Mimaland ialah sebuah taman rekreasi terberlangkai di Gombak, Selangor, Malaysia. Dikenali sebagai taman tema pertama di Malaysia, taman tema air ini dibuka pada tahun 1975. Sepanjang beroperasi selama 20 tahun, ia tempat pelancongan yang terkenal. Ia mempunyai tarikan seperti kolam mandi besar, luncur air gergasi, tasik, serta replika patung-patung besar dinosaur dan haiwan. Namun begitu, pada 1994 taman tersebut telah ditutup disebabkan oleh kejadian tanah runtuh berbahaya. Pintu besar dan tapak Mimaland masih wujud sehingga kini.[1][2]

Mimaland
Map
Lokasi
Koordinat3°17′5.96″N 101°43′22.06″E Sunting ini di Wikidata
Dibuka1975
Ditutup1994
TemaAir, prasejarah
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Koordinat: 3°17′00″N 101°43′27″E / 3.283458°N 101.724069°E / 3.283458; 101.724069

Sejarah sunting

Mimaland mula dibina dalam tahun 1971.[3] Nama Mimaland itu sebenarnya adalah merupakan singkatan daripada gabungan perkataan Malaysia In Miniature Land. Mimaland dibina di sebuah kawasan berbukit seluas 300 ekar di Ulu Gombak berhampiran dengan Kuala Lumpur, Malaysia.

Pembinaan Mimaland dilakukan dalam beberapa fasa dan dibuka secara berperingkat. Fasa pertama Mimaland yang siap dalam tahun 1970-an mengandungi 24 buah motel dan 5 buah chalet serta sebuah kolam renang.

Antara tarikan utama Mimaland pada peringkat awalnya ialah 'taman haiwan prasejarah' yang mengandungi binaan model-model dinosaur bersaiz besar yang begitu mengagumkan dan menjadi tumpuan bagi beberapa penggambaran filem tempatan, seperti Mekanik (1983). Selain itu Gila-Gila Remaja (1986), Tempo 88 (1987), Dendang Perantau (1979) dan Suara Kekasih (1986) juga membuat penggambarannya di situ. Dalam filem Gila-Gila Remaja antara dialog popular adalah "Esok jangan lupa, Mimaland!" yang diucapkan oleh pelakon Faizal Hussein. Juga terdapat adegan Azroy dan Suzana singgah minum di restoran tepi tasik. Dalam filem Dendang Perantau, logo lama Mimaland kelihatan pada pintu gerbangnya, yang berbeza dari logo tahun 1980-an. Dalam filem tu Latiff Ibrahim menumpangkan saudaranya dari Indonesia untuk menginap di chalet terapung di Mimaland. Dalam filem Suara Kekasih pula, Ogy & Azmil Mustapha dating di restoran tepi tasik di Mimaland. Pada tahun 1984 satu kolam renang yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara telah dilancarkan sebagai satu lagi tarikan terbaru Mimaland. Ia turut menawarkan papan luncur air gergasi yang tinggi dan menjadi kegemaran para pengunjung. Kawasan kolam renang terbesar di Asia Tenggara dan papan luncur air gergasi tersebut telah menjadi latar adegan dalam filem Tempo '88. Selain itu Mimaland juga mempunyai beberapa lagi bahagian lain, antaranya ialah sebuah tasik untuk aktiviti bersampan dan memancing, kawasan 'giant maze', serta kawasan untuk merentas rimba.

Setelah bertahun-tahun Mimaland beroperasi, seorang warganegara Singapura berusia 27 tahun maut dalam satu kemalangan di kawasan papan luncur air gergasi Mimaland pada Januari 1993. Kejadian malang itu mengejutkan orang ramai dan memaksa pihak Mimaland menutup sementara kawasan yang terlibat iaitu kolam renang dan papan luncurnya. Selepas kerja-kerja penambahbaikan dilakukan Mimaland kembali dibuka kepada orang ramai. Bagaimanapun, satu kejadian kecil tanah runtuh telah menyebabkan berlakunya kerosakan pada dinding kolam renang yang sama pada Mei 1994. Kejadian ini menyebabkan air lumpur memasuki kolam renang tersebut menyebabkan kawasan tersebut ditutup kepada orang ramai.

Beberapa pihak termasuk agensi kerajaan kemudiannya telah menyeret pihak pengurusan Mimaland ke mahkamah di atas beberapa dakwaan kesalahan, antaranya ialah kelemahan dalam kawalan keselamatan, serta menjadi punca kepada beberapa masalah. Sepanjang perbicaraan kes tersebut pihak mahkamah telah menghalang Mimaland daripada meneruskan operasinya. Akibat tidak dapat lagi bertahan tanpa beroperasi, Mimaland akhirnya terpaksa menutup terus pintunya buat selama-lamanya pada 1994.

Dalam budaya popular sunting

Mimaland menjadi subjek kepada sebuah filem seram bernama serupa, Miimaland yang mula memulakan tayangan pada 24 September 2020 di Malaysia, Singapura dan Brunei.[4] Kisah filem tersebut berteraskan perihal-perihal paranormal yang dikatakan wujud di situ.

Rujukan sunting

  1. ^ "Mimaland - Sejarah Taman Tema Pertama Malaysia Dan Sebab Mengapa Ia Ditutup". Iluminasi. 2018-10-27.
  2. ^ "Kisah Di Sebalik Taman Tema Pertama Malaysia Yang Telah Ditinggal Lebih 20 Tahun". SAYS. 2017-10-30.
  3. ^ "Arkib Negara X: Pembinaan Mimaland (1971)". Dicapai pada 7 November 2012.
  4. ^ "Filem seram Fattah Amin "Miimaland" tayang Jun 2020". Cinema.com.my. Dicapai pada 2020-09-22.

Laman web sunting

Pautan luar sunting