Gunung Chamah merupakan sebuah gunung yang terletak di barat jajahan Gua Musang di Kelantan, Semenanjung Malaysia, berdekatan dengan sempadan negeri Perak. Berketinggian 2,171 m dari aras laut, Chamah merupakan gunung kedua tertinggi di Kelantan dan keenam tertinggi di semenanjung. Gunung Chamah terletak berhampiran dengan Gunung Shoid, Gunung Bilah, Gunung Ulu Sepat, Gunung Gerah, dan Gunung Bieh.[1]

Gunung Chamah
Pemandangan Banjaran Titiwangsa dari puncak Chamah
Titik tertinggi
Ketinggian2,171 m (7,123 ka)
Geografi
LokasiJajahan Gua Musang, Kelantan
Induk banjaranBanjaran Titiwangsa

Gunung Chamah tergolong dalam kelompok G7, iaitu tujuh puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia[2] yang melebihi ketinggian 2,134 m (7,000 kaki) atas paras laut. Kecuali Gunung Tahan yang terletak di Banjaran Tahan, kesemuanya adalah terletak di sepanjang Banjaran Titiwangsa.

Chamah merupakan salah satu gunung yang jarang dikunjungi dan terokai. Tidak banyak kajian dijalankan di gunung ini. Selain daripada tinjauan awal yang terkini dijalankan oleh WWF-Malaysia, kajian yang paling saintifik setakat ini ke atas kawasan Gunung Chamah ialah ekspedisi yang di kendalikan oleh JPNK dengan kerjasama JPSM dari 24 – 29 July 2011. Ekspedisi saintifik ini disertai oleh ahli-ahli sains dan penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Sains Malaysia dan Universtiti Malaysia Sabah. Objektif ekspedisi tersebut adalah untuk menjalankan pemerhatian umum dan mengutip sampel/spesimen botanikal dan zologikal berkaitan kepelbagaian biologi dipersekitaran Gunung Chamah untuk kajian lanjut.

Gunung Chamah dipilih untuk ekspedisi disebabkan kedudukannya yang strategik diantara pergunungan Taman Negeri Gunung Stong di Kelantan dan Taman Negeri Royal Belum di Perak. Dari segi kedudukan geografinya, Chamah adalah sebahagian daripada koridor diantara ‘Lower Belum’ di Perak dan Lembah Nenggiri di Kelantan; satu kawasan yang masih diliputi hutan dan belum terusik. Tidak banyak yang diketahui berkenaan flora dan fauna gunung bagi kawasan tersebut tetapi secara lazimnya mungkin akan ada spesies endemik dan spesies yang jarang ditemui terdapat di persekitarannya. Kemungkinan terdapat badak Sumatra di kawasan tersebut adalah agak tinggi. Disebabkan lokasinya, hutan di Gunung Chamah adalah hutan dara, dengan petempatan terdekat terletak 40-50 kilometer dari tempat ini. Penggembaraan berjalan kaki memerlukan jurupandu yang berpengalaman. Hubungan tunggal dengan dunia luar adalah melalui perjalanan perahu selama tiga jam melalui Tasik Temenggor.

Tasik Temenggor dibentukkan pada tahun 1970-an ketika kerajaan Malaysia membina sebuah empangan di hulu Sungai Perak dan menenggelami sebahagian kawasan hutan. Masih terdapat banyak orang asli yang tinggal di hutan ini. Mereka menggunakan tasik ini sebagai jalan perhubungan yang menghubungkan bandar Grik dengan Pos Kemar.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting