Kesan manik Baily adalah satu ciri gerhana matahari penuh. Ketika Bulan melalui di hadapan Matahari sewaktu gerhana matahari penuh, topografi sembir Bulan yang berceranggah membolehkan "manik-manik" cahaya matahari melepasi di sesetengah tempat, dan tidak di tempat lain. Fenomena ini dinamakan sempena Francis Baily, orang pertama yang memberikan penerangan yang tepat berkenaan kejadian ini pada tahun 1836.[1][2] Kesan cincin permata boleh dilihat apabila hanya satu "manik" ini yang tinggal; permata yang bersinar yang terletak dalam cincin yang terang di sekeliling bayangan Bulan.[3]

Manik Baily
Cincin permata

Bulan mempunyai bentuk muka bumi yang pelbagai kerana kewujudan banyak gunung, kawah, lembah dan ciri-ciri topografi yang lain. Ketaksekataan sembir Bulan ("sisi" Bulan yang dilihat dari jauh) diketahui dengan tepat daripada pemerhatian-pemerhatian hijab gesel bintang-bintang. Oleh itu, ahli astronomi memahami dengan agak baik gunung-gunung dan lembah-lembah Bulan yang mana akan menyebabkan kemunculan manik-manik ini sebelum kejadian gerhana. Manik-manik Baily hanya muncul selama beberapa saat di tengah kawasan laluan gerhana, tetapi jangka masanya tertinggi di pinggir laluan umbra, iaitu sekitar 1-2 minit.

Manik Baily dan kesan cincin permata tidak selamat dilihat secara terus tanpa memakai perlindungan mata yang sesuai kerana dalam kedua-dua keadaan, fotosfera Matahari masih boleh dilihat.

Dalam media sunting

Cosmas Damian Asam mungkin merupakan pelukis realistik terawal yang melukis satu gerhana matahari penuh dan kesan cincin permata.[4] Lukisannya disiapkan pada tahun 1735.

Fenomena manik Baily boleh dilihat dalam babak kredit pembukaan rancangan TV NBC, Heroes.

Rujukan sunting

  1. ^ Baily, Francis. "On a remarkable phenomenon that occurs in total and annular eclipses of the sun". Monthly Notices of the Royal Astronomical Society, Vol. 4, p.15. Bibcode:1836MNRAS...4...15B.
  2. ^ Littmann, Mark (1999). Totality - Eclipses of the Sun. Oxford University Press. m/s. 65–66. ISBN 0-19-513179-7. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  3. ^ O. Staiger. "The Experience of Totality".
  4. ^ "A Solar Eclipse Painting from the 1700s". Astronomy Picture of the Day. 2008-01-28.

Pautan luar sunting