Jerman sering digelar Das Land der Dichter und Denker (negeri penyajak dan pemikir)[1] Kebudayaan orang-orang Jerman bermula lama sebelum pembentukan Jerman sebagai sebuah negara bangsa dan kini tersebar luas di seluruh alam Jerman. Dari dasarnya, kebudayaan di Jerman telah dibentuk oleh aliran-aliran pemikiran penting dan popular di Eropah, sama ada dari segi keagamaan mahupun sekular. Hasilnya, amat sukar untuk membezakan tradisi khusus Jerman daripada rangka kebudayaan Eropah yang lebih luas.[2] Selain itu, beberapa tokoh bersejarah seperti Wolfgang Amadeus Mozart, Franz Kafka dan Paul Celan, walaupun mereka bukanlah rakyat Jerman di dalam pengertian zaman moden, perlu dilihat di dalam konteks lingkungan pengaruh budaya Jerman bagi menghayati dan memahami keadaan sejarah, karya dan juga hubungan sosial mereka.

Ludwig van Beethoven (1770–1827), penggubah.
Blaues Pferd I, 1911 oleh Franz Marc (1880–1916).

Beberapa komposer muzik klasikal terkenal dunia adalah berketurunan Jerman, iaitu Ludwig van Beethoven, Johann Sebastian Bach, Johannes Brahms dan Richard Wagner. Di zaman moden pula, bakat-bakat dari Jerman turut merwarnai dunia muzik dalam pelbagai genre terutamanya pop dan juga rock. Artis-artis seperi Kraftwerk, Scorpions dan Rammstein tidak hanya bertumpu di Jerman, yang merupakan pasaran muzik ketiga terbesar di dunia sehingga tahun 2005, malah turut mengembangkan pengaruh muzik mereka di seluruh dunia.[3]

Jerman turut melahirkan banyak pelukis-pelukis terkemuka dunia yang berkarya dalam pelbagai aliran kesenian. Antara nama-nama penting mengikut zaman ialah Hans Holbein Si Muda, Matthias Grünewald, dan Albrecht Dürer di Zaman Pembaharuan, Caspar David Friedrich di era romantisisme dan Max Ernst dari era surealisme. Sumbangan dalam seni bina termasuklah seni bina di zaman Carolongia dan juga Dinasti Otto, yang menjadi pelopor penting dalam seni bina Romanesque. Wilayah Jerman kemudiannya menjadi tapak penting penghasilan karya dalam pelbagai gaya seperti seni bina gotik, seni bina Renaissance dan juga seni bina barok. Selepas itu, Jerman mengetuai pergerakan seni bina moden terutamanya melalui pergerakan Bauhaus yang diasaskan oleh Walter Gropius. Ludwig Mies van der Rohe, juga berasal dari Jerman, menjadi salah seorang arkitek ternama dunia di pertengahan kedua abad ke-20. Idea menggunakan gelas pada muka bangunan diajukan olehnya.[4]

Falsafah sunting

 
Immanuel Kant (1724–1804), ahli falsafah.

Kesusasteraan Jerman bersusur-galur dari Zaman Pertengahan dan karya penulis-penulia seperti Walther von der Vogelweide dan Wolfram von Eschenbach. Ramai pengarang dan penyajak Jerman telah mencapai kemasyhuran, seperti Johann Wolfgang von Goethe dan Friedrich Schiller. Koleksi cerita-cerita rakyat yang diterbitkan oleh Grimm Bersaudara mempopularkan hikayat orang-orang Jerman di peringkat antarabangsa. Pengarang berpengaruh di abad ke-20 pula termasuklah Thomas Mann, Berthold Brecht, Hermann Hesse, Heinrich Böll, dan Günter Grass.[5]

Pengaruh Jerman terhadap falsafah juga adalah amat penting dan ramai ahli falsafahnya telah membantu membentuk falsafah barat sejak Zaman Pertengahan lagi. Sumbangan Gottfried Leibniz terhadap rasionalisme, pembentukan pergerakan idealisme Jerman oleh Immanuel Kant, Georg Wilhelm Friedrich Hegel, Friedrich Wilhelm Joseph Schelling dan Johann Gottlieb Fichte, Teori komunis oleh Karl Marx dan Friedrich Engel, Arthur Schopenhauer dan pembentukan pesimisme metafizik, perkembangan perspektivisme oleh Friedrich Nietzsche, karya Martin Heidegger tentang kewujudan dan teori sosial Jürgen Habermas merupakan antara sumbangan yang berpengaruh besar.

Media sunting

Pasaran televisyen di Jerman adalah yang terbesar di Eropah, dengan 34 juta kediaman memiliki TV. Banyak penyiar awam di peringkat wilayah mahupun kebangsaan dan mereka disusun mengikut rangka politik persekutuan. Sekitar 90% rumahtangga Jerman memiliki TV kabel mahupun satelit, dan penonton boleh juga memilih pelbagai jenis saluran awam mahupun komersil. Perkhidmatan TV berbayar tidak berjaya mendapat sambutan ramai manakala penyiar-penyiar awam seperti ARD dan ZDF menawarkan pelbagai jenis saluran digital.[6]

Banyak konglomerat media terbesar dunia menjadikan Jerman sebagai ibu pejabat mereka, seperti Bertelsmann dan Axel Springer AG. Beberapa rangkaian komersil TV percuma pula dimiliki oleh ProSiebenSat1.

Berita di dalam bahasa Inggeris pula turut disajikan oleh pelbagai pertubuhan media seperti Der Spiegel, penyiar awam Deutsche Welle dan laman berita dalam talian The Local.

Pada bulan November 2007, laman-laman web yang paling banyak dilawati oleh pengguna-pengguna internet Jerman termasuklah Google, eBay, Youtube, Yahoo, studiVZ dan Wikipedia.[7]

Perfileman sunting

 
Istana Berlinale sewaktu Festival Filem Berlin pada bulan Februari.

Industri perfileman di Jerman bermula sejak awal kemunculan medium ini melalui karya Max Skladanowsky. Ia mempunyai pengaruh yang ketara ketika di bawah Republik Weimar dengan diketuai oleh puak ekspresionis seperti Robert Wiene dan Friedrich Wilhelm Murnau. Pengarah Fritz Lang yang berpusat di Austria, yang berjaya sekitar tahun-tahun sebelum perang, dikatakan mempunyai pengaruh besar terhadap industri perfileman Hollywood. Filem bisunya yang bertajuk Metropolis pada tahun 1927 dianggap sebagai kelahiran filem-filem genre fiksyen sains.

Pada tahun 1930 Josef von Sternberg mengarahkan filem Der Blaue Engel (Malaikat Biru), yang menjadi filem utama Jerman yang terawal yang mempunyai bunyi, sekaligus menjadikan pelakon utamanya Marlene Dietrich terkenal.[8] Dokumentari Impressionis bertajuk Berlin: Symphony of a Great City yang diaraklan oleh Walter Ruttmann, ialah antara contoh terbaik bagi genre simfoni bandar. Pemerintahan Nazi kemudiannya menghasilkan filem-filem berunsur propaganda, walaupun karya Leni Riefenstahl masih memperkenalkan nilai estetik baru dalam filem.[9]

Ketika 1970-an dan 1980-an, Pengarah Filem Jerman Baru seperti Volker Schlöndorff, Werner Herzog, Wim Wenders, Rainer Werner Fassbinder meletakkan industri perfileman Jerman Barat kembali ke persada antarabangsa dengan filem-filem berunsur provokatif.[10]

Lewat kebelakangan ini pula, filem-filem seperti filem Das Boot (1981), filem Lola rennt (Larilah Lola) (1998), filem Das Experiment (2001) , filem Good Bye Lenin! (2003) , Gegen die Wand (2004) and Der Untergang (2004) telah mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa. Anugerah Akademi untuk Filem Bahasa Asing Terbaik pernah diberikan kepada Die Blechtrommel pada tahun 1979, kepada Nirgendwo in Afrika pada tahun 2002, dan kepada Das Leben der Anderen pada tahun 2007.[11] Pelakon-pelakon terkenal dari Jerman pula ialah Marlene Dietrich, Klaus Kinski, Hanna Schygulla, Armin Mueller-Stahl, Jürgen Prochnow dan Thomas Kretschmann.

Festival Filem Berlin yang dianjurkan setiap tahun sejak 1951 ialah sakah satu daripada festival filem terkemuka di dunia. Sekumpulan hakim antarabangsa menekankan kepada kepelbagaian filem dari seluruh dunia dan menganugerahkan pemenangnya dengan Beruang Emas dan Perak.[12] Selain itu, Berlin, yang menempatkan Akademi Filem Eropah (EFA), turut menjadi tuan rumah kepada Anugerah Filem Eropah yang dianjurkan setiap dua tahun sekali. Studio Babelsberg di Potsdam pula merupakan studio perfileman berskala besar yang tertua di dunia dan pernah menjadi pusat penerbitan filem antarabangsa.

Rujukan sunting

  1. ^ Jeremy Wasser (6 April 2006). "Spätzle Westerns" (dalam bahasa Inggeris). Spiegel Online. Dicapai pada 2008-09-10.
  2. ^ "Republik Persekutuan Jerman: Budaya" (dalam bahasa Inggeris). MSN Encarta. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-03-28. Dicapai pada 2008-09-14.
  3. ^ "(Pasaran) Muzik Jerman dalam keadaan tenat" (dalam bahasa Inggeris). BBC date=18 Februari 2005. Dicapai pada 2008-09-14. Missing pipe in: |publisher= (bantuan)
  4. ^ Sebuah Kamus Seni bina dan Lanskap (dalam bahasa Inggeris) (ed. 2). Penerbitan Universiti Oxford. 2006. m/s. ms. 880. ISBN 0198606788.
  5. ^ Kjell Espmark (13 Disember 1999). "Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan" (dalam bahasa Inggeris). Nobelprize.org. Dicapai pada 2008-09-15.
  6. ^ "Profil Negara: Jerman - Media" (dalam bahasa Inggeris). BBC. 8 Julai 2008. Dicapai pada 2008-09-15.
  7. ^ "Laman utama Jerman" (dalam bahasa Inggeris). Alexa. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-01-18. Dicapai pada 2008-09-15.
  8. ^ Bordwell, David (2003) [1994]. "Pengenalan kepada Bunyi". Film History: An Introduction (Sejarah Filem: Sebuah Pengenalan) (ed. Edisi ke-2). New York City: McGraw-Hill. m/s. ms. 204. ISBN 978-0071151412. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  9. ^ Leni Riefenstahl, FILMBUG, Dicapai: 2008-09-24
  10. ^ Rainer Werner Fassbinder, Yayasan Fassbinder, Dicapai: 2008-09-24
  11. ^ Awards:Das Leben der Anderen, IMDb, Dicapai: 2008-09-24
  12. ^ 2006 FIAPF accredited Festivals Directory, Persekutuan Antarabangsa bagi Persatuan Penerbit Filem. Dicapai: 2008-09-24