Iklan (bahasa Inggeris: advertising) merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan serta memasarkan barangan dan produk, perkhidmatan, peluang pekerjaan, inspirasi dan maklumat bertajaan kepada masyarakat pengguna yang ingin disampaikan.[1] Ia dilihat sebagai sebahagian dari strategi promosi secara keseluruhan. Komponen lainnya dari promosi termasuk penghebahan, hubungan masyarakat, penjualan, dan promosi penjualan. Sejarah dan perkembanganya berkait rapat dengan penemuan terkini media massa. FOTO: yodobashi

Papan iklan sepanjang yodobashi jalanan Shinjuku, Tokyo, tahun 2005

Kata "iklan" meminjam Arab: إِعلَان, rumi: i`lān terbitan bentuk kata nama (ism) kata kerja أَعْلَنَ a`lana "mengumumkan; mengisytiharkan; memberitahukan" (أَظهَرَ‎)[2] juga ditafsirkan lanjutnya bermaksud "menjadi sesuatu diketahui umum" (make become publicly known).[3] Istilah ini diluaskan penggunaannya dalam Nusantara oleh Soedardjo Tjokrosisworo, seorang wartawan dan editor akhbar Indonesia pada tahun 1951 menggantikan kata sedia ada seperti "advertensi" (serapan bahasa Belanda advertentie).[4]

Sejarah sunting

Iklan tulis mula dikenali sejak zaman Yunani purba. Ketika itu, iklan mengandungi mengenai budak-budak yang melarikan diri dari tuannya atau mengenai penyelenggaraan perlawanan gladiator, pada masa ini iklan hanyalah berupa surat edaran. Beberapa masa selepas itu barulah muncul kaedah pengiklanan yang ditulis dengan tangan dan dengan kertas yang lebih besar di England.

Revolusi percetakan dan penciptaan alat cetak oleh Johannes Gutenberg pada 1440 merupakan peristiwa paling penting dalam permulaan kegiatan periklanan di dunia. Revolusi dan penciptaan ini membolehkan penerbitan iklan massa dalam bentuk poster bercetak, iklan akhbar, helaian dan bil. Iklan poster bercetak yang pertama diterbitkan pada 1472. Sementara iklan akhbar yang pertama muncul di London pada 1625; iklan pertama yang dicetak di England ditemui pada surat khabar Imperial Intelligencer Mac 1648. Akhbar-akhbar harian awal seperti Daily Courant, Revue, Examiner, Tatler dan Spectator di Barat menyiarkan pelbagai iklan barangan termasuk iklan kopi, coklat, teh, ubat-ubatan serta iklan peribadi.

Iklan pertama di Amerika Syarikat muncul pada 1704 dalam Boston Newsletter, manakala agen periklanan yang pertama ditubuhkan oleh Volney Palmer di Massachusetts. Beliau membeli ruang-ruang iklan daripada pemilik-pemilik akhbar pada kadar potongan dan kemudiannya menjual ruang-ruang itu kepada pengiklan dengan harga yang lebih tinggi. Pada waktu itu, para pengiklan biasanya menyediakan iklan mereka sendiri.

Pada 1890, syarikat N. W. Ayer & Son di Philadelphia menawarkan perkhidmatannya kepada para pengiklan sepertimana yang dilakukan oleh agensi-agensi periklanan masa kini. Manakala majalah pertama yang menerbitkan iklan ialah Southern Messenger pada Julai 1844. Pada 1848, Cyrus H.K. Curtis mengasaskan majalah Ladies Home Journal yang begitu bergantung kepada iklan untuk membiayai kos penerbitannya.

Pada 1920, iklan radio mula disiarkan di Pittsburgh, Pennsylvania, manakala iklan TV pertama kali disiarkan pada 1941. TV warna mula diperkenalkan pada 1955 dan iklan TV menjadi semakin penting kerana keupayaan televisyen menarik para penonton di rumah.

Sehingga dekad 1850-an, di Eropah iklan belum sepenuhnya dimuatkan di surat khabar. Kebanyakan masih berupa risalah. Iklan majalah pertama muncul dalam majalah Harper tahun 1864.

Jenis mengikut media sunting

Iklan secara asasnya boleh disampaikan menggunakan sebarang media. Tampalan kertas atau kain rentang berisi maklumat mengenai perkhidmatan atau barangan yang sedang dijual atau dihebahkan sudah dikira mengiklan.

Iklan kaedah lama (traditional advertising) sunting

  • Cetakan - melibatkan pengiklanan pada sebarang media yang dicetak seperti surat khabar atau majalah yang boleh dibeli dan dibaca. Ia boleh meliputi lingkungan yang luas (misalnya suatu akhbar liputan negara) mahupun terhad (misalnya majalah sesuatu hobi). Ada juga ruang khas yang disediakan dalam terbitan-terbitan ini untuk tujuan mengiklan secara bertulis dengan bayaran dikira pada setiap rangkap kata iaitu iklaneka.
  • Paparan luar - Papan iklan dan sepanduk merupakan contoh paling biasa digunakan untuk mengiklan di kawasan mudah lalu lalang orang seperti di jalan raya. Namun, ada juga yang menggunakan kapal udara dan pesawat yang boleh diterbangkan sambil membawa hebahan iklan ini.
  • Radio - iklan disiarkan dalam suatu stesen atau rangkaian radio yang dibayarkan pada suatu kadar khas untuk setiap slot dan waktu siaran diingini. Iklan jenis ini boleh disertakan dengan suatu bait muzik menarik perhatian iklan iaitu jingle.
  • Televisyen - pendekatan sama seperti sebelumnya tetapi melalui stesen televisyen. Ia mampu memakan kos yang sangat mahal lagi-lagi untuk iklan yang didasarkan pada waktu puncak banyak orang yang dijangka menonton seperti sesuatu perlawanan mahupun musim perayaan. Terdapat suatu jenis iklan ini yang dibikin khusus menyerupai rancangan televisyen biasa disebut infomercial.

Iklan menerapkan media baru sunting

Iklan jenis ini menerapkan Internet dan Jaringan Sejagat sebagai bahan perantara maklumat benda yang ingin diiklankan serta menarik pelanggan baharu.

Lihat juga sunting

Jenis pendekatan

Rujukan sunting

  1. ^ Palupi, Dyah Hasto & Teguh Sri Pambudi. 2006. Advertising that sells. Jakarta: Gramedia Pustaka Utama.
  2. ^ Abd. Rauf Dato' Haji Hassan; Abdul Halim Salleh; Khairul Amin Mohd Zain (2005). Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Arab Bahasa Arab-Bahasa Melayu. Shah Alam: Oxford Fajar. m/s. 256. ISBN 967-65-7321-3.
  3. ^ Lane, Edward William (1863). أعلن. Arabic-English Lexicon. London: Williams & Norgate. m/s. 2142.
  4. ^ Rendra Widyatama (2007). Pengantar Periklanan. Jogjakarta: Pustaka Book Publisher. m/s. 14.