Manggis

spesies tumbuhan

Manggis (Jawi: مڠݢيس), sementah (Jawi: سمنته), manggista, mesetor, mesetar atau mesta (nama botani: Garcinia mangostana)[2][3] ialah tumbuhan malar hijau dalam genus Garcinia[4] yang bertaburan asal di kawasan tropika sekeliling Lautan Hindi. Pokok-pokoknya ditanam sejak zaman prasejarah lagi.[5][6]

Manggis
Ilustrasi dari Fleurs, Fruits et Feuillages Choisis de l'Ile de Java 1863–1864 oleh Berthe Hoola van Nooten (ahli litografi Pieter De Pannemaeker)
Gambar beberapa buah manggis. Satu telah dikupas sebahagiannya yang menampakkan isi putih yang terbahagi kepada enam bahagian
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Plantae
Klad: Trakeofit
Klad: Angiosperma
Klad: Eudikot
Klad: Rosid
Order: Malpighiales
Keluarga: Clusiaceae
Genus: Garcinia
Spesies:
G. mangostana
Nama binomial
Garcinia mangostana
Sinonim[1]
  • Mangostana garcinia Gaertn
Pokok manggis yang dicantas menjadi tinggi.

Buah manggis sering digandingkan dengan buah durian sebagai "ratu buah" pasangan kepada durian yang "raja segala buah".[7] Walau bagaimanapun, buahnya mudah cepat rosak serta membesar pada kadar relatif perlahan[8] sehinggakan ia hanya dapat dipasarkan dalam tempoh singkat antara enam hingga sepuluh minggu.[9][10]

Peristilahan sunting

Nama mesta (Jawi: مستا) digunakan di Kedah, Kelantan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.[11][3]

Botani sunting

Pokok sunting

Pokok manggis tumbuh setinggi 5 hingga 25 meter. Helai daunnya berbentuk ringkas dengan ukuran 9-25 sentimeter panjang dan 4.5-13 sm lebar, daun-daunnya disusun bertentangan.[4][5]

Bunganya yang tunggal atau berpasangan muncul pada hujung ranting. Kuntum bunga manggis yang kembang berukuran garis pusat 5.5 sm; setiap kuntum mempunyai 4 kelopak hijau dan 5 ranggi hijau kekuningan dengan tepi berwarna merah.[4][5]

Buah sunting

Pembuahan pokok berlaku semasa usia antara 6-12 tahun[5] selepas tempoh hujan lebat. Keadaan berbuah ini memerlukan pengawalan suhu dan kelembapan ladang ketat di mana perubahan boleh menjejaskan rupa dan rasa buah semasa tempoh pematangan.[8] Pokok yang matang mampu berbuah antara 100 hingga 3,000 biji buah.

 
Sebiji buah manggis yang dikupas kulitnya.

Buah manggis jenis beri dengan ukuran garis pusat 3.4-7.5 sm, ia bertukar warna merah atau ungu apabila masak.[4][5] Kulitnya agak keras dan tebal dengan garis pusat 4-6 sm; ia mampu meninggalkan kesan yang sukar hilang sekiranya terkena pada baju.[12] Isi buahnya berwarna putih dengan berukuran garis pusat 3-5 sm; ia mungkin berbiji atau tidak bergantung kepada saiz dan keranumannya. Buah ini dikopek dengan cara menggunakan kedua-dua belah tangan menekan kulit perlahan-lahan sehingga terbelah dan dapat dikopek.[13]

Orang Barat yang merasai buah ini sering membandingkan rasanya dengan rasa strawberi putik bercampur rasa-rasa manis limau.

Habitat sunting

Manggis ditanam di semenanjung Malaysia dan kawasan sekitar Asia Tenggara. Ia ditanam secara perdagangan di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kini ia juga ditanam di Hawaii dan Amerika Syarikat.

Manggis tumbuh di kawasan yang berkelembapan tinggi dengan kadar hujan 180-250 cm setahun, pokoknya boleh ditanam berhampiran sungai, kolam atau kawasan berair di mana sistem akarnya kekal lembab sepanjang tahun. Pokok manggis juga amat sensifif kepada jenis tanah dan kealkalian tanah. Pokok manggis tidak tahan kawasan tanah masin, atau tanah berpasir.

Penanaman sunting

Biji benih manggis mempunyai tempoh hayat yang pendek dan perlu ditanam dengan segera. Ia hanya tahan antara 1-5 hari dan perlu ditanam serta merta selepas dikeluarkan dari buahnya. Percambahan memakan masa antara 2-3 minggu. Anak pokok akan menghasilkan akar tunjang yang panjang dan penting bagi daya hidup pokok. oleh itu pemindahan anak pokok perlu dilakukan dengan berhati-hati agar ia tidak merosakkan akar tunjang muda tersebut. Bentuk pembiakan lain sukar dilakukan.

Pokok manggis boleh hidup subur sekiranya sistem pengairan dan pengaliran air baik serta kandungan bahan organik dalam tanah seimbang dan tinggi.[14]

Kegunaan sunting

Dalam perubatan tradisional sunting

Serbuk kulit manggis kering diambil untuk merawat cirit darah; malah air seduhan kulit buah segar ini dapat diminum untuk tujuan sama serta merawat cirit-birit berat.[5]

Air seduhan daun pokoknya diminum oleh masyarakat di Filipina untuk melegakan masalah buang air kecil dan menyejukkan badan yang demam. Masyarakat Melayu mencampurkan air ini dengan lumatan pisang mentah dan sedikit benzoin untuk merawat luka khatan.[5]

Dalam penghasilan fabrik sunting

Kulit manggis dijadikan bahan pewarna utama dalam pembuatan kain batik yang mengeluarkan warna ungu, merah atau keperangan.[15]

Sifat kimia sunting

Kulit manggis mengandungi tanin, resin, dan crystallizable mangostine (C20H22O5., membentuk sisik kuning keemasan, tanpa rasa, cair pada 190° C. (374° F.), mudah larut dalam alkohol atau eter dan ester, dan tidak larut dalam air. Sulingan asas lead acetate boleh dihasilkan daripada larutan alkoholnya. Pelarutannya dalam alkali mengurangkan larutan emas dan perak. Buah manggis mengandungi asid malik menjadikan isinya berasid. Kandungan getah yang terhasil daripada pokoknya telah dikaji pada 1858, oleh N. Reitler di makmal Wittstein (Vierteljahresschr. f. prakt. Pharm., Vol. VII, p. 170), dan didapati mengandungi 88 peratus resin, larut dalam alkohol atau eter. Penggunaan ammonia memisahkannya kepada bahagian resin larut dan tidak larut.

Bagi spesies Garcinia purpurea, terdapat kokum butter dalam biji benihnya sehingga 30 peratus, dan kebanyakannya terdiri daripada tristearin, gliserida oleik dan asid miristik (Jahresb. der Pharm., 1896, p. 71.)

Buah manggis jarang dijual di negara Barat kecuali di kedai runcit Asia. Kulit manggis menghasilkan warna merah dan amat sukar ditanggalkan.

Manggis dibuka dengan cara mengopek bukannya dipotong. Buah manggis dipegang dengan kedua-dua belah tangan, ditekan perlahan-lahan sehingga kulitnya terbelah. Selepas itu, ia mudah untuk dibuka dan diambil isinya.

Khasiat dan kegunaan sunting

Buah manggis kaya dengan 40 dan lebih bahan xanthona[16] yang merupakan sejenis super-antioksida. Buah ini dikatakan boleh membantu memulihkan sistem imunisasi badan.

Kulit buah manggis telah digunakan secara meluas di India sebagai ubat cirit-birit. Kulit buah manggis sekitar sesuku inci tebal dan mengandungi cecair amat pengering (astringent), yang mana, pada musim hujan, menghasilkan cecair melekit kekuningan, yang merupakan sejenis gamboge. Orang-orang Cina menggunakan kulit pokok sebagai sumber pewarna hitam, dan turut juga menggunakannya bagi mengubat cirit-birit.

Selain itu, manggis juga mempunyai cathechin, polyphenol dan polisakanida yang berkesan menjadi agen antioksida semulajadi dan juga bahan antibakteria dan antikulat.

Vitamin C, zat besi, niasin, kalsium, protein, serat, vitamin B1 & B2 dan lain-lain mudah diperolehi secara semula jadi daripada pemakanan manggis.

Galeri sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Garcinia mangostana L." Plant of the World Online. Royal Botanic Gardens, Kew. 2023. Dicapai pada 8 Januari 2023.
  2. ^ "Garcinia mangostana". Kamus Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  3. ^ a b Wilkinson, Richard James (1932). "manggis". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 103 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
  4. ^ a b c d Hean Chooi Ong (2006). Buah: khasiat makanan & ubatan. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications. m/s. 21, 102–103. ISBN 9676115606.
  5. ^ a b c d e f g Morton JF (1987). Fruits of warm climates. Miami, Florida, Amerika Syarikat: Pusat Hasil Tanaman & Tumbuhan Baharu, Jabatan Hortikultur dan Seni Landskap, Universiti Purdue. m/s. 301–304. Dicapai pada 4 Disember 2012.
  6. ^ Nazre, M. (19 Februari 2014). "New evidence on the origin of mangosteen (Garcinia mangostana L.) based on morphology and ITS sequence". Genetic Resources and Crop Evolution. 61 (6): 1147–1158. doi:10.1007/s10722-014-0097-2. ISSN 0925-9864. S2CID 8868569.
  7. ^ "The King and Queen of Fruits: the Durian and Mangosteen". 103 Meridian East. No. 7. September 2010. |section= ignored (bantuan)
  8. ^ a b Karp D (9 Ogos 2006). "Forbidden? Not the Mangosteen". The New York Times. Dicapai pada 22 Mei 2010.
  9. ^ Karp D (8 August 2007). "Mangosteens Arrive, but Be Prepared to Pay". The New York Times. Dicapai pada 22 May 2010.
  10. ^ Mohamad bin Osman (2006). Mangosteen Garcinia mangostana L. Southampton, UK: University of Southampton. ISBN 0854328173.
  11. ^ "mesta". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  12. ^ Crown I (2014). "Science: Mangosteen information". Mangosteen.com. The mangosteen website.
  13. ^ "How To Open A Mangosteen". Thailand Breeze. 2014. Dicapai pada 11 Mac 2017.
  14. ^ Mangosteen - fruitipedia. Pautan: http://www.fruitipedia.com/Mangosteen.htm
  15. ^ Kusumawati, Nita; Santoso, Agus Budi; Sianita, Maria Monica; Muslim, Supari (2017). "Extraction, Characterization and Application of Natural Dyes from the Fresh Mangosteen (Garcinia mangostana L.) Peel". International Journal on Advanced Science, Engineering and Information Technology (dalam bahasa Inggeris). 7 (3): 878. doi:10.18517/ijaseit.7.3.1014.
  16. ^ "Xanthones". XanGo. DBC, LLC. 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Ogos 2007.

Pautan luar sunting