Epik Gilgamesh merupakan puisi epik dari Mesopotamia purba. Epik bertarikh Dinasti Ketiga Ur (sekitar 2100 SM) ini sering dianggap sebagai karya agung yang pertama dalam kesusasteraan. Sejarah kisah epik Gilgamesh bermula dengan lima puisi Sumeria tentang raja Uruk bernama Bilgamesh (sebutan orang Sumeria untuk Gilgamesh). Kisah-kisah bebas dalam puisi ini kemudiannya digunakan sebagai bahan sumber untuk epik yang digabungkan. Versi pertama epik gabungan yang terselamat dikenali sebagai versi "Babilon Kuno", bertarikh sekitar abad ke-18 SM dan dinamakan selepas incipitnya, Shūtur eli sharrī ("Raja Segala Raja"). Hanya beberapa kepingan tablet tanah liat itu terselamat. Versi standard yang berikutnya bertarikh dari abad ke 13 hingga ke-10 SM dan membawa incipit Sha naqba īmuru ("Dia yang Melihat dengan Dalam", dalam bahasa moden: "Dia yang melihat apa tidak diketahui"). Kira-kira dua pertiga daripada versi sepanjang 12 tablet ini dipulihkan semula. Beberapa naskhah terbaik dijumpai di runtuhan perpustakaan raja Assyria Ashurbanipal dari abad ke-7 SM.

Bahagian separuh pertama cerita membincangkan mengenai raja Uruk Gilgamesh, dan Enkidu, seorang lelaki buas yang dicipta oleh para dewa untuk menghentikan Gilgamesh daripada menindas rakyat Uruk. Selepas pertempuran awal, Gilgamesh dan Enkidu menjadi kawan rapat. Mereka bersama-sama mengembara ke Gunung Cedar dan mengalahkan raksasa Humbaba yang menjaga gunung itu. Kemudian mereka membunuh Lembu Jantan Syurga, yang dihantar oleh dewi Ishtar bagi menghukum Gilgamesh kerana menolak godaannya. Sebagai hukuman atas perbuatannya, para dewa menjatuhkan hukuman dengan mematikan Enkidu.

Dalam bahagian separuh kedua epik, Gilgamesh yang sedih atas kematian Enkidu melakukan pengembaraan yang panjang dan merbahaya untuk mencari rahsia kehidupan abadi. Dia akhirnya mendapat tahu bahawa "Hidup, yang kamu cari, kamu tidak akan menjumpainya. Kerana apabila para dewa menciptakan manusia, mereka menjadikan kematian menjadi sebahagian daripada manusia, dan kehidupan ditentukan oleh tangan mereka sendiri".[1][2] Bagaimanapun, kisah Gilgamesh menjadi masyhur selepas kematiannya kerana projek pembinaan bangunan besarnya, kisahnya mengenai nasihat Siduri, dan apa yang diceritakan oleh lelaki abadi Utnapishtim mengenai Banjir Besar. Kisah Gilgamesh diterjemahkan ke dalam banyak bahasa, dan sejak kebelakangan ini dihidupkan semula dalam karya fiksyen popular.

Sejarah sunting

 
Kepingan mitos banjir dalam epik Gilgamesh dalam bahasa Akkadia

Sumber berasingan wujud dalam jangka masa lebih 2,000 tahun. Puisi Sumeria terawal kini secara amnya dianggap sebagai cerita yang berbeza, dan bukannya sebahagian daripada epik tunggal.[3]:45 Puisi ini bertarikh seawal Dinasti Ketiga Ur (sekitar 2100 SM).[3]:41–42 Tablet Babilon Kuno (sekitar 1800 SM),[3]:45 adalah sumber tablet paling awal yang masih terdapat bagi naratif tunggal Epik Gilgamesh.[4] Tablet Babilon lebih tua dan versi Akkadia terkemudian merupakan sumber penting bagi terjemahan moden, dengan teks lebih awal terutamanya digunakan bagi mengisi jurang (Lakuna) dalam teks-teks berikutnya. Sungguhpun beberapa versi yang disemak semula berdasarkan pada penemuan baru telah diterbitkan, epik itu masih tidak lengkap.[5] Analisis teks Babilon Kuno digunakan untuk membina semula bentuk lebih awal bagi Epik Gilgamesh.[6] Versi Akkadia terbaru ini (sekitar 1200 SM), juga dirujuk sebagai versi "standard", yang terdiri daripada 12 tablet, yang disunting oleh Sin-liqe-unninni dan dijumpai di Perpustakaan Ashurbanipal di Nineveh.

Epik Gilgamesh ditemui oleh Hormuzd Rassam pada 1853. Watak utama Gilgamesh pada mulanya diperkenalkan semula kepada dunia sebagai "Izdubar", sebelum namanya pada tulisan pepaku boleh disebut dengan betul. Terjemahan moden epik diterbitkan pada awal tahun1870-an oleh George Smith.[7] Terjemahan paling muktamad dalam dua jilid dibuat oleh Andrew George.[8] George membincangkan keadaan bahan yang terselamat, dan menyediakan tafsiran tablet demi tablet, dengan terjemahan dwibahasa sebelah menyebelah. Terjemahan ini diterbitkan oleh Oxford University Press pada 2003. Pada 2004, Stephen Mitchell membuat terjemahan kontroversi bebas dan memasukkan kiasan moden dan ulasan yang berkaitan dengan perang Iraq 2003.[9][10] Terjemahan terus bahasa Arab daripada tablet asal dibuat dalam tahun 1960-an oleh ahli arkeologi Iraq Taha Baqir.

Penemuan artifak (sekitar 2600 SM) dikaitkan dengan Enmebaragesi dari Kish, yang disebut dalam lagenda sebagai bapa salah seorang musuh Gilgamesh memberikan sokongan pada kewujudan Gilgamesh dalam sejarah.[3]:40–41

Versi sunting

Dua versi utama epik sebahagiannya dibina semula daripada pelbagai sumber yang dijumpai: versi Standard Akkadia, atau Dia yang melihat mendalam, dan Versi Babylon Kuno, atau Raja segala raja. Lima puisi Sumeria terdahulu mengenai Gilgamesh juga dijumpai sebahagian daripadanya, sesetengah dengan versi primitif bagi episod khusus dalam versi Akkadia, dan yang lain dengan kisah yang tidak berkaitan.

Versi Standard Akkadia sunting

Versi standard Akkadia ditemui oleh Hormuzd Rassam dalam perpustakaan Ashurbanipal di Nineveh pada 1853. Ia ditulis dalam dialek Akkadia yang digunakan untuk tujuan kesusasteraan. Versi ini disusun oleh Sin-liqe-unninni antara 1300 dan 1000 SM dari teks lebih awal.

Versi standard Akkadia mempunyai perkataan pembukaan, atau incipit yang berbeza, daripada versi yang lebih tua. Versi yang lebih tua bermula dengan perkataan "Raja segala raja", manakala versi standard mempunyai "Dia yang melihat dengan dalam" (ša nagba īmuru), "mendalam" merujuk kepada misteri maklumat yang dibawa balik oleh Gilgamesh dari pertemuannya dengan Uta-Napishti (Utnapishtim ) mengenai Ea, pancuran air mata kebijaksanaan.[11] Gilgamesh telah diberikan pengetahuan mengenai bagaimana untuk menyembah dewa-dewi, mengapa kematian telah ditetapkan ke atas manusia, bagaimana menjadi seorang raja yang baik, dan bagaimana untuk menjalani kehidupan yang baik. Kisah Utnapishtim, wira daripada mitos banjir, boleh ditemui dalam Epik Atrahasis di Babilon.

Tablet 12 adalah lanjutan kepada tablet 11 yang asal, dan mungkin ditambah pada masa berikutnya. Tablet 12 tidak mempunyai banyak persamaan dengan tablet 11 yang ditulis dengan baik; baris pada awal tablet pertama disebut pada akhir tablet 11, menjadikannya kisahnya tidak masuk akal dan muktamad. Tablet 12 adalah salinan yang hampir sama dengan satu kisah awal Sumeria ketika Gilgamesh menghantar Enkidu untuk mendapatkan beberapa objek dari alam orang mati, dan dia kembali dalam bentuk semangat untuk menceritakan alam orang mati kepada Gilgamesh.

Kandungan versi standard tablet sunting

(Berdasarkan terjemahan Andrew George)

Tablet satu sunting

Cerita dalam tablet ini memperkenalkan Gilgamesh, raja Uruk. Gilgamesh, yang mempunyai tubuh dua pertiga dewa dan satu pertiga manusia, menindas rakyatnya. Disebabkan penindasan ini, rakyat Uruk telah meminta pertolongan daripada para dewa. Bagi wanita muda Uruk, penindasan ini dalam bentuk droit du seigneur - atau hak Gilgamesh untuk melakukan persetubuhan dengan wanita dalam kalangan rakyatnya pada malam perkahwinan mereka. Bagi pemuda (tablet rosak pada bahagian ini), Gilgamesh memaksa mereka bermain, beradu kekuatan, atau mungkin dipaksa membina bangunan. Para dewa menunaikan permohonan rakyat Uruk dengan mencipta makhluk yang sama dengan Gilgamesh yang mampu menghentikan penindasan itu. Manusia buas ini dipanggil Enkidu, yang diselitupi dengan bulu dan tinggal di hutan bersama haiwan. Dia ditemui oleh penjebak, yang mata pencarian telah terjejas kerana Enkidu merosakkan perangkapnya. Penjebak memberitahu Gilgamesh mengenai lelaki buas itu. Mereka membuat rancangan untuk menggoda Enkidu melalui Shamhat, seorang pelacur kuil, sebagai langkah pertama menjinakkannya, dan selepas enam hari dan tujuh malam bersama secara berterusan dia membawa Enkidu ke kem gembala untuk belajar bagaimana untuk menjadi orang yang bertamadun. Ketika itu Gilgamesh mendapat mimpi mengenai kedatangan sahabat baru yang akan disayanginya.

Tablet dua sunting

Shamhat membawa Enkidu ke kem pengembala untuk diperkenalkan pada makanan manusia dan menjadi pengawal malam. Apabila mengetahui tentang layanan Gilgamesh ke atas pengantin baru daripada orang yang lalu di tempat itu, Enkidu menjadi marah dan mengembara ke Uruk untuk campur tangan dalam satu perkahwinan. Ketika Gilgamesh cuba masuk ke kamar pengantin, Enkidu menghalang perjalanannya, dan mereka bertempur. Selepas pertempuran sengit, Enkidu mengakui keunggulan kekuatan Gilgamesh dan mereka menjadi kawan. Gilgamesh mencadangkan membuat pengembaraan ke Hutan Cedar untuk membunuh raksasa separa dewa Humbaba, untuk mendapat kehormatan dan kemashyuran. Sungguh pun diberi amaran oleh Enkidu dan majlis orang tua, Gilgamesh tidak dapat dihalang.

Tablet tiga sunting

Majlis orang tua memberikan nasihat kepada Gilgamesh bagi pengembaraannya. Gilgamesh melawat ibunya, dewi Ninsun, yang mencari sokongan dan perlindungan daripada dewa matahari Shamash bagi pengembaraan mereka. Ninsun mengambil Enkidu sebagai anaknya, dan Gilgamesh meninggalkan pesanan untuk urusan pentadbiran Uruk semasa ketiadaannya.

Tablet empat sunting

Gilgamesh dan Enkidu mengembara ke Hutan Cedar. Setiap beberapa hari mereka berkhemah di sebuah gunung, dan melaksanakan upacara mimpi. Gilgamesh mendapat lima mimpi menakutkan mengenai gunung runtuh, ribut petir, lembu liar,dan burung guruh yang bernafas api. Sungguhpun terdapat persamaan antara mimpinya dan gambaran awal Humbaba, Enkidu menafsirkan mimpi ini sebagai petanda yang baik, dan menafikan bahawa gambaran-gambaran yang menakutkan itu mewakili penjaga hutan. Ketika mereka menghampiri ke gunung Cedar, mereka mendengar Humbaba meraung, dan perlu menenangkan sesama sendiri supaya tidak takut.

Tablet lima sunting
 
Tablet V bagi Epik Gilgamesh

Mereka memasuki hutan Cedar. Humbaba, raksasa penjaga Hutan Cedar, menghina dan mengancam mereka. Dia menuduh Enkidu pengkhianat, dan berjanji untuk membelah perut Gilgamesh dan memberi makan dagingnya kepada burung. Gilgamesh merasa takut, tetapi dengan beberapa kata-kata perangsang daripada Enkidu, pertempuran bermula. Gunung-ganang bergegar dengan perkelahian dan langit menjadi hitam. Dewa Shamash menghantar 13 angin untuk mengikat Humbaba, dan ia ditangkap. Raksasa merayu untuk tidak membunuhnya, dan Gilgamesh kasihan kepadanya. Tetapi Enkidu menjadi marah dan meminta Gilgamesh untuk membunuh binatang itu. Humbaba mengutuk kedua-duanya dan Gilgamesh membunuhnya dengan satu tetakan pada leher. Kedua-dua wira menebang banyak pokok Cedar, termasuk pokok gergasi yang Enkidu rancang untuk menghasilkan sebuah pintu bagi kuil Enlil. Mereka membina rakit dan pulang melalui sungai Furat dengan pokok gergasi dan kepala Humbaba.

Pada 2014 satu tablet lima yang rosak sebahagiannya mengenai Epik Gilgamesh dijumpai menurut Muzium Sulaymaniyah, Iraq. Menurut Profesor Farouk Al-Rawi (Pusat Pengajian Oriental dan Pengajian Afrika, Universiti London), tablet ini menceritakan bagaimana Gilgamesh dan Enkidu memasuki hutan cedar dan membunuh Humbaba. Profesor Al-Rawi berkata tablet menyebut bahawa Gilgamesh dan Enkidu menyaksikan "monyet"; ini tidak disebut dalam versi lain yang sedia ada bagi tablet lima.[12]

Tablet enam sunting

Gilgamesh menolak godaan dewi Ishtar kerana layanan buruknya terhadap kekasih dewi sebelumnya seperti Dumuzi. Ishtar meminta bapanya, Anu menghantar Gugalanna, Lembu Jantan Syurga, untuk membalas dendam. Apabila Anu menolak permintaan itu, Ishtar mengancam membangkitkan mereka yang mati yang jumlahnya "melebihi mereka yang hidup" dan "memakan mereka". Anu menjadi takut, dan bersetuju dengannya. Ishtar membawa Gugalanna ke Uruk, dan menyebabkan kemusnahan yang teruk. Gugalanna mengurangkan air sungai Efrat, dan mengeringkan paya. Ia membuka lubang besar yang menelan 300 orang lelaki. Tanpa apa-apa bantuan dewa, Enkidu dan Gilgamesh menyerang dan membunuhnya, dan menawarkan hatinya kepada Shamash. Apabila Ishtar berteriak, Enkidu melontar salah satu bahagian punggung lembu jantan itu kepadanya. Kota Uruk meraikan kejayaan itu, tetapi Enkidu mendapat mimpi menyeramkan mengenai kegagalan pada masa hadapan.

Tablet tujuh sunting

Dalam mimpi Enkidu, para dewa memutuskan bahawa salah seorang wira perlu mati kerana mereka membunuh Humbaba dan Gugalanna. Di sebalik bantahan daripada Shamash, Enkidu diputuskan untuk dihukum mati. Enkidu menyumpah pintu besar yang dia buat bagi kuil Enlil. Dia turut mengutuk penjebak dan Shamhat kerana membawa dia keluar dari hutan. Shamash mengingatkan Enkidu bagaimana dia diberi makanan dan pakaian, dan memperkenalkannya kepada Gilgamesh. Shamash memberitahu Enkidu bahawa Gilgamesh akan memberi penghormatan yang besar kepadanya semasa pengkebumiannya, dan akan mengembara ke dalam hutan dengan kesedihan. Enkidu menyesali kutukannya dan merestui Shamhat. Dalam mimpi kedua bagaimanapun dia melihat dirinya ditawan di alam orang mati oleh Malaikat Maut yang menakutkan. Alam orang mati ialah "rumah debu" dan kegelapan yang penduduknya makan tanah liat, dan berpakaian bulu burung, serta dipantau oleh makhluk menakutkan. Selama 12 hari, keadaan Enkidu menjadi lebih teruk. Akhirnya, selepas suatu ratapan bahawa dia tidak dapat bertemu dengan kematian dalam pertempuran, dia mati.

Tablet lapan sunting

Gilgamesh meratapi kematian Enkidu, dan menyeru gunung, hutan, padang, sungai, haiwan liar, dan semua rakyat Uruk berkabung untuk sahabatnya. Ketika mengimbas kembali pengalaman mereka bersama-sama, Gilgamesh menarik rambut dan pakaiannya dalam kesedihan. Dia memerintahkan dibuat patung kubur, dan meletakkan barangan berharga dalam kubur dari perbendaharaannya untuk memastikan bahawa Enkidu mendapat penerimaan yang baik dalam alam orang mati. Satu jamuan besar diadakan di mana harta ditawarkan kepada dewa alam orang mati. Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa dalam teks diceritakan sungai yang sedang dibendung, yang menunjukkan perkuburan di dasar sungai, seperti dalam puisi Sumeria lain tentang Kematian Gilgamesh.

Tablet sembilan sunting

Tablet sembilan bermula dengan Gilgamesh mengembara ke dalam hutan dengan memakai baju kulit binatang, dan bersedih atas kematian Enkidu. Disebabkan takut dengan kematian dirinya sendiri, dia memutuskan untuk mencari Utnapishtim ("yang jauh"), dan belajar mengenai rahsia kehidupan abadi. Utnapishtim ialah antara mereka yang terselamat daripada Banjir Besar. Utnapishtim dan isterinya adalah satu-satunya manusia yang diberikan kehidupan abadi oleh dewa. Gilgamesh melintasi jurang gunung pada waktu malam dan menemui sekumpulan singa. Sebelum tidur dia berdoa mendapat perlindungan daripada dewa bulan Sin. Apabila tersedar dari mimpi, dia membunuh singa dan menggunakan kulit singa sebagai pakaian. Selepas perjalanan yang panjang dan berbahaya, Gilgamesh tiba di puncak kembar Gunung Mashu di hujung bumi. Dia menjumpai terowong, yang tiada seorangpun yang pernah masuk, yang dijaga oleh dua kala jengking yang dahsyat. Selepas disoal siasatnya dan mengakui dia separuh-dewa, mereka membenarkan dia untuk memasuk, dan Gilgamesh melintasi bawah pergunungan sepanjang Jalan Matahari. Dalam kegelapan sepenuhnya dia mengikuti jalan selama 12 "jam berganda", dan berjaya melengkapkan perjalanan sebelum matahari terbit. Dia tiba di Taman dewa-dewi, syurga dengan pokok permata yang dipenuhi permata.

Tablet sepuluh sunting

Gilgamesh berjumpa dengan Siduri pembuat wain, yang menganggap bahawa dia adalah seorang pembunuh atau pencuri kerana penampilan lusuhnya. Gilgamesh memberitahunya tentang tujuan pengembaraannya. Dia cuba untuk menghalang Gilgamesh dari usahanya, tetapi menghantarnya ke Urshanabi penambang feri, yang akan membantunya menyeberangi laut untuk berhumpa dengan Utnapishtim. Gilgamesh, akibat kemarahan spontan, memusnahkan gergasi-batu yang hidup dengan Urshanabi. Dia memberitahu Urshanabi kisahnya, tetapi apabila dia meminta pertolongan, Urshanabi memberitahunya bahawa dia baru sahaja memusnahkan satu-satunya makhluk yang boleh menyeberangi Air Maut, yang membawa maut apabila disentuh. Urshanabi mengarahkan Gilgamesh untuk memotong 120 pokok dan membentuknya sebagai galas feri. Apabila mereka sampai ke pulau di mana Utnapishtim tinggal, Gilgamesh menceritakan kisahnya, meminta Utnapishtim untuk membantunya. Utnapishtim mencelanya, mengisytiharkan bahawa menetang takdir manusia adalah sia-sia dan mengurangkan kegembiraan hidup.

Tablet sebelas sunting

Gilgamesh melihat bahawa Utnapishtim seolah-olah tiada beza dari dirinya sendiri, dan bertanya kepadanya bagaimana beliau memperolehi keabadian beliau. Utnapishtim menerangkan bahawa dewa-dewi memutuskan untuk menghantar satu banjir besar. Untuk menyelamatkan Utnapishtim, dewa Ea memberitahunya untuk membina bot. Dia juga memberikan dimensi yang tepat, dan ia telah selitupi dengan minyak tar dan damar. Seluruh keluarga beliau menaiki kapal bersama-sama dengan tukangnya dan "semua binatang di padang." Angin badai yang dahsyat kemudiannya muncul yang menyebabkan para dewa ketakutan dan berundur ke langit. Ishtar menyesali kemusnahan meluas umat manusia, serta dewa-dewi yang lain menangis bersebelahan dengannya. Ribut berlangsung selama enam hari dan malam, selepas itu "semua manusia bertukar menjadi tanah liat". Utnapishtim menangis apabila dia melihat kemusnahan. Botnya tersadai di sebuah gunung, dan dia melepaskan burung merpati, layang-layang, dan burung gagak. Apabila burung gagak tidak kembali, dia membuka bahtera itu dan membebaskan penumpangnya. Utnapishtim menawarkan korban kepada para dewa-dewi, yang mencium bau harum manis dan berkumpul di sekeliling korbannya. Ishtar bersumpah bahawa dia tidak akan lupa kalung yang terang yang tergantung di lehernya, dan dia akan sentiasa ingat masa itu. Apabila Enlil tiba, marah bahawa terdapat manusia yang terselamat, Ishtar mengutuknya kerana menghantar banjir. Ea juga memarahinya kerana menghantar hukuman yang tidak seimbang. Enlil memberkati Utnapishtim dan isterinya, dan memberi ganjaran kepada mereka dengan kehidupan yang abadi. Kisah ini menyerupai kisah banjir yang menamatkan Epik Atrahasis (lihat juga mitos banjir Gilgamesh ).

Kandungan utama seolah-olah bahawa apabila Enlil diberikan kehidupan yang kekal, ia adalah hadiah yang unik. Seolah-olah untuk membuktikan kenyataan ini, Utnapishtim mencabar Gilgamesh untuk berjaga selama enam hari dan tujuh malam. Gilgamesh tertidur, dan Utnapishtim mengarahkan isterinya untuk memasak sebuku roti pada setiap hari dia tertidur, agar dia tidak dapat menafikan kegagalannya untuk berjaga. Gilgamesh, yang cuba untuk mengatasi kematian, tidak dapat menakluk tidur. Selepas mengarahkan penjaga feri Urshanabi untuk memandikan Gilgamesh, dan memberi dia pakaian kebesaran, mereka berlepas ke Uruk.

Ketika mereka pergi, isteri Utnapishtim meminta suaminya untuk memberi hadiah perpisahan. Utnapishtim memberitahu Gilgamesh bahawa yang di dasar laut di sana terdapat tumbuhan seperti kotak berduri boxthorn yang akan menjadikan dia muda kembali. Gilgamesh, dengan mengikat batu ke kakinya supaya dia boleh berjalan di dasar laut, berjaya mendapatkan tumbuhan tersebut.

Gilgamesh bercadang untuk menguji sekiranya tumbuhan ini mempunyai keupayaan kembali remaja dengan menguji hipotesis itu pada seorang tua apabila dia kembali ke Uruk.

Tablet dua belas sunting

Tablet ini pada dasarnya ialah terjemahan bahasa Akkadia bagi puisi Sumeria, Gilgamesh dan Alam Orang Mati (juga dikenali sebagai "Gilgamesh, Enkidu, dan Alam Orang Mati" dan variasi puisi lain). Namun, dikatakan tablet ini berasal dari versi cerita yang tidak diketahui. Kandungan tablet terakhir ini tidak selaras dengan yang tablet sebelumnya: Enkidu masih hidup, bukannya meninggal dunia dalam epik awal. Oleh kerana itu, kekurangan penyepaduan dengan tablet lain, dan hakikat bahawa ia hampir menyerupai versi salinan yang lebih awal, tablet dua belas disebut sebagai 'lampiran bukan organik' untuk epik.

Gilgamesh mengadu kepada Enkidu bahawa banyak harta bendanya (tablet ini tidak jelas apa - terjemahan yang berbeza termasuk drum dan bola) telah jatuh ke dalam alam orang mati. Enkidu menawarkan untuk membawa harta ini kembali. Dengan hati yang gembira, Gilgamesh memberitahu Enkidu apa yang mesti dan tidak boleh dilakukan dalam alam orang mati sekiranya Enkidu mahu kembali ke alam bumi. Enkidu melakukan semua yang dia dilarang melakukannya. Disebabkan itu, Enkidu ditahan di alam orang mati. Gilgamesh berdoa kepada dewa mengembalikan Enkidu. Enlil dan Suen tidak membalas, tetapi Ea dan Shamash membuat keputusan untuk membantu. Shamash membuatkan retakan di bumi, dan roh Enkidu melompat keluar dari retakan itu. Tablet ini berakhir dengan Gilgamesh bertanya kepada Enkidu tentang apa yang dilihatnya dalam alam orang mati.

Rujukan sunting

Nota sunting

  1. ^ James Thrower "The Alternative Tradition: A Study of Unbelief in the Ancient World" 1980, Mouton Publishers, The Hague, The Netherlands
  2. ^ Jacobsen, T. (1949) Mesopotamia: The Good Life. Before Philosophy; :The Intellectual Adventure of Ancient Man" by Frankfort, Wilson and Jacobsen, Penguin Books, Baltimore, Maryland, Chapter VII, Page 226. Retrieved 2013-09-11.
  3. ^ a b c d Stephanie Dalley (penyunting). Myths from Mesopotamia: Creation, the Flood, Gilgamesh, and Others. Oxford University Press. ISBN 978-0-19-953836-2.
  4. ^ T.C. Mitchell. The Bible in the British Museum, The British Museum Press, 1988, p.70.
  5. ^ George, Andrew R., trans. & edit. The Epic of Gilgamesh, Penguin Books, 1999, ISBN 0-14-044919-1
  6. ^ Abusch, T. Gilgamesh's Request and Siduri's Denial. Part I: The Meaning of the Dialogue and Its Implications for the History of the Epic. |11.05 MB The Tablet and the Scroll; Near Eastern Studies in Honor of William W. Hallo, 1–14. Retrieved 2014-06-02.
  7. ^ Smith, George (1872). "The Chaldean Account of the Deluge". Sacred-Texts.com.
  8. ^ A book review by the Cambridge scholar, Eleanor Robson, claims that George's is the most significant critical work on Gilgamesh in the last 70 years. See: http://bmcr.brynmawr.edu/2004/2004-04-21.html
  9. ^ http://www.jstor.org/discover/10.2307/30044781?uid=3739728&uid=2&uid=4&uid=3739256&sid=21101352909941
  10. ^ Stephen Mitchell (24 Januari 2006). Gilgamesh: A New English Version. Simon and Schuster. ISBN 978-0-7432-6169-2. Dicapai pada 9 November 2012.
  11. ^ Andrew George, penyunting (1999). The Epic of Gilgamesh. Penguin Classics. m/s. 50 (introduction). ISBN 978-0-14-044919-8.
  12. ^ Amin, OSM. "Part of Tablet V, the Epic of Gilgamesh". Ancient History Encyclopedia. Dicapai pada 29 Mac 2015.

Bibliografi sunting

Terjemahan Epik sunting

  • Jastrow, M. and Clay, A (1920). An Old Babylonian Version of the Gilgamesh Epic: On the Basis of Recently Discovered Texts.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  • Sandars, N. K (2006). The Epic of Gilgamesh (Penguin Epics). London: Penguin. ISBN 0-14-102628-6.: re-print of the Penguin Classic translation (in prose) by N. K. Sandars 1960 (ISBN 014044100X) without the introduction.
  • Mason, Herbert (2003). Gilgamesh: A Verse Narrative. Boston: Mariner Books. ISBN 978-0-618-27564-9. First published in 1970 by Houghton Mifflin; Mentor Books paperback published 1972.
  • Kovacs, Maureen Gallery, transl. with intro. (1985). The Epic of Gilgamesh. Stanford University Press: Stanford, California. ISBN 0-8047-1711-7.CS1 maint: multiple names: authors list (link) Glossary, Appendices, Appendix (Chapter XII=Tablet XII). A line-by-line translation (Chapters I-XI).
  • Ferry, David (1993). Gilgamesh: A New Rendering in English Verse. New York: Farrar, Straus and Giroux. ISBN 0-374-52383-5.
  • Jackson, Danny (1997). The Epic of Gilgamesh. Wauconda, IL: Bolchazy-Carducci Publishers. ISBN 0-86516-352-9.
  • Parpola, Simo, with Mikko Luuko, and Kalle Fabritius (1997). The Standard Babylonian, Epic of Gilgamesh. The Neo-Assyrian Text Corpus Project. ISBN 951-45-7760-4.CS1 maint: multiple names: authors list (link): (Volume 1) in the original Akkadian cuneiform and transliteration; commentary and glossary are in English
  • George, Andrew R., trans. & edit. (2000). The Epic of Gilgamesh; The Babylonian Epic Poem and Other Texts in Akkadian and Sumerian. England: Penguin. ISBN 0-14-044721-0.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  • Foster, Benjamin R., trans. & edit. (2001). The Epic of Gilgamesh. New York: W.W. Norton & Company. ISBN 0-393-97516-9.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  • George, Andrew R., trans. & edit. (2003). The Babylonian Gilgamesh Epic: Critical Edition and Cuneiform Texts. England: Oxford University Press. ISBN 0-19-814922-0.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  • Mitchell, Stephen (2004). Gilgamesh: A New English Version. New York: Free Press. ISBN 0-7432-6164-X.

Analisa Epik sunting

Pautan luar sunting