Gnostikisme (dari bahasa Yunani gnōsis, pengetahuan) merujuk kepada pelbagai gerakan keagamaan sinkretistik yang mengandungi pelbagai sistem kepercayaan umumnya disatukan dalam ajaran yang menyatakan bahawa manusia adalah roh ketuhanan yang terperangkap di dalam dunia kebendaan yang dicipta oleh semangat yang tidak sempurna bergelar demiurge yang kerap kali disamakan dengan Tuhan dalam ajaran Nabi Ibrahim. Demiurge digambarkan sebagai penjelmaan Iblis (kejahatan), atau cuma sebagai kewujudan yang tidak sempurna dan sebagai kewujudan yang baik dalam lingkungan kekurangannya. Demiurge ini wujud di samping Zat yang Agung yang menjelmakan kebaikan. Untuk membebaskan diri seseorang daripada dunia material yang hina ini, seseorang memerlukan gnosis, atau pengetahuan rohani yang esoterik yang hanya dimiliki oleh golongan elit yang terpelajar. Jesus dari Nazareth disamakan oleh sesetengah mazhab Gnostik sebagai penjelmaan zat yang agung yang dijelmakan untuk membawa gnosis kepada bumi ini.

Gnostikisme popular di kawasan-kawasan Mediterranean dan Timur Tengah dalam kurun-kurun pertama Sebelum Masihi, tetapi ditekan dan ditindas sebagai satu kesesatan dualistik di kawasan-kawasan yang dikuasai Empayar Rom ketika agama Kristian menjadi agama negaranya pada kurun ke-4. Kemasukan ke dalam agama Islam mengurangkan dengan mendadak saki-baki Gnostik sepanjang Zaman Pertengahan, walaupun sebilangan kecil komuniti terpencil terus wujud sehingga sekarang. Idea-idea Gnostik mempengaruhi falsafah pelbagai pergerakan mistik yang esoterik pada lewat kurun ke-19 dan 20 di Eropah dan Amerika Utara, termasuklah sebahagian mereka yang secara terus-terang menyebutkan diri mereka sebagai kebangkitan semula malah kesinambungan kumpulan-kumpulan gnostik terdahulu.