James Peter Ongkili

Datuk Dr. James Peter Ongkili (1939-2006) merupakan ahli politik Malaysia yang berasal dari Sabah. Beliau merupakan bekas Menteri Kehakiman Malaysia dan Timbalan Ketua Menteri Sabah. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tuaran dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah untuk kawasan Tamparuli.

Yang Berbahagia Datuk Dr.

James Peter Ongkili

Anggota Parlimen Malaysia
untuk Tuaran
Dalam jawatan
1978–1986
Didahului olehBuja Gumbilai
Digantikan olehKalakau Untol
Anggota Dewan Undangan
untuk Tamparuli
Dalam jawatan
1976–1983
Didahului olehKawasan Pilihan Raya Baru
Digantikan olehClarence Elong Mansul
Butiran peribadi
LahirJames Peter Julitih Ongliki
(1939-03-13)13 Mac 1939
Kampung Karanaan, Tambunan, Borneo Utara
Meninggal dunia20 Mac 2006(2006-03-20) (umur 67)
Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah
KewarganegaraanMalaysia
Parti politikBERJAYA (till 1988)
PRS (1988-1991)
PBS 1991-2006)
PasanganMargaret Ganduong Ahing
Alma materUniversity of Queensland
Universiti Malaya
PekerjaanAhli Politik


Biodata sunting

Dr. James dilahirkan pada 13 Mac 1939 di Kampung Karanaan, Tambunan, Sabah. Isterinya, Datin Margaret Ganduong Ahing (lahir 1937) yang berketurunan Dusun Lotud berasal dari daerah kecil Kiulu, Tuaran dan mereka mempunyai 6 anak iaitu Dr. David, Dr. Jimmy (James Albert, Jr), Judith, Julia, Paul Martin dan Mark Moses.

Adiknya, Datuk Dr. Maximus Ongkili pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Semasa kecil, beliau bersekolah di Sekolah Rendah St. Theresa Tondulu dan juga Sekolah Menengah St. Martin Tampasak di Tambunan dari Darjah Satu sehingga Tingkatan Tiga, lalu melanjutkan pendidikan menengah atasnya di Sekolah Menengah St. Francis Xavier, Keningau.

Kemudian, beliau menuntut pendidikan tingkatan enamnya di Sekolah Menengah La Salle Tanjung Aru, Kota Kinabalu lalu melanjutkan pengajiannya ke tahap sarjana muda (BA Hons) di Universiti Queensland, Brisbane, Australia. Kemudian, beliau menamatkan pengajiannya ke tahap Ph.D di Universiti Malaya setelah menulis tesis Nationalisme di Malaysia.

Selepas tamat pengajian, Dr. James menyertai perkhidmatan awam negeri Sabah dan berkhidmat sebagai pegawai daerah di Kinabatangan dan Keningau pada 1967 dan 1969.

Dari Januari 1969 hingga Mac 1976, beliau menjadi pensyarah di Universiti Malaya.

Politik sunting

Pada April 1976, Dr. James bertanding dan menang besar di kawasan Tamparuli atas tiket Berjaya. Oleh itu beliau dilantik serbagai Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah pada 20 April 1976.

Dr. James dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah untuk kuota Bumiputera Kadazandusun Murut (Bukan Islam) merangkap Menteri Industri dan Pembangunan Desa pada 17 Julai 1976. Dianugerah Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk (Dato') oleh Sultan Pahang pada 23 Oktober 1976 dan lima bulan kemudian, beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden Parti Berjaya pada 18 Mac 1977.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1978, Dr. James bertanding di kawasan parlimen Tuaran. Beliau menang kerusi negeri Tamparuli dalam pilihan raya 1981 dengan majoriti 2,559 undi. Beliau terus menjadi Timbalan Ketua Menteri sehingga rombakan selepas pilihan raya pada April 1981.

Dr. James dilantik oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2 Jun 1983. Selepas itu beliau tidak bertanding di DUN Tamparuli. Beliau dilantik sebagai Menteri Kehakiman dalam rombakan kabinet pada 14 Julai 1984.

Beliau bersara dari politik pada Julai 1986 dan tidak dicalonkan oleh parti Berjaya untuk kerusi parlimen Tuaran. Pada Mei 1988, beliau mengundurkan diri dari parti Berjaya. Dua bulan kemudian iaitu pada Julai 1988, beliau mengasaskan Parti Rakyat Sabah (PRS) dan menjadi presiden pertama.

Pada Julai 1990, beliau kalah bertanding di kerusi DUN Tamparuli atas tiket PRS. Beliau dikalahkan oleh Datuk Wilfred Bumburing dari Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dipimpin oleh bapa saudaranya, Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan. Pada 1 Ogos 1990 beliau mengumumkan berhenti menjadi presiden PRS dan arena politik tetapi menyertai Parti Bersatu Sabah pada Mac 1991 di kawasan DUN Tamparuli.

Beliau menyumbang kepada penulisan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia dan salah satu pencetus idea Wawasan 2020. Dr. James mengkaji sejarah negara, pembinaan negara Malaysia dan hubungan etnik.

Bekas setiausaha akhbar beliau, Datuk Almain Ajirul yang menjadi Pengarah Penerangan Sabah (kini bersara) menganggap Dr. James sebagai seorang yang bekerja kuat.

Meninggal dunia sunting

Beliau menderita sakit dan menggunakan kerusi roda selama 10 tahun kerana masalah angin ahmar peringkat 3.

Bagi mengatasi penyakitnya, beliau mengambil 6 jenis ubat sehingga serangan strok pertama berjaya diatasi. Semasa terkesan serangan kedua dia masih boleh berjalan, tetapi mulai serangan ketiga, beliau terus lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Beliau meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada 20 Mac ketika berusia 67 tahun (iaitu seminggu selepas menyambut ulangtahun kelahirannya buat kali terakhir pada 13 Mac). Upacara pengkebumian beliau telah diadakan di Gereja Katolik St. John, Tuaran pada 22 Mac dan jasad beliau selamat dikebumikan di tapak perkuburan peribadi milik keluarganya yang terletak di halaman rumah kediamannya yang bernama Villa Bukit Aman Kiulu, Tamparuli, Tuaran, Sabah.[1]

Rujukan sunting

  1. ^ "Former Sabah Deputy Chief Minister Dies". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-07-09. Dicapai pada 2008-10-29.

Pautan luar sunting