Diod pemancar cahaya organik

Diod pemancar cahaya organik (bahasa Inggeris: organic light-emitting diode, OLED), juga dikenali sebagai polimer pemancar cahaya (light emitting polymer, LEP) dan elektro-pendarcahaya organik (organic electroluminescence, OEL), ialah sejenis diod pemancar cahaya (LED) yang mana lapisan elektropendarcahaya pancarannya terdiri daripada filem sebatian organik. Lapisan tersebut lazimnya mengandungi sejenis bahan polimer yang membolehkan sebatian organik yang sesuai dimendap. Bahan-bahan tersebut dimendap dalam susunan baris dan lajur pada pembawa rata melalui proses "pencetakan" yang ringkas. Hasilnya yang berbentuk matriks piksel boleh memancarkan cahaya pelbagai warna.

Paparan OLED 3.8 cm (1.5 inci)
Sony XEL-1 (depan)
Sony XEL-1 (sisi)

Sistem-sistem sedemikian boleh digunakan pada skrin televisyen, monitor komputer, skrin sistem mudah alih kecil seperti telefon bimbit dan PDA, pengiklanan, penerangan dan petunjuk. OLED juga boleh digunakan untuk punca cahaya untuk menerangkan ruang umum, dan unsur-unsur pancaran cahaya di kawasan besar. OLED biasanya memancarkan kurang cahaya per kawasan berbanding LED berasaskan keadaan pepejal bukan organik yang lazimnya direka untuk kegunaan sebagai punca cahaya titik.

Salah satu kelebihan terpenting OLED berbanding paparan hablur cecair (LCD) biasa adalah OLED tidak memerlukan cahaya belakang untuk berfungsi[1]. Oleh itu, panel OLED boleh memaparkan aras hitam yang dalam, kurang menggunakan tenaga, dan lebih nipis dan ringan berbanding panel LCD. Paparan OLED juga mencapai nisbah beza jelas yang lebih tinggi berbanding LCD.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting