Lumba haram adalah satu bentuk perlumbaan bermotor yang diadakan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa. Lumba haram sering diadakan di kawasan bandar, luar bandar ataupun di kawasan perindustrian tanpa mengira keadaan trafik, tetapi biasanya diadakan pada waktu tengah malam. Kegiatan lumba haram adalah salah di sisi undang-undang jalan raya kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Di Malaysia, menonton perlumbaan haram juga merupakan satu kesalahan kerana akan menggalakkan pelumba haram untuk terus berlumba tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Lumba haram

Kebanyakan daripada perlumbaan haram yang diadakan di Malaysia adalah melibatkan motosikal dan kereta, namun ada juga kenderaan berat seperti lori dan bas ekspres yang turut mengadakan perlumbaan haram. Kenderaan yang terlibat dalam perlumbaan haram diubahsuai sehingga mencapai kelajuan melebihi 160 km/j dan akibat daripada tiadanya etika pemanduan yang diamalkan, kemalangan jalan raya amat mudah berlaku, selalunya melibatkan kematian..

Jenis perlumbaan haram sunting

  • Perlumbaan drag - Di dalam perlumbaan drag yang sah, pelumba akan berlumba pecut di kawasan lurusan di litar lumba, tetapi dalam lumba haram drag pula pelumba haram akan memilih satu kawasan jalan raya yang lurus dan kurang kenderaan dan seterusnya berlumba pecut di situ.
  • Perlumbaan litar/sprint - Pelumba haram akan menentukan laluan perlumbaan sebelum perlumbaan bermula dan seterusnya berlumba di laluan tersebut.
  • Perlumbaan lebuh raya - Pelumba haram memilih kawasan lebuhraya untuk berlumba. Kawasan lebuh raya sering menjadi litar lumba haram kerana sesebuah lebuh raya direka untuk kelajuan yang tinggi, oleh itu pelumba haram dengan mudah akan memecut sehingga jauh melebihi had laju lebuh raya itu sendiri. Perlumbaan lebuh raya amat popular di Jepun pada satu masa dahulu tetapi kini semakin berkurangan berikutan peningkatan pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang lebih ketat.
  • Perlumbaan drift - Perlumbaan drift amat popular di Jepun sebagaimana yang digambarkan di dalam siri manga/anime Initial D serta filem The Fast and the Furious: Tokyo Drift. Melalui teknik drift, pemandu seakan-akan terbabas seketika sebelum memperoleh kawalan semula. Teknik drift amat sukar untuk dikuasai, tetapi pelumba drift profesional mampu memendekkan masa perjalanan menuruni bukit melalui teknik tersebut.

Ubahsuai kenderaan yang dilarang sunting

Kenderaan yang terlibat dalam lumba haram sering melakukan pengubahsuaian terhadap kenderaan mereka, di mana kebanyakannya adalah tidak dibenarkan di sisi undang-undang jalan raya.

Antara ubahsuai kenderaan yang dilarang termasuklah:-

Punca lumba haram sunting

Meningkatnya gejala lumba haram adalah berpunca daripada faktor-faktor berikut:-

  • Pengaruh rakan sebaya.
  • Perpecahan rumah tangga sehingga anak-anak tidak mendapat perhatian dan menhgambil keputusan untuk menyertai aktiviti lumba haram.
  • Filem atau drama lumba haram seperti KL Menjerit, Initial D dan siri filem The Fast and the Furious. Walaupun penerbit filem-filem tersebut telah meletakkan amaran agar tidak meniru aksi-aksi lumba haram di dalam filem mereka, namun ramai pelumba haram yang tidak mengendahkan amaran tersebut.
  • Novel, cerpen atau komik seperti siri manga Initial D dan Wangan Midnight.
  • Majalah kenderaan ubahsuai.
  • Permainan video seperti Need for Speed: Underground dan Need for Speed: Most Wanted. Sesetengah judul seperti Need for Speed: Most Wanted turut mengundang kontroversi apabila ia turut menggalakkan pemain memusnahkan kereta polis untuk mendapatkan mata pencapaian.
  • Kos untuk mengadakan perlumbaan sah di litar lumba seperti Litar Sepang adalah mahal berbanding lumba haram yang hanya memerlukan wang pertaruhan, duit minyak dan bayaran tol lebuhraya (jika ada).
  • Penganjur yang menyediakan hadiah-hadiah, yang terdiri daripada kalangan bookie yang membuat keuntungan dari pertaruhan lumba haram tersebut.

Akibat lumba haram sunting

  • Lumba haram sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya di kalangan pelumba haram motosikal. Terdapat juga kes langgar lari yang berpunca daripada lumba haram. Oleh itu, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya.
  • Lumba haram turut menyumbang kepada gejala keruntuhan moral dan maksiat di kalangan remaja yang semakin serius kerana selain menyediakan hadiah wang yang sememangnya mempunyai kaitan dengan perjudian, penganjur perlumbaan haram juga turut menyediakan hadiah bohsia untuk ditiduri.
  • Tidak dinafikan, perlumbaan haram turut berperanan dalam memajukan industri automotif berikutan penambahan jualan kereta dan motosikal serta pengubahsuaian kenderaan. Sungguhpun demikian, persaingan di kalangan pelumba haram mengakibatkan pelumba haram membazirkan banyak wang dengan sia-sia untuk mengubahsuai kenderaan mereka supaya lebih berkuasa dan tabiat sebegini sudah tentu merugikan diri mereka sendiri.
  • Lumba haram juga adalah salah satu penyumbang utama kepada peningkatan kes kecurian kenderaan terutamanya motosikal dan kereta. Segelintir pelumba haram sanggup mencuri kenderaan kerana ingin dijadikan kenderaan perlumbaan serta kerana mahu mendapat kenderaan baru setelah kalah kerana dalam sesetengah kes, pelumba haram yang kalah terpaksa menyerahkan kenderaan mereka kepada pemenang.
  • Menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan terbabas.

Usaha mencegah lumba haram sunting

Banyak pihak yang mengambil inisiatif bagi mengurangkan gejala lumba haram terutamanya di kalangan remaja seperti berikut:-

  • Memperbanyakkan aktiviti perlumbaan bermotor yang sah seperti Malaysian Cub Prix dan Pesta Pasti Honda. Di dalam kedua-dua perlumbaan tersebut penganjur perlumbaan mengenakan bayaran penyertaan yang rendah serta subsidi bagi peserta baru untuk menggalakkan remaja menyertainya.
  • Memperbanyakkan rondaan serta pemantauan oleh pihak polis. Untuk membolehkan pihak polis membanteras gejala lumba haram dengan lebih berkesan, pihak polis perlu disediakan kereta atau motosikal yang lebih laju dan lebih berkuasa kerana selama ini pihak polis hanya dibekalkan dengan kereta dan motosikal talaan kilang yang kurang berkuasa serta tidak cukup laju untuk mengejar pelumba haram.
  • Mengadakan kempen pemanduan berhemah di sekolah dan kawasan tumpuan awam.
  • Menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat serta hukuman yang lebih berat terhadap pesalah lumba haram.

Lihat juga sunting