Islam di Sri Lanka

Di Sri Lanka, Islam diamalkan oleh sekumpulan minoriti yang membentuk lebih kurang 8% penduduk. Masyarakat Islam terbahagi kepada tiga kumpulan etnik utama: Orang Moor Sri Lanka, Orang Moor India dan Orang Melayu, masing-masing memiliki sejarah dan tradisi tersendiri. Majoriti orang bukan Islam di Sri Lanka kerap menggunakan istilah "Muslim" sebagai sebuah kumpulan etnik, khasnya apabila merujuk pada orang Moor Sri Lanka.

Orang Moor Sri Lanka
Kawasan ramai penduduk
Sri Lanka, Timur Tengah
Bahasa
Sinhala, Tamil, Arwi, Arab, lain-lain
Agama
Islam
Jalur hijau pada bendera Sri Lanka melambangkan Islam dan kumpulan etnik Moor

Sejarah Islam di Sri Lanka sunting

Dengan kedatangan pedagang-pedagang Arab pada kurun ke-8, Islam mula berkembang mekar di Sri Lanka. Golongan pertama yang menganut agama Islam ialah para pedagang Arab dan isteri keturunan tempatan mereka yang dikahwini setelah memeluk Islam. Pada kurun ke-15, pedagang-pedagang Arab telah menguasai banyak perdagangan di Lautan Hindi termasuklah Sri Lanka. Ramai antara mereka yang bermastautin di pulau itu lalu menggalakkan penyebaran Islam. Bagaimana pun, apabila orang Portugis tiba pada kurun ke-16, ramai keturunan Muslim mereka (Orang Moor Sri Lanka) telah ditindas lalu memaksa mereka berhijrah ke Tanah Tinggi Tengah dan ke kawasan pantai timur negara itu.

Semasa kurun-kurun ke-18 dan 19, orang Islam Jawa dan Malaysia dibawa masuk oleh penjajah Belanda dan British lalu menyumbang kepada pertumbuhan populasi Muslim di Sri Lanka. Keturunan mereka, kini adalah orang Melayu Sri Lanka, menerima pakai beberapa tradisi Islam orang Moor Sri Lanka di samping juga menyumbang amalan budaya Islam mereka yang unik kepada kumpulan-kumpulan Muslim lain di pulau tersebut.

Kedatangan orang Islam dari India semasa kurun ke-19 dan 20 juga menyumbang kepada perkembangan Islam di Sri Lanka. Terutamanya orang Islam Pakistan dan India telah memperkenalkan Islam ala Syiah dan mazhab Hanafi ke dalam Sri Lanka walaupun kebanyakan orang Islam di pulau itu masih berpegang teguh pada amalan tradisional Islam Sunni.

Pada zaman moden ini, orang Islam di Sri Lanka dikendalikan oleh Jabatan Urusan Agama dan Budaya Orang Islam yang ditubuhkan pada tahun 1980-an untuk menghalang pengasingan berterusan komuniti orang Islam daripada kelompok lain. Hari ini, lebih kurang 8% orang Sri Lanka menganut agama Islam; kebanyakannya dari komuniti etnik keturunan Arab dan Melayu.

Orang Moor Sri Lanka sunting

 
Masjid di Galle

Orang Moor Sri Lanka membentuk 93% penduduk Islam dan 7% daripada jumlah keseluruhan penduduk negara tersebut. (1,404,534 orang pada tahun 2005). Kebanyakan mereka bermazhab Syafi'i. Dari sudut etimologi, istilah "Moor" pertama kali diguna pakai oleh orang Portugis yang melabel semua orang Islam sempena musuh mereka, orang Moor yang diperangi mereka di Semenanjung Iberia selama beberapa kurun. Orang Moor berketurunan pedagang-pedagang Arab yang menetap di Sri Lanka pada masa antara kurun ke-8 dan ke-15. Bahasa Arab yang dibawa oleh tentera-tentera upahan terawal tidak lagi ditutur oleh orang Moor, walaupun banyak perkataan dan frasa Arab masih dipakai dalam kegunaan harian. Pada masa lalu, orang Moor menggunakan bahasa Arwi sebagai bahasa ibunda mereka, walaupun bahasa ini tidak lagi menjadi bahasa pertuturan. Sejak kebelakangan ini, orang Moor Sri Lanka menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pertama yang mengandungi banyak perkataan pinjaman daripada bahasa Arab. Orang Moor juga fasih bertutur dalam bahasa Sinhala, satu bahasa Indo-Eropah yang ditutur oleh kelompok majoriti Sri Lanka, orang Sinhala.

Orang Moor Sri Lanka tinggal dalam kelompok masyarakat perdagangan pantai dan pertanian sambil memelihara warisan kebudayaan Islam mereka di samping menerima pakai banyak adat resam Asia Selatan. Semasa tempoh penjajahan orang Portugis, orang Moor menderita akibat penyeksaan, dan ramai yang berpindah ke Tanah Tinggi Tengah yang keturunan mereka masih wujud di sana.

Orang Moor pantai timur sunting

Di pantai timur, orang Moor Sri Lanka adalah petani, nelayan dan pedagang. Keluarga mereka bersusur galur melalui pihak wanita sebagaimana sistem hubungan kekeluargaan di negeri barat daya India, Kerala tetapi mentadbir masyarakat mereka melalui Syariat Islam.[1]

Orang Arab di Sri Lanka: Orang Moor Sri Lanka sunting

Orang Tamil Sri Lanka, sepanjang sejarah, cuba mengkelaskan orang Moor Sri Lanka sebagai bangsa Tamil. Kononnya cubaan ini dibuat sebahagian besarnya kerana sebab-sebab pentingkan diri sendiri dalam usaha menghalang masyarakat minoriti Islam daripada memiliki identitinya sendiri yang unik. Bagaimana pun, kerajaan Sri Lanka menganggap orang Islam sebagai keturunan Arab dan kumpulan etnik yang berbeza daripada orang Tamil.[2]

Cara Islam berkembang di Sri Lanka serupa dengan apa yang berlaku di pantai Malabar India. Tradisi mencatatkan bahawa orang Arab yang menetap di pantai Malabar biasa belayar dari pelabuhan Cranganore ke Sri Lanka untuk menziarahi apa yang dipercayai mereka sebagai bekas tapak kaki Nabi Adam a.s. di puncak sebuah gunung yang sehingga kini masih dipanggil sebagai Puncak Adam.[2]

Ibn Batuta, pengembara Arab terkenal kurun ke-14, mencatatkan banyak faset mengenai pengaruh Arab awal di Sri Lanka dalam catatan pengembaraannya.

 
Keluarga Moor tipikal kurun ke-19

Sebelum akhir kurun ke-7, sebuah koloni pedagang Islam telah tertubuh di Sri Lanka. Terpukau dengan keindahan pemandangan sekitar dan tertarik dengan tradisi yang dikaitkan dengan Puncak Adam, pedagang Islam tiba dalam jumlah yang besar dan sebahagian mereka mengambil keputusan untuk menetap di pulau yang digalakkan dengan layanan mesra yang diterima mereka daripada pemerintah tempatan. Kebanyakan mereka tinggal di sepanjang kawasan pantai dengan aman dan makmur sambil mengekalkan hubungan budaya dan komersial dengan Baghdad dan bandar-bandar Islam yang lain.[2]

Menurut Tikiri Abeyasinghe dalam Portuguese Rule in Ceylon, 1594-1612 (Pemerintahan Portugis di Ceylon, 1594-1612), m.s 192, tradisi menyatakan bahawa,

[...]para pengikut Muhammad Ceylon yang pertama ialah sekelompok orang Arab Bani Hashim yang diusir dari Tanah Arab pada awal kurun ke-8 oleh pemerintah tirani Khalifah Abd al-Malik ibn Marwan, dan mereka yang berasal dari selatan Sungai Furat lalu menetap di concan di bahagian selatan benua India, Pulau Ceylon dan Melaka. Sebahagian mereka yang datang ke Ceylon membentuk lapan buah penempatan besar di sepanjang pantai timur laut, utara dan barat pulau tersebut; yakni sebuah di Trincomalee, sebuah di Jaffna, sebuah di Colombo, sebuah di barbareen dan sebuah di Point de Galle.[...]

Jadi mungkin munasabah untuk menganggap bahawa orang Arab yang menganut agama Islam tiba di Sri Lanka sekitar kurun ke-7 atau ke-8 meskipun terdapat sebuah masyarakat Arab yang menetap di Sri Lanka sebelum kedatangan Islam.[2]

 
Taburan orang Moor di Sri Lanka berdasarkan bancian 1981 (Tulisan condong) dan 2001

Perkara yang membantu pertumbuhan petempatan adalah berbeza-beza. Kebanyakan golongan majoriti Sinhala lebih bergantung pada pertanian berbanding perdagangan, dengan demikian perdagangan terbuka luas kepada orang Islam. Raja-raja Sinhala menganggap petempatan orang Islam sesuatu yang menguntungkan mereka kerana hasil yang dibawa orang Islam kepada mereka melalui hubungan mereka di seberang laut dalam perdagangan dan politik. Toleransi agama yang ditunjukkan penduduk tempatan juga merupakan satu lagi faktor penting dalam perkembangan petempatan orang Islam di Sri Lanka.[2]

Petempatan orang Islam terawal sebahagian besarnya dibina di sekitar pelabuhan disebabkan tabiat semula jadi perdagangan mereka. Juga diperkirakan bahawa ramai pedagang Arab tidak membawa bersama kaum wanita apabila mereka menetap di Sri Lanka. Justeru itu, mereka terpaksa berkahwin dengan wanita Sinhala dan Tamil di pulau tersebut setelah membawa mereka kepada Islam. Hakikat bahawa sebilangan besar orang Islam di Sri Lanka bertutur dalam bahasa Tamil dapat dianggap berpunca daripada kebarangkalian bahawa mereka adalah rakan perdagangan bagi orang Tamil di India Selatan dan mempelajari bahasa Tamil untuk menjalankan perniagaan mereka. Integrasi dengan orang Islam Tamil Nadu di India Selatan mungkin juga menyumbang kepada perkara ini. Juga berkemungkinan bahawa orang Arab yang sudah pun berhijrah ke Sri Lanka sebelum kedatangan Islam telah menggunapakai bahasa Tamil sebagai medium komunikasi dalam pergaulan mereka dengan orang Islam India Selatan yang bertutur dalam bahasa Tamil. Orang Islam merupakan pedagang-pedagang yang amat berkemahiran yang secara perlahan-lahan membina sebuah pusat perdagangan yang sangat menguntungkan di Sri Lanka. Sebuah koloni orang Islam yang besar dikatakan bertapak di Beruwela (pantai barat laut) dalam Daerah Kalutara pada tahun 1024.[2]

Orang Islam tidak ghairah menyebarkan Islam di kalangan penduduk asal Sri Lanka meskipun ramai wanita Sinhala dan Tamil yang dikahwini mereka memeluk Islam.[2]

Terdapat juga sebuah laporan mengenai seorang pemerintah beragama Islam dalam sejarah Sri Lanka, Vathimi Raja yang berkuasa di Kurunegala pada kurun ke-14. Fakta ini tidak dapat ditemui di dalam buku-buku sejarah disebabkan perkara ini tidak dimasukkan oleh pengarang-pengarang moden bagi sebab-sebab yang tidak diketahui. Vathimi Raja ialah putera Raja Bhuvaneka Bahu I dengan seorang isteri beragama Islam, anak gadis salah seorang ketua puak. Putera Raja Bhuvaneka Bahu I yang berketurunan Sinhala, Parakrama Bahu III, pewaris takhta yang sebenar telah dimahkotakan di Dambadeniya dengan nama Pandita Parakrama Bahu III. Dia mengarahkan agar mata saudara tirinya, Vathimi Raja, dicungkil keluar supaya dia dapat menghapuskan saudara tirinya itu. Dipercayai bahawa pengarang Mahavamsa (sejarah Ceylon purba) telah menekan pencatatan insiden yang memalukan ini. Penterjemah British, Mudaliyar Wijesinghe menyatakan bahawa Ola (tulisan daun) yang asal telah dibuang secarabulat-bulat daripada penulisan-penulisan dan sebaliknya fiksyen yang dimasukkan. Vathimi Raja (Bhuvaneka Bahu II atau al-Konar, ringkasan daripada al-Langar-Konar yang bererti Ketua Lanka Alakeshwara) yang dibutakan itu telah dilihat oleh pengembara Arab Ibn Batutah semasa kunjungannya ke pulau tersebut pada tahun 1344. Anak beliau yang bernama Parakrama Bahu II (Alakeshwara II) juga adalah seorang Islam. Keturunan raja-raja Alakeshwara (yang berasal-usulkan Islam) berakhir pada tahun 1410. Walaupun semua raja-raja semasa kekuasaan ini mungkin bukan beragama Islam, ketiadaan awalan -Shri Sangha Bodhi- (merupakan sebahagian daripada anak murid Buddha) dalam nama raja-raja ini di atas inskripsi-inskripsi batu semasa tempoh 100 tahun ini mungkin dianggapkan sebagai petanda bahawa mereka tidak beragama Buddha. Lebih lanjut lagi, semasa kunjungan Ibn Batutah terhadap seorang pemerintah beragama Islam yang dipanggil Jalasthi dilaporkan memegang Colombo sambil mengekalkan pegangan beliau ke atas bandar itu dengan sebuah pasukan 500 orang Habsyi.[2]

Meskipun begitu, orang Islam sentiasa mengekalkan hubungan yang amat kukuh dengan kerabat diraja Sinhala dan penduduk tempatan. Terdapat bukti bahawa mereka lebih rapat dengan orang Sinhala berbanding orang Tamil. Hubungan orang Islam dengan raja-raja Sinhala bertambah kuat dan malah pada kurun ke-14 mereka berjuang bersama-sama raja-raja tersebut menentang kerajaan Tamil dan pengaruh maritimnya yang sedang meluas.[2]

Pada permulaan kurun ke-16, orang Islam Sri Lanka yang merupakan keturunan para pedagang Arab, telah menetap di pulau tersebut dengan selesa. Mereka amat berjaya dalam perdagangan dan perniagaan serta berintegrasi secara sosial dengan adat resam penduduk tempatan. Mereka menjadi kelompok masyarakat yang tidak dapat dipisahkan dan malah yang amat diperlukan. Tempoh ini adalah salah satu daripada kekuasaan dengan aman dan makmur bagi orang Islam Sri Lanka.[2]

Orang Melayu sunting

 
Seorang bapa dan anak Melayu Sri Lanka, kurun-19
Orang Melayu Sri Lanka
Kawasan ramai penduduk
Sri Lanka, lain-lain
Bahasa
Bahasa Melayu Kreol Sri Lanka, Bahasa Sinhala, lain-lain
Agama
Islam
 
Masjid Jami Ul Alfar di kawasan pettah, salah satu masjid tertua di Colombo

Orang Melayu Sri Lanka berasal daripada Asia Tenggara dan hari ini terdiri daripada 50,000 orang. Nenek moyang mereka datang ke negara tersebut ketika Sri Lanka dan Indonesia menjadi tanah jajahan Belanda. Kebanyakan pendatang Melayu terawal adalah tentera yang dihantar oleh pentadbir penjajah Belanda ke Sri Lanka yang kemudian mengambil keputusan untuk menetap di pulau tersebut. Pendatang lain adalah banduan atau anggota keluarga bangsawan dari Indonesia yang dibuang negeri ke situ. Sumber utama dalam mengekalkan identiti Melayu ialah bahasa Melayu yang menyerap beberapa perkataan daripada bahasa Sinhala dan varian Moor bahasa Tamil. Pada tahun 1980-an, orang Melayu membentuk 5% bagi penduduk Islam di Sri Lanka. Seperti orang Moor Sri Lanka, mereka bermazhab Syafi'i.

Orang Moor India (Memon, Bhora, Khoja) sunting

Orang Moor India ialah orang Islam yang berketurunan pendatang-pendatang yang mencari peluang perniagaan semasa zaman kolonial. Sebahagian mereka datang ke negara ini seawal zaman Portugis; yang lainnya tiba semasa zaman British dari pelbagai tempat di India. Majoriti daripada mereka datang dari negeri-negeri seperti Tamil Nadu dan Kerala, dan tidak seperti orang Moor Sri Lanka, adalah berkait secara etnik dengan orang India Selatan. Orang Memon, yang pada asalnya dari Sindh, pertama kali tiba pada tahun 1870; pada tahun 1980-an bilangan mereka hanyalah 3000 orang, kebanyakan mereka bermazhab Hanafi.

Orang Bohra Dawoodi dan orang Khoja adalah orang Syiah yang datang dari barat daya India (Gujarat) selepas tahun 1880; pada tahun 1980-an bilangan mereka secara kolektif adalah kurang daripada 2000 orang. Kumpulan-kumpulan ini cenderung kepada mengekalkan rumah ibadat dan bahasa tanah air nenek moyang mereka.

Kemasukan ke dalam Islam sunting

Kebanyakan orang Islam Sri Lanka secara relatifnya tidak aktif dalam menyebarkan Islam di kalangan penduduk majoriti dan agak kekal mengasingkan diri.[2]

Walau bagaimana pun, sekarang terdapat peningkatan stabil dalam bilangan pemeluk Islam. Saudara-saudara baru ini kebanyakannya datang daripada masyarakat Sinhala yang beragama Buddha, masyarakat Tamil yang beragama Hindu dan komuniti Katolik Rom.[3]

Catatan sunting

  1. ^ "Kmaraikayar". Dicapai pada 2007-07-02.
  2. ^ a b c d e f g h i j k "The Muslims and Sri Lanka". Mission Islam. Dicapai pada 2007-07-04. |first= missing |last= (bantuan)
  3. ^ "30-Days Muslim Prayer Focus". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-01-05. Dicapai pada 2007-12-30.

Rujukan sunting

  • Pieris, Kamalika. The Muslims and Sri Lanka.[1].Mission Islam, 2006.

Pautan luar sunting