Lebuh raya capaian terkawal

lebuh raya dibentuk secara eksklusif untuk trafik kenderaan yang laju, dengan semua aliran trafik dan trafik masuk/keluar dikawal

Lebuh raya capaian terkawal, (Jawi: لبوه راي چاڤاين ترکاول ) merupakan jenis lebuh raya khusus yang direkabentuk untuk pemanduan berkelajuan tinggi, yang mana keseluruhan aliran lalu lintas dan keluar masuk lebuh raya adalah dikawal sepenuhnya. Ia dikenali dengan pelbagai jenis istilah seperti lebuh raya bebas (di AS), lebuh raya kereta (di UK dan Eropah) dan lebuh raya ekspres (di Malaysia dan kebanyakan negara Asia). Istilah lain yang digunakan termasuklah Sepanyol: autopista atau autovía (bergantung sama ada ia bertol atau tidak), Perancis: autoroute, Jerman: Autobahn, atau Itali: autostrada. Istilah lain termasuklah lebuh raya ekspres, Interstate, dan lebuh raya taman. Ada kalanya ia mungkin dipanggil sebagai lebuh raya capaian terhad, walaupun istilah tersebut sebenarnya merujuk kepada satu kelas lebuh raya dengan darjah pengasingan trafik yang lebih rendah.

Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, lebuh raya ekspres capaian terkawal terpanjang di Malaysia.
Persimpangan bertingkat antara lebuh raya US-131, M-6 dan 68th Street di Wyoming, Michigan, yang menunjukkan pelbagai ciri utama lebuh raya capaian terkawal — laluan berasingan untuk lalu lintas arah berlawanan, tiada persilangan searas dan tiada jalan masuk terus ke premis-premis hartanah.

Sebuah lebuh raya capaian terkawal menampilkan aliran trafik bebas tanpa halangan, tanpa lampu isyarat, persilangan ataupun capaian ke premis hartanah. Ia bebas daripada persimpangan searas dengan jalan raya lain, landasan kereta api mahupun lorong pejalan kali, yang sebaliknya diangkut melalui jejambat atau terowong melintasi lebuh raya. Keluar masuk lebuh raya hanyalah melalui jalan susur (tanjakan) di persimpangan bertingkat, yang membenarkan perubahan kelajuan antara lebuh raya dengan jalan raya arteri dan jalan pengumpul. Di lebuh raya capaian terkawal, laluan trafik bagi arah berlawanan diasingkan oleh pembahagi jalan yang mengandungi pengadang jalan ataupun rumput. Dengan menghapuskan sumber-sumber konflik berpotensi dengan lalu lintas dari arah lain, tahap keselamatan pemanduan serta kapasiti lebuh raya dapat ditingkatkan dengan ketara.[1]

Lebuh raya capaian terkawal berevolusi semasa separuh abad pertama bagi kurun ke-20. Itali membuka autostrada pertama pada tahun 1924 yang menghubungkan antara Milan dengan Varese (A8). Jerman mula membina autobahn pertama dengan kawalan masuk penuh sepanjang 30-kilometer (19 bt) tanpa had laju (pada masa itu ia dipanggil lebuh raya kembar) pada tahun 1932 antara Cologne dengan Bonn (kini A555). Ia kemudian dibina dengan pesatnya di seluruh negara berikutan ia dikatakan berguna semasa Perang Dunia Kedua. Lebuh raya bebas pertama di Amerika Utara (dikenali sebagai lebuh raya taman) dibuka di kawasan Bandar Raya New York pada tahun 1920an. Britain, yang lebih banyak dipengaruhi landasan kereta api, hanya membina lebuh raya kereta pertama mereka, Jalan Pintasan Preston (M6), pada tahun 1958. Lebuh raya capaian terkawal pertama di Malaysia iaitu Lebuhraya Persekutuan dibina pada tahun 1974 dan siap pada tahun 1977.

Kebanyakan negara maju menampilkan rangkaian lebuh raya ekspres yang ekstensif bagi menyediakan laluan perbandaran berkapasiti tinggi, ataupun laluan luar bandar berkelajuan tinggi, atau kedua-duanya sekali. Kebanyakannya diwartakan dengan kod laluan di peringkat kebangsaan atau di peringkat antarabangsa (misalnya Rangkaian Lebuh Raya Eropah).

Definisi sunting

Dalam Bahasa Melayu, maksud istilah "lebuh raya" adalah agak kabur. Menurut Kamus Dewan, "lebuh raya" bermaksud "jalan raya utama yg lebar, biasanya menghubungkan sebuah bandar atau bandar raya dgn bandar atau bandar raya lain", tanpa sedikit pun rujukan terhadap mekanisme kawalan masuk jalan raya.[2] Sementara itu, Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) pula menerangkan definisi yang lebih terperinci - istilah "lebuh raya" merujuk kepada rangkaian jalan raya kebangsaan (laluan persekutuan) yang menghubungkan antara ibu negara, ibu negeri mahupun pintu keluar masuk negara, dengan kelajuan operasi yang sederhana tinggi serta dikenakan kawalan masuk separa, manakala "lebuh raya ekspres" merujuk kepada lebuh raya kembar untuk lalu lintas terus dengan kawalan masuk penuh, persimpangan bertingkat berlainan aras yang direkabentuk untuk perjalanan berkelajuan tinggi.[3]

Sejarah sunting

 
Peta bersejarah bagi laluan lebuh raya A8-asal di Itali. Lebuh raya kereta pertama di dunia telah dibuka pada 21 September 1924.

Lebuh raya capaian terkawal sebagaimana yang wujud pada hari ini berevolusi semasa separuh pertama kurun ke-20. Long Island Motor Parkway, dibuka pada tahun 1908 sebagai lebuh raya persendirian, merupakan jalan raya capaian terhad pertama di dunia. Ia menampilkan banyak ciri moden, seperti belokan miring, pengadang jalan serta tarmak konkrit yang diperkukuhkan.[4]

Lebuh raya capaian terkawal moden mula dibangunkan pada awal 1920an sebagai tindak balas kepada penggunaan kereta yang semakin meningkat dengan pantas, permintaan bagi perjalanan antarabandar yang lebih pantas serta hasil daripada penambahbaikan dalam proses turapan, teknik dan bahan. Jalan raya berkelajuan tinggi asal ini dirujuk sebagai "lebuh raya kembar" dan, sementara ia berpembahagi, mempunyai hanya sedikit sahaja persamaan dengan lebuh raya sekarang. Dibuka pada tahun 1921, AVUS di Berlin merupakan lebuh raya capaian terkawal tertua di Eropah, walaupun ia asalnya dibuka sebagai sebuah litar lumba.

Lebuh raya kembar pertama dibuka di Itali pada tahun 1924, antara Milan dengan Varese, dan kini membentuk sebahagian jajaran lebuh raya A8 dan A9. Lebuh raya ini, walaupun berpembahagi, mempunyai hanya selorong sahaja bagi setiap hala serta tiada persimpangan bertingkat. Tidak lama kemudian, pada tahun 1924, Bronx River Parkway dibuka kepada lalu lintas. Bronx River Parkway merupakan jalan raya pertama di Amerika Utara yang menggunakan pembahagi jalan bagi mengasingkan lalu lintas dari kedua-dua arah berlawanan, yang dibina sebagai taman dan di mana jalan-jalan yang bersilang menyeberangi lebuh raya melalui beberapa buah jambatan.[5][6]

Southern State Parkway dibuka pada tahun 1927, dan Long Island Motor Parkway ditutup pada tahun 1937 dan digantikan dengan Northern State Parkway yang dibuka pada tahun 1931 dan sambungannya iaitu Grand Central Parkway dibuka pada tahun 1936. Pembinaan autobahn Bonn-Cologne bermula pada tahun 1929 dan dibuka pada tahun 1932 oleh Datuk Bandar Cologne.[7]

Di Kanada, jalan raya capaian terkawal antarabandar terawal ialah Lebuhraya Queen Elizabeth, yang menampilkan persimpangan bunga cengkih dan persimpangan trompet semasa ia dibuka pada tahun 1937, dan sehingga Perang Dunia Kedua, merupakan lebuh raya terpanjang yang diterangi lampu jalan.[8] Sedekad kemudian, bahagian pertama Lebuhraya 401 dibuka, berasaskan reka bentuk terawal. Ia beransur-ansur berubah menjadi lebuh raya paling sibuk di dunia.

Istilah lebuh raya bebas mula digunakan pada Februari 1930 oleh Edward M. Bassett.[9][10][11] Bassett menegaskan bahawa jalan raya sepatutnya diklasifikasikan kepada tiga jenis asas: lebuh raya, lebuh raya taman, dan lebuh raya bebas.[11] Dalam sistem berasaskan pengezonan dan undang-undang hartanah oleh Bassett, pemilik harganah mempunyai hak cahaya, udara dan capaian kepada lebuh raya, tetapi bukannya lebuh raya taman mahupun lebuh raya bebas; dua jenis yang kemudian itu dibezakan dari segi tujuan yang mana lebuh raya taman adalah untuk rekreasi, manakala tujuan lebuh raya bebas ialah pergerakan.[11] Justeru, sebagaimana maksud asalnya, sebuah lebuh raya bebas ialah sekadar sejalur tanah awam yang dikhaskan untuk pergerakan yang mana pemilik hartanah bersebelahan tiada hak cahaya, udara mahupun capaian.[11]

Reka bentuk sunting

 
Lebuhraya 401 di selatan Ontario, Kanada. Lebuh raya ini merupakan contoh reka bentuk sistem pengumpul-ekspres, yang menampilkan empat laluan merentasi Toronto.
 
Autoroute A10 Perancis berhampiran Orléans menampilkan bahu jalan keras dan telefon kecemasan. Garisan putus-putus yang bagi menandakan bahu jalan keras adalah lebih panjang daripada garisan putus-putus antara lorong-lorong trafik biasa di lebuh raya Perancis, yang turut berfungsi sebagai tanda rujukan keselamatan buat pemandu; jarak mengekor yang disyorkan adalah sekurang-kurangnya dua garisan putus-putus.

Menurut definisi yang ditetapkan dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads, lebuh raya ekspres tiada persilangan searas dengan jalan raya lain, landasan kereta api, denai mahupun lorong.[3] Namun, jambatan boleh gerak seperti Jambatan Interstate di Interstate 5 antara Oregon dengan Washington, masih memerlukan pemandu berhenti untuk memberi laluan kepada lalu lintas kapal. Persilangan antara lebuh raya dengan jalan raya lain biasanya dicapai melalui pengasingan aras sama ada melalui jejambat ataupun terowong.

Capaian terhadap lebuh raya biasanya disediakan hanya di persimpangan bertingkat berlainan aras, walaupun persimpangan kiri masuk/kiri keluar boleh juga digunakan untuk sambungan terus ke jalan tepi. Dalam kebanyakan kes, reka bentuk persimpangan bertingkat yang canggih membolehkan peralihan yang lancar tanpa gangguan antara lebuh raya yang bersilang dengan jalan raya arteri yang sibuk. Namun, ada kalanya penting untuk keluar ke jalan permukaan biasa untuk beralih dari satu lebuh raya ke satu lebuh raya yang lain. Misalnya ialah peralihan antara Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang E18 dengan Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 melalui pekan Batu 11 Cheras.[12]

Had laju secara amnya lebih tinggi di lebuh raya capaian terkawal, malah ada lebuh raya capaian terkawal yang tiada had laju (misalnya rangkaian autobahn Jerman). Oleh kerana had laju yang tinggi mengurangkan masa membuat keputusan, lebuh raya ekspres biasanya dilengkapi dengan papan tanda penunjuk yang lebih banyak daripada jalan raya biasa, dan papan tanda itu sendiri secara fizikalnya lebih besar. Papan tanda penunjuk biasanya dipasang pada jejambat ataupun pada gantri supaya pemandu boleh melihat di mana setiap lorong akan pergi. Nombor pintu keluar biasanya diwartakan pada persimpangan bertingkat, sama ada mengikut jarak lebuh raya ataupun mengikut urutan dari hujung ke hujung. Di sesetengah kawasan, terdapat kawasan rehat awam di lebuh raya, di samping telefon kecemasan di bahu jalan pada setiap selang jarak tertentu (misalnya setiap 2 km di Malaysia).

Di Malaysia, lebuh raya ekspres menggunakan penanda kilometer yang berbeza daripada yang digunakan di laluan persekutuan dan laluan negeri. Sementara jalan raya biasa menggunakan batu penanda kilometer yang ditempatkan setiap kilometer, lebuh raya ekspres pula menggunakan papan tanda seksyen yang ditempatkan setiap 100 m.[13]

 
Gambar rajah menunjukkan bentangan lorong dan jalan

Keratan rentas sunting

Lebuh raya dua lorong, biasanya tanpa pembahagi jalan, ada kalanya dibina apabila jumlah lalu lintas adalah kurang ataupun hak jalan terhad; ia direkabentuk agar mudah ditukarkan kepada lebuh raya empat lorong penuh. Contohnya ialah Lebuhraya Karak E8/FT2 yang asalnya merupakan lebuh raya dua lorong sebelum dinaiktaraf kepada lebuh raya empat lorong penuh. Lebuh raya sebegini ada kalanya disebut sebagai jalan super two. Sementara itu, lebuh raya ekspres penuh pula biasanya mempunyai sekurang-kurangnya 2 lorong bagi setiap hala; beberapa lebuh raya yang sangat sibuk pula boleh memiliki sehingga 16 atau lebih lorong. Lebuh raya yang sangat lebar ini mungkin menggunakan lorong pengumpul-ekspres berasingan bagi mengasingkan lalu lintas terus dengan lalu lintas tempatan. Kadang-kadang, jalan pengumpul/pengagih, versi pendek bagi lorong tempatan, mengalihkan konflik jalinan antara dua persimpangan yang rapat ke jalan lain ataupun menghapuskannya.

Kecuali di sesetengah lebuh raya dua lorong, pembahagi jalan ataupun jalur median mengasingkan aliran trafik bagi arah bertentangan. Jalur median ini boleh jadi semudah kawasan berumput, ataupun turut menyertakan pengadang jalan seperti tembok Jersey ataupun "tembok tinggi Ontario" bagi mencegah pelanggaran berdepan.[14] Di sesetengah lebuh raya, dua laluan lebuh raya dibina di jajaran berbeza; ia dilakukan bagi memanfaatkan koridor yang ada di kawasan bergunung ataupun untuk menyediakan koridor yang lebin sempit melalui kawasan perbandaran yang padat.

Kawalan masuk sunting

Kawalan masuk jalan berkaitan dengan status perundangan yang mengehadkan jenis kenderaan yang boleh menggunakan lebuh raya, di samping reka bentuk jalan raya yang mengehadkan tempat yang boleh dicapai.

Lebuh raya ekspres biasanya dihadkan kepada kenderaan bermotor dengan kuasa kuda atau berat minima; papan tanda masuk ke lebuh raya biasanya melarang penunggang basikal, pejalan kaki dan penunggang kuda serta ada kalanya menetapkan had laju minimum. Ada kalanya kenderaan yang biasanya dilarang masuk ke lebuh raya ekspres dibenarkan menggunakan kemudahan sama dengan hak jalan yang sama, contohnya laluan pejalan kaki yang dibina di sepanjang jambatan berpiawaian lebuh raya ekspres. Salah satu contoh ialah Jambatan Sultan Ahmad Shah II di Lebuhraya Pantai Timur E8, yang turut dilengkapi sepasang lorong motosikal bagi membolehkan penunggang motosikal dan basikal di dua buah kampung di Temerloh, Pahang menyeberangi Sungai Pahang tanpa perlu melencong jauh.[15]

 
Kawasan Rehat dan Rawat De Lucht di Lebuhraya A2 Belanda - sebuah hentian rehat lazim dengan perkhidmatan (bahan api, kemudahan istirahat dan tandas). Satu-satunya jalan masuk ialah melalui lebuh raya tersebut.

Kajian menunjukkan bahawa 85 peratus nahas jalan raya berlaku semasa membelok atau melintasi persimpangan searas.[16] Lebuh raya ekspres menghapuskan hampir kesemua titik konflik sebegini kecuali di jalan susur masuk dan keluar—yang mana, sekurang-kurangnya di lebuh raya di mana menunggang basikal tidak dilarang, mempunyai ruang dan jarak penglihatan mencukupi untuk penunggang basikal dan pemandu kereta. Satu analisis kemalangan di Arizona menunjukkan tiada masalah keselamatan dengan menunggang basikal di lebuh raya. Kurang daripada satu nahas jalan raya melibatkan kenderaan bermotor dengan basikal setahun yang direkodkan di hampir 3,200 bahu jalan kilometer (2,000 bt) yang dibuka kepada penunggang basikal di Arizona.[17]

Jalan raya arteri utama selalunya mempunyai kawalan masuk separa, yang bermaksud jalan tepi akan bersilang dengan jalan raya utama secara searas dan bukannya melalui persimpangan, tetapi jalan tersebut mungkin tidak dihubungkan terus dengan jalan raya utama, dan pemandu mesti menggunakan jalan yang bersilang untuk memasuki premis hartanah masing-masing. Namun, ada kalanya jalan raya arteri boleh juga mempunyai persimpangan bertingkat dengan jalan raya arteri lain.[3]

Persimpangan dan titik capaian sunting

Persimpangan ialah bentangan lebuh raya yang membenarkan lalu lintas dari sebuah lebuh raya capaian terkawan untuk memasuki lebuh raya yang satu lagi ataupun sebaliknya, sementara titik capaian merupakan bentangan lebuh raya di mana lalu lintas melalui jalan pengagih atau tempatan boleh memasuki lebuh raya ekspres. Sesetengah negara seperti United Kingdom dan Malaysia tidak membezakan antara kedua-duanya, tetapi sesetengah negara lain pula seperti Jerman dan Jepun menggunakan dua istilah berbeza bagi kedua-duanya. Misalnya di Jerman, istilah Kreuz (persilangan) merujuk kepada persimpangan antara dua lebuh raya, manakala Ausfahrt (pintu keluar) pula merujuk kepada titik capaian. Dalam kesemua kes, jalan tersebut melintasi jalan yang lain melalui jejambat.

Jalan susur, yang menghubungkan antara dua jalan tersebut, boleh mengikuti salah satu daripada beberapa corak. Corak sebenar ditentukan oleh beberapa faktor seperti topologi tempatan, kepadatan trafik, kos tanah, kos binaan, jenis jalan dsb. Di sesetengah perundangan, lorong-lorong suapan/pengagihan adalah lazim, terutamanya bagi persimpangan bunga cengkih; di sesetengah negara lain pula seperti di United Kingdom yang mana persimpangan bulatan lebih lazim, lorong suapan/pengagih jarang kelihatan.

Antara beberapa jenis utama persimpangan bertingkat ditunjukkan di bawah:[18][19][20]

Keselamatan sunting

Lebuh raya ekspres merupakan jenis jalan raya yang paling selamat dari segi reka bentuk, jika dibandingkan dengan jalan persekutuan, negeri mahupun perbandaran.[21] Ia terbukti daripada statistik nahas jalan raya di seluruh dunia yang mendapati kadar kemalangan jalan raya di lebuh raya capaian terkawal adalah jauh lebih rendah daripada jenis jalan raya lain. Menurut statistik kadar kemalangan maut mengikut jenis jalan di Malaysia, hanya lebih kurang 850 kematian dicatatkan setiap tahun di lebuh raya ekspres antara tahun 2010 hingga 2012, berbanding jalan persekutuan, negeri dan perbandaran yang mana kesemuanya melebihi 1,300 kematian setiap tahun.[22]

Kesan alam sekitar sunting

 
Kesesakan jalan raya seperti yang berlaku di Atlanta ini boleh dikaitkan dengan pembentukan kabut fotokimia.
 
Sistem pencahayaan lebuh raya boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap penduduk yang tinggal berhampiran lebuh raya. Pencahayaan tiang tinggi merupakan satu alternatif yang menumpukan cahaya kepada jalan raya, tetapi struktur tinggi sebegini boleh membawa kepada kesan NIMBY.
 
Terowong di Tunnel Lebuhraya A27 (Autoestrada Viana do Castelo-Ponte de Lima) di Portugal

Lebuh raya capaian terkawal dibina antara bandar raya utama ataupun di dalam sesebuah bandar raya itu sendiri, membawa kepada pertumbuhan kawasan pinggir bandar yang sering berlaku di kebanyakan bandar raya moden utama. Lebuh raya sering dikritik oleh pencinta alam sekitar disebabkan bunyi bising,[23] pencemaran, dan anjakan ekonomi yang dibawanya.[24] Tambahan pula, ia juga dikritik kerana mengheret orang awam kepada ketidakcekapan terutamanya semasa mengendalikan lalu lintas waktu puncak.[25][26][27]

Selalunya, lebuh raya ekspres luar bandar membuka kawasan yang luas untuk pembangunan ekonomi serta perkhidmatan perbandaran, sekaligus meningkatkan nilai hartanahnya. Sebaliknya, lebuh raya bertingkat di kawasan bandar sering menjadi punca penurunan nilai hartanah, menyumbang kepada pereputan bandar. Walaupun dengan pembinaan jejambat mahupun terowong, banyak kawasan kejiranan yang terpisah — terutamanya kawasan mundur di mana penduduknya kurang berkemampuan untuk memiliki kereta, ataupun untuk memberikan pengaruh politik dan ekonomi yang membawa kepada penentangan usaha pembinaannya.[28] Bermula pada dekad 1970an, Kongres AS mengenal pasti lebuh raya bebas dan lebuh raya perbandaran yang lain sebagai punca utama bagi kebanyakan pendedahan kepada bunyi bising terhadap populasi AS.[29] Hasilnya, model komputer dibangunkan untuk menganalisis tahap bunyi bising lebuh raya dan membantu dalam pembangunan reka bentuk bagi mengurangkan pendedahan terhadap bunyi bising.[30]

Satu alternatif kepada pembinaan lebuh raya atas tanah ataupun bertingkat ialah pembinaan lebuh raya bawah tanah melalui kaedah penggalian terowong. Ia terbukti sangat berjaya di beberapa buah bandar raya utama di Australia seperti Sydney (yang mempunyai lima lebuh raya seumpamanya), Melbourne (memiliki dua lebuh raya seumpamanya) dan Brisbane (memiliki tiga lebuh raya seumpamanya). Manfaat utamanya adalah dengan membuang aliran lalu lintas dari jalan raya permukaan, dan dalam kes Lebuhraya Hubungan Timur Melbourne, membantu memulihara kawasan sensitif ekologi daripada kemusnahan.

Penentang lebuh raya telah mendapati bahawa naik taraf lebuh raya sering menewaskan matlamat utama pembinaannya: naik taraf lebuh raya hanya menjana lebih banyak trafik. Justeru, walaupun kesesakan lebuh raya asalnya dipindahkan daripada jalan tempatan kepada lebuh raya baharu ataupun yang dilebarkan, orang ramai akan mula berulang-alik ke kawasan lebih jauh. Lama-kelamaan, lebuh raya dan kawasan sekitarnya akan sesak lagi memandangkan bilangan dan jarak purata perjalanan bertambah. Idea sebegini dikenali sebagai permintaan teraruh.[31][32]

Di Malaysia, pembinaan terlalu banyak lebuh raya ekspres di Lembah Klang terbukti gagal menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya seperti didakwa, malah ia hanya membawa kepada masalah kesesakan lebih teruk pula. Tiga faktor utama dipersalahkan sebagai punca utama kesesakan lebuh raya ekspres di Lembah Klang, iaitu dasar pengangkutan yang teruk oleh pihak berkuasa, pemaju hartanah yang tamak serta kegagalan perancangan oleh pihak berkuasa tempatan.Selain itu, ketiga-tiga faktor tersebut juga membawa kepada pencabulan piawaian lebuh raya ekspres yang telah ditetapkan dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).[33]

Rujukan sunting

  1. ^ http://archive.etsc.eu/documents/copy_of_PR%20Motorways%20safety-02.18-final.pdf
  2. ^ Maksud istilah "lebuh raya" dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Dicapai pada 2015-12-05.
  3. ^ a b c "Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads" (PDF). Jabatan Kerja Raya Malaysia. 1986. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2015-08-07. Dicapai pada 2015-12-05.
  4. ^ Patton, Phil (9 October 2008). "A 100-Year-Old Dream: A Road Just for Cars". The New York Times.
  5. ^ "Built to Meander, Parkway Fights to Keep Measured Pace". The New York Times. 6 June 1995. Dicapai pada 13 April 2010.
  6. ^ Hershenson, Roberta (18 June 1995). "Bronx River Parkway On an Endangered List". The New York Times. Dicapai pada 13 April 2010.
  7. ^ "German Myth 8 Hitler and the Autobahn". German.about.com.
  8. ^ Shragge, John; Bagnato, Sharon (1984). From Footpaths to Freeways. Ontario Ministry of Transportation and Communications, Historical Committee. m/s. 55. ISBN 0-7743-9388-2. Unknown parameter |lastauthoramp= ignored (bantuan)
  9. ^ Karnes, Thomas L. (2009). Asphalt and Politics: A History of the American Highway System. Jefferson, NC: McFarland & Co. m/s. 131.
  10. ^ Korr, Jeremy (2008). "Physical and Social Constructions of the Capital Beltway". Dalam Mauch, Christof; Zeller, Thomas (penyunting). 'The World Beyond the Windshield: Roads and Landscapes in the United States and Europe. Athens, OH: Ohio University Press. m/s. 195.
  11. ^ a b c d Bassett, Edward M. (February 1930). "The Freeway: A New Kind of Thoroughfare". American City. 42: 95.
  12. ^ "Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1". Blog Jalan Raya Malaysia. 2011-11-23. Dicapai pada 2015-12-05.
  13. ^ "Jenis-jenis Papan Tanda". Kementerian Kerja Raya Malaysia. Dicapai pada 2015-12-05.
  14. ^ Anonymous (March 1992). "Median Barriers Prove Their Worth". Public Works. 123 (3): 72–73.
  15. ^ "Segamat-Kuantan-KL Part 2: Lebuhraya Pantai Timur E8". Blog Jalan Raya Malaysia. 2012-06-28. Dicapai pada 2015-12-06.
  16. ^ "Bicycling facts and figures". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-07-20. Dicapai pada 2015-12-06.
  17. ^ Moeur, Richard C. (October 2002). "Bicycle–Motor Vehicle Collisions on Controlled Access Highways in Arizona: Analysis from January 1, 1991 to June 30, 2002" (PDF). Arizona Department of Transportation. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2011-05-25. Dicapai pada 2015-12-06.[sumber tak boleh dipercayai?]
  18. ^ "Roadway Design Manual". Texas Department of Transportation. March 2010. 6: Freeways. Dicapai pada 28 March 2013.
  19. ^ "Woodruff Road Corridor Study" (PDF). 2013. Chapter 4*: Interchange Modifications. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2013-06-01. Dicapai pada 28 March 2013.
  20. ^ "13: Motorway Signs, Signals and Road Markings". Road Signs. ukmotorists.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-05-29. Dicapai pada 24 April 2012.
  21. ^ Azman Anuar (2010-02-15). "Perjalanan selamat di lebuh raya". Utusan Malaysia. Dicapai pada 2015-12-05.[pautan mati kekal]
  22. ^ "Road Safety Annual Report 2014" (PDF). International Transport Forum. Dicapai pada 2015-12-06. line feed character in |title= at position 12 (bantuan)
  23. ^ Martin, Hugo (20 April 2003). "Sounding Off On Noise: Freeways' Neighbors Struggle To Drown Out Road Racket, Experts Say The Din Creates Mental And Physical Hazards". Los Angeles Times. m/s. B1.
  24. ^ Jacobs, Jane. The Death and Life of Great American Cities.[petikan lengkap diperlukan].
  25. ^ McCreery, Sandy (23 July 2001). "Don't just sit there, enjoy it!". New Statesman. m/s. 23.
  26. ^ Smilgis, Martha (20 July 1987). "Trapped Behind the Wheel: Clever Commuters Learn to Live in the Slow Lane". Time: 64–65.
  27. ^ Coulombe, Gerard (6 July 1986). "Doing The Turnpike Crawl". The New York Times. m/s. CN16.
  28. ^ Spivak, Jeffrey (27 July 1999). "Today's Road Opening Represents Progress, Pain". Kansas City Star. m/s. A1.
  29. ^ Senate Public Works Committee. Noise Pollution and Abatement Act of 1972. S. Rep. No. 1160, 92nd Cong. 2nd session.
  30. ^ Hogan, C. Michael & Latshaw, Gary L. (21–23 May 1973). "The Relationship between Highway Planning and Urban Noise". Chicago: American Society of Civil Engineers, Urban Transportation Division. http://www.worldcatlibraries.org/wcpa/top3mset/2930880.
  31. ^ Cervero, Robert (Spring 2003). "Road Expansion, Urban Growth, and Induced Travel: A Path Analysis". Journal of the American Planning Association. 69 (2): 145–164. doi:10.1080/01944360308976303.
  32. ^ Martin, Hugo (10 April 2002). "Will More Freeways Bring More Traffic?". Los Angeles Times. m/s. B1.
  33. ^ Wong, Pauline (10 October 2013). "All roads lead to misery". The Heat. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-10-29. Dicapai pada 26 October 2013.

Lihat juga sunting

Pautan luar sunting