Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013

Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 (singkatan, KL112 atau HKR112) ialah sebuah perhimpunan tunjuk perasaan yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 12 Januari 2013. Tunjuk perasaan ini dianjurkan oleh Pakatan Rakyat (PR) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia, dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai ketua. Tempat utama yang dipilih untuk tunjuk perasaan ini adalah Stadium Merdeka di Kuala Lumpur, tempat pengisytiharan kemerdekaan negara ini pada 1957.

Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 (HKR 112)
Tarikh12 Januari 2013
Lokasi
Matlamat
StatusBersurai
Tokoh dan pemimpin utama
Pemimpin Pakatan Rakyat
Anwar Ibrahim (PKR)
Abdul Hadi Awang (PAS)
Lim Kit Siang (DAP)
Korban
Tiada

Tujuannya menonjolkan beberapa perkara yang dianggap mereka sebagai isu besar semasa: soal Lynas, penyenaraian FELDA, royalti minyak, tuntutan BERSIH serta isu rasuah dan penyelewengan. Ia juga sempena pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir.[1]

Latar belakang sunting

Menurut aktivis sosial Hishamuddin Rais, bantahan terhadap kerajaan kali ini menggabungkan beberapa isu, antaranya:[2][1]

  • Menghentikan penapisan dan pemprosesan unsur nadir bumi yang dijalankan oleh Lynas di Kuantan, Pahang.
  • Melawan apa yang didakwa penipuan dalam pilihan raya umum oleh kerajaan Barisan Nasional.
  • Pembahagian yang adil dan pembayaran royalti minyak oleh kerajaan kepada negeri penghasil minyak, seperti Kelantan dan Terengganu.
  • Pendidikan percuma untuk semua warga Malaysia, khususnya penghapusan PTPTN.
  • Membantah penyenaraian Felda Global Ventures dalam Bursa Malaysia.

Gerakan pilihan raya adil atau BERSIH yang menjadi penganjur kepada beberapa tunjuk perasaan besar sebelum ini telah menyatakan bahawa mereka tidak terlibat secara langsung sebagai penganjur di perhimpunan kali ini.

Perhimpunan ini dianjurkan selepas lulusnya Akta Perhimpunan Aman 2011.[2]

Penganjuran sunting

Sikap pemerintah sunting

Polis Diraja Malaysia telah menyarankan penganjur untuk mengadakan rapat umum di Stadium Nasional Bukit Jalil, bukan di Stadium Merdeka.[3] Dalam persediaan menghadapi protes, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menutup Dataran Merdeka untuk mencegah pendemonstrasi untuk berkumpul di lokasi itu.[4] Pemerintah juga telah melarang pegawai kerajaan untuk menghadiri perhimpunan tersebut.[5] Banyak institut pendidikan tinggi negeri di Malaysia telah meminta kerajaan melarang mahasiswa dan pelajar untuk tidak menghadiri tunjuk perasaan tersebut.[6][7]

Pertubuhan bukan kerajaan sunting

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dan Badan Peguam Malaysia menghantar pemerhati ke perhimpunan ini.[8]

Perhimpunan sunting

 
Anwar Ibrahim sedang berucap pada KL112
 
Nurul Izzah Anwar sedang berucap pada KL112

Walaupun perhimpunan rasmi di stadium hanya bermula pada jam 2 petang, orang ramai sudah mula hadir di ibu kota seawal pagi. Ribuan orang hadir Solat Subuh di Masjid Negara.[9]

Para peserta kemudian berkumpul di beberapa lokasi di sekitar ibu negara sebelum bergerak beramai-ramai menuju Stadium Merdeka. Tiada sebarang sekatan dijalankan polis. Selain Masjid Negara, tempat berkumpul termasuklah Amcorp Mall PJ, Masjid Arrahman UM, Brickfields, KLCC, Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Pasar Seni dan Jalan Sultan.[10] Para peserta memakai baju dengan berbagai-bagai warna mengikut tema yang dipilih atau isu yang disokong.[11] Empat warna tema utama ialah kuning (BERSIH), hijau (anti Lynas), oren (ANAK FELDA) dan merah (royalti minyak).[12]

Di stadium, peserta yang tiba awal menunaikan solat Zohor di tengah padang. Selepas nyanyian Lagu Negaraku, perhimpunan rasmi bermula dengan ucapan beberapa wakil NGO diikuti pimpinan PR. Antaranya wakil GMI, orang asal, BERSIH 2.0, ANAK, SMM dan Himpunan Hijau. Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyampaikan sajak bertajuk "Di atas padang sejarah". Seterusnya Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu merangkap pengarah HKR berucap. Beliau diikuti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Acara seterusnya ialah bacaan ikrar 'deklarasi rakyat' yang dipimpin Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan bacaan doa yang dipimpin Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Laungan azan Asar dan nyanyian Lagu Negaraku menjadi penutup kepada himpunan bersejarah ini.[13]

Para peserta yang tidak dapat masuk ke stadium kerana penuh mendengar ucapan dari luar stadium. Peniaga yang membuka gerai di perkarangan stadium dilaporkan mencatatkan untung besar.[14][15] Kebanyakan premis restoran dan warung tepi jalan turut laku.[16]

Polis pada awalnya menganggarkan seramai 80,000 orang hadir ke stadium, namun kemudian mengubahnya kepada 45,000 orang sahaja. Badan Peguam Malaysia pula menganggarkan jumlah orang yang terlibat ialah antara 70,000 hingga 100,000 orang.[1] Manakala para penganjur mendakwa jumlah semua peserta yang turun ke Kuala Lumpur mencapai 500,000 orang.[17]

Kronologi sunting

Berikut adalah kronologi Himpunan Kebangkitan Rakyat (KL112) yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada petang Sabtu 12 Januari 2013.[18] (Susunan paparan kronologi bermula dari bawah ke atas)

  • 4.50 petang: Perhimpunan tamat dengan nyanyian lagu Negaraku. Peserta Himpunan yang beragama Islam menunaikan solat Asar berjamaah.
  • 4.15 petang: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ucapan. Anwar menutup ucapan dengan laungan "Merdeka" dan disambut "Rakyat" sebanyak tujuh kali mengulangi sejarah perisytiharan merdeka di tempat sama pada tanggal 31 Ogos 1957 dahulu.[19]
  • 3.35 petang: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi ucapan.
  • 3.13 petang: Sasterawan negara, Datuk A. Samad Said tampil membacakan puisi bertajuk 'Di atas Padang Sejarah'.
  • 3.06 petang: Vokalis kumpulan Blues Gang, Ito tampil menyanyikan lagu bertajuk 'Ubah Sekarang'.
  • 2.38 petang: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Stadium Merdeka.
  • 2.11 petang: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali tiba di Stadium Merdeka.
  • 1.51 petang: Ratus ribu peserta KL112 membanjiri Stadium Merdeka. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memulakan ucapan.
  • Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku.
  • 1.24 petang: Azan Zohor berkumandang di Stadium Merdeka. Sebahagian peserta yang beragama Islam, menunaikan solat Zohor berjamaah. Separuh stadium sudah dipenuhi dengan para peserta KL112.
  • 1.17 petang: Peserta dari Jalan Sultan meneruskan perjalanan ke Stadium Merdeka.
  • 1.14 petang: Fuziah Salleh berucap di hadapan peserta di depan Stadium Bola Keranjang. Dalam ucapannya, beliau berkata, perhimpunan itu dianjurkan bertujuan untuk menuntut sistem pentadbiran kerajaan yang adil. Ini termasuk tuntutan agar kerajaan menghentikan projek Lynas, di Gebeng, Kuantan, selain memberi royalti minyak dan memastikan sistem pilihan raya yang bersih dan adil. Beliau turut menggesa agar semua rakyat turun mengundi pada PRU-13 nanti jika menginginkan perubahan.
  • 1.00 petang: Peserta KL112 diminta duduk di jalan berhadapan dengan Stadium Bola Keranjang.
  • 12.52 tengah hari: Kumpulan peserta KL112 mula bergerak ke Stadium Merdeka.
  • 12.45 tengah hari: Pemimpin pembangkang dan NGO berucap di hadapan peserta KL112 di Jalan Sultan sebelum bergerak ke Stadium Merdeka.
  • 12.20 tengah hari: Hujan renyai-renyai di Jalan Tun Sambathan. Peserta tetap meneruskan perjalanan ke Stadium Merdeka.
  • 12.15 tengah hari: Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw tiba menyertai peserta di Jalan Sultan.
  • Peserta berkumpul di jalan menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Sultan.
  • 12.10 tengah hari: Unit Amal PAS menunggu di Little India, Brickfields untuk bergabung dengan kumpulan peserta dari Amcorp Mall sebelum menuju ke Stadium Merdeka. Keadaan trafik sesak.
  • 12.08 tengah hari: Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Teck berucap menggunakan pembesar suara di hadapan peserta yang berkumpul di Jalan Sultan.
  • 12.02 tengah hari: Peserta KL112 yang berkumpul di Jalan Sultan menyanyikan lagu 'Rasa Sayang' beramai-ramai.
  • 11.50 pagi: Jumlah penyokong bertambah dan membanjiri Jalan Sultan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
  • 11.14 pagi: Kumpulan peserta melepasi Dataran Maybank, Bangsar. Polis trafik mengawal lalu lintas.
  • 11.25 pagi: Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh tiba di Jalan Sultan. Menurut beliau, kumpulan penyokong KL112 di Jalan Sultan akan bergerak menuju ke Stadium Merdeka kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
  • 11.00 pagi: Kumpulan peserta KL112 semakin ramai di sepanjang Jalan Bangsar. Mereka bergerak menuju ke Brickfields. Kumpulan mahasiswa turut kelihatan. Trafik sedikit sesak namun masih terkawal. Kelihatan juga pegawai pemerhati daripada Majlis Peguam ditempatkan.
  • 10.35 pagi: Kumpulan peserta KL112 dari Amcorp Mall bergabung dengan kumpulan peserta yang berkumpul di Universiti Malaya.
  • 10.20 pagi: Kumpulan peserta mula memasuki Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur. Mereka berjalan di lorong kecemasan. Keadaan trafik lancar.
  • 10.05 pagi: Pasukan Unit Amal PAS mula membuat kawalan di sekitar Jalan Sultan. Jumlah peserta himpunan semakin bertambah.
  • 10.05 pagi: Peserta mula berjalan menuju ke Universiti Malaya (UM) secara berpasangan. Keadaan terkawal.
  • 10.00 pagi: Jumlah penyokong KL112 di Jalan Sultan semakin bertambah. Suasana sekitar kawasan bising dengan tiupan "vuvuzela".
  • 9.00 pagi: Peserta perhimpunan berkumpul di Amcorp Mall, Petaling Jaya untuk berarak ke Stadium Merdeka pada pukul 10 pagi. Peserta terdiri daripada anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan orang awam, antara yang berjalan bersama kumpulan ini termasuk Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
  • 8.45 pagi: Sekumpulan penyokong KL112 dari Johor mula berkumpul di Jalan Sultan berhadapan dengan Kompleks Selangor.

Reaksi sunting

Perhimpunan berjalan dengan aman. Pasukan Simpanan Persekutuan tidak hadir, hanya polis yang membantu melancarkan trafik.[4][20] Pihak polis dipuji kerana tiada sebarang kekacauan berlaku.[15][21][22]

Perhimpunan ini boleh dikatakan tidak mendapat liputan media utama Malaysia. Reaksi hanya muncul selepas tamat perhimpunan.[15][23] Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan parti pemerintah telah membawa keamanan dan kemakmuran kepada semua rakyat, maka tiada perubahan diperlukan.[24][25] Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyatakan perhimpunan ini aman hasil daripada pelan transformasi Perdana Menteri. Ini dipersetujui ketua Belia MCA Datuk Dr Wee Ka Siong.[26] Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata perhimpunan itu bukti kerajaan menunaikan janji dan Akta Perhimpunan Aman adil untuk semua lapisan masyarakat.[27]

Pihak polis membuka kertas siasatan berhubung pelanggaran tiga daripada 27 syarat perhimpunan yang dipersetujui penganjur dan polis, mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perhimpunan Aman. Tiga syarat itu ialah larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun; membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan yang melebihi 30,000 orang di stadium.[28]

Galeri sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b c Nasrudin Hassan (10 Januari 2013). "Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 – Himpunan Sejuta Rakyat". HarakahDaily. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-01-13. Dicapai pada 13 Januari 2013. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Nasrudin15832" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  2. ^ a b January rally to go on even without permit, says activist Diarkibkan 2013-02-16 di archive.today The Malaysian Insider, 13 Januari 2013
  3. ^ In about-turn, cops say use Bukit Jalil stadium instead Malaysiakini, 10 Januari 2013
  4. ^ a b Dataran closed ahead of rally, no FRU deployment Free Malaysia Today, 13 Januari 2012
  5. ^ Civil servants advised against joining the rally tomorrow Diarkibkan 2014-10-23 di Wayback Machine The Malaysian Insider, 11 Januari 2012
  6. ^ Varsities discourage students from tomorrow's rally Malaysiakini, 11 Januari 2013
  7. ^ Teachers, students warned to avoid Saturday rally Malaysiakini, 11 Januari 2012
  8. ^ Suhakam, Bar Council to monitor rally Free Malaysia Today. 11 Januari 2013.
  9. ^ HKR: Solat Subuh macam Jumaat di Masjid Negara Diarkibkan 2013-01-16 di Wayback Machine HarakahDaily. 12 Jan 2013.
  10. ^ Peserta HKL112 mula penuhi Stadium Merdeka Diarkibkan 2013-01-16 di Wayback Machine HarakahDaily. 12 Jan 2013.
  11. ^ Hundreds of thousands in Malaysia protest against government in buildup to elections The Philippine Star. 12 Jan 2013.
  12. ^ Himpunan 1 Juta Rakyat, 12 Jan di Stadium Merdeka (Video) Diarkibkan 2013-03-04 di Wayback Machine PAS Kawasan Putrajaya. 20 Disember 2012.
  13. ^ Azan Asar, tuntutan 10 perkara tutup HKR112 Diarkibkan 2013-01-13 di Wayback Machine HarakahDaily. 10 Jan 2013.
  14. ^ Peniaga untung besar di perkarangan stadium Diarkibkan 2013-01-16 di Wayback Machine HarakahDaily. 12 Jan 2013.
  15. ^ a b c "The winners and losers in KL112". Malaysiakini. 13 Januari 2013. Dicapai pada 14 Januari 2013.
  16. ^ HKR: Peniaga untung, makanan ‘sold out’ KeadilanDaily.com. 12 Jan 2013.
  17. ^ Organisers of HKR#KL112 rally: Total crowd size was 500,000 Malaysia Chronicle. 12 Januari 2013.
  18. ^ "MStar Online - Kronologi Himpunan Kebangkitan Rakyat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-07-29. Dicapai pada 2021-08-21.
  19. ^ "Harakahdaily.net - Kejayaan himpunan lambang kebangkitan rakyat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-01-13. Dicapai pada 2013-01-13.
  20. ^ Akta Perhimpunan Aman 2012 Terbukti Berkesan - Tsu Koon mStar Online. 13 Januari 2013.
  21. ^ Polis sasar 'kecelakaan sifar' dalam himpunan 12 Jan Malaysiakini. 10 Jan 2013.
  22. ^ Police Should Be Praised For Handling Assembly Well - Lam Thye[pautan mati kekal] Bernama.com. 13 Jan 2013.
  23. ^ Mainstream media’s epic fail Diarkibkan 2013-01-15 di Wayback Machine The Malaysian Insider @ Sun Jan 13 2013.
  24. ^ Malaysia opposition holds mass election rally Al Jazeera English. 12 Jan 2013.
  25. ^ Malaysia defends poll setup after opposition rally The Hindu. 13 Jan 2013.
  26. ^ Khairy credits PM’s transformation plans for peaceful rally The Star Online. 13 Januari 2013.
  27. ^ Umno: #KL112 bukti kerajaan tunai janji Sinar Harian. 13 Januari 2013.
  28. ^ KL112: Polis Buka Kertas Siasatan Berhubung Langgar Tiga Syarat mStar Online. 13 Januari 2013.

Pautan luar sunting