John Logie Baird (13 Ogos 1888 – 14 Jun 1946) ialah seorang jurutera berbangsa Scotland yang terkenal kerana mencipta sistem televisyen berfungsi yang pertama, dan juga siaran televisyen warna pertama yang elektronik sepenuhnya di dunia. Biarpun sistem TV elektromekanik ciptaan Baird sudah diganti oleh sistem elektronik sepenuhnya (seperti ciptaan Vladimir Zworykin dan Philo Farnsworth), namun pencapaian awal beliau iaitu mendemonstrasi siaran televisyen yang berhasil dan TV warna dan sinema meletakknya di kalangan tokoh-tokoh tersohor penciptaan televisyen.

John Logie Baird
Kelahiran13 Ogos 1888
Meninggal dunia14 Jun 1946(1946-06-14) (umur 57)
WarganegaraBritish
KerakyatanUnited Kingdom
Anak-anakMalcolm Baird

Televisyen sunting

Fail:John Logie Baird, Apparatus.jpg
John Logie Baird dengan ciptaan "televisor", c. 1925.
Fail:John Logie Baird, 1st Image.jpg
Gambar foto terawal gambar bergerak yang dihasilkan oleh "televisor", c. 1926 (Imej yang terpapar ialah muka Oliver Hutchinson, rakan niaga Baird.)
Fail:Baird experimental broadcast.jpg
Siaran TV ujian awal.

Sungguhpun pembangunan televisyen merupakan hasil ramai pencipta, namun Baird menjadi pelopor yang terpenting kerana jauh memajukan bidang ini. Ramai sejarawan khususnya di Britain, memberi penghargaan kepada Baird kerana menjadi orang pertama yang menghasilkan imej televisyen dwiwarna yang hidup bergerak dari cahaya terpantul. Baird menebus kegagalan pencipta TV sebelumnya dengan memperoleh sel fotoelektrik yang lebih bermutu dan mempertingkatkan penyesuaian isyarat dari fotosel dan amplifier video.

Dari tahun 1902 hingga 1907, Arthur Korn menjayakan ciptaan litar penyesuaian isyarat untuk pemancaran imej. Litar ini mengatasi kesan jeda perosak imej hasil fotosel selenium. Litar pampasan ciptaan Korn membolehkan beliau menghantar gambar pegun melalui telefon atau wayarles merentas sempadan negara mahupun lautan. Mengagumkan lagi, litar Korn berfungsi tanpa bantuan penguatan elektronik. [1] Kejayaan Korn memancarkan gambar pegun hafton menandakan litar pampasan sedemikian mungkin berguna dalam televisyen. Baird secara langsung mendapat manfaat dari penyelidikan dan kejayaan Korn.[2][3]

Dalam percubaan pertama membangunkan sistem televisyen yang berhasil, Baird bereksperimen dengan cakera Nipkow. Paul Nipkow telah mencipta cakera imbasan ini dan juga sebenarnya telah membangunkan sistem TV penuh pertama pada tahun 1884, sebelum kelahiran Baird.[4] Sejarawan TV terkemuka Albert Abramson menggelar paten untuk ciptaan Nipkow ini sebagai "paten televisyen terulung."[5] Usaha Nipkow ini penting kerana Baird dan ramai lagi memilih untuk membangunkan televisyen sebagai media penyiaran.

Pada awal tahun 1923, Baird berpindah ke 21 Linton Crescent, Hastings di pantai selatan England lalu menyewa sebuah bengkel di Queen's Arcade di bandar tersebut. Pada Februari 1924, beliau menunjukkan kepada majalah Radio Times bahawa sistem televisyen analog separa mekanik boleh dihasilkan dengan memancarkan imej bayang bergerak. Pada bulan Julai tahun yang sama, beliau direnjatkan elektrik sekuat 1000 volt tetapi mujurnya terselamat dengan tangan terbakar. Setelah digesa oleh tuan tanah untuk meninggalkan bengkel di Hastings, beliau berpindah ke Soho, London di mana beliau melakukan kejayaan besar dalam bidang teknikal. Baird mengadakan demonstrasi awam pertama imej bayang bergerak melalui televisyen di gedung Selfridges di London selama tiga minggu bermula 25 Mac 1925.

Pada 2 Oktober 1925 di makmalnya, Baird berjaya memancarkan gambar televisyen pertama dengan imej skala kelabu, iaitu gambar kepala boneka yang bergelar "Stooky Bill" dalam imej imbasan menegak 30 baris, pada kadar lima bidang sesaat.[6] Baird menjemput seorang pekerja pejabat iaitu William Edward Taynton yang berusia 20 tahun, untuk melihat wajah manusia dalam TV. Maka, Taynton menjadi manusia pertama yang disiarkan sepenuhnya dalam televisyen.[7]

Demonstrasi awam pertama sunting

Pada 26 Januari 1926, Baird mengulangi siaran tersebut untuk dipertontonkan kepada ahli-ahli Royal Institution dan seorang wartawan akhbar The Times di makmalnya di 22 Frith Street di daerah Soho, London.[8] Kali ini, beliau telah mempertingkatkan kadar imbasan kepada 12.5 bidang sesaat. Inilah demonstrasi pertama sistem televisyen yang mampu menyiarkan imej bergerak secara langsung dengan senggatan ton sewarna.

Baird mendemonstrasikan pancaran warna pertama di dunia pada 3 Julai 1928, dengan menggunakan cakera pengimbasan yang ditebuk tiga pilin bukaan di hujung pemancar dan hujung penerima, yang mana setiap pilin ini diisi penuras bagi satu warna primer yang berlainan (merah, hijau, biru); dan tiga punca cahaya di hujung penerima dengan penukar tertib untuk menyelang pencahayaannya. Pada tahun yang sama beliau juga mendemonstrasi televisyen stereoskopik.

Pada tahun 1932, Baird menjadi orang pertama di England yang menunjuk cara pemancaran gelombang ultrapendek (kini dikenali sebagai jalur VHF). Menyangkal dakawaan laporan tertentu, pemancaran ini bukanlah siaran TV VHF yang pertama. Pada tahun 1931, Suruhanjaya Radio Persekutuan Amerika Syarikat memperuntukkan jalur VHF untuk televisyen. Dari tahun 1931 hingga 1933, stesen W9XD di bandar Milwaukee, Wisconsin memancarkan beberapa isyarat televisyen VHF yang terawal. Gambar imbasan berselang-seli tiga kali 45 baris yang disiarkan oleh stesen ini menggunakan teknologi televisyen U.A. Sanabria. Teknologi yang berfungsi pada 15 bidang sesaat ini menghasilkan leraian yang lebih bagus berbanding sistem ciptaan Baird. Stesen W9XD kini dikenali sebagai WTMJ yang menyertai rangkaian televisyen NBC.[9]

Penyiaran sunting

Pada tahun 1927, Baird memancarkan isyarat televisyen jarak jauh melalui talian telefon sepanjang 438 batu (705 km) antara kota London dan Glasgow; beliau memancarkan gambar televisyen jarak jauh pertama ke Central Hotel di Glasgow Central Station.[10] Pemancaran ini merupakan saingan Baird terhadap siaran TV jarak sejauh 225 batu antara stesen-stesen AT&T Bell Labs di New York dan Washington, D.C. yang berlangsung pada April 1927, sebulan sebelum demonstrasi Baird ini.[11]

Baird kemudiannya mendirikan Baird Television Development Company Ltd, yang menghasilkan penyiaran televisyen rentas Lautan Atlantik pertama pada tahun 1928, dari London ke Hartsdale, New York, dan juga rancangan televisyen pertama untuk BBC. Pada November 1929, Baird dan Bernard Natan menubuhkan syarikat television pertama di Perancis, iaitu Télévision-Baird-Natan. Beliau menyiarkan siaran langsung pertama acara lumba kuda Epsom Derby pada tahun 1931. Beliau mendemonstrasi sistem televisyen teater dengan layar dua kaki kali lima kaki (60 cm x 150 cm) di London Coliseum, Berlin, Paris dan Stockholm pada tahun 1930.[12] Menjelang tahun 1939, beliau telah mempertingkatkan sistem projektor teaternya untuk menyiarkan perlawanan tinju pada layar 15 kaki kali 12 kaki (4.6 m x 3.7 m).[13]

Dari tahun 1929 hingga 1932, pemancar BBC digunakan untuk menyiarkan rancangan televisyen dengan menggunakan sistem Baird 30 baris. Dari tahun 1932 hingga 1935, BBC turut menerbitkan rancangan di studio sendiri di 16 Portland Place. Pada November 1936, BBC mula menyelang pancaran 240 baris Baird 240 dengan sistem pengimbasan elektronik EMI yang baru dipertingkatkan kepada 405 garis setelah bergabung dengan Marconi. Sistem Baird ketika itu melibatkan proses filem pertengahan yang mana liputan dirakam dalam filem gerak yang dicuci dan diimbas dengan segera. BBC menghentikan siaran melalui sistem Baird pada Februari 1937, terutamanya kerana kesukaran menggerakkan kamera sistem Baird yang sarat dengan tangki pencuci, hos, dan kabel.[14]

Sistem televisyen Baird digantikan oleh sistem televisyen elektronik yang dimajukan oleh syarikat baru bernama EMI-Marconi pimpinan Isaac Shoenberg yang dapat memperoleh paten reka cipta yang dibangunkan Vladimir Zworykin dan RCA. Begitu juga, kamera "Image Dissector" elektronik ciptaan Philo T. Farnsworth boleh dikongsi oleh syarikat Baird melalui perjanjian perkongsian paten. Walaupun begitu, kamera Image Dissector tersebut didapati kekurangan dari segi kepekaan cahaya dan terpaksa memakan tahap pencahayaan yang berlebihan. Pihak Baird menggunakan tiub Farnsworth untuk mengimbas filem gerak yang nyata berguna dari segi kemampuannya walaupun mudah mengalami masalah ciciran dan sebagainya. Farnsworth sendiri tiba di London untuk menjenguk makmal Baird di dewan pameran Crystal Palace pada tahun 1936, tetapi gagal menyelesaikan masalah tersebut dengan sebaiknya; kebakaran yang merentungkan Crystal Palace pada akhir tahun 1936 memeritkan lagi daya saing syarikat Baird.[15]

Baird banyak berbakti kepada bidang televisyen elektronik yang diberi laluan oleh sistem mekanikal terdahulu. Pada tahun 1939, beliau menunjukkan televisyen warna dengan menggunakan tiub sinar katod dan sekeping cakera berpusing di hadapannya yang dipasang turas warna, iaitu kaedah yang digunakan oleh CBS dan RCA di Amerika Syarikat. Pada tahun 1941, beliau mematenkan dan mendemonstrasi sistem televisyen tiga dimensi yang berleraian 500 baris. Pada 16 Ogos 1944, beliau mengadakan demonstrasi paparan televisyen warna elektronik sepenuhnya yang pertama di dunia. Sistem warna 600 barisnya menggunakan selang seli tiga kali, iaitu setiap bidang gambar perlu diimbas enam kali.[16][17] Pada tahun 1943, Jawatankuasa Hankey dilantik untuk menyelia pemulihan siaran televisyen selepas perang. Baird menggesa jawatankuasa tersebut agar membuat perancangan untuk menerima cadangan sistem warna elektronik Telechrome 1000 baris sebagai piawaian penyiaran pasca perang yang baru. Mutu gambar dalam sistem ini boleh dibandingkan dengan HDTV masa kini. Rancangan Jawatankuasa Hankey menjadi lesu ekoran dugaan yang terpaksa dihadapi dalam pembinaan semula seluruh negara selepas berperang. Piawaian hitam putih 405 garis masih beroperasi di beberapa tempat sehingga tahun 1985, dan pada tahun 1964 diperkenalkan sistem 625 baris, diikuti penetapan sistem warna (PAL) pada tahun 1967..

Rujukan sunting

  1. ^ T. Thorne Baker, Wireless Pictures and Television. London: Constable & Company, 1926., pp. 28, 29, 81.
  2. ^ Terry and Elizabeth Korn. Trailblazer to Television: The Story of Arthur Korn. New York: Charles Scribner's Sons, 1950. See preface by Austin J. Cooley, Chief Engineer, Times Facsimile Corp.
  3. ^ Russell W. Burns, John Logie Baird: TV Pioneer. N.c.: Institution of Engineering and Technology, 2001, pp. 33-34.
  4. ^ Albert Abramson, The History of Television, 1880 to 1941, pp. 13-15.
  5. ^ Albert Abramson, The History of Television, 1880 to 1941, p. 13.
  6. ^ R. W. Burns, Television: An International History of the Formative Years, p. 264.
  7. ^ Donald F. McLean, Restoring Baird's Image, p. 37.
  8. ^ Kamm and Baird, John Logie Baird: A Life, p. 69
  9. ^ Joseph H. Udelson, The Great Television Race: A History of the American Television Industry 1925 - 1941, pp. 42, 73.
  10. ^ Interview with Paul Lyons, Historian and Control and Information Officer at Glasgow Central Station
  11. ^ Albert Abramson, The History of Television, 1880 to 1941, pp. 99-101.
  12. ^ J.L. Baird, Television in 1932.
  13. ^ Baird Television Limited - Growing Demand For Home Receivers - Success Of Large Screen Projections In Cinemas - etc. The Times newspaper, 3 April 1939 p23 column A.
  14. ^ Kamm and Baird, John Logie Baird: A Life, p. 286
  15. ^ Kamm and Baird, John Logie Baird: A Life, pp. 286-289.
  16. ^ The World's First High Definition Colour Television System. McLean, p. 196.
  17. ^ Albert Abramson, The History of Television, 1942 to 2000, McFarland & Company, 2003, pp. 13-14. ISBN 0-7864-1220-8

Pautan luar sunting