Macbeth (Jawi: ميكبث; juga dikenali sebagai Tragedi Macbeth) ialah sebuah drama duka oleh William Shakespeare dan dijangka pertama kalinya dilakonkan pada tahun 1606.[a] Ia menunjukkan kesan buruk cita-cita politik yang dilakukan demi kepentingan diri sendiri, yang juga merosakkan fizikal dan mental manusia. Antara semua drama yang Shakespeare pernah tulis di zaman raja James I yang meminati kumpulan lakonan Shakespeare, Macbethlah yang paling mencerminkan hubungan beliau dengan pemerintahnya.[1] Ia diterbitkan buat pertama kalinya dalam Folio 1623, kemungkinan berdasarkan skrip bantu ingat, dan ialah kisah tragedi terpendek Shakespeare.[2]

Poster pementasan Macbeth dari s. 1884 dari Amerika Syarikat, dibintangi oleh Thomas W. Keene. Digambarkan mengikut lawan arah jam dari kiri atas ialah: Macbeth dan Banquo bertemu tiga nenek kebayan; berikutan pembunuhan Raja Duncan; hantu Banquo; Macbeth bertarung Macduff; dan Macbeth.

Seorang panglima Scotland bernama Macbeth mendapat ramalan daripada tiga nenek kebayan ahli sihir, bahawa beliau akan naik menjadi Raja Scotland. Setelah diapi-apikan isterinya, Macbeth membunuh Raja Duncan dan merampas takhta negeri Scotland. Beliau kemudiannya dipalu perasaan serba salah dan paranoia. Selepas melakukan lebih lagi pembunuhan untuk melindungi dirinya daripada hasad dan wasangka, beliau menjadi seorang pemerintah berkuku besi. Pertumpahan darah dan perang saudara yang berikutan menjerumus Macbeth dan Lady Macbeth ke alam kegilaan dan maut.

Kisah asal yang menjadi rujukan drama ini adalah kisah Macbeth, Raja Scotland, Macduff, dan Duncan dalamHolinshed's Chronicles (1587), sebuah sejarah England, Scotland, dan Ireland yang diterkenal di zaman Shakespeare, namun peristiwa dalam drama ini amat berbeza daripada kisah sebenar Macbeth. Peristiwa dalamnya biasa dikaitkan dengan hukuman bunuh Henry Garnet kerana bersubahat dalam Rancangan Serbuk Bedil pada 1605.[3]

Di sebalik tabir dunia teater, ada yang percaya bahawa pementasan ini disumpah dan dilarang menyebut nama drama itu kuat-kuat, kecuali disebut dengan nama lainnya "<i>The Scottish Play</i> (Pementasan Scottish)". Setelah berabad, drama ini menarik ramai pelakon terkenal untuk melakonkan watak Macbeth dan Lady Macbeth. Ia telahpun dipadankan untuk tayangan filen, televisyen, opera, novel, komik, dan wahana lain.

Senarai watak sunting

  • Raja Duncan – raja Scotland
  • Malcolm – Putera sulung Duncan
  • Donalbain – Putera bongsu Duncan
  • Macbeth – seorang panglima dalam tentera Raja Duncan; asalnya Orang Kaya Datuk Glamis, kemudian Orang Kaya Datuk Cawdor, kemudian raja negeri Scotland
  • Lady Macbeth – isteri Macbeth, kemudian permaisuri negeri Scotland
  • Banquo – Sahabat Macbeth serta seorang panglima dalam tentera Raja Duncan
  • Fleance – anak Banquo
  • Macduff – Orang Kaya Datuk Fife
  • Lady Macduff – isteri Macduff
  • anak Macduff
  • Ross, Lennox, Angus, Menteith, Caithness – Orang-orang Kaya Scotland
  • Siward, Earl dari Northumbria – panglima angkatan England
  • Siward si Muda – putera Siward
  • Seyton – amra Macbeth
  • Hecate – penguasa tiga nenek kebayan penyihir
  • Tiga Nenek Kebayan
  • Hulubalang – dalam tentera Scotland
  • Tiga Pembunuh – diupah Macbeth
  • Pembunuh Ketiga
  • Dua pembunuh – serang Lady Macduff
  • Penjaga pintu – penjaga pintu mahligai Macbeth
  • Tukang ubat – doktor Lady Macbeth
  • Tukang ubat – di istana England
  • Dang Perwara – dayang pengurus Lady Macbeth
  • Orang-orang Kaya  – menentang Macbeth
  • Hantu Pertama – kepala berketopang
  • Hantu Kedua – seorang kanak-kanak berlumuran darah
  • Hantu Ketiga – kanak-kanak memakai mahkota
  • Sida-sida, Biduanda, Pelayan, Hulubalang

Jalan cerita sunting

 
Macbeth dan Banquo bertemu nenek kebayan buat kali pertama

Babak I sunting

Guruh dan halilintar sabung-menyabung, dan Tiga Nenek Kebayan menentukan pertemuan mereka seterusnya bersama Macbeth. Dalam latar lakon seterusnya, seorang pendekar melaporkan kepada Duncan, Raja Negeri Scotland bahawa panglima-panglimanya Macbeth, si Orang Kaya Datuk Glamis, dan Banquo baru sahaja tewaskan angkata tentera bersekutu Norway dan Ireland, yang dikepalai Macdonwald si pembelot dan adalah Orang Kaya Datuk Cawdor. Macbeth, kerabat kepada Raja Duncan, dipuji atas keberanian dan keperkasaan beliau.

Latar lakon seterusnya, Macbeth dan Banquo bersembang tentang cuaca dan kemenangan mereka. Setibanya ke kawasan hutan belukar, Tiga Nenek Kebayan muncul dan menyatakan tilikan mereka. Walaupun Banquo mencabar mereka dahulu, mereka memberi hormat kepada Macbeth, menyeru beliau sebagai "Orang Kaya Datuk Glamis," "Orang Kaya Datuk Cawdor," dan bahawa beliau akan jadi "Raja yang akan kerajaan kemudian daripada ini." Macbeth terkejut. Apabila Banquo bertanyakan tilikannya pula, orang tua bertiga itu menjawab dengan perkataan yang aneh dan berlawanan, bahawa beliau akan dapat martabat yang rendah daripada Macbeth tetapi lebih besar, tidak sampai kenikmatan dan kebahagiaan seperti Macbeth tetapi berganda-ganda lagi lebihnya. Dia akan membapakan seketurunan raja, tetapi dirinya tidak akan naik raja. Sementara kedua-dua panglima terpinga-pinga, orang-orang tua itu pun lenyap, lalu Orang Kaya Ross tiba dan menyampaikan pangkat baharu Macbeth: Orang Kaya Datuk Cawdor. Ramalan pertama sudah pun termakbul dan, walaupun Macbeth asalnya terduga-duga, beliau mula bercita-cita menjadi raja.

Raja Duncan alu-alukan dan mengucap sejahtera ke atas Macbeth dan Banquo, dan menitahkan bahawa baginda akan bermalaman di mahligai Macbeth di Inverness; baginda juga menamakan puteranya Malcolm sebagai pewaris takhta. Macbeth menyampaikan utusan kepada isterinya, Lady Macbeth, tentang ramalan orang-orang tua tadi. Lady Macbeth sudah penat dengan perangai lemah suaminya dan menyuruh Macbeth untuk pergi cepat membunuh Raja Duncan supaya mendapat takhta. Apabila Macbeth tiba di Inverness, isterinya mencerca suaminya yang lembik dengan memanggilnya pengecut dan tidak membawa semangat lelaki, yang akhirnya berjaya buat beliau bunuh Raja pada malam tersebut. Beliau dan Lady Macbeth merancang akan memabukkan dua hulubalang penjaga di bilik peraduan baginda sehingga pengsan; keesokan paginya mereka akan tuduh mereka atas pembunuhan baginda. Mereka tidak akan dapat pertahankan diri mereka kerana mereka langsung tiada ingatan tentang malam itu.

Babak II sunting

Sementara Raja Duncan sedang tidur, Macbeth menikamnya, walaupun hatinya runsing dan matanya merayan nampak sebilah jambia yang berlumuran darah. Hatinya tergoncang dengan amat sehingga Lady Macbeth terpaksa uruskan hal ehwal lain. Mengikut rancangannya, Lady Macbeth lalu menuduh dua hulubalang Duncan atas pembunuhan baginda dengan meletakkan jambia berdarah itu pada mereka. Menjelang pagi, Lennox, seorang bangsawan Scottish, dan Macduff, Orang Kaya Datuk Fife, pun sampai. Penjaga pintu pun membuka pintu pagar dan Macbeth iringi mereka ke bilik peraduan raja, di mana Macduff menemui mayat paduka baginda Duncan. Macbeth membunuh kedua-dua hulubalang baginda untuk mengelak mereka daripada mengaku tidak bersalah, namun beliau mendakwa melakukannya kerana marah atas apa yang mereka telah lakukan. Kedua-dua putera Duncan, Malcolm dan Donalbain, masing-masing larikan diri ke England dan Ireland kerana takut pembunuh ayahanda mereka akan bunuh mereka juga. Pelarian putera-putera mahkota ini menjadikan mereka disyaki pembunuh dan Macbeth naik takhta sebagai Raja Scotland baharu dengan pertalian darah kepada mendiang raja. Banquo mendedahkan perkara ini kepada penonton, dan sementara beliau sangsi dengan Raja Macbeth, beliau mengingat akan ramalan orang-orang tua tempoh hari bahawa anak-anaknya sendiri akan naik kerajaan tersebut; dan membuatnya mengesyaki Macbeth atas pembunuhan.

Babak III sunting

Walaupun berjaya, Macbeth, juga sedar tentang ramalan Banquo, menjadi gelisah. Macbeth menjemput Banquo ke sebuah majlis jamuan, di mana beliau dapati Banquo dan anaknya Fleance keluar pada malam tersebut. Oleh sebab khuatir dengan kesangsian Banquo, Macbeth mengupah dua orang pembunuh untuk membunuhnya, kemudian seorang lagi. Pembunuh-pembunuh itu berjaya menyerang Banquo, tetapi Fleance dapat larikan diri. Macbeth mula menjadi marah kerana takut kuasanya tidak akan terjamin selagi pewaris Banquo masih hidup.

Di majlis, Macbeth menjemput orang-orang kayanya dan Lady Macbeth meminum-minum dan bersuka ria. Hantu semangat Banquo masuk dan duduk di tempat Macbeth. Macbeth mula ketakutan dan mengejutkan para tetamu, sedangkan hantu itu hanya beliau yang dapat melihatnya. Yang lain terasa aneh melihat Macbeth pucat merenung kerusinya yang kosong, sampailah Lady Macbeth terpaksa beritahu mereka bahawa suaminya terkena penyakit yang selalu mengena raja. Hantu semangat itu lesap kemudian kembali, menyebabkan Macbeth berkelakuan aneh dan pucat semula. Kali ini, Lady Macbeth beritahu para tetamu untuk pergi pulang dan mereka pun berangkatlah.

 
Macbeth menanya Hantu Berketopang oleh Johann Heinrich Füssli

Babak IV sunting

Macbeth pergi melawat semula Tiga Nenek Kebayan dan meminta mereka beritahu kebenaran dalam ramalan mereka tempoh hari. Untuk menjawab persoalannya, mereka bertiga menyeru hantu-hantu dahsyat, masing-masing memberi ramalan dan menenangkan hati Macbeth. Pertama, mereka menyeru sebuah kepala berketopang, yang memberitahunya untuk berhati-hati dengan Macduff (IV.i.72). Kedua, seorang kanak-kanak berlumuran darah beritahuya bahawa tiada seorang manusia yang lahir daripada peranakan wanita dapa mendatangkan mudarat ke atasnya. Ketiga, seorang kanak-kanak memakai mahkota memegang sebatang dahan kecil memberitahunya bahawa Macbeth akan sentiasa selamat sehinggalah pokok-pokok kayu dari Hutan Birnam berjalan ke Bukit Dunsinane. Macbeth pun berasa lega kerana beliau tahu semua manusia lahir daripada peranakan wanita dan pokok-pokok tidak boleh berjalan. Macbeth juga bertanya jika anak-anak Banquo akan memerintah Scotland: tiga orang tua itu menyeru keluar lapan raja bermahkota, semuanya mirip wajah Banquo, dan yang terakhir membawa cermin yang menunjukkan lebih banyak raja. Macbeth sedar bahawa ini ialah keturunan Banquo mendapat takhta di berbagai negeri. Setelah orang-orang tua menari-nari dan memberi selamat kepadanya, mereka pun pergi, Lennox kemudian masuk dan beritahu bahawa Macduff telah lari ke England. Macbeth perintahkan istana Macduff dirampas, dan mengupah pembunuh untuk membunuh Macduff, isteri Macduff dan anak-anaknya. Walaupun Macduff tiada lagi di istananya, semua orang di dalamnya dihukum bunuh termasuklah Lady Macduff dananak mereka.

 
Lady Macbeth sedang jalu oleh Johann Heinrich Füssli

Babak V sunting

Sementara itu, Lady Macbeth berasa amat bersalah daripada dosa yang dia dan suaminya telah lakukan. Pada waktu malam, di istana raja di Dunsinane, seorang tukang ubat dan seorang dang perwara bercakap tentang Lady Macbeth yang selalu jalu di tengah malam. Tiba-tiba, Lady Macbeth bersawai dengan sekaki lilin dalam tangannya. Dia mula meratapi pembunuhan Duncan, Lady Macduff dan Banquo, mencuba basuh bayangan kesan darah daripada tangannya, sementara menyebut-nyebut perkara-perkara dahsyat yang dia suruh suaminya lakukan. Dia pun beredar, dan tukang ubat dan dang perwara tadi terpegun dengan kegilaannya. Lady Macbeth yang percaya tiada apa dapat hilangkan kesan darah pada tangannya ialah sebuah penukaran peranan yang ironis kerana melawan kata-katanya di awal drama kepada Macbeth bahawa "sedikit air akan bersihkan dosa kita ini" (II.ii.66).

Di England, Macduff diberitahu Ross bahawa "Istanamu telah dilanggar. Dibunuhnya isteri dan anak-anakmu" (IV.iii.204–05). Apabila berita pembunuhan keluarganya sampai kepadanya, Macduff dilanda kesedihan dan bersumpah akan membalas dendam. Putera Malcolm, anak kepada Duncan, telah berjaya kumpulkan sebuah bala tentera di England, dan Macduff menyertai dia ke Scotland untuk menentang Macbeth. Serangan ini disokong oleh orang-orang kaya Scotland yang jijik dan benci akan sikap kuku besi dan mabuk darah Macbeth. Malcolm mengetuai tentera besama-sama Macduff dan Orang Inggeris Siward (si Tua), Earl dari Northumberland, ke Istana Dunsinane. Sementara berkem di Hutan Birnam, askar-askar mereka disuruh memotong pokok dan membawanya untuk menyamarkan tentera mereka.

Sebelum musuh-musuh Macbeth tiba, beliau mendapat tahu bahawa Lady Macbeth telah membunuh dirinya, menyebabkan beliau dilanda duka dan hiba, dan beliau menyampaikan senandikanya yang digelar "<i>Tomorrow, and tomorrow, and tomorrow</i>" ("Keesokannya, dan esoknya, dan esoknya" V.v.17–28). Walaupun beliau renungkan betapa singkatnya dan tiada maknanya hidup, beliau tetap menantikan puak Inggeris dan perkukuhkan istana Dunsinane. Dia pasti bahawa ramalan Tiga Nenek Kebayan akan melindunginya, tetapi mula ketakutan apabila ternampak bahawa tentera Inggeris semakin maju ke Dunsinane dengan pokok-pokok yang ditebang dari Hutan Birnam, yang memenuhi ramalan tentang pokok berjalan tempoh hari.

Pertarungan mereka mengemuncak dengan Macduff berhadapan dengan Macbeth, yang telah membunuh Siward si Muda. Tentera Inggeris terlalu banyak untuk ditewaskan oleh tentera Macbeth dan istananya. Macbeth menempelak bahawa beliau langsung tidak takut dengan Macduff, kerana beliau tidak dapat dibunuh oleh mana-mana manusia yang diperanakkan oleh wanita. Macduff membalas dan berkata, "Aku telah dikeluarkan daripada perut ibuku dengan dibelah [...] sebelum sampai ketika aku akan keluar" (V.8.15–16), (yakni, dilahirkan dengan pembedahan Caesarean) dan bukan "diperanakan daripada perempuan" (ini dinamakan dalihan, alasan yang diberikan untuk menyembunyikan sesuatu), dan memenuhi ramalan kedua. Macbeth mula sedar bahawa beliau telah tersalah faham kata-kata tiga ahli nujum. Walaupun beliau sedar tiada jalan keluar, beliau tetap menentang. Macduff membunuh dan memotong kepala beliau, memakbulkan ramalan yang tertinggal.

Macduff membawa kepala Macbeth di atas pentas dan Malcolm berkata keamanan sudah kembali. Dia menyebut tentang Lady Macbeth, dan memberitahu "Ia didengar, oleh diriku dan lima (maksud: tangan) buas; membuang sendiri nyawanya" (V.ix.71–72), namun kaedah Lady Macbeth membunuh dirinya tidak diberitahu. Malcolm, kini Raja Scotland, isytiharkan niat murninya untuk negeri dan mengundang hadir semua rakyat untuk pertabalannya di Scone.

Walaupun Malcolm, dan bukannya Fleance, diberi takhta, ramalan Tiga Nenek Kebayan berkenaan Banquo ("Anak-anaknya kelak semua akan naik kerajaan") difahamkan oleh orang-orang di zaman Shakespeare adalah benar: James VI dari Scotland (kemudian ditabalkan James I of England) dikatakan ialah keturunan Banquo.[4]

Nota dan rujukan sunting

Nota sunting

  1. ^ Untuk pementasan pertama 1607, rujuk Gurr 2009, halaman 293, Thomson 1992, halaman 64, dan Wickham 1969, halaman 231. Untuk tarikh penggubalan, rujuk Brooke 2008, halaman 1 dan Clark & Mason 2015, halaman 13

Rujukan sunting

  1. ^ Wickham (1969) h. 231.
  2. ^ Mason, C. (2015) h. 1
  3. ^ Bloom 2008.
  4. ^ Muir 1984.