Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak

Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak merupakan sebuah gerakan di Sarawak yang memerangi percubaan kerajaan British untuk memerintah Sarawak sebagai jajahan mahkota dan bukannya sebagai sebuah protektorat yang diperintah oleh Raja Putih. Pergerakan ini berlangsung dari 1 Julai 1946 hingga Mac 1950.[1]

Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak
Sebahagian daripada Sejarah Malaysia dan Darurat Tanah Melayu

Demonstrasi Sarawak terhadap British. Foto ini kemudiannya menjadi tanda dagangan Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak.
Lokasi
Sarawak (kini sebahagian dari Malaysia)
Keputusan
  • Pembunuhan Gabenor kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart, pada 1949.
  • 338 orang pekerja awam, kebanyakannya guru, meletak jawatan.
  • Penutupan lebih daripada 22 buah sekolah di Sarawak.
  • 56 orang pelajar memberhentikan pengajian mereka di Maktab Perguruan Melayu Sarawak.
  • Semua persatuan anti-penyerahan telah dibubarkan oleh pihak berkuasa Britain.
  • Pemerintahan kolonial berlanjutan sehingga 16 September 1963.
Pihak yang terlibat

Penduduk Sarawak
(kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu dan kaum Iban termasuk Abang Haji Abdillah, Lily Eberwein dan Rosli Dhobi)

 United Kingdom
Young Malay Association (YMA)
Komandan dan pemimpin
Anthony Brooke
Abang Haji Abdillah
Lily Eberwein
Rosli Dhobi
Charles Arden-Clarke
Duncan George Stewart 

Faktor sunting

Pergerakan menentang penyerahan Sarawak timbul daripada pelanggaran peruntukan dalam Perlembagaan Sarawak 1941, yang menetapkan bahawa Raja Charles Vyner Brooke akan menjanjikan pemerintahan sendiri kepada Sarawak. Namun demikian, beliau memutuskan untuk menyerahkannya kepada British sebagai jajahan mahkota pada 8 Februari 1946.[2] Selain itu, rakyat Sarawak pada masa tersebut percaya bahawa pemerintahan keluarga Brooke dijangka dapat memudahkan usaha kepada kemerdekaan Sarawak, namun anak saudara Raja Charles Vyner Brooke, Anthony Brooke tidak pula dilantik sebagai Raja yang berikutnya.[3] Keadaan ini akan menyukarkan proses kemerdekaan sekiranya Sarawak berjaya diserahkan kepada British. Di samping itu, keputusan itu diambil tanpa persetujuan orang asli. British sememangnya telah membincangkan hal tersebut dengan orang tempatan, tetapi tetap mengisytiharkan Sarawak sebagai Jajahan Mahkota British pada 1 Julai 1946, dengan sokongan daripada pegawai British dan penduduk bukan asli.[4]

Gambaran keseluruhan pergerakan sunting

Ramai orang Melayu mengikuti Datu Patinggi Abang Haji Abdillah dan Datu Patinggi Haji Mohammad Kassim dalam memerangi penyerahan Sarawak kepada British. Banyak persatuan tempatan yang lain, seperti Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), turut mengambil bahagian dalam gerakan tersebut.[5] Anggota-anggota gerakan itu telah menghantar telegram dan surat bantahan kepada Pejabat Kolonial di London. Mereka juga telah memaparkan poster anti-penyerahan di semua kampung di seluruh Sarawak, dan penduduk tempatan, termasuk wanita, turut mengadakan demonstrasi menentangnya.[6] Walau bagaimanapun, apabila pihak berkuasa mendapati bahawa sebahagian besar anggota gerakan itu ialah kakitangan awam, Surat Pekeliling No.9 dikeluarkan dan ditandatangani oleh C. W. Dawson pada 31 Disember 1946, untuk memberi amaran kepada penjawat awam agar tidak mengambil bahagian dalam gerakan anti-penyerahan kerana boleh menyebabkan mereka dibuang kerja. Akibat rasa tidak puas hati, seramai 338 orang pekerja awam, kebanyakannya guru, meletak jawatan pada 2 April 1947 sebagai tanda protes terhadap pekeliling itu. Peletakan jawatan ini memaksa penutupan lebih daripada 22 buah sekolah di Sarawak. Seramai 56 orang pelajar Maktab Perguruan Melayu Sarawak juga memberhentikan pengajian mereka untuk mengecam pekeliling tersebut.[7] Pada 1 Julai 1947, perhimpunan terbesar telah diadakan, ketika kerajaan British melantik Sir Charles Arden-Clarke, bekas Pesuruhjaya Residen Bechuanaland (sekarang Botswana) sebagai Gabenor pertama Tanah Jajahan Mahkota Sarawak British.[8] Perhimpunan tersebut telah disertai Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Barisan Pemuda Melayu Sibu (BPM) dan Persatuan Dayak Sarawak (PDS). Mulai tarikh itu, demonstrasi semakin meningkat.[9]

Kerajaan British, yang ingin menamatkan gerakan anti-penyerahan, cuba mengganggu hubungan erat antara orang Melayu dengan masyarakat orang asli Dayak. Mereka juga cuba melemahkan gerakan itu dengan mengatakan bahawa kolonisasi Sarawak adalah bertujuan untuk membawa kehidupan yang lebih baik kepada orang Melayu dan menggalakkan pembentukan Young Malay Association (YMA), yang menyokong penyerahan Sarawak kepada British. Ahli-ahli YMA dipilih secara rawak dari golongan anti-penyerahan dan sekiranya mereka enggan menyertai persatuan tersebut, mereka mendapat ugutan seperti anak-anak mereka tidak dapat menghadiri sekolah atau bekerja di perkhidmatan awam. Kerajaan British juga meneruskan peperangan psikologi seperti propaganda untuk menentang gerakan anti-penyerahan, menyebabkan gerakan tersebut semakin lemah sejak Disember 1947.[10]

Setelah percubaan menentang penyerahan tersebut gagal, tiga belas anggota radikal Pergerakan Pemuda Melayu Sibu membentuk sebuah organisasi rahsia bernama Rukun 13. Organisasi ini bertujuan untuk menghapuskan semua pegawai Eropah dan Melayu yang menyokong pemerintahan British di Sarawak. Gerakan anti-penyerahan itu mencapai kemuncak apabila Gabenor kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart telah dibunuh oleh anggota Rukun 13 iaitu Rosli Dhobi dan Awang Ramli Amit Mohd Deli, bersama-sama dengan bukan ahli, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong, ketika Sir Duncan Stewart tiba di Sibu pada 3 Disember 1949. Beliau meninggal dunia di Hospital Besar Singapura seminggu kemudian. Insiden ini menyebabkan kerajaan British berusaha untuk menumpaskan gerakan anti-penyerahan Sarawak dengan apa cara sekalipun dan mengukuhkan penguasaannya ke atas Sarawak secara mutlak. Kesemua ahli Rukun 13 ditahan pada bulan Mac 1950. Keempat-empat nasionalis yang terlibat dalam pembunuhan itu dijatuhi hukuman mati manakala anggota Rukun 13 yang selebihnya dipenjarakan. Selepas berakhirnya gerakan tersebut, British memerintah Sarawak dari tahun 1950 hingga pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.[11]

Rujukan sunting

  1. ^ "Pergerakan Anti-Cession". Unofficial PKMS website. 21 October 2009. (Melayu)
  2. ^ "Sarawak C.V.Booke White Rajah". CACHE Historical and World Coins.
  3. ^ "SARAWAK: End of Absolutism". Time. 6 October 1941. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-10-22. Dicapai pada 2017-08-27.
  4. ^ Reece 1993, p. 72.
  5. ^ "Sejarah PKMS". Unofficial PKMS website. 18 October 2009. (Melayu)
  6. ^ Sarawak, Sejarah (9 June 2010). "Pergerakan Anti-Cession - Bermulanya perjuangan dan penentangan Cession". (Melayu)
  7. ^ "Circular No 9". Unofficial PKMS website. 22 October 2009. (Melayu)
  8. ^ Perjuangan anti-cession Sarawak books.
  9. ^ https://books.google.com.my/books/about/Sejarah_Malaysia_Wacana_Kedaulatan_Bangs.html?id=-SiNDAAAQBAJ&redir_esc=y
  10. ^ Achie, Nordi. "Petualang Dan Pensubahat British: Satu Penelitian Terhadap Pemikiran Intelektual Melayu Antipenyerahan Di Sarawak, 1946-1950" (PDF). Universiti Malaysia Sabah.[pautan mati kekal] (Melayu)
  11. ^ Rosli Dhoby - Pejuang Atau Pembunuh). Documentary on Rosli Dhobi, broadcast by Astro Prima. (Melayu)