Kawasan perdagangan bebas

Kawasan atau zon perdagangan bebas (bahasa Inggeris: Free trade zone atau FTZ) atau zon pemprosesan eksport adalah wilayah suatu negara di mana beberapa halangan perdagangan seperti tarif dan kuota dihapuskan dan keperluan birokrasi dikurangkan dengan harapan menarik bisnes dan pelaburan asing baru. Ia juga wilayah atau daerah di mana sekumpulan negara telah bersetuju untuk mengurangkan atau menghapuskan halangan perdagangan. Kawasan perdagangan bebas boleh ditakrifkan sebagai pusat pengeluaran yang melibatkan import bahan mentah atau komponen dan eksport produk kilang.

Kebanyakan kawasan perdagangan bebas berada di negara-negara membangun seperti Brazil, China, Filipina, Malaysia, Pakistan, Mexico, Costa Rica, Honduras, dan Madagascar yang juga mempunyai zon pemprosesan eksport. Pada tahun 1997, 93 negara telah mendirikan zon pemprosesan eksport (EPZ) dan menggaji 22.5 juta orang, dan lima tahun kemudian, pada tahun 2003, EPZ di 116 negara memberi pekerjaan kepada 43 juta orang.

Syarikat yang didirikan di kawasan perdagangan bebas diberikan pelepasan cukai sebagai insentif. Biasanya, kawasan ini didirikan di kawasan mundur di negara tuan rumah; dengan harapan ia akan menarik pengusaha dan dapat mengurangkan kemiskinan dan pengangguran, serta merangsang ekonomi. Kawasan ini sering digunakan oleh syarikat multinasional untuk menubuhkan kilang-kilang yang menghasilkan produk seperti pakaian atau kasut.

Kawasan perdagangan bebas juga dikenali sebagai kawasan atau zon ekonomi istimewa di beberapa negara. Kawasan ekonomi istimewa telah ditubuhkan di banyak negara untuk pelaksanaan prinsip-prinsip ekonomi pasaran liberal. Kawasan ini dipandang sebagai alat untuk meningkatkan penerimaan dan kredibiliti dasar transformasi dan untuk menarik pelaburan domestik dan asing. Objektif asas kawasan ini adalah untuk meningkatkan pendapatan mata wang asing, mengembangkan industri berorientasikan eksport dan untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Lihat juga sunting