertai program TV pencarian bakat, Ikon Malaysia yang mana pemenangnya akan mewakili Malaysia ke pertandingan Ikon Asean.[76] Sekali lagi Dayang dikritik kerana berani memperjudikan kedudukannya sebagai penyanyi profesional apabila terpaksa bersaing dengan penyanyi lain seperti Jaclyn Victor dan Mawi. Akhirnya tuah sekali lagi tidak memihak kepada Dayang apabila sekadar meraih hadiah Naib Johan Ikon Malaysia 2007 apabila tewas kepada Jaclyn.[77][78] Album 20 07 telah dicalonkan dalam 4 kategori di Anugerah Industri Muzik ke-15 menerusi kategori vokal, album pop, susunan muzik dan juga kulit album. Biarpun tewas namun album tersebut masih menjadi bukti keutuhan Dayang dalam industri.[79]

Meraikan sedekad pembabitan beliau dalam Industri, Dayang mengadakan konsert mini yang dirakamkan di dalam sebuah album yang diberi judul Live!. Ia memuatkan rakaman persembahan secara langsung beliau di Planet Hollywood pada tahun 2008. Sewaktu ia dipasarkan pada 18 April 2009, Dayang terlibat dalam projek Global One Music yang menyaksikan beliau tersenarai sebagai wakil Malaysia dalam sebuah album yang menggabungkan hampir 36 penyanyi dari seluruh dunia.[80][81][82] Dayang berkolaborasi bersama penyanyi rap Singapura dan bekas ahli kumpulan Ahli Fiqir, Daly merakamkan lagu berjudul "Lately/Tanpamu" dalam dua versi – bahasa Melayu dan Inggeris.[83] Dayang meraih kejayaan manis apabila album Live berjaya meraih anugerah Album Pop Terbaik menewaskan dua album Siti Nurhaliza. Dayang sebelum ini sudah 4 kali dicalonkan dalam kategori tersebut.[84]

Pada 11 April 2010, Dayang menjadi salah seorang mentor dalam Mentor musim keempat dengan membimbing pesertanya, Adi Johar dan dinobatkan sebagai naib juara.[85][86] Pada Disember, Dayang mengumumkan bahawa beliau akan menguruskan sendiri kerjayanya kerana beliau dan pengurusnya, Shaliza Kader Sultan yang menjadi pengurusnya sejak 2001, akan membawa haluan masing-masing.[87]

2011–2014: Sayang & Cahaya dan penglibatan dalam konsert sunting

Pada tahun 2011, Dayang bersama penyanyi veteran Roy diberi kepercayaan untuk menyanyikan semula lagu daripada filem lakonan dan arahan seniman veteran, Jins Shamsuddin pada konsert Imbauan 3 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada 28 Februari dan 1 Mac.[88][89][90]

Dayang kemudian melancarkan album studio ketujuhnya berjudul Sayang & Cahaya pada 2 Mei.[91][92] Ia merupakan album kedua yang diterbitkan sendiri oleh syarikat milik Dayang, DN & AD manakala ia tidak lagi dipasarkan oleh NSR sebaliknya Dayang menyerahkan hak edaran kepada Universal Music. Sebelum itu Dayang berkolaborasi bersama Alibi Music menghasilkan dua buah single pengenalan iaitu "Sayang" dan "Ku Temu Cahaya".[93][94][95] Lagu "Sayang" menyaksikan Dayang berduet bersama penyanyi Indonesia, Marcell. Lagu tersebut berjaya mara ke pencalonan Anugerah Planet Muzik 2011 untuk kategori Duo/Kolaborasi Terbaik. Di samping single terbaru berjudul "Saat Itu", Dayang juga berkolaborasi bersama penyanyi veteran Ramli Sarip dalam lagu "Musafir Rindu" dalam album penyanyi tersebut dan juga bersama penyanyi Indonesia, Harvey Malaiholo dalam lagu rakaman semula "Gerimis Mengundang" untuk projek filem usahasama Malaysia-Indonesia.[96]

Pada 24 Februari 2012, Dayang merupakan antara artis yang mengadakan konsert bagi memperingati Sudirman dengan iringan 40 pemuzik daripada Orkestra RTM. Konsert yang diberi nama Sudirman... Abadi di Hati mengetengahkan lagu-lagu terkenal beliau seperti "Hilang Berganti", "Hujan", "Kehadiranku" dan "Jali Jali". Selain Dayang, konsert ini turut dijayakan oleh Adibah Noor, Jaclyn Victor, Alyah, Bob Yusof, Shila Amzah, Tomok, Black, Aril Pilus dan Rey (Bintang RTM).[97][98][99] Kemudian, beliau bersama-sama dengan Jamal Abdillah dan Ramli Sarip serta kumpulan pop rock Indonesia, Wali Band membuat persembahan pada konsert berhibur dan beramal bagi membantu badan kebajikan di Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 25 Februari 2012.[100]

Pada tahun 2013, Dayang bersama-sama dengan beberapa artis lain termasuk Jimmy Palikat, Adira, Ally AXL, Amir Ukays dan Ifa Raziah memeriahkan Konsert Karnival Pelancongan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi ke-13 (LIMA 13) di Langkawi, Kedah.[101] Pada 29 Mac 2014, Dayang berkongsi pentas dengan penyanyi Indonesia, Marcell dalam konsert Pesona Cinta di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. Persembahan selama 2 jam ini menyaksikan mereka akan menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu popular dan lagu terbaru.[102][103]

2015–kini: Kesinambungan kejayaan sunting

Dayang kembali menjadi salah seorang mentor dalam Mentor Legend dengan membimbing pesertanya, Azmil Karim dan dinobatkan sebagai juara.[104][105]

Dari 20 sehingga 22 November 2015, Dayang menjadi sebahagian daripada pementasan semula Malam Terang Bulan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Dianjurkan oleh Khazanah Nasional untuk kali kedua, orkestra konsert yang berlangsung tiga hari dengan penceritaan ialah bagaimana lagu cinta menjadi lagu kebangsaan Malaya. Beliau mempersembahkan lagu Jauh-Jauh dan Tanah Pusaka.[106][107] Beliau menyumbangkan suaranya untuk runut bunyi filem Langit Cinta, yang juga bertajuk sama ciptaan Nurzaidi Abd Rahman. Dilancarkan pada Disember 2015, sebuah muzik video juga telah diterbitkan bagi mempromosikan single ini.[108][109][110][111]

Dayang merakamkan lagu bertajuk "Lelaki Teragung" hasil nukilan komposer baharu, Natasya dan Iman Imran.[112] Dayang berkongsi bahawa bapanya menjadi sumber inspirasi dalam kehidupannya.[113] Lagu ini merupakan antara 12 lagu yang bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-31 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), KL. Beliau menyanyikan lagu itu sebagai tanda penghargaan untuk Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak yang meninggal dunia pada 11 Januari 2017.[114] "Lelaki Teragung" muncul sebagai Juara Lagu ke-31 (AJL 31), menewaskan 11 lagu lain di pentas akhir, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi serta baucar bernilai RM10,000.[115]

Beliau diberi kepercayaan menyanyikan lagu tema Sukan SEA 2017 yang bertajuk "Bangkit Bersama".[116] Dayang muncul sebagai artis jemputan untuk acara seni persembahan Universiti Teknologi Petronas (UTP), "Tapestry of Colours 2017", di Dewan Filharmonik Petronas pada 29 Julai. Beliau juga menyertai barisan penyanyi terkenal termasuk Faizal Tahir dan Azlan Rosle, penyanyi Indonesia Cakra Khan, Judika dan Syahrini di Konsert Nova di Stadium Malawati Shah Alam pada 5 Ogos.[117]

Pada Januari 2018, Dayang mengadakan konsert solo pertamanya di Esplanade, Singapura. Konsertnya berjaya menarik perhatian 1,500 penonton.[118][119][120]

Dayang muncul dengan single terbaru, "Sebentar" hasil nukilan Faizal Tahir, Mage, Mike Chan dan Romeo. Beliau menjayakan Konsert Dayang Dua Dekad di Istana Budaya yang berlangsung pada 21 Julai 2019, iaitu sehari selepas sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-38.[121][122]

Bakat sunting

Gaya muzik sunting

Dayang dikenali dengan vokalnya yang serak-serak basah,[123] dan mempersembahkan lagu-lagunya yang merangkumi pelbagai genre seperti pop, R&B, soul dan Asli.[49][124]

Tema sunting

Gaya vokal dan kebolehan nyanyian Dayang telah membantu membentuk muzik kontemporari dan popular Malaysia hingga menjadikan beliau antara penyanyi wanita yang cukup berpengaruh di persada hiburan tempatan.[125] Zul Husni Abdul Hamid dari Berita Harian menyifatkan Dayang sebagai "antara penyanyi wanita terbaik yang pernah muncul dalam industri".[126] New Straits Times menggelarkan beliau sebagai 'Beyoncé Borneo' kerana "kecantikan dan keperibadian" yang dimilikinya dan "mencerminkan pilihan muziknya" serupa dengan penyanyi kelahiran Amerika Syarikat, Beyoncé.[127] Kolumnis Harian Metro, Ramlah Zainal pula menyimpulkan bahawa "tiada siapa yang dapat menidakkan kehebatan vokal Ratu R&B tanah air, Dayang Nurfaizah setiap kali beraksi di pentas. Bukan saja memiliki kelebihan vokal yang mantap dan bertenaga, persembahannya juga tidak pernah menghampakan peminatnya".[1]

Kehidupan peribadi sunting

Dayang merupakan seorang yang masih bujang dan belum berkahwin.[125][128] Kehidupan peribadi Dayang banyak diperkatakan di media, terutamanya hubungannya dengan penyanyi dan penerbit rakaman Hael Husaini.[129][130][131]

Beliau ialah seorang yang tidak begitu aktif di media sosial.[132]

Dayang juga meminati K-Pop biarpun beliau bukanlah peminat tegar, namun mengagumi Big Bang dan 2NE1.[133]

Kontroversi sunting

Pada 21 November 2002, 7 hari sebelum album ketiganya diedarkan di pasaran, Dayang menyaman tiga syarikat yang terbabit dengan album keduanya kerana beliau mendakwa telah menandatangani Perjanjian Pengurusan yang berunsur menindas dan merugikannya. Dalam writ saman itu, Dayang juga memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengeluarkan perintah supaya tiga syarikat berkenaan memulangkan wang termasuk jumlah yang sepatutnya diperolehinya sebanyak RM600,000.[134][135]

Beliau juga menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun dikira atas jumlah RM600,000 atau lebih bermula dari 31 Julai 2002 sehingga penyelesaian penuh kesnya. Dalam saman tersebut, Dayang menamakan defendan pertama syarikat pengurusan, Bintang Seni Sdn. Bhd; defendan kedua syarikat rakaman Broadway Entertainment (M) Sdn. Bhd, dan defendan ketiga syarikat rakaman Lindung Seni Sdn. Bhd. Ramai yang meramalkan kerjaya seni Dayang akan mula merudum kerana tuntutan saman ini dijangka mengambil masa yang panjang malahan album ketiganya juga dicetak tanpa wajah Dayang pada kulit album. Album tersebut disifatkan sebagai album gelap kerana tidak diberikan judul dan hanya dipasarkan dengan nama Dayang pada kulit album berwarna hitam.[136][137]

Menurut Boon Tan, beliau tidak akan menunaikan sebarang tuntutan Dayang malahan kesal kerana beliau berusaha keras menerbitkan album ketiga Dayang yang menjalani proses adunan di Australia. Hal ini menyebabkan Dayang tidak dapat mempromosikan album Hembusan Asmara kerana halangan daripada Broadway. Broadway telah permohonan injunksi oleh sebuah syarikat pengurusan bagi menghalang Dayang membuat persembahan agar terlebih dahulu mendapat keizinan daripadanya. Bintang Seni memohon supaya Dayang dihalang daripada membuat sebarang persembahan dan mengenakan atau mendapat bayaran daripada persembahan itu agar terlebih dahulu mendapat keizinan daripada syarikat itu ekoran pada 4 Ogos 2003, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan syarikat itu supaya Dayang merujuk setiap tawaran dan persembahan yang diperoleh oleh beliau kepada syarikat itu.[138][139]

Pada 28 Julai 2005, Dayang mengambil keputusan untuk menggugurkan saman terhadap Broadway dan 2 lagi syarikat setelah kes itu berlarutan selama 3 tahun. Dayang enggan mengulas mengenai perkara itu namun menyatakan ia satu pengalaman yang manis buatnya kerana daripada pengalaman itu, beliau terpaksa melalui pelbagai pengalaman yang mendewasakan lagi perjalanannya sebagai anak seni. Banyak pengajaran yang Dayang belajar semasa menghasilkan album berjudul DSK antaranya menguruskan bajet serta terpaksa menjual album itu sendiri, memaksa peminat beli album tersebut. Pengalaman itu menurut Dayang tidak dapat dipelajari di mana-mana.

Diskografi sunting

Filemografi sunting

Televisyen sunting

Kredit televisyen Dayang Nurfaizah dengan tahun keluaran, tajuk dan peranan
Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan Ruj.
1997 Golden Teen Search Dirinya sendiri TV2 Peserta [2]
2001 Dari Studio 1 Dirinya sendiri Astro Ria Penghibur [140]
2006 One in a Million Dirinya sendiri 8TV Peserta musim 1 [63]
2010 Mentor Dirinya sendiri TV3 Mentor dan juri musim 4
2014–2015 Mentor Legend Dirinya sendiri TV3 Mentor dan juri

Anugerah dan pencalonan sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b Ramlah Zainal (20 April 2013). "Dayang pukau bos". Harian Metro. Dicapai pada 22 Julai 2021.
  2. ^ a b Marina Abdul Ghani (5 September 1997). "Ten in finals of song contest" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 30 Jun 2021.
  3. ^ "Dayang bentuk imej sendiri". Harian Metro. 20 April 1999. Dicapai pada 30 Jun 2021.
  4. ^ Saniboey Mohd Ismail (23 April 1999). "Dayang resah menanti". Harian Metro. Dicapai pada 30 Jun 2021.
  5. ^ "(Seorang lagi penyanyi dari...)". Berita Harian. 12 Mei 1999. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  6. ^ Azman Ahmad (16 Mei 1999). "Bright new sound of Sarawak" (dalam bahasa Inggeris). Sunday Mail. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  7. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (28 Mei 1999). "Adnan didik Dayang". Harian Metro. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  8. ^ "Tuah Dayang bersama Adnan". Harian Metro. 10 Jun 1999. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  9. ^ Ellyna Ali (20 Jun 1999). "Dayang suka berlenggok". Berita Minggu. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  10. ^ Sani Salleh (29 Jun 1999). "Dayang mampu senyum". Harian Metro. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  11. ^ Akmal Abdullah (19 Oktober 1999). "Himpunan lagu 11 penyanyi jelita". Berita Harian. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  12. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (4 September 1999). "Pusaka Rimba gabung Ziana, Dayang". Harian Metro. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  13. ^ Roslen Fadzil (23 September 1999). "Ziana, Dayang beradu vokal". Harian Metro. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  14. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (3 Ogos 1999). "Dayang, Ziana berduet". Harian Metro. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  15. ^ Zul Husni Abdul Hamid (14 September 2000). "Dayang - Dalami lagu Inggeris". Berita Harian. Dicapai pada 2 Julai 2021.
  16. ^ Norhadiani Baharom (2 Oktober 2001). "Kris minat Dayang". Harian Metro. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  17. ^ Zul Husni Abdul Hamid (16 April 2000). "Kegagalan album tidak patahkan semangat Dayang". Berita Minggu. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  18. ^ "Dayang tewas tetapi dipuji". Harian Metro. 19 April 2000. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  19. ^ Zul Husni Abdul Hamid (18 Januari 2001). "Dayang kembali bersama album baru". Berita Harian. Dicapai pada 2 Julai 2021.
  20. ^ Jad Mahidin (19 Januari 2001). "Stunned into silence". The Malay Mail. Dicapai pada 2 Julai 2021.
  21. ^ Abie Abdullah (4 Februari 2001). "Dayang bertapak semula". Metro Ahad. Dicapai pada 3 Julai 2021.
  22. ^ Abie Abdullah (14 Februari 2001). "Penantian Dayang berbaloi". Harian Metro. Dicapai pada 3 Julai 2021.
  23. ^ Zul Husni Abdul Hamid (17 Februari 2001). "Dayang resah nanti album dipasarkan". Berita Harian. Dicapai pada 3 Julai 2021.
  24. ^ Zainal Alam Kadir (26 Februari 2001). "Bowled over by Dayang". New Straits Times. Dicapai pada 3 Julai 2021.
  25. ^ Hanisah Selamat (25 Julai 2001). "Dayang Nurfaizah 'main perasaan' di Bali". Berita Harian. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  26. ^ Mohd Roji Abdullah (14 Mac 2001). "Dayang bangga diterima peminat". Berita Harian. Dicapai pada 3 Julai 2021.
  27. ^ Hartati Hassan Basri (8 November 2001). "Tak niat saing Siti". Harian Metro. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  28. ^ Hanisah Selamat (8 November 2001). "Dayang pencabar terdekat Siti". Berita Harian. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  29. ^ Suzan Ahmad (14 Julai 2001). "Lapan finalis berentap malam ini". Berita Harian. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  30. ^ Hardi Effendi Yaacob; Suzan Ahmad (18 Julai 2001). "Malam bertuah buat Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  31. ^ Ricky Yap (17 Julai 2001). "Nurfaizah's the star" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  32. ^ Suzan Ahmad (15 Februari 2002). "Dayang sedia hadapi cabaran baru". Berita Harian. Dicapai pada 8 Julai 2021.
  33. ^ Haswari Ali (8 Februari 2002). "Paksi Dayang". Harian Metro. Dicapai pada 8 Julai 2021.
  34. ^ Suzan Ahmad (7 Februari 2002). "Penangan peminat Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 8 Julai 2021.
  35. ^ Haswari Ali (5 Februari 2002). "Bermula Di Sini dilancar semula". Harian Metro. Dicapai pada 8 Julai 2021.
  36. ^ Zul Husni Abdul Hamid; Suzan Ahmad (9 Julai 2002). "Artis tarik peminat cintai budaya membaca". Berita Harian. Dicapai pada 14 Ogos 2016.
  37. ^ SS (16 Disember 2002). "Mengapa tiada lagu Ajai dalam album Dayang?". Harian Metro. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  38. ^ "Hembusan Dayang berapi". Harian Metro. 16 Disember 2002. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  39. ^ Tati (23 Disember 2002). "Album baru Dayang kurang promosi". Harian Metro. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  40. ^ Zul Husni Abdul Hamid (3 Januari 2003). "Krisis tidak patah semangat Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  41. ^ Ellyna Ali (5 Januari 2003). "Album Dayang ringkas". Berita Minggu. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  42. ^ "Dayang Nurfaizah mantap". Metro Ahad. 5 Oktober 2003. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  43. ^ "(Kompilasi dari penyanyi kelahiran...)". Berita Harian. 9 Oktober 2003. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  44. ^ "Dayang kekal hebat". Harian Metro. 4 November 2003. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  45. ^ Hafidah Samat (25 November 2003). "Dayang breaks out in song" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  46. ^ Hartati Hassan Basri (10 Februari 2004). "Dayang, Adibah bersatu". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  47. ^ "Tribute to legends". The Malay Mail. 10 Februari 2004. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  48. ^ Zul Husni Abdul Hamid (1 Disember 2005). "Erti Kasih buat Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  49. ^ a b Rudy Imran Shamsudin (12 November 2005). "KASIH DAYANG PENUH NOSTALGIA". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  50. ^ Suraiya Mohd Nor (25 Februari 2004). "Lagu Negara Ku Dayang Nurfaizah bakar semangat". Berita Harian. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  51. ^ Suraiya Mohd Nor (24 Februari 2004). "Dayang Nurfaizah bangkit semula". Berita Harian. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  52. ^ Joe Lee (27 Mac 2004). "Dayang will survive". The Malay Mail. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  53. ^ "Dayang loves you". New Straits Times. 27 September 2004. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  54. ^ Jad Mahidin (19 Disember 2004). "Dayang's personal cut". Sunday Mail. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  55. ^ Zul Husni Abdul Hamid (16 Disember 2004). "(Dayang Nurfaizah kembali bersama...)". Berita Harian. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  56. ^ Joe Lee (2 Disember 2004). "Dayang is all smiles again". The Malay Mail. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  57. ^ Ellyna Ali (23 November 2004). "Dayang lega". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  58. ^ Norhayati Nordin (10 Januari 2005). "DAYANG MANTAP MUTU VOKAL". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  59. ^ "Najib lancar Suluhkan Sinar". Berita Harian. 14 Januari 2005. Dicapai pada 16 Mac 2020.
  60. ^ Haswari Ali (31 Disember 2005). "Vokal Kasih Klasik Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  61. ^ "Pengaruh Kasih Dayang". Metro Ahad. 25 Disember 2005. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  62. ^ Mazreena (4 Jun 2006). "Baik, buruk penyertaan Dayang". Berita Minggu. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  63. ^ a b SS (25 Julai 2006). "Dayang masuk One In A Million". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  64. ^ John Tiong (25 April 2006). "Dayang Nurfaizah joins the race". The Malay Mail. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  65. ^ Rudy Imran Shamsudin (26 April 2006). "'Apa salahnya saya mencuba'". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  66. ^ Suraya Al-Attas (29 April 2006). "Dayang's got lots of guts trying out". New Straits Times. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  67. ^ Abie Abdullah (14 Mei 2006). "Salahkah Dayang masuk?". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  68. ^ Hartati Hassan Basri (11 Ogos 2006). "Dayang dalam bahaya". Harian Metro. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  69. ^ Zul Husni Abdul Hamid (16 September 2006). "Dayang Nurfaizah tersingkir One In A Million". Berita Harian. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  70. ^ Nor Akmar Samudin (16 September 2006). "Dayang sebak". Harian Metro. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  71. ^ "Dayang Nurfaizah in shock exit". New Straits Times. 16 September 2006. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  72. ^ "Dayang's hard at work". The Malay Mail. 8 Disember 2006. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  73. ^ Ellyna Ali (30 Oktober 2006). "Fazley hasil buku motivasi, Dayang hasil album". Harian Metro. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  74. ^ "Bhumiband undang Dayang". Berita Minggu. 7 Januari 2007. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  75. ^ Zul Husni Abdul Hamid (12 Julai 2007). "(Dayang Nurfaizah cuba lari...)". Berita Harian. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  76. ^ "Kemuncak Ikon Malaysia". Metro Ahad. 22 Julai 2007. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  77. ^ Norhadiani Baharom (26 Julai 2007). "Dayang, Jac gaya berbeza". Harian Metro. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  78. ^ "Tough fight ahead for Ikon finalists". New Straits Times. 12 Julai 2007. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  79. ^ Adly Syairi Ramly (10 April 2008). "A fresher Dayang in the offing". The Malay Mail. Dicapai pada 20 Julai 2021.
  80. ^ Normah Becok (24 April 2009). "Dayang ke peringkat antarabangsa". Berita Harian. Dicapai pada 20 Julai 2021.
  81. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (1 Februari 2009). "Dayang akui tak pernah bercinta". Berita Minggu. Dicapai pada 20 Julai 2021.
  82. ^ Zaidi Mohamad (7 Januari 2009). "Mahu terbang tinggi". Berita Harian. Dicapai pada 20 Julai 2021.
  83. ^ "Dayang's new single". New Straits Times. 14 April 2009. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  84. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (5 Mei 2010). "Rezeki Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  85. ^ "Impian Adi jadi protege Dayang". Harian Metro. 3 Mei 2010. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  86. ^ "Mentor anak Sarawak". Harian Metro. 3 Mei 2010. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  87. ^ Hanisah Selamat (13 Disember 2010). "Akhirnya Dayang ditinggalkan". Berita Harian. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  88. ^ "Roy, Dayang dipilih nyanyi lagu filem Jins Shamsuddin". Berita Harian. 18 Februari 2011. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  89. ^ Esme Johari Wahab (4 Mac 2011). "Dayang, Roy sentuh hati Jins". Harian Metro. Dicapai pada 21 Julai 2011.
  90. ^ Muhamad Fairoz Azizan (4 Mac 2011). "Imbauan penuh nostalgia". Berita Harian. Dicapai pada 21 Julai 2011.
  91. ^ Feride Hikmet Atak (4 Julai 2011). "Sayang & Cinta Kesederhanaan Dayang". mStar Online. Dicapai pada 21 Julai 2016.
  92. ^ Budiey (16 Jun 2011). "Showcase Sayang & Cahaya Dayang Nurfaizah". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 14 Februari 2012.
  93. ^ Hizreen Kamal (25 Jun 2011). "It's love, love, love". New Straits Times. Dicapai pada 21 Julai 2011.
  94. ^ "Dayang sings of love". New Straits Times. 25 Jun 2011. Dicapai pada 21 Julai 2011.
  95. ^ Mohd Aizat Shamsuddin (19 Jun 2011). "Dayang ajak cintai alam". Berita Minggu. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  96. ^ Norhadiani Baharom (30 Mei 2011). "Harvey, Dayang saling memuji". Harian Metro. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  97. ^ Muhamad Fairoz Azizan (17 Februari 2012). "Konsert memperingati Sudirman 24 Februari". Berita Harian. Dicapai pada 26 September 2019.
  98. ^ Esme Johari Wahab (18 Februari 2012). "Himpunan karya seni Sudirman". Harian Metro. Dicapai pada 26 September 2019.
  99. ^ "Tribute to Sudirman". New Straits Times. 18 Mei 2012. Dicapai pada 27 September 2019.
  100. ^ "Berhibur dan beramal di BCCK". Harian Metro. 13 Disember 2011. Dicapai pada 21 Julai 2021.
  101. ^ Nor Akmar Samudin (26 Mac 2013). "Artis meriahkan LIMA `13". Harian Metro. Dicapai pada 22 Julai 2021.
  102. ^ Budiey (19 Februari 2014). "Pesona Cinta Dayang Nurfaizah & Marcell di Istana Budaya". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 22 Julai 2019.
  103. ^ Ashraf Nasser (12 Mac 2014). "Konsert Dayang Nurfaizah & Marcell 29 Mac ini". Yahoo! News. Dicapai pada 22 Julai 2019.
  104. ^ Serimah Mohd Sallehuddin (23 Februari 2015). "RM300,000 milik protege Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 22 Julai 2020.
  105. ^ Michelle Gun (23 Februari 2015). "Anak didik Dayang juara". Harian Metro. Dicapai pada 22 Julai 2020.
  106. ^ Bibi Nurshuhada Ramli (6 November 2015). "Dayang returns to perform in Malam Terang Bulan". New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2016.
  107. ^ "'Malam Terang Bulan' will make you weep". Astro Awani. 10 November 2015. Dicapai pada 22 Julai 2016.
  108. ^ Budiey (31 Disember 2015). "Sebalik Tabir Muzik Video LANGIT CINTA Dayang Nurfaizah". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 22 Julai 2016.
  109. ^ "Langit Cinta taruhan terbaharu Dayang Nurfaizah". Sinar Harian. 6 Januari 2016. Dicapai pada 22 Julai 2020.
  110. ^ "Dayang Nurfaizah Beremosi Dalam Langit Cinta". Era.fm. 28 Disember 2015. Dicapai pada 2016-07-16.
  111. ^ Fatin Farhana Ariffin (13 Disember 2015). "Langit Cinta Dayang". Berita Minggu. Dicapai pada 22 Julai 2020.
  112. ^ “Lelaki Teragung” bukti Dayang Nurfaizah, penyanyi paling dahsyat yang kita ada Diarkibkan 2020-02-07 di Wayback Machine Stail.my. Dicapai pada 7 Febuari 2017.
  113. ^ Kemalia Othman (5 Julai 2016). Bapa Simbolik 'Lelaki Teragung' Dayang Nurfaizah mStar Online. Dicapai pada 5 Julai 2016.
  114. ^ Adib Povera (15 Januari 2017). Dayang Nurfaizah to dedicate Anugerah Juara Lagu performance to Tok Nan New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2017.
  115. ^ Nadia Azam (22 Januari 2017). Lelaki Teragung dinobat juara AJL31 Malaysiakini. Dicapai pada 7 Februari 2017.
  116. ^ "Song #BangkitBersama". Official website. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-08. Dicapai pada 8 August 2017.
  117. ^ Dennis Chua (15 Jun 2017). Dayang honoured to sing Sea Games New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2018.
  118. ^ Tahir Alhamzah (2 Januari 2018). (Showbiz) Dayang Nurfaizah wows 1,500 of her fans at Singapore's Esplanade Concert Hall New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2019.
  119. ^ "Dayang bawakan lagu pilihan peminat". Kosmo!. 4 Januari 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Januari 2018. Dicapai pada 4 Januari 2018.
  120. ^ Izwan Mohd Isa (1 Januari 2018). "Konsert Dayang Nurfaizah di Singapura sukses". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Januari 2018. Dicapai pada 4 Januari 2018.
  121. ^ Zaidi Mohamad (8 Julai 2019). Dayang hargai doa peminat Berita Harian. Dicapai pada 1 Ogos 2019.
  122. ^ Tahir Alhamzah (29 Januari 2019). #Showbiz: Dayang to perform solo concert in July New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2019.
  123. ^ Ellyna Ali (17 Julai 2007). "Dayang keluar daripada kepompong pop R&B ballad". Harian Metro. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  124. ^ CK (13 November 2007). "Dayang semakin selesa irama etnik". Berita Harian. Dicapai pada 20 Julai 2021.
  125. ^ a b Ramlah Zainal (18 Mac 2013). "Tunggu lelaki sesuai". Harian Metro. Dicapai pada 22 Julai 2021.
  126. ^ Zul Husni Abdul Hamid (1 Disember 2005). "Erti Kasih buat Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  127. ^ "Beyonce of Borneo". New Straits Times. 6 November 2007. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  128. ^ Serimah Mohd Sallehuddin (28 Jun 2015). "Dayang takut bercinta". Berita Minggu. Dicapai pada 22 Julai 2020.
  129. ^ "Selagi tiada pengumuman kahwin, selagi itu boleh kenal" - Dayang Nurfaizah tak tutup peluang lelaki lain mStar Online (9 September 2019). Dicapai pada 10 September 2019.
  130. ^ Feride Hikmet Atak (17 Ogos 2019). Salahkah kami berkawan? - Dayang Nurfaizah Berita Harian. Dicapai pada 1 September 2019.
  131. ^ Syahrul Ramadan (9 September 2019). Dayang Nurfaizah Talks About Her Special Relationship With Hael Husaini Hype.my. Dicapai pada 10 September 2019.
  132. ^ Dayang’s not a fan of social media: "I don't need to share my personal life online" The Star Online (10 Ogos 2018). Dicapai pada 10 Ogos 2018.
  133. ^ Dennis Chua (28 Februari 2018). (Showbiz) Dayang Nurfaizah, a fan of BigBang and 2Ne1 New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2019.
  134. ^ "Dayang mohon batal perjanjian". Harian Metro. 23 November 2002. Dicapai pada 23 Julai 2021.
  135. ^ Khairunnisa Hussin (22 November 2002). "Dayang Nurfaizah fail saman batal perjanjian". Berita Harian. Dicapai pada 23 Julai 2021.
  136. ^ Zubir Mohd Yunus (24 November 2002). "Dayang tuntut hak". Berita Minggu. Dicapai pada 23 Julai 2021.
  137. ^ Abie Abdullah (27 November 2002). "Beri tempoh hingga Jumaat". Harian Metro. Dicapai pada 23 Julai 2021.
  138. ^ "Bicara kes Dayang Nurfaizah 28 Oktober". Harian Metro. 23 Oktober 2003. Dicapai pada 23 Julai 2021.
  139. ^ "Dayang bebas menyanyi". Harian Metro. 29 Oktober 2003. Dicapai pada 23 Julai 2021.
  140. ^ Hanisah Selamat (3 Oktober 2001). "Duet Dayang Nurfaizah, Dyno di Astro Ria". Berita Harian. Dicapai pada 7 Julai 2021.

Pautan luar sunting