Inai (Jawi: ايناي, ejaan lama ايني‎), daun laka (Maluku),[1] pacar jawa, pacar cina atau pacar kuku[1][2] merupakan sejenis pohon berbunga yang mana daunnya digunakan untuk mewarnai kulit badan manusia, rambut, kuku, barangan kulit (cth: beg, uncang, tali pinggang dsbnya) dan juga pewarna untuk kain. Nama saintifiknya Lawsonia inermis.[1]

Inai
Dahan pokok inai
Pengelasan saintifik
Alam:
Divisi:
Kelas:
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
L. inermis
Nama binomial
Lawsonia inermis

Botani sunting

Batangnya perdu menegak, ia boleh membesar sehingga ketinggian 2.6m. Dahan cabang-cabangnya sering berhujung runcing.[3] Dedaun pokok tumbuh setentang hadapan, berbentuk jorong dengan panjang antara 1.5-5.0 sm.[3]

Bunga-bunganya tumbuh di hujung cabang atau ketiak daun berukurang 4 – 20 cm panjang berwarna kuning muda atau merah jambu tua; bunga-bunga ini mengeluarkan bau sangat harum.[3] Buah hasil senyawaan berbentuk bulat atau pipih dengan garis tengah ±0.5 cm panjang.[3]

Inai ditanam secara komersial di negara-negara EAB, Maghribi, Algeria, Yaman, Tunisia, Libya, Arab Saudi, Mesir, barat India, Iraq, Iran, Pakistan, Bangladesh, Afghanistan, Turki, Somalia dan Sudan.

Hubungan dengan manusia sunting

Berinai dan kaitan sebagai simbol cinta sunting

Daun inai ditumbuk lumat dengan kapur atau gambir perahan air limau yang meninggalkan kesan berwarna merah jika dibiarkan lama, lumatan keringnya boleh dipakaikan mewarnakan kuku atau dicampur air untuk mewarnakan rambut.[3][1] Orang India secara tradisi menggunakan inai pada kuku untuk majlis perkahwinan. Orang Islam juga menggunakan inai untuk mewarnai rambut dan janggut sepertimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad. Ini merupakan amalan Sunnah dan sangat digalakkan. Diriwayatkan, baginda juga menggalakkan kaum wanita menggunakan inai ke atas kuku kerana ianya akan memudahkan atau membezakan pengenalan di antara tangan seorang perempuan dengan tangan lelaki.

Masyarakat Melayu mempunyai tiga acara berinai yang ditumpukan dalam sesebuah walimah: berinai curi sesama sanak saudari dan sahabat handai pengantin perempuan pada kelmarin hari sebelum bernikah, berinai kecil pada malam berikutnya secara terbuka pasangan bakal pengantin, dan berinai besar selepas upacara pernikahan di rumah keluarga pengantin lelaki.[4]

Kelaziman berinai dalam adat budaya setempat menguat sehinggakan kegiatan bertemu seseorang yang diinginkan sebagai pasangan diri ("berpacaran") malah kekasih (pacar) turut diungkapkan sedemikian. Patjar Merah, suatu watak cereka ciptaan Matu Mona dari siri roman senama lewat 1930-an adaptasi karya The Scarlet Pimpernel nukilan Emma Orczy yang turut didasarkan sosok tokoh Tan Malaka mendapat namanya kerana dia sering meninggalkan bunga inai yang menawan hati kekasihnya sambil meloloskan diri daripada polis.[5][6]

Tujuan lain sunting

Daun pacar kuku mengandung pigmen yang dapat diekstrak sebagai kristal berwarna kuning jingga, digunakan untuk mewarnai wul dan sutera.[3]

Ada beberapa masyarakat Melayu dalam kepulauan Indonesia yang dicatatkan menggunakan dahan rantingnya sebagai pencungkil gigi atau kayu sugi yang dikatakan tidak sahaja membersihkan malah menguatkan gigi digosok.[1]

Air seduhan daun inai diminum sebagai jamu menguruskan berat badan, bunganya dijadikan bedak berubat gatal.[1]

Galeri sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f Heyne, Karel (1913). De nuttige planten van Nederlandsch-Indië (dalam bahasa Belanda). Buitenzorg: Museum voor Economische Botanie. m/s. 336–7.
  2. ^ Rujuk:
    • Klinkert, H. C. (1930). "ڤاچر patjar". Nieuw Maleisch-Nederlandsch Woordenboek Met Arabisch Karakter. Brill Archive. m/s. 659-60.
    • Pijnappel, Jan (1875). "ڤاچر patjar". Maleisch-Hollandsch woordenboek. John Enschede en Zonen, Frederik Muller. m/s. 48.
  3. ^ a b c d e f Hassan Shadily (1984). Ensiklopedi Indonesia. Jakarta: Ichtiar Baru-Van Hoeve dan Elsevier Publishing Projects. m/s. 2498.
  4. ^ Asrina Tanuri; Nadya Suradi (Jul–Sep 2021). "Malay-Muslim Weddings: Keeping Up with the Times". BiblioAsia. Jil. 17 no. 2. National Library Board. m/s. 16–21.CS1 maint: date format (link)
  5. ^ Crawford, Oliver (7 Julai 2020). "That damned elusive pimpernel: Tan Malaka and the Patjar Merah stories". New Mandala. Australia National UniversityCoral Bell School of Asia Pacific Affairs.
  6. ^ Mrázek, Rudolf (2010). A Certain Age: Colonial Jakarta through the Memories of Its Intellectuals (dalam bahasa Inggeris). Duke University Press. m/s. 5, 254–5. ISBN 978-0-8223-4697-5.