Kitab Roger ataupun Nuzhat al-mushtāq fi'khtirāq al-āfāq (Arab: نزهة المشتاق في اختراق الآفاق, harfiah, "buku berkaitan penjelahan selesa ke tanah jauh") yang juga dikenali sebagai Tabula Rogeriana dalam bahasa Latin (harfiah, "Buku Roger" ialah pemerian dunia dan peta dunia karya ahli geografi Muslim, Muhammad al-Idrisi, dalam tahun 1154 M. al-Idrisi berusaha menghasilkan ulasan dan lukisan peta selama lima belas tahun di istana raja Norman Roger II dari Sicily yang telah mentauliahkan karya tersebut pada tahun 1138.[1][2]

Salinan moden Kitab Roger (Tabula Rogeriana), dihasilkan oleh Muhammad al-Idrisi untuk Roger II dari Sicily pada tahun 1154 M.
Salinan moden Kitab Roger yang dipaparkan terbalik dengan arah Utara di bahagian atas.

Kitab itu, yang ditulis dalam bahasa Arab, dibahagikan kepada tujuh zon cuaca (mengikut sistem mantap Ptolemy), dengan masing-masing zon dibahagikan pula kepada sepuluh bahagian, dan mengandungi peta yang menunjukkan keseluruhah benua Eurasia tetapi hanya bahagian utara benua Afrika. Peta diorientasikan dengan arah Utara di bawah. Ia kekal menjadi peta yang paling tepat selama 300 tahun kemudian.[2][3] Teks ini turut memuatkan gambaran terperinci mengenai sifat fizikal, budaya, politik, dan sosial ekonomi setiap wilayah dan setiap dari tujuhpuluh seksyen memiliki peta yang tersendiri.[2][4]

Untuk menghasilkan karyanya, al-Idrisi menemu duga pengembara berpengalaman secara individu dan berkumpulan tentang pengetahuan mereka tentang dunia dan "hanya bahagian ... yang dipersetujui dan boleh dipercayai, dan menolak apa yang bercanggah."[1] Roger II mengukir petanya pada cakera perak yang berat hampir 300 paun.[1] Ia memaparkan, mengikut kata-kata al-Idrisi, "tujuh wilayah cuaca, dengan negeri dan daerah masing-masing, pantai dan tanah, teluk dan lautan, alur air dan kuala sungai."[1]

Dalam bukunya (terbit 1904) S. P. Scott mengulas tentang karya al-Idrisi:

"Himpunan Edrisi [al-Idrisi] menandakan satu era dalam sejarah sains. Bukan sahaja maklumat pensejarahannya menarik dan bernilai, akan tetapi pemeriannya tentang banyak tempat di dunia masih berwibawa. Selama tiga abad, para ahli geografi meniru karyanya tanpa sebarang perubahan. Kedudukan nisbi (relatif) tasik-tasik yang mimbulkan sungai Nil, seperti yang ditunjukkan dalam karyanya, tidak banyak berbeza daripada hasil usaha Baker dan Stanley tujuh ratus tahun terkemudian, dan bilangan tasiknya sama. Keterampilan mekanik penulisnya tidak kurang daripada keilmuannya. Planisfera (unjuran peta dua dimensi yang berpusatkan kutub utara atau kutub selatan) perak cakerawala dan bumi yang dibuatnya untuk penaung dirajanya hampir enam kaki garis pusatnya, dan berat empat ratus lima puluh paun; pada sebelah terdapat Zodiak dan buruj-buruj, di sebelah lagi ‐ dibahagikan kepada penggal-penggal supaya mudah – longgokan tanah dan air, dengan perihal masing-masing buat setiap negeri, diukir "Sejarah Empayar Moor".[3]

Terdapat sepuluh salinan manuskrip Kitab Roger yang kekal, lima mengandungi teks lengkap dan lapan yang mengandungi peta-peta.[2] Dua, termasuk yang tertua bertarikh 1325, disimpan di Bibliothèque nationale de France (MS Arabe 2221. Satu salinan lagi, yang diperoleh pada tahun 1692.[5] disimpan di Perpustakaan Bodley di Oxford (Mss. Pococke 375). Salinan manuskrip yang paling lengkap, yang memuatkan peta dunia dan kesemua peta-peta penggal, disimpan di Istanbul.[4]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d Houben, 2002, pp. 102-104.
  2. ^ a b c d Harley & Woodward, 1992, pp. 156-161.
  3. ^ a b S. P. Scott (1904), History of the Moorish Empire, pp. 461-2
  4. ^ a b Bacharach, 2006, p. 140.
  5. ^ The Book of Roger, BBC Online.

Bibliografi sunting

  • Bacharach, Jere L. (2006). Medieval Islamic Civilization: An Encyclopedia. Routledge. ISBN 978-0-415-96690-0
  • Harley, John Brian and Woodward, David (1992). The History of Cartography, Volume 2. Oxford University Press. ISBN 978-0-226-31635-2
  • Houben, Hubert (2002). Roger II of Sicily: A Ruler Between East and West. Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-65573-6

Pautan luar sunting