Kemimikan Müller merupakan sejenis fenomena alam yang mana dua atau lebih spesies berbisa yang tidak semestinya bertalian sesama sendiri, tetapi berkongsi satu atau lebih pemangsa, saling memimik isyarat amaran satu sama lain. Ia dinamai sempena ahli alamiah Jerman, Fritz Müller, yang mula-mula sekali mengutarakan konsep ini pada tahun 1878.[2][3]

Kupu-kupu Heliconius dari kawasan tropika Hemisfera Barat merupakan contoh utama kemimikan Müller.[1]


Fenomena ini boleh difahami dengan membayangkan dua spesies berbisa yang tidak menyerupai satu sama lain dan juga merupakan mangsa kepada satu pemangsa yang sama. Adakalanya, individu-individu dari spesies pemangsa itu akan menemui salah satu mangsa yang berbisa itu, kemudian menghindarinya. Pemangsa yang mengelak hanya salah satu spesies itu tidak memberikan manfaat kepada spesies yang tidak bertembung dengan pemangsa itu. Oleh itu, boleh diperolehnya kelebihan evolusi dalam pendekatan beransur-ansur penampilan dua spesies mangsa itu. Ini adalah kerana pemangsa yang mengambil iktibar untuk mengelak mana-mana satu daripada sepasang spesies yang memperlihatkan kemimikan Müllerian, turut mengambil iktibar untuk mengelak kedua-duanya sekali.


Strategi ini sering dibandingkan dengan kemimikan Bates, yang mana satu spesies yang tidak berbahaya meniru penampilan satu lagi spesies yang berbahaya untuk mendapat kelebihan elakan pemangsa. Bagaimanapun, oleh sebab mimik bersama mungkin berbeza tahap perlindungannya, maka perbezaan antara kemimikan Müller dan Bates tidak mutlak, apatah lagi boleh dikatakan wujudnya spektrum antara kedua-dua bentuk.[4] Selain itu, sesuatu spesies boleh menjadi mimik Bates bagi suatu pemangsa dan juga mimik Müller bagi satu lagi pemangsa. Biarpun kemimikan Bates dan Müller merupakan contoh kemimikan yang dikenali ramai, namun terdapat pelbagai jenis kemimikan lain, ada yang amat serupa pada dasarnya, dan ada yang jauh berbeza. Contohnya, kemimikan agresif yang mana pemangsa boleh menyamar sebagai makanan mangsanya untuk menarik perhatian mangsa dengan lebih mudah.

Kemimikan Müller tidak semestinya berbentuk kemimikan tampak, bahkan juga menggunakan deria-deria yang lain. Contohnya, kebanyakan ular berkongsi bunyi isyarat amaran yang sama, iaitu satu contoh kemimikan Müller pendengaran. Lebih daripada satu isyarat boleh dimimik sekaligus. Biarpun si model dan si mimik lazimnya bertalian rapat spesiesnya, namun juga terdapat kemimikan Müllerian sesama spesies yang bau-bau bacang.

Rujukan sunting

  1. ^ Meyer, A. (2006). "Repeating patterns of mimicry". PLoS Biol. 4 (10): e341. doi:10.1371/journal.pbio.0040341. PMC 1617347. PMID 17048984.
  2. ^ Müller, Fritz (1878). "Ueber die Vortheile der Mimicry bei Schmetterlingen". Zoologischer Anzeiger. 1: 54–55.
  3. ^ Müller, F. (1879). "Ituna and Thyridia; a remarkable case of mimicry in butterflies. (R. Meldola translation)". Proclamations of the Entomological Society of London. 1879: 20–29.
  4. ^ Brower, L. P.; Ryerson, W. N.; Coppinger, L. L.; Glazier, S. C. (1968). "Ecological chemistry and the palatability spectrum". Science. 161 (3848): 1349–51. doi:10.1126/science.161.3848.1349.