Khatijah Tan

Pelakon veteran wanita Malaysia

Khatijah binti Tan (Tulisan Jawi: خديجة تن, lahir 1 Januari 1961), merupakan seorang pelakon wanita Malaysia dan juga merupakan salah seorang dari seniwati filem Melayu. Beliau mula bergiat aktif dalam dunia hiburan tanah air sejak 1988 menerusi sebuah drama yang pernah disiarkan di TV3, Rumah Kedai, peranannya sebagai Habsah, seterusnya membuat kemunculan sulungnya di layar lebar pada 1996 menerusi peranannya sebagai orang gaji di dalam filem Yes, Tuan! arahan Nik Fadzil Nik Hassan, beliau meraih pengiktirafan yang meluas menerusi filem Embun (2002) yang melayakkanya menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-46 yang diadakan di Korea Selatan dan telah menerima dua pencalonan di Festival Filem Malaysia, lima di Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Beliau merupakan ibu kepada pelakon dan pengarah filem, Pierre Andre dan Mikail Andre.

Seniwati

Khatijah Tan
خديجة تن
Khatijah pada Ogos 2019 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Kelahiran
Khatijah binti Tan

(1961-01-01) 1 Januari 1961 (umur 63)
Nama lainMak Jah
PekerjaanPelakon, pelawak
Tahun aktif1988–kini
Terkenal keranaMak Ngah (Pi Mai Pi Mai Tang Tu) & Mak Temah (Embun)
Karya
Lihat senarai penuh
PasanganNazrul Andre Abdullah (k. 1984)
Anak-anak
AnugerahFestival Filem Asia Pasifik—Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Asia Pasifik (Embun)
Kerjaya lawak
MediaTelevisyen, filem, dan internet
GenrePelawak berdiri, cereka, komedi sketsa
SubjekKomedi, lawak jenaka
Hasil karya dan peranan

Kerjaya sunting

1988–1997: Permulaan Kerjaya dan Rumah Kedai sunting

Khatijah Tan memulakan penjalanan seni lakonan dengan menyertai pementasan teater (latar suara oleh Mira Filzah) [...] Semasa saya berlakon dahulu, kami ada teater, teater itu dalam proses untuk kita pembelajaran dalam bidang lakonan, macam mana nak lontarkan suara [...] untuk membuat penghayatan [...] untuk menggali watak.
—Khatijah Tan di dalam temubual Nona pada tahun 2018.[‡ 1]

Khatijah mula berjinak dalam bidang seni sebagai pelakon teater. Khatijah akui beliau telah melakonkan puluhan teater sebelum menjejak masuk ke industri perfileman kerana untuk mempelajari dengan lebih mendalam lagi teknik untuk melakukan sesuatu persembahan lakonan yang efisien. Khatijah muncul di layar kaca buat kali pertama pada tahun 1988 menerusi drama yang membuatkan namanya terkenal, Rumah Kedai. Siri drama televisyen komedi ini bersiaran sebanyak 180 episod dalam 6 musim selama 5 tahun di TV3.[1]

Semasa Khatijah Tan masih memegang kontrak untuk berlakon drama sulungnya, Khatijah mula terlibat dalam bidang lakonan teater yang prominen bagi memantapkan lagi skill lakonan—pementasan teater Pentas Opera (1989), beliau berganding bahu bersama pelakon pentas yang hebat dan mempunyai pengalaman di dalam kerjaya pementasan seperti Johan Jaafar, Imuda, Sabri Yunus dan lain-lain. Pada tahun 1991, Khatijah digandingkan bersama Rashidah Jaafar menerusi telefilem sulungnya, Siapa, sutradara Abdul Aziz H. M..

Pada warsa 1993, Khatijah bergandengan bersama produk cucian baju yang cukup terkenal di Malaysia ketika itu, Trojan Perkasa. Beliau melaksanakan sebuah iklan televisyen bersama Bell Ngasri yaitu iklan yang mengisahkan tentang "Lelaki Kotor Dalam Bas". Menerusi iklan ini, kemasyhuran Khatijah Tan semakin melonjak naik dan mula diingati. Tambahan itu, iklan ini pernah menjadi satu fenomena di era 90-an serta diberi gelaran sebagai salah satunya iklan yang "Legend" di tanah air ini.[2][3]

Lain daripada itu, pada tahun 1996, Khatijah bersandiwara di dalam filem sulungnya, Yes, Tuan! sutradara Zulkeflee Said. Di dalam filem tersebut, Khatijah memegang watak sebagai orang gaji dimana wataknya adalah hanya untuk menyebut "Yes, Tuan!" sahaja. Filem itu membariskan pelakon-pelakon terkenal seperti Sabri Yunus, Tasha Aziz, Bob Lokman dan Dian P. Ramlee. Di dalam temubual Nona pada tahun 2018, Khatijah ujar dia amat berbangga dengan dirinya pada masa itu untuk berlakon di dalam filem tersebut walaupun watak nya hanya sebagai pelakon tambahan sahaja. Pada tahun yang sama, beliau berlakon sebuah drama berjudul Orang Gaji yang melayakkan beliau untuk menerima satu pencalonan—Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin dan Bintang Popular 1996.

1998–2005: Di puncak populariti dan kemasyhuran sunting

Khatijah meraih kemuncak populariti pada lewat 1990-an menerusi sebuah sitkom ciptaan Hatta Azad Khan, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang disiarkan selama 6 tahun bermula pada tahun 1998–2004.[4] Melalui sitkom ini, nama Khatijah Tan terus melonjak naik di persada tanah air dimana sebelum ini Khatijah hanya dikenali oleh sebahagian masyarakat terutamanya di kalangan penggemar-penggemar drama Rumah Kedai, dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, beliau mula terkenal di seluruh negara bahkan negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand. Khatijah memainkan peranan sebagai Mak Ngah iaitu merupakan peniaga warung di Flat Seri Wangi. Tambahan pula, masyarakat Malaysia lebih mengenalinya sebagai Mak Ngah daripada Khatijah Tan ketika itu.[5]

Popularitinya beterusan lagi apabila beliau membintangi filem keduanya iaitu Soal Hati (selepas Yes, Tuan!) yang mendapat pujian ramai daripada lakonannya dalam filem tersebut. Khatijah memperoleh pencalonan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-45 di Iran namun tewas kepada aktres Yi-Ching Lu yang berasal dari Taiwan menerusi filem What Time Is It There? (Cina ringkas: 你那边几点Cina tradisional: 你那邊幾點pinyin: Nǐ nà biān jǐ diǎn).[6] Di dalam filem Soal Hati, Khatijah berlakon bersama-sama Erra Fazira dan Afdlin Shauki dengan menjayakan peranan sebagai Normah (Mak Lang).[7]

"Persembahan Khatijah Tan di dalam filem Embun sangat cemerlang dan realistik"

Kakiseni's Faisal Tehrani.[8]

Pada tahun 2002, Khatijah bekerja di bawah sutradara Erma Fatima buat kali pertama dan bergandingan bahu bersama Datin Seri Umie Aida, Aqasha, Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan lain-lain menerusi filem emansipasi Embun yang ditayangkan pada 1 Ogos 2002. Di dalam filem tertera, Khatijah memainkan peranan sebagai pelakon tambahan dimana beliau memegang watak sebagai Mak Temah iaitu merupakan ibu kepada Embun Harun (Umie Aida). Filem ini mengisahkan tentang kehidupan manusia yang hidup pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Kejayaan filem ini sekaligus telah mengangkat nama Khatijah di pelusuk Asia Pasifik dimana yang telah melayakkan beliau untuk memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Asia Pasifik di Festival Filem Asia Pasifik ke-46. Menerusi filem Embun, Khatijah Tan telah diberikan gelaran oleh blogger tempatan iaitu sebagai salah seorang daripada "Aktor & Aktress Malaysia Paling Berkarakter".[9] Tidak cukup dengan itu, persembahan beliau di dalam Embun juga telah meraih perhatian ramai orang kerana lakonnanya yang luar biasa terutamanya juri Festival Filem Malaysia dan mendapat pujian menyeluruh pengkritik. Antara babak yang masih diingati dan tidak dapat dilupakan oleh para pengkritik iaitu babak dimana ekspresi muka beliau semasa suaminya (Rahim Razali) mati dan mayat dibawa pulang sambil memegang tiang dengan pandangan kosong yang tiada keraguaan lagi mengapa Khatijah dapat mengaut trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Asia Pasifik dan dapat menewaskan beberapa negara lain yang bertanding seperti Hong Kong, Korea Selatan dan lain-lain.[8]

Pada tahun seterusnya, Khatijah muncul dalam pelbagai buah produksi TV yang terkenal seperti telefilem Air Mata Ibu, Emak Aku...Bini Aku..., Cik Tom Wanita Besi, Ayam Kampung dan lain-lain. Lakonannya di dalam telefilem Ayam Kampung melayakkan beliau untuk menerima satu pencalonan di dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Telefilem dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Embun di Anugerah Skrin pada tahun 2003. Biarpun tewas untuk telefilem Ayam Kampung itu, Khatijah berjaya untuk memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem.

Pada tahun 2004, Khatijah kembali untuk memikat hati masyarakat di tanah air menerusi filem Hingga Hujung Nyawa. Khatijah sekali lagi berganding bahu bersama Erra Fazira iaitu yang diberi gelaran sebagai Primadona Filem Melayu Alaf Baru dan Yusry Abdul Halim. Filem ini mengisahkan Nora (Erra Fazira) yang derhaka terhadap ibu (Maznah, Khatijah Tan) dan bapanya (Halim, Abu Bakar Omar) kerana dia berasal dari keluarga yang fakir. Filem ini meraih kutipan berjumlah RM 4 juta dan ini telah menjadikan filem ini sebagai box-office filem tertinggi di Malaysia pada tahun 2004. Persembahan lakonan Khatijah Tan di dalam filem ini diiktiraf dan menerima nominasi Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-18 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18.

2006–2009: Dunia Baru dan cabaran kerjaya sunting

"[...] Ha ingat tu! kita sebagai manusia haruslah memilih jalan yang diberi pertunjuk oleh Allah S.W.T. barulah kita mendapat keberkatan daripada Allah, Ka Ba Ra Kaf Alif Ta Nun (yer) keberkatan. Ingat tu Muhd Adif!

—Dialog Khatijah Tan di dalam siri drama Dunia Baru yang menjadi budaya pop.

Setelah sekian lama Khatijah tidak fokus terhadap pembikinan siri drama, beliau kembali menerusi drama siri televisyen komedi remaja berjudul Dunia Baru, sutradara M. Hitler Zami. Dengan serta merta, beliau kembali menghiburkan dan berjaya mencuit hati penonton dengan hiburan komedi lakonannya yang sehingga kini tidak dapat dilupakan oleh masyarakat. Di dalam siri drama ini, Khatijah berganding bahu dengan anaknya sendiri untuk kali ke-6, Pierre Andre dimana di dalam drama ini mereka juga mempunyai ikatan kekeluargaan yang sama iaitu Khatijah memegang watak sebagai Puan Mariah iaitu merupakan ibu kepada Muhd Adif (Pierre Andre). Drama ini ditayangkan di TV3 dan pernah mendapat sambutan di luar jangkaan yang dahsyat dimana siri drama ini dianggarkan menerima 3 juta penonton. Khatijah bukan sahaja dikenali sebagai Mak Ngah, manakala beliau juga dikenali sebagai slogan "ka ba ra kaf alif ta nun".

Pada tahun 2007, Khatijah muncul dalam beberapa buah produksi TV dan tiga buah filem iaitu Jangan Pandang Belakang, Chermin dan Jibam The Movie. Di dalam filem seram Jangan Pandang Belakang sutradara Ahmad Idham, Khatijah sekali lagi berganding bahu bersama anaknya, Pierre Andre. Biarpun Khatijah Tan lebih dikenali sebagai seorang pelawak, namun Khatijah juga berjaya menjayakan wataknya di dalam filem bergenre seram dengan cemerlang. Filem Jangan Pandang Berlakang yang mengisahkan seorang pemuda bernama Darma (Pierre Andre) yang cuba mencari kepastian tentang sebab kematian tunangnya Rose (Intan Ladyana). Kendatipun filem ini menerima kritikan yang tidak memuaskan tetapi filem ini telah menciptakan sejarah dalam industri perfileman negara kerana berjaya mendapat kutipan sebanyak RM 7.4 juta.[10]

"Khatijah Tan adalah seorang pelakon kelas atasan. Dia harus mendapat Anugerah Suanie."

—Komen Suanie terhadap lakonan beliau di dalam Chermin.[11]

Selain itu, di dalam filem seram Chermin sutradara Zarina Abdullah, filem yang mengisahkan tentang sebuah cermin antik warisan yang ditemui oleh ibunya (Mak Piah dilakonkan oleh Khatijah Tan) menjadi tanda tanya kepada mereka. Persembahaan lakonan beliau di dalam filem ini sekali lagi membuka mata para pengkritik dengan lakonannya yang unggul yang menarik minat mereka. Serta-merta ini telah menjadikan Khatijah sebagai aktres dengan kutipan box-office tertinggi pada tahun 2007 iaitu menerusi dua buah filem lakonannya, Jangan Pandang Belakang dan Chermin berjaya mengumpul keseluruhan RM 8.5 juta dan dapat menewaskan pelakon-pelakon lain seperti Umie Aida dan Erra Fazira. Justeru, Khatijah juga telah terpilih untuk melakonkan filem adaptasi majalah kartun humor Malaysia, Ujang ciptaan Ibrahim Anon, namun atas hal-hal tertentu, sehingga kini filem itu masih tidak ditayangkan.

Pada tahun 2008, selepas beliau menamatkan kontraknya di dalam siri drama Dunia Baru, Khatijah terus menjayakan satu watak iaitu sebagai Bok Miah di dalam sebuah siri drama seram Puaka Niyang Rapik sutradara Ahmad Idham. Khatijah berganding bahu bersama Ashraf Muslim dan menjadi ibu kepada Liyana Jasmay. Seterusnya, Khatijah berlakon sekali lagi di dalam siri drama seram iaitu Keliwon sutradara Rashid Sibir yang disiarkan di layar kaca siaran TV3 iaitu bermula 5 Februari–30 Julai 2009. Pada tahun yang sama, Khatijah juga terlibat di dalam satu kontroversi dimana beliau menerima kecaman yang hebat daripada pelbagai lapisan masyarakat disebabkan advertensinya untuk produk Coca-Cola kerana produk tersebut difahamkan telah menyumbangkan dana kepada negara Israel dimana Israel–Malaysia tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik kerana isu yang temperamental halus bagi umat Islam di Malaysia dan hal ini demikian telah menimbulkan satu isu yang mengecewakan penduduk tempatan kerana seolah-olah Khatijah menyokong tindakan yang dilakukan oleh syarikat Coca-Cola tersebut.

2010–2018: Telefilem, Drama & Duta sunting

Setelah lebih 23 tahun pembabitan beliau di dalam industri, nama Khatijah Tan sudah tidak asing lagi di persada seni tanah air. Khatijah memulakan kariernya ke dalam bidang seni ketika beliau berumur sekitar 27 tahun dan telah mempunyai pelbagai pengiktirafan. Dengan hal sedemikian, beliau telah mengurangkan penglibatan beliau di layar perak justeru kerana beliau ingin lebih fokus terhadap lakonannya di layar kaca iaitu dengan melalui siri drama dan telefilem.

Pada tahun 2010, Khatijah muncul di dalam siri drama yang ditayangkan di Astro Citra sebanyak 11 episod, beliau memainkan peranan tambahan sebagai Mak Som, Apa Dosaku: The Sybil Kathigasu Story yang diinspirasikan oleh kisah benar berkenaan seorang wirawati iaitu Sybil Kathigasu. Pada tahun 2012, beliau berlakon dalam lima filem serentak—8 Jam arahan Ahmad Idham, Halim Munan arahan Hashim Rejab, Syirik arahan M. Subash Abdullah, Cinta Beruang arahan Ramanarayanan dan Untuk 3 Hari arahan Dato' Afdlin Shauki.

Sejak tahun 2010–2018, Khatijah telah bersandiwara di dalam pelbagai drama dan telefilem yang ditayangkan di stesen-stesen televisyen tanah air. Oleh hal demikian Khatijah telah menjaulat sebagai penyeri layar kaca pada dekad ini. Antara drama yang dilakokannya yang mendapat sambutan orang ramai ialah seperti Hati Perempuan, diadaptasi daripada novel 2013 dengan judul sama karya Nur Ain Al-Abbas dan Bukan Isteri Sempurna sutradara Azmi Hatta—bergandengan bersama Dazrin Kamarudin dan Atikah Suhaime serta Teman Lelaki Upahan yang juga diadaptasi dari novel 2014 dengan judul sama karya Azura Rasiddin. Pada tahun seterusnya, Khatijah menjadi duta produk Nestle.

Bersahutan dengan itu, Khatijah juga telah menjayakan berbagai telefilem yang meraih sambutan yang tinggi oleh rakyat. Antara telefilemnya ialah Baju Raya Kain Perca, Derhaka Seorang Anak, Cucu Wan Lebor, Bila Mak Mengandung Lagi, Lokum Untuk Mama dan Cik Sayur Encik Seafood—sutradara Idora Abdul Rahman. Seterusnya, Khatijah dinaik sebagai duta produk Panasonic Malaysia bersama Rita Rudaini dan Rashidi Ishak pada tahun 2017.

 
Khatijah Tan pada tahun 2018.

Pada tahun 2018, Khatijah kurang mengisi layar kaca televisyen pada awal tahun tersebut. Hal ini demikian telah menjadikan perbualan dan persoalan terhadap masyarakat kepada Khatijah—adakah beliau bersara dari bidang seni?. Lanjutan daripada itu, Khatijah telah menjawab persoalan itu melalui temu bual Harian Metro, beliau berkata “Dalam lakonan, kita tak boleh meletakkan usia bila kita akan bersara. Ini kerana jiwa seni kita akan memberontak. Jiwa seni tiada had yang mampu menjadi penanda aras, [...] kalau seseorang pelakon mengatakan dia sudah bersara, itu hanya kata-katanya saja. Sebenarnya dia tidak boleh meninggalkan karier itu,” katanya.[12]

Sementelahan, setelah sekian lama Khatijah tidak aktif di dalam pembikinan iklan, beliau kembali menerusi iklan raya yang berjaya menitiskan air mata penonton dengan lakonannya iaitu iklan yang bertajuk "Janji Amin", diterbit oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Khatijah bergandengan bersama Syafie Naswip, mengisahkan anak yang tidak dapat menepati janjinya terhadap ibunya. Tambahan pula, beliau juga sekali lagi membuat dua iklan untuk Prudential BSN Takaful. Yang pertama bertentangkan #TeamRayaMerah—bergandengan bersama Nam Ron manakala iklan yang kedua bersama "Pi Mai Pi Mai Tang Tu Gang", iaitu yang terdiri daripada Imuda, Sathiya, Khatijah Tan dan Angeline Tan bertajuk "Pasar Malam". Lain daripada itu, beliau kembali berkerja di bawah arahan Sabri Yunus menerusi telefilem khas semperna Hari Raya Aidiladha, Begitu Janji Tertulis dan Sesuci Jahada Ihram.

2019–kini: Kesinambungan Kejayaan sunting

Pada permulaan warsa 2019, Khatijah bekerja di bawah arahan Heykal Hanifah menerusi telefilem Sinar Ramadan Untuk Amanda. Beliau memegang watak sebagai Datin Suraya dimana telefilem tersebut mengisahkan tentang Datin Suraya (ibu kepada Idham) tidak merestui perkahwinan anaknya, Idham (dilakonkan oleh Awal Ashaari) bersama Sofia (dilakonkan oleh Nina Iskandar), namun, hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata–mempunyai penyakit sindrom down yang telah membuatkan Datin Suraya bengis dan benci terhadap cucunya itu. Seterusnya, beliau juga menjayakan watak jahatnya sekali lagi dengan memegang watak sebagai Mak Bong menerusi telefilem Bisu. Menyelusuri dua telefilem ini, beliau menerima sambutan yang hangat melalui lakonannya. Selanjutnya, Pierre Andre dan Mikail Andre iaitu merupakan anak kepada Khatijah–menubuhkan sebuah akaun YouTube bertajuk Andre Brothers Production. Di dalam akaun tersebut, mereka telah mereka cipta pelbagai filem pendek yang dilakokan oleh Khatijah, bagaimanapun, menurut Khatijah, saluran berkenaan diwujudkan sekadar 'suka-suka' dan bukan untuk mengejar wang.[13]

Pada tahun 2020, beliau telah menjayakan enam telefilem iaitu Coklat Chip Special, Kembara Cinta, Bujang Raya Bersama, Nur 3 Pagi, Wasiat Untuk Halina dan Cucu Nek Putih. Di dalam telefilem Coklat Chip Special, Khatijah berganding bahu bersama Fasha Sandha, semasa penggambaran telefilem tersebut, Fasha memberitahu bahawa beliau menjadikan Khatijah Tan sebagai inspirasi di dalam kerjaya lakonannya, "Ibu Khatijah Tan, the legend, I adore her so much [...]" katanya.[14]

Tidak cukup dengan itu, beliau juga telah mendapat tawaran untuk berlakon filem Butak arahan Sabri Yunus. Khatijah akui beliau amat bersyukur dan merasa gembira kerana terpilih sebagai salah seorang pelakon di dalam filem tersebut, "Ini sesuatu yang baru bagi saya menggunakan dialog bahasa Melayu Pattani Batu Kurau dalam drama atau filem", ujar Khatijah Tan.[15] Filem Butak ini mengisahkan seorang remaja lelaki yang tinggal bersama datuk (lakonan Bohari Ibrahim) dan neneknya (lakonan Khatijah Tan) di sebuah kampung. Butak/Buntat merupakan seorang remaja yang nakal dan dibenci oleh orang kampung namun oleh hal sedemikian, beliau berhajat untuk pergi ke Kota Suci Makkah agar dapat bertaubat. Filem ini meraih sambutan yang tinggi walakin tidak dapat ditayangkan di layar lebar kerana menjelang isu yang sedang melanda dunia, Pandemik COVID-19, dan terpaksa ditayangkan di Astro First, namun itu bukanlah penghalang untuk filem Butak meraih kutipan yang tinggi.[16]

Kehidupan peribadi sunting

Khatijah berkahwin dengan Nazri Andre (nama asalnya sebelum memeluk agama Islam ialah Philip Harry-Andre) yang berketurunan Perancis pada sekitar tahun 1984.[‡ 2] Perkahwinan mereka dikurniakan dua ibnu. Anak-anak mereka ialah Pierre Andre (lahir 1984) dan Mikail Andre (lahir 1992).[17] Anak sulungnya, Pierre berkahwin dengan Siti Nur Hidayah Hashim pada 23 Jun 2013 dan mempunyai seorang anak[18] manakala anak keduanya pula ialah Mikail telah berkahwin dengan Siti Nur Aima Fauzi pada 1 April 2017 dan mendapat seorang cahaya mata pada April 2019.[19]

Filemografi sunting

Diskografi sunting

Runut bunyi sunting

Lagu Penerbit Catatan Panjang Tahun Ruj.
"Shh...Dia Datang"
Farah Diarra duet bersama Ahmad Busu, Zami Ismail, Khatijah Tan dan Imuda
Pop Shuvit Lagu tema filem Shh...Dia Datang 3:04 2009 [20]

Videografi sunting

Muzik video sunting

Tahun Penyanyi Tajuk Ruj.
2003 Siti Nurhaliza "Airmata Ibu" [‡ 3]
2003 Yana Samsudin "Hingga Hujung Nyawa" [‡ 4]
2009 Farah Diarra
Duet bersama Ahmad Busu, Zami Ismail, Khatijah Tan dan Imuda
"Shh...Dia Datang" [‡ 5]
2012 Joe Flizzow, DJ Fuzz & Aizat Amdan "Dimanapun Engkau Berada" [‡ 6]
2016 Taufik Batisah "Harus Begitu" [‡ 7]
2016 Faruq Sulaiman "Radhi Rudy Bin Dadu" [‡ 8]
2019 Tajul Ariff "Ibu" [‡ 9]
2022 Ridzuwan Jusoh & Raja Azura "Vape Fenomena" [‡ 10]
2022 Raja Azura, Asmidar, Ezza Afiqa, Juanita Ismail "Aman Jiwa" [‡ 11]
2022 Norman Hakim "Mi Amor" [‡ 12]

Endorsmen sunting

Tahun Produk Catatan Ruj.
2013 Metro Driving Academy Lesen Memandu Kereta [‡ 13]
2014 Nestlé Malaysia Minuman Milo
2015 D'Herbs Set Bersalin Mak Bidan [21]
2017 Panasonic Malaysia Barangan Elektrik [22]
2022 Hotlink Telekomunikasi [23]
2022 Nescafé Malaysia Minuman kopi [24]

Anugerah dan pencalonan sunting

Nama majlis penganugerahan, tahun yang diserahkan, penama anugerah, kategori anugerah, dan hasil pencalonan
Anugerah Tahun Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan Ruj.
Anugerah Skrin 1996 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama Orang Gaji Tercalon
2003 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Telefilem Ayam Kampung Tercalon
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem Embun Menang
2013 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama Akhirnya Kisah Perempuan Tercalon [25]
Anugerah Perdana Bintang Seniman 2004 Seniwati[a] Khatijah Tan Penghormatan [26]
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1996 Artis Komedi Wanita Popular Orang Gaji Tercalon
1999 Khatijah Tan Tercalon
2000 Tercalon
2001 Tercalon
Pelakon Televisyen Wanita Popular Tercalon [27]
Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon [28]
2002 Artis Komedi Wanita Popular Tercalon [29]
2004 Pelakon Televisyen Wanita Popular Tercalon [30]
Pelakon Filem Wanita Popular Hingga Hujung Nyawa Tercalon
Anugerah Lawak Warna 2014 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Atan & Atoi Tercalon [31]
BOH Cameronian Arts Awards[b] 2003 Persembahan Ensemble Teater Terbaik Alang Retak Seribu Menang [32]
Festival Filem Malaysia 2003 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Embun Tercalon
2004 Hingga Hujung Nyawa Tercalon [33]
Festival Filem Asia Pasifik 2001 Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Soal Hati Tercalon [34]
2002 Embun Menang
Sathya Sai International Organisation of Malaysia[c] 1999 Pelakon Teater Perempuan Terbaik Khatijah Tan Menang [35]
Anugerah Seri Angkasa 2022 2022 Pelakon TV Wanita Terbaik Rabak Menang

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Gelaran Seniwati yang diberikan secara rasmi kepada Khatijah Tan pada tahun tersebut.
  2. ^ Di dalam Bahasa Melayu ialah Anugerah Seni BOH Cameronian.
  3. ^ Di dalam Bahasa Melayu ialah Pertubuhan Antarabangsa Sathya Sai Malaysia.

Rujukan sunting

Sumber petikan sunting

  1. ^ "Drama 'Rumah Kedai' Imbau Kenangan Sambut Ramadan 27 Tahun Lalu". Siakap Keli. 20 Jun 2015. Dicapai pada 18 November 2020.
  2. ^ Nur Syamimi (11 September 2019). "Lihat 28 Iklan TV Tempatan Yang Pernah Popular Satu Ketika Dahulu". The Vocket. Dicapai pada 18 November 2020.
  3. ^ Izzati Ramli (30 Januari 2018). "#MHRecap: Ini 4 Iklan Popular Sekitar Tahun 90-an, Legend Habis!". Media Hiburan. Dicapai pada 18 November 2020.
  4. ^ "Pi Mai Pi Mai Tang Tu Muncul Kembali". mSTAR Online. 9 Mei 2011. Dicapai pada 18 November 2020.
  5. ^ Amri Hassan (28 Ogos 2019). "Kerana Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Sabri Yunus Selamatkan Pasangan Hampir Bercerai!". Astro Gempak. Dicapai pada 18 November 2020.
  6. ^ "汯呄霖電影有限公司" [Rumah Warna Hijau] (dalam bahasa Inggeris). 13 Disember 2018. Dicapai pada 21 November 2020.
  7. ^ "Pie terkenal dengan filem Pulau Mutiara". Perak Today!. 13 Ogos 2016. Dicapai pada 18 November 2020.
  8. ^ a b Faisal Tehrani (12 Ogos 2002). "Embun, Mona Atau Zakiah Faisal Tehrani mencari yang munasabah dalam filem terbaru Erma Fatima". KakiSeni. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 September 2002. Dicapai pada 11 November 2020.
  9. ^ "10 Aktor & Aktress Malaysia Paling Berkarakter". PerangFilem. 23 Oktober 2011. Dicapai pada 11 November 2020.
  10. ^ "Top 50 feature film" [50 filem utama] (dalam bahasa Inggeris). Perbadanan Kemajuan Filem Nasional. Dicapai pada 21 November 2020.
  11. ^ Suanie. "Chermin, Mixed Feelings" [Chermin, Perasaan yang Bercampur] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Julai 2007. Dicapai pada 11 November 2020.
  12. ^ Syafil Syazwan Jefri (25 Mei 2018). "Hati tenang di Ipoh". Harian Metro. Dicapai pada 21 November 2020.
  13. ^ Serimah Mohd Sallehuddin (4 Jun 2020). "'Pierre kecewa...'". Berita Harian. Dicapai pada 21 November 2020.
  14. ^ "Drama Buat Anak Dileksia Temukan Kembali Fasha Sandha & Pelakon Pembantuk Wanita Terbaik Asia, Khatijah Tan". Media Hiburan. 5 Julai 2019. Dicapai pada 21 November 2020.
  15. ^ "Khatijah Tan Bersyukur Dapat Berlakom di Batu Kurau". Batu Kurau Online-Media Rakyat. 31 Oktober 2018. Dicapai pada 21 November 2020.
  16. ^ "BUTAK Tunjuk Taring! Terus Jadi Juara Selepas Sehari Ditayangkan!". MyKMU. 10 Oktober 2020. Dicapai pada 21 November 2020.
  17. ^ Norhayati Nordin (4 January 2015). "Tak ambil kesempatan". Harian Metro. Dicapai pada 26 April 2020.
  18. ^ Kemalia Othman (21 Jun 2013). "Pierre Andre Berdebar Untuk Jadi Suami Ahad Ini". mSTAR Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-10-20. Dicapai pada 29 Mac 2014.
  19. ^ Syafiqah Jalal (2 April 2017). "Selepas Kahwin, Mikail Andre Ikut Isteri Ke Langkawi". Astro Gempak. Dicapai pada 26 April 2020.
  20. ^ Wahiduzzaman (20 Mei 2008). ""Pi Mai Pi Mai Tang Tu" gang records "Dia Datang" theme song". Cinema Online. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  21. ^ "Review Set Berpantang Dherbs Mak Bidan". Sensistop. 5 Ogos 2016. Dicapai pada 16 November 2020.
  22. ^ Syahirah Mokhtazar (20 Mei 2017). "Match made in heaven: Vanidah and Rashidi still crazy in love" [Pertandingan yang dibuat di syurga: Vanidah dan Rashidi masih gila cinta]. New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 16 November 2020.
  23. ^ "Tiga Janda #BikinSampaiJadi Melawan Dunia dengan Prabayar Hotlink Pantas: Perjalanan Midah, Rohayu dan Ani untuk pergi konsert terakhir penyanyi kegemaran mereka bukanlah sesuatu yang mudah. Jom saksikan kegigihan mereka #BikinSampaiJadi untuk dapatkan golden tiket dengan Hotlink!". Maxis Communications Berhad. Dicapai pada 9 May 2022.
  24. ^ "Jom sertai Peraduan Posing Detik Raya NESCAFÉ". Nescafé. Dicapai pada 9 May 2022.
  25. ^ "(HIBURAN) Top 5 pencalonan penuh Anugerah Skrin 2013". GalaksiMedia Online. 2 November 2013. Dicapai pada 9 November 2020.
  26. ^ "Anugerah Seniman paling bermakna" (PDF). Berita Harian (Siaran akhbar). 2004. Dicapai pada 20 Oktober 2020.
  27. ^ "Kod Kategori 08: Pelakon TV Wanita Popular". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Oktober 2002. Dicapai pada 8 November 2020.
  28. ^ "Kod Kategori 01: Pelakon Filem Wanita Popular". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Disember 2002. Dicapai pada 8 November 2020.
  29. ^ "Senarai Calon Akhir Anugerah Bintang Popular 2002". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Disember 2002. Dicapai pada 8 November 2020.
  30. ^ "Senarai Pencalonan ABP 2004". Berita Harian. 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Mac 2005. Dicapai pada 6 Ogos 2020.
  31. ^ Kemalia Othman (26 Ogos 2014). "'Sejoli' & 'Adnan Sempit 3', Pencalonan Terbanyak Anugerah Lawak Warna 2014". mSTAR Online. Dicapai pada 6 Ogos 2020.
  32. ^ "2nd BOH Cameronian Arts Awards 2003". Kakiseni Sdn. Bhd. 2003. Dicapai pada 20 Oktober 2020.
  33. ^ "Festival Filem Malaysia Ke 18". Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia. 17 Julai 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 September 2012. Dicapai pada 1 November 2020.
  34. ^ "#SPOTLIGHT: Data Pencapaian Filem Cereka Tempatan Di Peringkat Antarabangsa (1950-Terkini)" (PDF) (Siaran akhbar). Perbadanan Kemajuan Filem Nasional. 2018. Dicapai pada 5 Jun 2020.
  35. ^ "Buku Program Bangsawan Siti Zubaidah". My Art Memory Project. 2000. Dicapai pada 4 Ogos 2020. m/s 28.

Sumber video sunting

Dalam teks rujukan ini didahului oleh (‡):

  1. ^ Nona (2018) Episod 10 (Television broadcast). TV3. 11 April 2020. Peritiwa berlaku pada 28:10. Dicapai pada 26 April 2020.
  2. ^ Jom Berbuka (2020) Episod 1 (Television broadcast). TV3. 11 April 2020. Peritiwa berlaku pada 7:41. Dicapai pada 26 April 2020.
  3. ^ Siti Nurhaliza - Air Mata Ibu (Official Music Video - HD) (Online broadcast). Suria Records. 28 Mac 2013. Dicapai pada 18 Ogos 2020.
  4. ^ Hingga hujung Nyawa Norliana Samsuddin (Online broadcast). Metrowealth Pictures. 20 Mac 2012. Dicapai pada 5 Ogos 2020.
  5. ^ Diarra & Pi Mai - OST SHHH... DIA DATANG. Gitu-Gitu Production. 1 Disember 2015. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  6. ^ Dimanapun Engkau Berada Music Video (Official) (Online broadcast). Tarantella Pictures. 23 Jun 2012. Dicapai pada 5 Ogos 2020.
  7. ^ Taufik Batisah - Harus Begitu (Official OST) [HD] DUKUN DOKTOR DANI DI PAWAGAM 28 JULAI 2016 (Online broadcast). Astro Shaw. 19 Julai 2016. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  8. ^ Radhi Rudy Bin Dadu OST - FARUQ SULAIMAN (Online broadcast). White Merpati Entertainment. 15 September 2016. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  9. ^ Tajul - Ibu (Official Music Video) (Online broadcast). FMC Music. 5 April 2019. Dicapai pada 26 April 2020.
  10. ^ Vape Fenomena - "Tiga Janda Melawan Dunia" OST Music Video (Online broadcast). Golden Screen Cinemas. 6 May 2022. Dicapai pada 9 May 2022.
  11. ^ Aman Jiwa - "Tiga Janda Melawan Dunia" OST Music Video (Online broadcast). Golden Screen Cinemas. 6 May 2022. Dicapai pada 9 May 2022.
  12. ^ Mi Amor - "Tiga Janda Melawan Dunia" OST Music Video (Online broadcast). Golden Screen Cinemas. 6 May 2022. Dicapai pada 9 May 2022.
  13. ^ MetroOne Defensive Driving - Salih Yaacob dan Khatijah Tan (Online broadcast). Metro Driving Academy. 1 Mac 2013. Dicapai pada 16 November 2020.

Pautan luar sunting