Karya Charles Dickens

Untuk maklumat lanjut mengenai riwayat hidup Charles Dickens, sila lihat: Charles Dickens.

Charles John Huffam Dickens (7 Februari 18129 Jun 1870) yang biasanya digelar sebagai "Dickens" sahaja merupakan pengarang novel British yang teragung pada zamannya. Banyak daripada karyanya telah dipadankan untuk pementasan sewaktu hidupnya dan sebuah filem bisu berdasarkan Kertas Pickwick juga dibuat seawal-awal 1913. Pengkritik-pengkritik memuji Dickens kerana penguasaan prosa, kecekapan perekaan watak serta kepekaan sosial yang amat kuat.

Charles Dickens mempergunakan imaginasi yang subur, rasa lucu serta ingatan masa kanak-kanak yang terperinci untuk menghidupkan fiksyennya.

Karya termasyhur sunting

Terdapat kemungkinan besar bahawa A Christmas Carol merupakan novel Dickens yang terkenal. Kisah moralitinya yang membawa kehibaan serta tema selamat daripada api neraka memberikan kesimpulan mengenai maksud Krismas yang benar bagi kebanyakan orang. Ia telah membayangi segala cerita musim Krismas bukan sahaja dari segi kepopularan, tetapi juga dalam penambahan watak arketip (Scrooge, Tiny Tim, roh-roh Krismas) kepada kesedaran budaya Barat. Padanan baru untuk novel ini telah dicipta hampir-hampir setiap tahun. Sejak permulaan pawagam, novel ini juga paling banyak difilemkan berbanding karya yang lain.

Antara karya Dickens yang termashyur ialah David Copperfield, Oliver Twist, Great Expectations, A Tale of Two Cities, Nicholas Nickleby dan The Pickwick Papers.

Gaya kesusasteraan sunting

Gaya penulisan Dickens amat berbunga-bunga dan indah, serta mempunyai gaya kelucuan yang kukuh. Satiranya mengenai kesombongan aristokrat British — beliau telah menggelarkan salah satu wataknya sebagai "Peti Sejuk yang Mulia" — adalah lucu serta nakal. Pembandingannya seperti yatim piatu dengan saham, orang dengan bot tunda, dan tetamu majlis makan dengan perabot merupakan sebahagian daripada khayalan gila-gila Dickens yang dapat mewajahkan keadaan dengan lebih jernih berbanding cara yang lain.

Watak-watak Dickens adalah amat tidak dilupakan dalam kesusasteraan Inggeris, khususnya, nama watak-wataknya. Nama seperti Ebenezer Scrooge, Fagin, Mrs Gamp, Wilkins Micawber, Pecksniff, Miss Havisham, dan Wackford Squeers adalah amat terkenal sehingga mereka dianggapi sebagai orang yang benar dan cerita-cerita mereka telah diteruskan oleh pengarang yang lain. Perkataan ' gamp ' daripada watak Mrs Gamp telah menjadi slanga untuk "payung". Perkataan ' pickwickian ', ' pecksniffian ' dan 'gradgrind' kesemuanya telah dimasukkan ke dalam kamus disebabkan penggambaran Dickens terhadap watak-watak yang romantik serta melulu, hipokrit dan berlogik tanpa emosi.

Dickens suka akan gaya Gothik abad ke-18, walaupun gaya itu telah menjadi jenaka; Northanger Abbey oleh Jane Austen merupai parodi yang terkenal. Walaupun sebahagian karyanya adalah ganjil, tabiat-tabiat eksentrik itu tidak membayangi ceritanya.

Satu daripada 'watak' yang telah dihuraikan dengan amat perinci dalam novel-novel Dickens ialah London. Dari rumah penginapan di pinggir bandar raya ke hulu Sungai Thames, segala aspek ibu negara itu telah dihuraikan dengam cara yang hanya boleh dicapai oleh seorang yang amat mencintai London serta yang pernah berjalan berjam-jam di jalan rayanya.

Kebanyakan novel utama Dickens mula-mulanya dikarang dalam bentuk siri bulanan ataupun mingguan untuk jurnal seperti Master Humphrey's Clock dan Household Words, dan kemudiannya dicetak semula dalam bentuk buku. Cara penjualan ini menyebabkan cerita-ceritanya dapat dibeli dengan murah, dan saspens yang diciptanya menyebabkan setiap episod baru ditunggu oleh peminat dengan tidak sabar-sabar. Peminat di Amerika dilaporkan menunggu di pelabuhan New York untuk menanyakan anak kapal daripada kapal-kapal yang baru tersinggah, "Sudahkah Little Neil mati?"

Dickens ingin sekali memberikan pembacanya apa yang mereka suka membaca, dan terbitan karyanya dalam gaya episod mingguan dan bulanan bermakna bahawa jalan ceritanya boleh berubah mengikut kehendak hati orang ramai. Satu contoh yang baik mengenai ini ialah episod-episod Amerika dalam "Martin Chuzzlewit" yang telah dimasuki oleh Dickens sebagai gerak balas terhadap jualan bab-bab awal yang kurang memuaskan. Dalam karya "Kawan Bersama Kami", watak Riah dengan penggambaran peribadi Yahudi yang positif telah dimasukkan selepas beliau dikritik kerana penggambaran Fagin yang negatif dalam "Oliver Twist". Sebahagian daripada bakat teragung Dickens ialah keupayaannya untuk menggabungkan gaya penulisan episod yang akhirnya masih dapat mencapai novel yang bersepadu.

Keterlaluan sentimental sunting

 
Adegan Oliver Twist, daripada edisi awal abad ke-20.

Fiksyen Dickens sering dipandang sebagai terlalu sentimental, seperti dengan adegan kematian Little Nell yang berpanjangan dalam "Kedai Keanehan Lama" (The Old Curiosity Shop) (1841) serta Paul Dombey dalam "Dombey dan Anak Lelakinya" (Dombey and Son) (1848). Bagaimanapun, kritikan itu merupakan generalisasi yang terlalu umum.

Dalam "Oliver Twist" (1839), novelnya yang kedua, Dickens memberikan pembacanya satu gambaran yang ideal mengenai seorang budak lelaki muda yang memang "baik" sehingga nilainya tidak pernah dijatuhkan oleh rumah anak yatim yang kejam ataupun oleh penglibatan terpaksanya dalam geng penyelut saku muda. Bagaimanapun, novel itu telah menyebabkan pemugaran kawasan sesak di London yang merupakan asas ceritanya "Pulau Jacob" (Jacob's Island).

Tambahan pula dengan Nancy, watak pelacur yang tragik, Dickens menjadikan kaum wanita itu lebih berperikemanusiaan — kaum wanita yang dianggapi sebagai "golongan yang kurang nasib", nahas yang tidak bermoral daripada akibat sistem pengelasan dan ekonomi Victoria.

Sedangkan novel-novelnya yang berikutan menumpukan watak-watak yang ideal, "Rumah Suram" (Bleak House) dan "Little Dorrit" memperincikan kritik yang ramah mengenai institusi Victoria: tuntutan mahkamah tidak habis-habis di Mahkamah Chancery yang telah memusnahkan kehidupan orang dalam karyanya "Rumah Suram", serta dua kritikan yang hebat dalam "Little Dorrit" ke atas pejabat paten yang tidak cekap serta korup, dan spekulasi pasaran yang tidak terkawal.

Sebenarnya, setiap novel Dicken selepas novel "Dombey dan Anak Lelakinya" (1848) semakin kurang "sentimental" dan lebih melibati realisme sosial, cara kawalan sosial yang mengarahkan kehidupan orang (umpamanya, rangkaian kilang dalam "Masa Susah" (Hard Times) dan tatalaku golongan yang hipokrit dalam "Kawan Bersama Kami" (Our Mutual Friend). Berbeza daripada anggapan popular, novel-novel ini amat popular dan mencapai jualan yang amat baik.

Kebetulan yang sukar dipercayai sunting

Kebanyakan daripada novel Dickens menggunakan kebetulan yang sukar dipercayai, umpamanya Oliver Twist terjadi anak saudara yang terhilang kepada sebuah keluarga atasan yang telah menyelamatkannya daripada kaum penyeluk saku. Bagaimanapun, kebetulan seumpama ini merupakan unsur utama dalam novel pikares abad ke-18 (contohnya, karya "Tom Jones" oleh Henry Fielding) yang amat disukai oleh Dickens.

Bagaimanapun, bagi Dickens, cara ini bukan sahaja merupakan cara plot tetapi juga merupakan indeks humanisme Kristian yang menyebabkan beliau mempercayai bahawa apa yang "baik" akan menang pada akhirnya, seringnya dalam cara yang tidak dapat dijangkai. Melihat tema ini dari segi biografi, kehidupan Dickens yang penuh kesukaran menujunya daripada seorang kanak-kanak yang terpaksa bekerja berjam-jam dalam kilang botol pada umur 12 (ayahandanya terkurung di dalam penjara penghutang Marshalsea sewaktu itu) kepada taraf seorang pengarang novel yang terpopular di England pada umur 27.

Unsur autobiografi sunting

Semua pengarang memasukkan unsur-unsur autobiografi ke dalam fiksyen mereka, tetapi dalam kes Dickens, perbuatan ini amat jelas, walaupun beliau bersusah payah menyembunyikan apa yang dianggapinya sebagai masa lampaunya yang hina dan memalukan. "David Copperfield" merupakan salah sebuah novel yang amat berautobiografi tetapi adegan daripada "Rumah Suram" mengenai tuntutan mahkamah serta perdebatan undang-undang yang tidak habis-habis cuma boleh datang daripada seorang wartawan yang pernah melaporkannya. Keluarga Dickens telah dipenjarakan kerana kemiskinan, satu tema yang sering tertimbul dalam banyak bukunya, khususnya Marshalsea dalam novel "Dorrit Kecil". Nell dalam novel "Kedai Keanehan Lama" telah dianggapi sebagai penggambaran adik iparnya. Bapa Nicholas Nickleby dan Wilkins Micawber pasti merupakan ayahanda Dickens. Dan Philip Pirrip yang sombong itu daripada novel "Harapan yang Besar" serupa dengan dirinya sendiri.

Dickens mungkin mengambil bahan-bahan daripada pengalaman masa kanak-kanaknya, tetapi beliau amat malu mengenainya dan tidak mengaku bahawa di sinilah beliau mendapat pemerian keadaan kotor yang realistik. Masa lampau yang memalukan pada zaman Victoria boleh menjejaskan reputasi, sesama dengan apa yang dialami oleh beberapa wataknya, dan ini mungkin merupakan ketakutan Dickens.

Ulasan sosial sunting

Antara lain, novel Dickens merupakan ulasan sosial. Pada waktu Britain merupakan kuasa ekonomi dan politik yang utama di dunia, Dickens menekankan kehidupan golongan orang miskin serta orang yang tidak beruntung di pusat empayar yang telah dilupai.

Dickens merupakan pengkritik yang membara terhadap kemiskinan serta susun lapis sosial masyarakat Victoria. Melalui kewartawanannya, beliau berkempen untuk persoalan-persoalan yang tertentu seperti sanitasi dan keadaan bekerja, tetapi fiksyennya telah dianggapi lebih berkesan dalam perubahan pendapat umum terhadap ketidaksamaan kelas. Di seluruh karyanya, Dickens mengekalkan empati terhadap orang biasa dan sikap ragu-ragu terhadap golongan atasan.

Pendakwaannya yang terlatang terhadap keadaan ini adalah di dalam karyanya "Masa Susah" (1854) yang merupakan novel tunggal mengenai kaum buruh. Dalam karya itu, beliau menggunakan rasa sakit hati serta satira untuk menggambarkan bagaimana lapisan sosial yang terpinggir itu digelarkan "tangan" oleh pemilik kilang. Ini bermaksud bahawa pekerja-pekerja bukan "manusia" tetapi cuma merupakan sampingan mesin.

Penulisan Dickens telah mengilhami para wartawan dan tokoh politik untuk mengemukakan masalah-masalah penindasan kelas. Umpamanya, adegan penjara dalam karya "Little Dorrit" dan "Kertas Pickwick" merupakan pengusul utama dalam penutupan penjara-penjara Marshalsea dan Fleet. Sebagaimana yang dikatakan oleh Karl Marx, Dickens "memberikan lebih banyak kebenaran politik dan sosial kepada dunia berbanding kesemua ahli politik, pegawai seranta dan moralis profesional yang terkumpul" (petikan daripada Ackroyd 720).

Kepopularan novel Dickens yang luar biasa, termasuk karya yang bertema tentangan sosial (Rumah Suram, 1853; Little Dorrit, 1857; Kawan Bersama Kami, 1865) menekankan bukan sahaja keupayaannya untuk mencipta jalan cerita yang menambat minat serta watak yang tidak dapat dilupai, tetapi juga memastikan bahawa orang awam Victoria menghadapi persoalan keadilan sosial yang biasanya dihiraukan.

Fiksyen Dickens yang memberikan huraian yang terperinci tentang kehidupan di England pada abad ke-19 telah menyebabkan penggambarannya menjadi gambaran masyarakat Victoria (1837-1901). Bagaimanapun, anggaran ini tidaklah tepat kerana novel Dickens cuma merangkumi tempoh dari 1780-an sehingga 1860-an.

Pada dekad yang menurut kematian Dickens pada tahun 1870, pengarang-pengarang fiksyen British memberikan sudut pandangan sosial dan falsafah yang jauh lebih pesimistik. Tema mereka ini adalah jauh berbeza daripada kepercayaan agama yang mengasaskan perpaduan novel Dickens, termasuk novelnya yang tersuram.

Bibliografi sunting

Novel utama sunting

  • The Pickwick Papers (1836)
  • Oliver Twist (1837–1839)
  • Nicholas Nickleby (1838–1839)
  • The Old Curiosity Shop (1840–1841)
  • Barnaby Rudge (1841)
  • Buku-buku Krismas:
    • A Christmas Carol (1843)
    • The Chimes (1844)
    • The Cricket on the Hearth (1845)
    • The Battle of Life (1846)
  • Martin Chuzzlewit (1843–1844)
  • Dombey and Son (1846–1848)
  • David Copperfield (1849–1850)
  • Bleak House (1852–1853)
  • Hard Times (1854)
  • Little Dorrit (1855–1857)
  • A Tale of Two Cities (1859)
  • Great Expectations (1860–1861)
  • Our Mutual Friend (1864–1865)
  • The Mystery of Edwin Drood (tidak dihabiskan) (1870)

Buku terpilih sunting

  • Sketches by Boz (1836)
  • American Notes (1842)
  • Pictures from Italy (1846)
  • The Life of Our Lord (1846, diterbitkan pada 1934)
  • A Child's History of England (1851–1853)

Cerpen sunting

  • "Captain Murderer"
  • "The Child's Story"
  • Cerpen-cerpen Krismas:
    • "The Haunted Man and the Ghost's Bargain" (1848)
    • "A Christmas Tree"
    • "The Poor Relation's Story"
    • "The Child's Story"
    • "The Schoolboy's Story"
    • "Nobody's Story"
    • "The Seven Poor Travellers"
    • "What Christmas Is As We Grow Older"
  • "Doctor Marigold"
  • "George Silverman's Explanation"
  • "Going into Society"
  • "The Haunted House"
  • "Holiday Romance"
  • "The Holly-Tree"
  • "Hunted Down"
  • "The Lamplighter"
  • "A Message from the Sea"
  • "Mrs Lirriper's Legacy"
  • "Mrs Lirriper's Lodgings"
  • "Mugby Junction"
  • "Perils of Certain English Prisoners"
  • "The Signalman"
  • "Somebody's Luggage"
  • "Sunday Under Three Heads"
  • "Tom Tiddler's Ground"
  • "The Trial for Murder"
  • "Wreck of the Golden Mary"

Esei sunting

  • In Memoriam W. M. Thackeray

Rencana sunting

  • A Coal Miner's Evidence

Pautan luar sunting

 
Wikisource